Bercerita apa jua tentang buli, dibuli, membuli, terbuli, membuta-tuli, semua aku sudah merasa. Hinggakan mendengar berita buli-membuli yang bertebaran di Fac ketika ini membuatkan aku terkenangkan kisah aku dibuli di Kem Latihan di Dominican Republic pada tahun 1945.
Aku pernah dibuli teruk oleh Rodrigo Duterte. Ketika itu aku baru sahaja diterima masuk dalam Kem Latihan Tentera yang terletak di El Valle (Sebelah kedai serbaneka 24 jam iaitu 7 Eleven). Memandangkan aku ketika itu baharu sahaja berumur tujuh belas tahun, maka mudahlah aku dijadikan sasaran pembuli.
Rodrigo Duterte adalah senior aku waktu itu. Ketika itu dia berumur 20 tahun. Semua orang takutkannya kerana dia seorang yang berkebolehan dalam seni mempertahankan diri Silambam. Perkhabaran angin yang beliau bertarung dengan kucing hutan ketika tersesat di hutan Palembang suatu ketika dahulu membuatkan dia digeruni hingga ke lubang cacing. Termasuklah pemilik kedai serbaneka 24 jam yang terletak di sebelah kem kami. Akibat sering dijadikan mangsa ugut membuatkan pemilik kedai tersebut yang bernama Cecilio Dimitris menanggung kerugian yang besar sepanjang beroperasi di situ.
Pada suatu hari, setelah pulang dari solat Jumaat, aku singgah 7 Eleven untuk membeli air Nescafe dalam tin berperisa original. Nasib aku kurang baik pada hari tersebut. Aku dihalang di pintu kedai oleh Rodrigo Duterte dan konco-konconya – tidak lain tidak bukan, cuba mengepau wang ringgit aku (Sebelum ini pernah terjadi, itu sebab aku sudah tahu tujuan mereka).
"Bagi aku duit sekarang!" teriak Rodrigo Duterte. Salah seorang dari lima orang pengikutnya kelihatan mengepal-ngepal penumbuk sambil tersengih riang.
"Duit apa?" Aku cuba melawan.
"Duit kau lah!" ulang Rodrigo Duterte sekali lagi. Mukanya kelihatan bengis.
"Aku takde duit. Kau mintaklah kat abah kau kat kampung." Aku cuba panaskan situasi. Kadang-kadang perangai aku pun bukan boleh pakai juga. Kamikaze tak tentu hala ada kalanya mengudang padah.
"Kurang ajar kau!" Rodrigo Duterte sudah hilang sabar.
Rodrigo Duterte terus menerpa ke arah aku sambil tangannya dikepal padu menghala ke arah muka aku. Aku tunduk mengelak. Rodrigo Duterte hilang imbangan lalu tersungkur.
Apabila melihat Rodrigo Duterte tersungkur dengan penuh gaya, lalu konco-konconya menjerit beramai-ramai, "Seranggggg!".
Aku bukannya bodoh sangat hendak bertumbuk dengan lima enam orang sekali gus. Aku tidak fikir panjang. Aku terus melarikan diri. Bab melarikan diri ini aku tidak ada masalah. Lagipun aku pernah menghabiskan acara Powerman Asia Duathlon Championships dua kali.
Jadi, aku terus melarikan diri ke Panama. Aku akui Dominican Republic bukanlah untuk aku. Aku reda. Aku pasrah.
Itulah kali terakhir aku melihat Rodrigo Duterte. Selepas insiden itu aku sudah tidak bertemu hinggalah aku merujuk laman sesawang Wikipedia bahawa beliau sudah diangkat sebagai Presiden Filipina sekarang ini.
Aku tumpang bangga dengan beliau kerana berjaya dalam hidup. Dari kaki pembuli dan kini seorang Presiden Filipina.
Oleh sebab itu kita tidak boleh menghina seseorang. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu?
Share this novel