“Abang, bangun!” Rohana, adikku menggunakan seluruh keupayaannya
menggegarkan katil bujangku itu.
“Yelah....” Aku mengalah lalu bangkit dari katil menuju ke bilik air.
“Jangan lupa sarapan!” “Yelah......”
Aku duduk di meja makan yang terhidang sarapan masakan ibuku selepas
mandi. Aku memulakan suapanku dengan penuh berselera, bagaikan sudah
lama tidak menikmati makanan ibuku itu. Entah mengapa, aku rasa sangat
rindu akan masakan ibuku. Kerana asyik dengan makanan, aku menghiraukan
sahaja paparan berita sensasi mengenai kemusnahan projek rahsia ‘Pandora
Box’ di Amerika Syarikat angkara sabotaj oleh pihak luar. Projek rahsia
itu gagal dilaksanakan dan merugikan negara Pakcik Sam itu
berbilion-bilion Dolar Amerika. Aku yang suka akan berita sensasi ini
mengutamakan makanan. Ibuku yang melihat kegelojohan aku itu menegurku
sambil diiring tawa menjengkelkan oleh adikku itu. Biarpun berasa marah,
entah mengapa, terasa amat bahagia ketika ini.
“Em?” Kocek seluar berbonjol, terisi sesuatu di dalamnya. Aku
mengeluarkan benda itu kerana agak merimaskan aku. Sebaliknya, apabila
aku melihat benda dikocekku itu, aku jadi kelu. Rantai kunci? Sejak bila
aku memilikinya?
“Abang, kenapa abang menangis? Mak, abang menangis. Takkan kena ejek pun
menangis....” Adikku yang ceria itu mula cuak dengan tangisanku.
“La, takkan dah besar pun nak nangis. Eh, kenapa dengan Zif ini....?”
Aku menangis teresak-esak. Air mataku ini bagai tidak mahu terhenti.
Kenapa? Apa yang sedang aku lupakan? Aku.......
........................................................................................
“Iskra , misi awak sudah berakhir....” Ujar ketua misi Sola-Ui,
Yggdrasil kepada Iskra , melalui telepati. Tetapi, Iskra tidak
menjawab. Dia kini berada di sebalik pokok, memerhatikan seorang lelaki
yang sedang menangis teresak-esak, melalui tingkap rumah.
“Iskra , dia sudah melupakan awak. Tidak, awak tidak wujud dalam
hidupnya...”
“Saya tahu....” Iskra cuba tersenyum, tetapi air matanya pula mengalir.
Share this novel