“Kenapa kau bermuram saja Caca?” Soal Tok Janggut kepada seekor kambing betina yang sedang berteduh di sebuah pohon Ara yang besar dan tinggi.
“Tak ada apa apalah tok. Tok tak perlulah risau pasal saya.” Jawab Caca namun sedikit pun dia tidak memandang ke wajah Tok Janggut.
“Aku ni sudah tua Caca. Aku dah makan rumput dulu dari kau. Tak perlulah kau nak berbohong kepada aku. Kalau kau ada masalah, kau ceritalah pada aku. Mana tahu aku boleh tolong. Sebagai ketua, aku perlu ambil berat semua masalah yang anak anak buah aku hadapi.” Ujar Tok Janggut.
“Saya bukan tak mahu cerita pada tok tapi saya rasa bersalah sangat. Jadi, lebih baik saya tak payah cerita.” Kata Caca dengan raut wajah yang sedih.
“Janganlah begitu. Kita kan satu masyarakat. Masalah kau masalah aku juga. Cuba kau ceritakan. Aku janji, kalau aku boleh selesaikan, aku pasti akan selesaikan.” Bersungguh benar Tok Janggut mahu membantu Caca.
“Begini tok. Sejak kawanan lembu itu sampai, sukar sekali kami mahu makan rumput di timur padang ragut ini. Di timur padang ragut tu ada banyak rumput rumput yang segar segar. Asyik asyik kawanan lembu sahaja yang menikmatinya. Mereka begitu rakus meragut rumput situ sehingga kami – kawanan kambing ini susah sekali mahu menikmati kelazatan rumput di sana. Bila kami makan saja, mereka pasti akan halau kami. Tadi anak saya dan anak Figi ada makan di sana. Anak anak kawanan lembu itu menghalau anak anak kami. Sebab itu sekarang ramai kawanan kambing yang seperti mahu bermusuh dengan kawanan lembu. Hak yang sepatutnya kami dapat di kawasan padang ragut ini diganggu gugat oleh kawanan lembu itu.” Caca menceritakan apa yang berlaku kepada Tok Janggut dengan bersungguh sungguh. Terpancar riak serba salah dari wajahnya.
Sejujurnya Tok Janggut berasa terkejut dengan laporan yang baru diterimanya dari Caca itu. Dia tidak menyangka bahawa kawanan lembu itu sanggup bertindak sebegitu rupa.
Share this novel