Sepanjang perjalanan menuju ke Rusia melalui jalan darat, pelbagai rintangan yang kami berdua harus atasi. Perlu aku ingatkan kembali, ianya adalah hutan belantara – bukannya macam hutan di dusun Ulu Yam sana tu. Ini betul-betul hutan di dalam negara yang mengamalkan sistem Republik iaitu Panama.
Jangan main-main dengan negara yang mengamalkan sistem pemerintahan Republik. Selain hutannya yang lebih tebal daripada dusun sekitar Kati yang terletak jauh di daerah Kuala kangsar itu, Kalau Presiden yang memerintah itu tidak sukakan seseorang, beliau akan menghantar orang-orang terbaiknya untuk memburu orang tersebut hingga ke lubang cacing.
Namun, aku dan Emma Watson mempunyai kemahiran yang sangat tinggi. Sedari awal lagi kami sudah bersedia sebarang kemungkinan yang mungkin boleh berlaku – termasuk menghadapi maut secara mengejut. Kami yakin Presiden Panama ketika itu telah mengarah Juan Carlos Varela untuk membunuh kami berdua. Dan sudah tentu Juan Carlos Varela sudah menghantar komando elitnya untuk membunuh kami.
Sepanjang tiga bulan kami berdua bersusah payah mengharungi hutan tebal. Dari hutan Parque Nacional Omar Torrijos berjalan kaki hingga ke sempadan Colombia sejauh hampir 250 kilometer bukanlah satu kerja yang mudah. Walaupun seseorang itu berjaya menghabiskan ultramarathon berpuluh kali pun belum tentu keselamatannya terjamin dari peluru komando elit pimpinan Juan Carlos Varela.
Lainlah aku – hero dalam cerita ini.
Aku tidak pasti berapa lama kami berdua mengharungi hutan belantara yang kejam sifatnya itu tanpa belas kasihan; sebaik sahaja kaki ini melangkah sempadan Colombia, Emma Watson mula buat hal.
Oh lupa pula nak bagitau yang Emma Watson petah berbahasa Melayu. Memang kami ketika di Agensi Perisikan Panama dahulu dilatih untuk mahir berkomunikasi 17 jenis bahasa; termasuk bahasa Melayu.
"Berapa lama kita nak berjalan kaki lagi ni? Dah berhari-hari kita berjalan, bendera Rusia pun tak nampak-nampak?" Keras suara Emma Watson ditujukan tepat ke batang hidung aku yang sedikit mancung ala-ala Tom Cruise.
Aku diamkan sahaja. Watak Khuzairi dalam drama 7 Hari Mencintaiku mula menguasai diri aku ketika itu. Kelihatan bodoh-bodoh ayam bermata kuyu apabila diherdik perempuan bermulut celupar.
Share this novel