Oh, aku punya telefon pintar! Aku mendail nombor keluargaku, tetapi
hanya membisu. Tiada nada atau suara operator kedengaran melalui telefon
pintarku. Aku kemudiannya berputus asa, mengayuh basikalku secara
manual, pulang ke rumahku dalam keadaan yang sangat hampa. Tibanya di
rumahku, hari sudah gelap. Kalau tiada telefon pintarku ini, pastinya
sukar untuk aku melihat dalam keadaan jalan yang amat gelap tanda lampu.
Aku masuk ke rumah, mandi dan terus sahaja tidur. Mungkin kalau aku
bangun nanti, semua ini akan berakhir, sebagai mimpi semata-mata. Ya,
aku yakin bahawa aku sedang bermimpi ketika ini. Tuhan, apabila aku
sedar esok, kembalikan dunia aku sebelum ini.
Ah, masih lagi tiada tanda kelibat manusia di sekelilingku. Kosong.
Keluargaku juga tidak kelihatan dari semalam. Aku yang sudah mencelikkan
mata ini, bangkit daripada tidurku lalu merencanakan sesuatu. Aku pun
mula menyiasat rumah ke rumah. Semua rumah yang kumasuki, tiada langsung
tanda-tanda yang menunjukkan berlakunya penculikan, pembunuhan atau
sebagainya yang menyebabkan mereka hilang begitu sahaja. Di rumah-rumah
yang aku masuki, tersusun set pinggan mangkuk di atas meja, untuk
persiapan makan bersama keluarga. Daripada pemerhatianku, makanan yang
dimasak di rumah-rumah tersebut kemungkinan besar sebagai sarapan kerana
di dalam periuk dan pinggan tersebut merupakan nasi lemak, lontong dan
makanan-makanan yang popular di Malaysia sebagai juadah pagi. Sungguhpun
Malaysia sudah mencapai kemodenan yang pesat sehingga berada dalam dunia
pertama, negara maju, tetapi sebahagian besar warganya tetap mengekalkan
makanan tradisi ini.
Musykil hanya satu, ke manakah perginya manusia-manusia ini? Mereka
ghaib begitu sahaja. Satu rumah ke satu rumah aku ceroboh untuk mencari
jawapan, sebaliknya mindaku terus dipenuhi persoalan demi persoalan.
Sehari itu, seluruh kawasan penempatan kejiranan ini aku redah. Tatkala
memecah masuk rumah-rumah itu, aku mengumpul makanan tahan lama dan
makanan tin untuk bekalanku. Aku mula mengumpul keperluan hidup tersebut
di rumah aku. Sepanjang hari aku bergerak ke kiri dan ke kanan,
memunggah barangan dengan troli yang ku’pinjam’ dari kedai serbaneka
berdekatan.
Hari pun berlalu dan kini mencecah seminggu. Sepanjang waktu itu aku
mencari setiap ceruk dan penjuru, maklumat dan keperluan hidupku. Dunia
tanpa elektrik ini, membuatkan aku mencari alternatif lain, menggunakan
penjana solar, yang aku ‘jumpa’ di dalam salah satu rumah kosong yang
ku’ziarahi’. Aku mula mempelajari cara pemanduan sendiri menggunakan
kereta-kereta elektrik yang ada. Setelah beberapa kali menjahanamkan
kenderaan mesra alam ini, aku sudah tidak kekok lagi memandu. Aku
memecah masuk rumah paling kaya berdekatanku, dan ‘meminjam’ kereta
solar sebagai ‘kaki’ baharu aku menyelesaikan misteri ini.
Kadangkala, aku berharap akan ada insan yang memberkas aku kerana
perbuatan aku ini. Mencuri makanan dan barangan elektrik di kedai-kedai
atau di rumah-rumah yang menjadi rutin harianku dalam tempoh masa aku
keseorangan di tempat aku ini. Tetapi, perasaan bersalahku lama kelamaan
lenyap kerana bagai menjadi kelaziman buatku. Sekalipun begitu, aku
benar-benar harap ada polis menangkapku. Sekurang-kurangnya, aku dapat
bertemu dengan manusia yang lain. Impianku itu hanya terus menjadi
anganan sahaja.
Share this novel