Bab 4

Drama Completed 434927

DIA tiba di kampung halamannya ketika jam menunjukkan hampir pukul 6:00 petang setelah memandu selama hampir enam jam, namun dia tidak terus balik ke rumah sebaliknya dia terus memandu menuju ke hospital.

 Setelah bertanya dengan jururawat di kaunter pertanyaan, Natasha terus melangkah menuju ke bilik wad yang diberitahu tadi. Pintu bilik wad ditolak dan pandangannya terus tertumpu ke arah Nizam yang sedang duduk di sebelah ibunya sambil menyuap wanita separuh abad itu makan.

  "Assalammualaikum."

   Puan Aida dan Nizam serentak menoleh ke arah pintu dan serta-merta mata Puan Aida membulat dan terbuka luas melihat kedatangan anak perempuan tunggalnya itu.

  "Duduk sini kak," kata Nizam lalu dia berdiri dan memberikan kerusi itu kepada Natasha.

  "Macam mana boleh jadi macam ni mak?" soal Natasha selepas menyalami dan mencium tangan ibunya. Sayu rasa hatinya melihat kepala dan tangan kiri ibunya berbalut.

 Puan Aida membungkam. Tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan kepada Natasha tentang apa yang sudah berlaku ke atas dirinya.

  "Mak tuntut cerai jelah mak. Tak guna simpan jantan macam tu! Dayus!" Natasha membentak dengan perasaan geram.

  "Mak tak berani Sha, mak tak berani. Sha tahu apa yang ayah akan buat nanti kan?" balas Puan Aida dengan suara bergetar.

  "Kita buat report polis je mak," cadang Natasha dengan riak wajah yang serius.

Suasana sunyi untuk seketika. Puan Aida memandang Natasha dari atas sampai ke bawah lalu melepaskan keluhan. Sebelum ini, anaknya itu merupakan seorang gadis yang ayu dan lemah lembut sejak dari kecil lagi, namun disebabkan suami barunya, anaknya berubah menjadi seorang yang agak keras dan kasar sedikit.

  "Mak minta maaf Sha," tuturnya dengan perasaan serba-salah."Kenapa mak nak kena minta maaf pula?" Natasha menyoal sambil mendekatkan wajahnya ke sisi Puan Aida.

 "Sebab mak tak percayakan Sha dulu," jawabnya Puan Aida lalu melepaskan keluhan buat kesekian kalinya.

 "Dahlah mak, Sha tak nak ingat lagi pasal tu," balas Natasha dengan reaksi tenang.

  Puan Aida membuka topi yang dipakai Natasha lalu menyelak rambut yang terjurai menutupi sisi wajahnya kemudian diselitkan dicelah telinganya. Wajah cantik anak gadisnya yang berdarah kacukan siam keturunan sebelah arwah suaminya itu ditatap dengan perasaan yang bercampur baur.

  "Cantik anak mak," pujinya sambil mengelus pipi mulus itu dengan sepenuh rasa kasih dan sayang yang tidak terhingga.

  Natasha memegang tangan ibunya lalu digenggam sambil melakar senyuman. "Doktor cakap apa? Bila mak boleh keluar?" soalnya.

  "Doktor cakap siku mak terkehel je. Keputusan x-ray kepala mak pun okey cuma ada gegaran sikit. Esok dah boleh keluar dah," jawab Puan Aida.

  Natasha mengetap gigi sambil mengepal penumbuk. Dia tiba-tiba terbayang ayah tirinya yang sedang menumbuk, menampar dan memulas tangan ibunya. "Kau memang jantan tak guna!" bentaknya dalam hati.

  "Jadi ayah sekarang ada kat mana?" Natasha menyoal adiknya Nizam.

  "Tak tahu kak. Ayah tu selalu menghilang dua tiga hari, nanti pandai balik juga," jawab Nizam.

  "Ijam baliklah dulu, biar akak jaga mak malam ni, tolong ambil beg akak kat tempat duduk belakang kereta," ujarnya lalu menyerahkan kunci kereta kepada Nizam.

  "Manalah Ijam tau kereta akak," jawab Nizam sambil menggaru kepala dan tersengih.

 Natasha tergelak. Baru dia ingat dia belum pernah balik ke kampung sejak berhijrah dua tahun lepas dan kereta itu pun baru dibelinya tahun lepas kerana sebelum ini dia hanya menggunakan motorsikal. "Kereta akak akak parking kat petak hujung berdekatan dengan lobi. Proton Perdana warna hitam, nombor plat BQP57**," ujarnya.

  "Okey, okey," balas Nizam lalu mengambil kunci kereta dari tangan kakaknya.

   Natasha mengalihkan pandangan pada ibunya. "Selalu ke macam ni mak?" soalnya. Puan Aida mengangguk lemah. "Kenapa tak bagitahu?" soalnya lagi.

  "Mak tak nak Sha risau. Tengok ni tak pasal pasal Sha kena tinggalkan kerja. Tak tahu pula mak yang Ijam telefon bagitahu Sha," ujarnya serba-salah.

  "Sha ada pekerja tolong jagakan kafe Sha tu, yang mak diamkan hal macam ni kenapa? Abang Haris tahu tak mak masuk hospital ni?" Natasha memandang wajah ibunya.

  "Mak tak tahu," jawabnya.

  "Ijam dah call bagitahu abang Haris tapi abang cakap tak dapat balik sebab kak Teha tak bagi," jawab Nizam yang tiba-tiba muncul dan meletakkan beg pakaian kakaknya di sebelah katil.

Natasha menoleh ke arah Nizam dan menoleh semula ke arah ibunya. "Yang abang tu pun satu hal. Bukannya jauh sangat pun rumah dia. Dekat bandar tu je pun," bebel Natasha dengan perasaan geram.

  "Biarlah abang kamu tu Sha. Dah isteri dia tak benarkan nak buat macam mana," balas Puan Aida tenang, namun jauh di sudut hatinya dia terkilan dengan sikap anaknya yang satu itu.

  "Biar apanya? Syurga dia di bawah telapak kaki mak, bukan bini dia!" Natasha menekankan nada suaranya lalu mendengus.

   "Err kak, Ijam balik dululah kalau macam tu. Dah nak gelap ni," ujarnya.

  "Ijam balik naik apa?" soal Natasha.

  "Ijam balik naik Grab," jawab Nizam.

  "Tak apa, biar akak hantar,” tawarnya lalu memandang ke arah Puan Aida. “Mak, Sha hantar Ijam balik kejap ye," ujarnya kepada Puan Aida.

  Puan Aida mengangguk. "Hati hati memandu," pesannya.

 "Sejak bila ayah mula pukul mak?" soal Natasha lalu memandang adiknya sekilas pandang kemudian kembali fokus memandang ke depan.

 "Dah lama. Sejak akak pergi dulu. Ayah kena buang kerja kat kilang kayu dulu sebab selalu ponteng kerja, dah tu ayah selalu ikut kawan dia keluar main judi kat kampung sebelah dan selalu balik dalam keadaan mabuk," jawabnya.

 Natasha menggenggam kuat stereng keretanya. Kalau pasal mabuk, dia memang tahu ayah tirinya itu seorang pemabuk tapi sebelum ini dia tidak pula pernah memukul ibunya.

   Sesampai sahaja di rumah, mereka terus masuk ke dalam rumah yang gelap. Nizam memasang suis lampu dan Natasha terkejut melihat keadaan rumah kayu peninggalan arwah ayahnya itu. Lantai berselerakan dan dinding berlubang sana-sini.

 Natasha melihat keadaan sekeliling dalam rumah. Dinding dapur juga sama, banyak berlubang sana sini. "Banyaknya lubang Ijam," kata Natasha kepada adiknya.

  "Ayah yang buat. Ayah selalu mengamuk baling barang sana sini" jawab Nizam sambil mengutip barang barang yang berselerakan akibat amukan ayahnya siang tadi.

  "Kenapa tak repair? Kan akak kirim duit tiap-tiap bulan kan?” soal Natasha.

   "Ayah kebas kak. Mujur je sempat beli barang dapur setiap kali akak kirim duit sebab Ijam tak keluarkan semua," jawab Nizam jujur.

  "Cis! Celaka punya jantan!" Natasha menggumam sambil mengepal kedua-dua penumbuk lalu mendengus.

   Natasha melangkah menuju ke biliknya. Kedudukan barang-barang di dalam biliknya masih dalam keadaan yang sama. Dia menuju ke almarinya lalu membuka pintu. Dia terpandang sepasang baju tidurnya yang terkoyak di bahagian bahu dan tercabut beberapa biji butang di bahagian paling sudut dalam almari. Dia mengetap gigi dan menggenggam baju tidur itu lalu membawanya keluar dari bilik.

  "Ijam, ada mancis tak?" soalnya.

  "Ada kat tepi dinding dapur tu," jawab Nizam sambil menudingkan jari ke arah yang dimaksudkan.

  Natasha menuruni anak tangga ke dapur dan keluar melalui pintu belakang dan membakar baju itu di kawasan belakang rumah. Panas bahang api yang terasa di wajahnya saat ini, sepanas hatinya yang sudah terlalu banyak menyimpan kesakitan. Dia membetulkan topinya dan tanpa sedar, airmatanya mengalir kerana terlalu sakit hati teringatkan peristiwa lalunya.

 2 Tahun Lepas… 

Tidurnya terganggu kerana dia merasakan seperti ada sesuatu yang berat sedang menindihnya. Dia membuka matanya dan terbeliak kerana melihat ayah tirinya yang tidak berbaju sedang berada di atas tubuhnya. Mulutnya ditekup. Dia meronta-ronta untuk cuba melepaskan diri, namun kedua-dua tangannya di pulas ke belakang tubuhnya dan dipegang kemas.

  Ayah tirinya dengan rakus mencium lehernya. Tangan ayah tirinya yang menekup mulutnya tadi beralih pula ke lehernya. "Kalau kau jerit, aku cekik kau sampai mati!" Ayah tirinya mengugut dengan suara keras namun dengan suara berbisik kerana takut isterinya terjaga.

  "Ayah, kenapa buat Sha macam ni? Tolonglah ayah, jangan." Natasha merayu sambil menangis namun tidak diendahkan.

  Ayah tirinya malah merentap baju tidurnya sehingga terkoyak dan tercabut butang bajunya mendedahkan bahagian dadanya. Natasha semakin meronta-ronta hendak melepaskan cengkaman di tangannya setelah menyedari bahagian dadanya sudah terdedah. "Ayah! Jangan! Tolonglah yah, jangan!" Dia terus merayu.

  Terbuntang mata ayah tirinya melihat bahagian yang terdedah di depan matanya dan dia lantas membenamkan wajahnya ke dada Natasha dan meninggalkan banyak kesan merah di situ.

  Natasha masih tidak berhenti meronta-meronta. Terasa maruahnya sedang dipijak-pijak ketika itu. Bantalnya sudah basah di basahi airmatanya. Pegangan di tangannya dilepaskan kerana ayah tirinya hendak membuka tali pinggang seluarnya dengan sebelah tangan.

  Dengan segala kekuatan yang ada, Natasha segera menolak tubuh lelaki itu dan terus berlari keluar dari bilik. Terkocoh-kocoh dia membuka selak kunci rumah dan berlari keluar berkaki ayam sambil mencengkam bajunya menutupi bahagian dada. Dia berlari sekuat hati menuju ke rumah mak ciknya yang berjarak 500 meter dari rumah. Mujur sahaja mak ciknya belum tidur kerana sedang menjahit mahu menyiapkan tempahan pelanggan.

  "Sha! kenapa ni?!" soal Mak Cik Suria dengan riak wajah terkejut melihat keadaan Natasha yang serabai dan berkaki ayam. Dia terus menarik Natasha masuk dan membawanya duduk di atas sofa.

  Mak Cik Suria merupakan seorang balu dan tiada anak, jadi mak ciknya hanya tinggal seorang diri. "Sha kenapa ni? Apa dah jadi?!" soal Mak Cik Suria sambil mengusap kepala Natasha untuk membetulkan rambutnya yang kusut, namun Natasha tidak menjawab. Nafasnya masih tercungap-cungap kerana penat berlari tadi. Airmatanya juga masih mengalir.

  Mak Cik Suria segera menuju ke dapur untuk mengambil air. "Minum dulu," katanya kepada Natasha sambil menghulurkan gelas berisi air suam.

  Mak Cik Suria menggeleng sambil mengusap rambut Natasha dan membetulkan rambutnya yang serabai.

Selepas beberapa minit, esakannya semakin reda dan dia kelihatan lebih tenang berbanding tadi.

"Dah rasa okey dah?" soal Mak Cik Suria sambil memandang wajah anak saudaranya itu dan Natasha hanya membalas dengan anggukan perlahan.

"Sekarang bagitahu Mak Cik apa dah berlaku?" soalnya sambil mengerutkan dahi.

 Natasha mengangkat wajahnya dan memandang Mak Cik Suria. "Ayah... Ayah… dia..." Dia tidak dapat menyambung kata-katanya dan mula menangis lagi. Bahagian baju di dadanya dicengkam kuat.

  "Ayah, ayah cuba nak rogol Sha," jawabnya dengan esakan yang semakin kuat.

  "Shh... shh... sabar Sha. Bertenang." Mak Cik Suria menariknya ke dalam pelukan lalu membelai rambutnya. Baru dia perasan, baju yang dipakai Natasha terkoyak di bahagian bahu.

  "Kita buat report polis nak?" Mak Cik Suria memberi cadangan.
 
  "Sha takut, mak cik," balasnya.

  Mak Cik Suria menggeleng. Simpati melihat keadaan anak buahnya itu. "Malam ni Sha tidur sini dulu, dah lewat ni. Pagi nanti, mak cik akan cakap dengan mak Sha," ujarnya lalu menarik lengan Natasha dan membawanya menuju ke bilik.

 "Sha tukar baju tu," kata Mak Cik Suria lalu menghulurkan sehelai t-shirt kepadanya. 

  Keesokan paginya, selepas bersarapan, Mak Cik Suria berjalan kaki mengiringi Natasha pergi ke rumahnya. Pada ketika itu, ayah tirinya tiada di rumah kerana sudah keluar bekerja di kilang kayu yang terletak di hujung kampung.

  "Assalammualaikum Aida." Mak Cik Suria memberi salam di muka pintu yang terbuka.

  "Waalaikumsalam Su. Eh! masuklah," pelawa Puan Aida yang baru muncul dari dapur. Berkerut dahinya kerana hairan melihat anaknya ada bersama dengan adiknya.

"Ada apa? Kenapa Sha ada dengan awak?" soalnya sebaik sahaja mereka melabuhkan punggung di atas sofa. Natasha hanya menundukkan kepala sambil memeluk lengan mak ciknya.

  "Macam ni..."

Mak Cik Suria pun menceritakan tentang kejadian yang berlaku semalam seperti yang Natasha ceritakan kepadanya. Tidak lebih dan tidak kurang.

  "Sha! Kenapa fitnah ayah?! Mak tak percaya ayah buat macam tu! Tak malu ke cakap bukan bukan pasal ayah?! Mentang mentanglah ayah tiri kan?!" Puan Aida bingkas berdiri sambil bercekak pinggang dengan riak wajah bengis.

 “Mak tak percayakan Sha?” soal Natasha dengan pandangan tidak berpuas hati. Dia sungguh terkilan dengan sikap ibunya yang lebih mempercayai suaminya. Dia berdiri dan berlari masuk ke dalam bilik dan menangis dalam keadaan meniarap di atas katilnya.

 Selepas peristiwa itu, kejadian yang sama berlaku berulang beberapa kali pada waktu malam dan mujur sahaja setiap kali itu juga Natasha dapat melepaskan diri. Dia tidur mengunci pintu bilik, namun ayah tirinya nekad dan mengumpil pintu biliknya. Akhirnya dia membuat keputusan untuk tinggal bersama dengan mak ciknya dan mengikuti kelas silat di rumah ketua kampung setiap malam. 

  Sejak itu, perwatakannya mulai berubah. Dia mula bertukar menjadi seorang gadis yang agak kasar dan begitu juga dengan pemakaiannya. Dia membayar kelas silatnya dengan mengambil upah bekerja di warung Pak Cik Wahid sebagai pembuat air. 

Dia tidak menyambung pelajarannya selepas tamat tingkatan enam dulu kerana tidak mahu menyusahkan ibunya, jadi dia membuat keputusan untuk menolong ibunya di kebun getah milik arwah ayahnya sebelum dia bekerja di warung.

  Selama bekerja di warung Pak Cik Wahid, dia belajar cara untuk membuat pelbagai jenis roti dan kek dari anak Pak Cik Wahid yang baru habis belajar dalam bidang bakeri.

  Suatu hari, Nadira iaitu anak Pak Cik Wahid tiba-tiba mengutarakan cadangan kepada Natasha untuk membuka perniagaan sendiri. "Sha, akak rasa lebih baik Sha buka bisnes sendirilah Sha," cadang Nadira.

 "Tapi kak, kampung kita ni bukannya ramai sangat penduduk pun," jawabnya sambil membetulkan topi di kepalanya.

"Kawan akak cakap, dia nak sewakan kedai dia dengan akak, tapi kan akak tolong ayah akak kat sini. Lumayan tau pendapatan kat sana," ujarnya bersungguh-sungguh.

  "Di mana kedai kawan akak tu?" soal Natasha.

 "Kuala Lumpur," jawab Nadira ringkas.

  Terbeliak mata Natasha. "Jauhnya tu kak, lagipun Sha takda modal," ujarnya lalu menundukkan wajah.

  "Tanah dusun 20 ekar tu kan diwariskan pada Sha. Sha cagarkan dulu, nanti tebus balik kemudian." Pak Cik Wahid menyampuk memberi cadangan.

 "Boleh ke macam tu?" soal Natasha.

 "Boleh, Pak Cik boleh tolong. Jangan risau, segalanya akan diuruskan dengan telus," jawab Pak Cik Wahid.

  Seminggu berlalu dan urusan cagaran tanah sudah pun selesai dengan pertolongan Pak Cik Wahid. Natasha balik ke rumah tengahari itu untuk membincangkan tentang rancangannya dengan ibunya. Mujur sahaja ibunya tidak menghalang.

"Mak doakan Sha berjaya. Kat sana nanti jaga diri tu, jangan tinggal solat" pesannya.

"Ye mak. Jangan risau" jawabnya.

"Bila jalan ke KL?" soal Puan Aida.

"Esok mak. Barang-barang Sha dah kemas kat rumah Mak Cik Suria," ujarnya.

  Puan Aida hanya menggangguk. Tiba-tiba ayah tirinya muncul di muka pintu dan memandang ke arah Puan Aida dan Natasha silih-berganti dengan reaksi tenang dan selamba.

  "Eh! Abang. Aida dah siapkan makan tengahari, tu ada kat bawah tudung saji atas meja dapur," kata Puan Aida lalu terkocoh-kocoh menuju ke dapur untuk menghidangkan makanan untuk suaminya itu.

  "Sha tak nak makan sekali ke? Jom lah," ajak ayah tirinya dengan selamba.

  Natasha mengetap gigi. Kedua-dua penumbuk dikepal menahan emosi. Tanpa menunggu lama, dia bingkas berdiri lalu keluar dari rumah tanpa sepatah kata. Bermula dari esok, dia akan menuju ke satu tempat yang jauh. Tempat di mana dia tidak akan tengok lagi muka si jantan keparat itu.

Angin malam yang tiba-tiba bertiup kuat mengejutkannya daripada lamunan. Natasha meraup kasar wajahnya. Biarlah peristiwa itu terkubur di masa lalunya. Hatinya sakit setiap kali dia teringat tentang kejadian itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience