SEAWAL pukul 6:30 pagi lagi mereka bertiga sudah keluar dari rumah menuju ke taman untuk berjoging.
"Oii, korang! Tunggulah!" panggil Izzah sambil tercungap-cungap mengejar Anita dan Natasha yang sudah jauh meninggalkannya di belakang.
"Cepatlah, mak nenek! Lembab lah!" ejek Anita dari jauh.
"Korang je lah joging. Aku surrender," kata Izzah lalu berhenti berlari dan hanya berjalan sambil memegang pinggangnya kemudian duduk di sebuah kerusi taman di bawah sebuah pohon.
Setelah berjoging beberapa pusingan, Anita dan Natasha akhirnya berhenti berlari dan menuju ke tempat Izzah.
"Lepas balik ni korang tak keluar ke?" soal Natasha.
"Tak. Aku nak bermimpi di siang hari. Petang sikit baru aku keluar. Nita, petang nanti jom kita pergi ke kafe Sha, nak? Kita minta belanja minuman free," cadang Izzah lalu ketawa.
"Boleh juga. Dah lama tak kena belanja kopi fresh," balas Anita sambil memandang Natasha dengan ekor mata bersama dengan sengihan yang menampakkan barisan giginya.
"Datanglah. Aku on je. Tak bankrupt pun aku kalau setakat belanja korang," ujar Natasha.
"Sebab tu aku sayang kau walaupun gangster," kata Anita lalu memeluk leher Natasha sambil ketawa.
"Erkk! Sayang, sayang juga, mati juga aku kat sini kau cekik," kata Natasha lalu menolak tubuh Anita.
"Eh, Sha! Tu bukan mamat semalam tu ke?" soal Anita sambil menuding jari telunjuknya ke arah seorang lelaki yang baru hendak masuk ke dalam kereta Nissan GTR berwarna merah.
"Weh! Naik kereta mahal weh!" kata Anita dengan perasaan kagum.
Natasha memanjangkan lehernya untuk melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Anita tadi. "Ceh! Entah-entah kereta belum habis bayar," perli Natasha.
Izzah yang turut memanjangkan leher melihat ke arah lelaki yang ditunjukkan Anita tadi terus melopong. "Dahlah kacak, kaya pula tu," puji Izzah sambil memegang kedua-dua belah pipinya. "Tapi siapa mamat tu?" soalnya ingin tahu.
"Mamat tu langgar Sha semalam. Dahlah tak minta maaf. Nasib aku tarik si Sha ni, kalau tak, tak tahu apa jadi," jawab Anita lalu ketawa.
"Eh, dahlah! Jom balik, aku nak ke kafe ni," kata Natasha lalu menarik lengan Anita dan Izzah secara serentak.
Sesampai sahaja di kafe, Natasha terus menuju ke kaunter dan memeriksa pesanan yang belum dibuat. Mesin pengisar kopi yang berada di atas kaunter terus bekerja dan dengan kecekapannya, dia selesai membancuh 5 cawan kopi latte dan mocha yang dipesan oleh pelanggan dalam masa yang singkat.
"Kopi Americano kurang manis satu dengan satu set sandwich," pesan satu suara pelanggan yang baru datang.
Natasha mengangkat wajah dan memandang ke arah pemilik suara tadi.
"Kau?!"
Kedua-duanya terkejut, namun Natasha hanya berlagak tenang.
"Okey, pesanan diterima, sila duduk dulu," kata Natasha lalu mula membancuh air pesanan lelaki itu.
Lelaki tadi tidak lepas dari memandang ke arah Natasha yang sedang membancuh air di meja kaunter.
Perempuan tomboy semalam tu kerja kat sini rupanya. Nanti kau! bisiknya dalam hati.
Selesai membancuh air pesanan lelaki itu, Natasha sendiri yang menghantarnya kerana Aiman sudah keluar menghantar pesanan dan Tina pula sibuk membantu Faizah di dapur menyusun roti yang sudah siap dibakar ke dalam dulang untuk dipamerkan di almari kaca berdekatan dengan kaunter hadapan.
Lelaki tadi terus menghirup kopi yang baru dihantar kepadanya itu.
"Macam mana kau bancuh kopi ni?" soal lelaki tadi sambil mengerutkan dahi memandang ke arah Natasha yang baru hendak kembali ke meja kaunter.
"Ya Encik? Ada apa-apa masalah ke?" soal Natasha dengan riak wajah tenang, tetapi sebenarnya di dalam hati, dia sedang mengutuk lelaki itu.
Mujur sahaja kali ini dia adalah pelanggannya, kalau tidak, mahu di baginya tapak kasut saiz 7 di muka lelaki itu.
"Kenapa tak ada rasa langsung? Aku cakap kurang manis bukan tak manis langsung! Macam mana kau buat kerja ni?! Kau nak aku bagitahu bos kau supaya pecat kau ke?!" bentak lelaki tadi dengan suara yang ditekankan sambil merenung tajam ke wajah Natasha.
Natasha segera melihat ke sekeliling kerana takut pelanggan yang lain terdengar bicara mulut longkang lelaki itu. Dia mengetap gigi sambil menghela nafas panjang. Dengan perasaan geram, dia menarik hujung lengan t-shirt lelaki itu dan membawanya ke ruangan belakang.
"Kau apa hal hah?! Kau tak puas hati pasal semalam tu ke?! Kalau kau rasa kopi kat sini tak sedap, kau boleh blah sekarang! Kopi tu tak apa, aku tak minta bayar walau sesen pun!" kata Natasha dengan suara berbisik keras.
"Mana bos kau?! Aku nak jumpa!" kata lelaki itu tidak berpuas hati.
"Aku bos kat sini. Apa kau nak? Kau nak aku pecat aku?" kata Natasha memerli.
Lelaki itu terdiam seribu bahasa. Dahinya berkerut.
"Dahlah! Pasal semalam tu, bukan salah aku, tapi aku maafkan kau walaupun kau tak minta maaf. Minuman kau tadi tu pula, kau tak payah bayar. Aku tak ada masa nak layan manusia toxic macam kau ni!" kata Natasha lalu melangkah menuju ke kaunter.
"Kejap!" kata lelaki itu dan cuba menarik bahunya, namun tanpa sengaja dia tertarik topi yang sedang dipakai oleh Natasha.
Topi yang tidak sengaja ditarik itu tertarik bersama ikatan getah rambutnya menghuraikan rambutnya yang hampir separas pinggang. Aroma rambutnya menerpa ke lubang hidung lelaki itu.
Lelaki itu tergamam dan memandang wajah Natasha tanpa berkedip. Keningnya yang cantik terukir semulajadi, bulu matanya yang panjang dan lentik serta bibir merah jambu tanpa secalit gincu itu membuatkan dia terpana.
"Kau memang nak cari pasal dengan aku kan?!" bentak Natasha lalu merampas topinya dari tangan lelaki itu.
"Kau keluar sekarang atau aku heret kau depan orang ramai!" ugut Natasha lalu memakai semula topinya.
Lelaki tadi masih kaku pada kedudukannya seperti patung.
"Kau dengar ke tak ni?!" Natasha membentak lagi lalu menolak bahu lelaki dengan perasaan geram.
"Err... sorry, saya minta maaf," ucapnya sambil menunduk beberapa kali lalu dia kembali ke tempat duduknya tadi. Sebenarnya kopi itu tiada masalah pun, dia cuma sengaja cari pasal tadi.
Lelaki itu menongkat dagunya sambil memandang ke arah Natasha yang sedang sibuk membancuh kopi di kaunter. Wajah Natasha yang terlihat jelas tadi bermain di layar mindanya dan tanpa sedar, bibirnya menyungging senyuman. Ada satu perasaan sedang bercambah di dalam hatinya saat ini.
Tak mungkinlah aku jatuh cinta pandang pertama dengan perempuan tomboy tu, bisiknya dalam hati.
Setelah hampir satu jam berada di situ, lelaki tadi berdiri dan menuju ke kaunter untuk membayar pesanannya tadi.
"Kat sini boleh guna kad ke?" soalnya sambil menunjukkan kad hitam emasnya.
"Boleh." Natasha menjawab sepatah.
Lelaki tadi terus menghulurkan kadnya untuk membuat pembayaran dan setelah Natasha menyerahkan semula kad lelaki itu, lelaki itu tiba-tiba menghulurkan tangan.
"Nama saya Khairie. Awak?"
Natasha memandang wajah lelaki itu dan lambat-lambat menyambut huluran tangannya.
"Natasha," balasnya ringkas dengan sekilas pandang lalu membaca satu per satu senarai pesanan pelanggan yang banyak tersusun di atas meja kaunter.
Oleh kerana Natasha sibuk dan kelihatan seperti tidak berminat untuk melayannya, dia pun beredar keluar dari kafe dan berniat untuk datang ke situ dengan lebih kerap lagi selepas ini.
Petang itu, Anita dan Izzah datang ke kafenya seperti yang dijanjikan.
"Korang nak minum apa?" soal Natasha sambil memandang wajah Anita dan Izzah silih-berganti.
"Aku nak minuman yang paling sedap kat sini," kata Anita lalu tersengih.
"Mana-mana je, janji kena belanja," jawab Izzah pula.
"Aiman!"
"Ya bos?" Aiman yang berada di kaunter menyahut panggilannya.
"Kau nampak ni?" kata Natasha sambil mengangkat penumbuk dan menjegilkan matanya memandang Aiman yang sudah ketawa di situ.
"Gurau pun tak boleh," kata Aiman yang masih dengan sisa tawanya.
"Aku tolak gaji, baru tahu! Tolong bancuh dua cawan besar cappuccino untuk customer special aku ni.
"Arahan diterima b..." Aiman tidak jadi menghabiskan kata-katanya melihat Natasha sedang menjegilkan mata memandangnya. Dia hanya mampu ketawa sambil menggeleng.
"Korang pergilah pilih nak makan apa kat almari kaca tu, pinggan ada kat dalam almari tu juga," kata Natasha sambil menudingkan jari telunjuk ke arah almari kaca yang bersebelahan dengan kaunter.
"Okay," kata Anita dan Izzah serentak lalu berdiri.
"Nita, kau nak tahu tak mamat poyo tu datang sini tadi," kata Natasha membuka cerita sekembalinya mereka dari mengambil roti.
"Weh seriuslah? Dia buat apa kat sini?" soal Anita dengan riak wajah teruja.
"Nak minum kopilah, takkan nak berenang pula?" balas Natasha.
"Aku ingatkan dia datang sebab dia memang cari kau," kata Izzah.
"Tak. Dia sendiri pun terkejut aku kat sini. Kau nak tahu tak, dia sengaja cari pasal complain pasal kopi aku tak sedap. Dia cakap nak jumpa bos sebab nak suruh pecat aku. Kau rasa?" Natasha menjongketkan kedua-dua kening sambil ketawa sinis.
"Dah tu apa jadi lepas tu?" soal Anita ingin tahu.
"Aku bagitahulah dia yang aku bos kat sini, terus dia diam. Nasib baiklah pelanggan, kalau tak aku dah cop tapak kasut aku ni kat muka dia," jawab Natasha.
Anita dan Izzah hanya mampu ketawa selepas mendengar cerita Natasha. Agak lama juga mereka bersembang sambil minum tanpa menyedari masa berlalu.
"Eh, dah masuk maghrib ni. Aku nak solat kejap kat bilik belakang lepastu aku nak kemas kafe. Kita balik sama-sama," kata Natasha kepada Anita dan Izzah dan kedua-duanya hanya membalas dengan anggukan.
** Di sisi lain **
Selepas makan malam tadi, dia segera naik ke biliknya. Dia merebahkan tubuhnya di atas katil berbantalkan lengan sambil merenung siling.
Entah kenapa dia asyik teringat gadis bertopi itu. Dia masih ingat bau aroma rambutnya. Dia menutup mata dan membayangkan wajah si gadis bertopi itu.
"Natasha," tuturnya perlahan-lahan dalam keadaan mata yang tertutup dengan sebelah tangannya memegang dada.
"Aku jatuh cinta ke? Tak mungkin! Aku tak pernah pandang spesies tomboy macam tu. Tapi kenapa aku asyik terbayangkan wajah dia?"
Khairie membuka matanya dan mengubah posisi baringnya kepada posisi mengiring. Wajah gadis itu masih lagi terbayang di mindanya.
Dia berdiri dan menuju ke jendela yang menghadap kolam renang di belakang rumah.
"Natasha." Nama itu disebutnya berulang-kali.
* * * * * * *
Tanpa mengetuk pintu, Anita terus menolak pintu bilik dan menjengahkan kepalanya dalam.
"Sha, esok aku nak ikut kau boleh tak? aku nak beli barang sikit. Malaslah nak naik Grab. Lagipun esok awal pagi lagi Izzah pergi ke rumah family dia," kata Anita kepada Natasha yang baru hendak tidur.
"Okay je. Pukul 8:00 pagi kau mesti dah ready. Mentang-mentang esok Ahad, jangan nak lewat-lewat bangun pula. Kau lewat bangun, kau tahulah apa aku buat." Natasha memberi amaran.
"Yelah, yelah, aku bangun awal," balas Anita lalu menutup pintu bilik Natasha sambil ketawa.
Natasha meregangkan tubuhnya sebelum menutup lampu kemudian merebahkan tubuhnya di atas katil.
Selamat malam dunia, ucapnya dalam hati dengan mata yang tertutup.
Share this novel
Haha.. jaga hati pelanggan..
Bagus Natasha ni. Calm je..kalau aku. Dah mandi kopi mamat ni..haha