Pada suatu pagi, kelihatan dua buah lori datang dan berhenti di hadapan kandang kawanan lembu. Semua penghuni padang ragut menjadi pelik dan hairan terhadap kedatangan lori itu. Mereka tertanya tanya haiwan apakah lagi yang akan tinggal di padang ragut itu. Kelihatan Pak Hambali turun dari salah sebuah lori itu. Kelihatan juga empat orang lelaki yang turun dari kedua dua buah lori tersebut. Masing masing membuka belakang lori dan muncul beberapa ekor lembu lagi dari belakang lori itu. Tok Janggut dan anak buahnya bertambah terkejut. Ini bermakna jumlah kawanan lembu dalam kawasan padang ragut itu akan bertambah besar.
Lain pula reaksi yang ditunjukkan oleh kawanan lembu. Tok Perkasa dan anak anak buahnya bersorak kegirangan kerana mereka akan mendapat banyak kawan baru sekaligus menyebabkan kumpulan mereka bertambah banyak dan besar. Tok Janggut dan anak buahnya sekadar memerhatikan sahaja keriangan yang terbit dari kawanan lembu itu. Tok Janggut berjalan menghampiri Pak Hambali dan empat orang lelaki yang sedang sibuk mengeluarkan lembu dari lori itu.
“Banyak betul Pak Hambali beli lembu dari Tauke Wong.” Ujar salah seorang lelaki itu yang dalam lingkungan awal 20an.
“Biasalah Jalil. Permintaan terhadap lembu lembu aku semakin banyak. Tak cukup simpanan aku setakat tu je. Sebab tu aku kena tambah bekalan lagi.” Balas Pak Hambali.
Tahulah Tok Janggut mengapa Pak Hambali membeli begitu banyak lembu dan diletakkan di padang ragut itu. Dia melihat lembu lembu yang baru datang itu. Mereka semua gembira apabila bertemu dengan rakan rakan mereka yang tinggal di kawasan padang ragut itu. Mereka bersorak kegirangan yang keriangan.
“Dengar sini semua…” Terdengar suara Tok Perkasa apabila Pak Hambali dan empat orang pemuda itu sudah meninggalkan kawasan padang ragut.
“Memandangkan kawanan kami yang lebih besar, maka kamilah kumpulan yang paling berkuasa di kawasan padang ragut ini.” Terdengar sorakan yang berterusan dari semua ahli dalam kawanan lembu.
Share this novel