Bab 3

Drama Completed 434927

DIA terjaga pada pukul 1:00 pagi kerana mimpi sama yang mengganggunya selama beberapa tahun ini. Dia duduk memeluk lutut dan menopangkan dagunya di atas lutut. Dahinya berpeluh, degupan jantungnya berdegup laju dan anak matanya bergerak-gerak, namun dia kaku pada kedudukannya.

Kejadian di dalam mimpinya tadi masih berlegar-legar dan bermain di layar mindanya seperti layar filem. Kejadian nyata yang menghantuinya dirinya selama beberapa tahun sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi dan mengganggunya hampir setiap malam. 

 Dia menutup erat matanya sambil menggeleng beberapa kali cuba mengusir bayangan satu kejadian yang masih bermain di dalam fikirannya. Kejadian itulah yang telah mengubah peribadinya kepada dirinya sekarang. 

  Dia beristighfar beberapa kali sehingga dia berasa tenang semula, kemudian dia berdiri dan berjalan menuju ke bilik air untuk membasuh muka. Tubuhnya direbahkan di atas tilam lalu dia menutup mata dan berharap agar dia akan tertidur semula, namun otaknya masih ligat bekerja walaupun dengan mata yang tertutup. Dia mengiringkan badannya sambil menutup mata dan beristighfar dalam hati sehinggalah dia terlena tanpa sedar.

  ***

  "Kita singgah kat kafe dululah sarapan, lagipun Faizah selepas subuh dah ada kat kafe tu baking roti dengan kek. Sekarang ni awal lagi. Macam biasalah aku belanja," ujarnya kepada Anita.

  "Okay je," balas Anita sambil menguap membuatkan matanya berair. 

  "Hah, padan muka! Aku dah cakap semalam tidur awal kan?" ejek Natasha sambil mengecilkan matanya memandang ke arah sahabatnya itu.

  "Aku tak sedar pula movie tu habis jam 2:00 pagi," jawabnya dengan sengihan lalu menguap untuk kesekian kalinya.

 "Ada bangun subuh tak ni?" soal Natasha.

 "Aku cuti lah," jawab Anita lalu menyandarkan belakangnya pada kerusi dan menutup matanya.

 Natasha hanya mampu menggeleng melihat Anita yang sudah kedengaran dengkuran halusnya. Sepuluh minit kemudian mereka tiba di depan kafe. Motosikal Aiman dan Tina sudah ada di situ menunjukkan si pemiliknya sudah ada di situ.

   "Nita, bangunlah! Dah sampai ni," kata Natasha lalu membetulkan topinya dan mematikan enjin kereta.

  Anita memisat matanya sambil menguap dan menggeliat.

 "Hish, tak senonohlah kau ni! Kalau menguap, tutuplah mulut tu," tegur Natasha lalu keluar dari kereta dan masuk ke dalam kafe. Dilihatnya sudah ada beberapa orang pelanggan di situ. Anita mengekori Natasha dari belakang.

Natasha memberhentikan langkah kakinya untuk seketika selepas melihat seorang pelanggan yang dikenalinya yang memakai pakaian sukan sepertinya baru balik daripada berjogging dan sedang duduk di meja yang berdepan dengan kaunter. Dia tidak perasan pula keretanya di luar tadi.

  "Hai.” Khairie menyapa.

  "Hai," balas Natasha dengan lagak bersahaja lalu menuju ke kaunter. Anita yang mengekorinya ke kaunter tiba-tiba mencuit lengannya.

  "Tu mamat hari tu kan? Tengok dari dekat kacak pula," puji Anita dengan suara separuh berbisik lalu tersengih.

  "Hah, kalau kacak kau pergilah try," kata Natasha sambil membancuh minuman yang hanya mengambil masa dua minit sahaja.

 "Nah, pergilah duduk dulu, ambil sendiri roti kat almari kaca tu," kata Natasha lalu menghulurkan cawan berisi cappucino kepada Anita.

   Khairie berdiri dan menuju ke kaunter. Wajah gadis bertopi di depannya ditatap agak lama sebelum dia membuat pesanan. "Kopi americano kurang manis satu dengan satu set sandwich tuna," pesannya kepada Natasha lalu kembali ke mejanya.

  Natasha mengerutkan dahinya lalu memanggil Tina. "Bila lagi dia kat sini?" soalnya.

  "Lebih kurang 15 minit lah macam tu," jawab Tina.

 "Habis tu kenapa tak ambil order dia?"

 "Dia cakap nanti dia order. Saya tunggu-tunggu juga dia order tapi dia tak order pun."

  "Hm, okaylah kalau macam tu," kata Natasha lalu mula membancuh minuman yang dipesan kemudian menghantarnya sendiri ke meja Khairie sekali dengan sandwichnya.

   Khairie melakar senyuman sambil memandang ke arah Natasha ketika dia meletakkan minuman di atas mejanya, namun Natasha sengaja menurunkan topi untuk menutupi separuh wajahnya. Hanya bibir sahaja yang kelihatan menguntum senyuman sesaat membalas senyumannya lalu dia kembali semula ke kaunter.

 Anita yang sedari tadi memerhati setiap gerak-geri lelaki itu hanya mampu tersenyum kerana dia perasan dengan cara pandangannya terhadap Natasha tadi. Dia yakin lelaki itu ada hati dengan sahabatnya itu.

  "Good luck lah awak.” Anita menggumam perlahan.

   Natasha membancuh latte untuk dirinya sendiri lalu mengambil roti bakar di dalam almari kaca. "Aiman kau jaga kaunter, aku nak sarapan kejap," arah Natasha lalu berjalan membawa sarapannya menuju ke tempat Anita.

  "Lepas sarapan kau terus keluar ke?" soal Natasha lalu menghirup minumannya yang masih berasap.

  "Ha ah. Lagipun aku sebenarnya dah janji dengan kawan sekerja nak beli barang sama-sama."

  "Lelaki ke perempuan?" soal Natasha lagi.

  "Perempuanlah," jawab Anita.

  "Bagus. Kau sendiri tahu kan belum pernah lagi ada lelaki duduk dalam kereta aku. Kau jangan memandai-mandai bawa lelaki naik kereta aku pula, kalau tak kau tahulah akibatnya nanti," ugut Natasha lalu ketawa kecil.

  "Yelah, yelah, aku tahulah! Berapa kali juga kau nak cakap dari dulu," balas Anita lalu mencebikkan bibir.

  Khairie yang sejak dari tadi memerhati kedua-dua sahabat itu sesekali tersenyum dan adakalanya dia menggeleng. Entah apa yang membuatkannya tersenyum.

 Seusai bersarapan, Anita pun meminta diri untuk keluar. "Petang nanti kau datang ambil aku lah. Aku tak dapat hantar kau balik lepas ni, takut diorang tak dapat cover kalau Aiman keluar hantar pesanan," kata Natasha kerana melihat pelanggan semakin ramai yang datang. Anita mengenyitkan mata sambil membuat isyarat OK dengan jarinya lalu keluar dari kafe.

  Lambat-lambat Khairie menghabiskan kopinya kerana dia sudah berniat dari awal lagi untuk berlama-lama di situ. Setiap gerak-geri Natasha diperhatinya tanpa disedari oleh si gadis bertopi itu.

Semakin hari, semakin dia rasa tertarik dengan Natasha yang baginya misteri. Entah kenapa dia menyorokkan wajahnya di sebalik topi yang dipakainya. Hendak dikatakan hodoh, tidak pula. Cantik ada lah. 

  Rambutnya pun bukannya pendek, cuma pemakaiannya sahaja yang membuatkan dia kelihatan tidak feminin. Khairie tersenyum sambil mengingati wajah Natasha yang dilihatnya dengan jelas kelmarin.

  Natasha tanpa sengaja bertentang mata dengan Khairie. Dia segera membetulkan topinya lalu meneruskan kerjanya di kaunter.

   Selang beberapa jam, Khairie berdiri menuju ke kaunter untuk membayar minumannya tadi. Dia tidak bertanya lagi lalu menghulurkan kadnya kepada Natasha.

  Setelah Natasha menyerahkan semula kadnya, Khairie melempar senyuman yang menampakkan barisan gigi putihnya. "Bila awak free?" soalnya tiba-tiba.

  Natasha mengangkat wajahnya sekilas memandang ke wajah Khairie. "Time sakit," jawabnya ringkas.

  "Hah?" Khairie mengerutkan dahinya.

  "Kenapa?" soal Natasha dengan perasaan kurang senang.

  "Sebab saya nak ajak awak keluar. Saya nak berkawan dengan awak," jawab Khairie tanpa berselindung.

  Natasha mendecit sinis. "Saya tak keluar dengan lelaki," ujarnya bersahaja.

  Khairie mengerutkan dahi dan mengecilkan matanya memandang wajah Natasha yang hanya terlihat separuh hidung dan mulutnya sahaja.

  "Tengok macam tu kenapa? Kau fikir aku lesbian?"

  Khairie menggaru kepalanya yang tidak gatal. Ternyata Natasha dapat menduga apa yang bermain di fikirannya. "Eh! Taklah. Aku tak fikir macam tu pun," bohongnya sambil tersengih.

  Natasha tersenyum senget. Macamlah dia tidak tahu.

  "Boleh minta nombor telefon awak?" soal Khairie sambil menjongketkan kedua-dua kening memandang wajah Natasha.

  "Ada kat signboard atas pintu luar kedai," jawab Natasha dengan mata yang sedang fokus memandang ke arah kertas di tangan membaca pesanan pelanggan.

   Melihat Natasha yang kelihatan sibuk itu, Khairie mengambil keputusan untuk beredar. Nombor telefon yang tertera di papan tanda kafe itu di simpan ke dalam senarai kenalan di dalam telefon pintarnya.

  Natasha duduk di kerusi belakang meja kaunter sambil termenung dan sesekali memandang ke sekeliling ruangan kafenya yang dipenuhi dengan pelanggan. Dia sebenarnya menyimpan hasrat untuk membuat pakej makanan ala-ala western di kafenya, cuma niatnya masih belum tercapai lagi kerana faktor ekonominya yang belum begitu stabil.

 Lamunannya terhenti kerana dia dikejutkan dengan bunyi deringan telefonnya. Berkerut dahinya ketika melihat nama yang tertera lalu dan dengan pantas dia menatal butang hijau untuk menjawab panggilan.

   "Assalammualaikum, Kak Sha," sapa suara di hujung talian.

  "Waalaikumsalam Ijam, ada apa call?"

 "Mak, mak masuk hospital," ujarnya yang cuba bercakap dengan tenang kerana tidak mahu membuat kakaknya panik.

  "Hah?! Bila lagi?" soalnya dengan mata terbuntang lalu diia bingkas berdiri. Wajah ibunya serta-merta terbayang di ruang fikiran.

  "Ayah yang buat?" Natasha meneka, namun Nizam tidak menjawab.

 "Akak tanya, ayah yang buat?!" soalnya lagi dengan nada suara yang ditinggikan.

  "Err... Ayah minta duit, tapi mak tak bagi. Ayah pukul mak sampai pengsan. Ijam masa tu kat sekolah. Ijam balik rumah tadi tengok ibu dah terlentang kat ruang tamu tapi masa tu ibu dah sedar tapi lemah. Ijam minta tolong Pak Cik Samad yang hantarkan ke hospital," terang Nizam yang masih bersekolah di tingkatan empat itu.

   Natasha menutup erat matanya sambil menghela nafas panjang. Kedua-dua tangannya mengepal penumbuk sambil mengetap gigi dan cuba membayangkan keadaan ibunya pada ketika ini. "Akak balik hari ni," ujarnya lalu mematikan talian. 

   Nizam merupakan adiknya berlainan ayah. Melalui perkahwinan ibu dengan arwah ayahnya, Natasha mempunyai seorang abang yang sudah berkahwin tetapi sangat jarang balik ke rumah. Natasha segera mendail nombor telefon Anita.

  "Assalammualaikum Nita, kau kat rumah dah ke?" soal Natasha.

  "Waalaikumsalam, belum. Baru nak gerak balik."

 "Kau singgah kat kafe ambil aku," ujarnya.

  "Eh, awalnya kau nak balik? Tadi cakap nak minta ambil petang. Kenapa ni, kau ada masalah ke?" Anita menyoal kehairanan.

 "Aku ada emergency. Kau datang je lah," kata Natasha lalu mematikan talian dan terus melangkah laju menuju ke dapur.

  "Faizah, Tina, untuk dua tiga hari ni, aku amanahkan korang jaga kafe. Aku ada emergency kat kampung. Kejap lagi aku gerak ni," kata Natasha kepada Faizah yang sedang menguli tepung dan Tina pula sedang mengeluarkan roti dari ketuhar.

  "Okey Sha, jangan risau," jawab Faizah.

 Tidak lama kemudian Aiman muncul membawa beberapa bakul plastik makanan.

  "Aiman, dalam dua tiga hari ni aku tak ada. Aku balik kampung sebab ada emergency. Nanti kau tolong cover diorang kat sini. Pandai-pandailah korang handle, aku percayakan korang semua," ujarnya sambil memandang ke arah ketiga-tiga pekerjanya silih-berganti. Mereka semua mengangguk serentak.

 "Aku dah nak keluar ni, seorang jaga depan," arahnya lalu menyandang beg silangnya ke tubuh.

  "Kau tak makan dulu ke Sha?" soal Aiman.

 "Aku makan kat luar je nanti. Aku gerak dulu," jawab Natasha lalu menuju ke ruangan hadapan. Setelah melihat keretanya ada di luar, dia bergegas keluar dari kafe dan masuk ke dalam kereta.

  "Masalah serius ke?" soal Anita yang yang sudah berpindah di tempat duduk penumpang.

 "Mak aku masuk hospital," jawabnya sambil menoleh ke arah Anita sekilas. Jelas terpamer kerisauan di seraut wajahnya yang biasanya kelihatan tenang itu.

  "Aku doakan mak kau cepat sembuh," ucap Anita sambil memegang bahu Natasha.

  Sesampai sahaja di rumah, Natasha terus naik ke biliknya dan menyusun pakaiannya ke dalam beg pakaian kecil lalu terus turun ke bawah. "Nita, nanti kau bagitahu Izzah aku balik kampung," pesannya kepada Anita yang sedang makan ayam goreng KFC di meja makan berdekatan dengan ruang tamu.

 "Okay, tapi makanlah dulu sikit," kata Anita yang sudah berdiri lalu menyuakan ayam goreng ke mulut Natasha.

 Natasha hanya menggigit satu gigitan sekadar untuk menjaga hati Anita sahaja."Aku gerak dulu."

  "Hati-hati memandu. Aku mesti rindukan kau bila kau tak ada ni," kata Anita dengan nada sayu lalu memeluk tubuh ramping sahabatnya itu.

 "Aku pergi tak lama pun," balas Natasha sambil menepuk-nepuk lembut belakang Anita.

 "Yelah, jangan bawa kereta laju-laju tahu," pesan Anita sekali lagi selepas pelukan dileraikan dan Natasha hanya membalas dengan anggukan dan senyuman.

Share this novel

chicken
2022-06-26 16:47:12 

Paling aku benci...lelaki pukul perempuan


NovelPlus Premium

The best ads free experience