TENGKU AIDAN memerhatikan satu persatu gambar yang dihantar ke telefonnya. Kedua-dua tangannya mengepal dengan dada berdetak hebat. Rasa marah, sedih, kecewa bersatu membuat tubuhnya menggigil. Tidak sangka Sharmin tega berkhianat sedangkan rasanya dia sudah memberi semuanya untuk wanita itu. Tidak ada satu apa pun yang kurang, baik Zahir mahupun batin. Apa lagi yang mahu dicari Sharmin pada usia yang sudah melewati 40 tahun? Tidak cukupkah dengan apa yang mereka nikmati sekarang?
Bau pewangi itu bukan kali pertama dia mengesan sesuatu yang mencurigakan pada tingkah laku Sharmin. Pernah dia terbangun pukul dua pagi dan melihat Sharmin bertelefon dengan seseorang di balkoni. Apabila dia bertanya, kata Sharmin itu panggilan adiknya yang mengadu masalah dengan suami. Dia tidak bertanya lanjut kerana setelah hampir 16 tahun, dia yakin tidak ada apa-apa yang akan mengubah perasaan Sharmin terhadapnya. Malah, bukan pertama kali juga dia mengesan bau pewangi yang tidak biasa pada tubuh Sharmin namun dia diamkannya kerana tidak mahu bersangka buruk. Namun semalam, dia tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya. Jawapan Sharmin juga mencurigakan. Selain tidak berani menatap matanya, nada suara Sharmin juga berbeza saat menjawab pertanyaannya. Malah tawa Sharmin terdengar canggung dan gugup.
Tengku Aidan membuang keluh. Apa yang harus dia lakukan sekarang? Cerai? Ya, tidak mungkin dia kekal dalam pernikahan ini bersama isteri yang terang-terang curang dan berkhianat. Tetapi apa pula kata Amalin? Bagaimana jika Amalin tahu kelakuan ibunya? Tentu anaknya itu akan kecewa, marah, sedih dan malu. Di saat bakal menghadapi peperiksaan penting, dia tidak mahu anaknya itu terganggu sehingga menjejaskan fokusnya.
“Apa tengku nak buat sekarang?” tanya Hisyam, pembantu peribadinya yang dia arahkan untuk mengekori dan mengawasi tindak-tanduk Sharmin.
“Kita kena kumpul banyak bukti lagi. Lagipun tak lama lagi Amalin ada exam penting. I tak boleh ceraikan dia sekarang.”
Hisyam mengangguk-angguk. Alasan bosnya itu ada logiknya juga.
“Simpan dulu rahsia ni,” ujar Tengku Aidan.
“Okey.”
Setelah Hisyam keluar, Tengku Aidan memindahkan gambar-gambar itu ke pemacu pena. Terlalu bahaya jika gambar itu dibiarkan di dalam telefon kerana Sharmin kata laluan telefonnya. Malah Sharmin tahu semua kata laluan perbankan online, Google Drive, serta semua media sosialnya. Benar-benar tidak ada rahsia antara mereka.
Setelah selesai, ingin dia menukar kata laluan perbankan atas taliannya, namun sesaat kemudian dia membatalkan hasratnya. Tidak ada perbelanjaan berlebihan atau mencurigakan yang dilakukan Sharmin dalam tempoh setahun ini, jadi tidak perlu dia bertindak. Lagipun dia tidak mahu Sharmin curiga dan tahu yang dia sudah tahu perselingkuhannya.
Bunyi telefon yang tergeletak di atas, membuat Tengku Aidan menghalakan pandangannya ke arah benda pipih itu. Nama wife berkelip pada skrin membuat dia sempat berfikir sejenak sama ada mahu menjawab panggilan itu atau tidak. Amukan perasaan yang masih bersarang dan belum dilampiaskan membuat dia malas mendengar suara Sharmin.
Bunyi itu akhirnya berhenti. Namun tidak berapa lama kemudian, sebuah notifikasi mesej muncul di skrin. Dari Sharmin. Tanpa membuka aplikasi perbualan berlogo hijau itu, Tengku Aidan hanya membaca mesej Sharmin melalui floating bubble.
-Sayang, I balik lambat sikit malam ni. Ada janji dengan client. No need to wait for me.-
Tengku Aidan tertawa sinis. Klien?
Selama ini Sharmin memperbodohkannya, kali ini dia akan membiarkan Sharmin pula terlihat bodoh dengan membiarkan isterinya itu terus berbohong.
Capai telefon, Tengku Aidan bangun lalu terus keluar dari pejabatnya.
“Hisyam, ikut I,” ujarnya saat melewati bilik Hisyam bersebelahan biliknya.
“Pergi mana?”
“Lepas geram.”
Hisyam terkebil-kebil, namun dia menurut juga langkah bosnya itu.
TENGKU AIDAN mendengus geram melihat sebuah Subaru BRZ putih diparkir sehingga memakan dua petak. Dia yang sudah memberi isyarat untuk memasuki petak sebelah, keluar dari kereta untuk meminta pemandu itu membetulkan parkir. Hisyam turut tergesa-gesa keluar, bimbang bosnya itu bertindak luar kawal dek emosinya yang tidak begitu baik.
“Cik…” Tengku Aidan menyapa sebaik sahaja melihat seorang gadis keluar dari tempat duduk pemandu.
Ayumi menoleh sekilas sebelum membuka pintu belakang, mengambil beg skuashnya sebelum kembali memandang Tengku Aidan yang sedang bercekak pinggang, menatapnya dengan wajah bengang.
“…boleh betulkan parking?” ujar Tengku Aidan. Bengang dengan kesombongan gadis muda itu, tetapi masih cuba mengawal suaranya supaya tidak meninggi.
Ayumi pandang kedudukan keretanya yang ditengah-tengah antara garisan pemisah parkir, sebelum kembali memandang Tengku Aidan.
“Tak pandai.”
Tengku Aidan menganga tidak percaya. “You boleh drive, tapi tak tahu parking?!”
Ayumi mengangguk.
“Ada lesen tidak ni?”
“Tak ada.”
Jawapan selamba gadis itu dengan wajahnya yang bersahaja seolah-olah tidak bersalah, serta mulut mengunyah gula-gula getah, benar-benar membuat tekanan darah Tengku Aidan naik mencanak.
“I’m sorry to have caused you all this trouble. But…I can’t do anything about it.” Senyum dan menundukkan sedikit kepalanya tanda minta maaf tanpa setitik keikhlasan, Ayumi berlalu sambil diekori oleh Safwa.
Tengku Aidan tertawa bengang. Diperhatikan langkah Ayumi dengan hati mendongkol geram.
“Young people nowadays…biadap betul. How was she taught by her parents to grow up to be such a rude person. If she’s my daughter, I will slap her in the face.” Dengan mulut masih merungut, dia masuk semula ke kereta dan terpaksa mencari petak lain.
“You won’t do that,” balas Hisyam. Tengku Aidan bukan sejenis orang yang menggunakan kekerasan fizikal. Anaknya Amalin tidak pernah ditengking, apatah lagi ditampar.
“Because my daughter is not like that. I raised her well.”
Hisyam tergelak kecil dengan omelan bosnya itu. Tengku Aidan selalunya tidak mudah terpancing emosi apatah lagi marah-marah tidak jelas, namun malam ini mungkin moodnya tidak begitu baik dek ulah Sharmin.
“Budak-budak zaman sekarang kebanyakannya macam tu. They have no manners. Kita cari parking lain je. Banyak lagi kat depan sana tu.”
“Masalahnya jauh daripada pintu. And parents mana yang stupid biarkan anak dengan umur macam tu drive without license? They got no money for license, but rich enough to buy luxury car to their daughter?” Tengku Aidan masih belum berpuas hati dengan gadis tadi.
“Budak perempuan tadi tu rasanya dah 26, 27 macam tu kut,” balas Hisyam.
“Yes, that’s what I mean. Dah 26, 27, but no driving license?”
Hisyam diam. Yakin rungutan dan bebelan itu bukan kerana gadis tadi memandu tanpa lesen, tetapi lebih kepada melampiaskan perasaan marah dan geram dengan kecurangan Sharmin.
TERMENGAH-MENGAH Hisyam mengikut rentak permainan Tengku Aidan yang luar biasa rancak. Bagai tidak tahu penat. Apatah lagi mereka mula bermain tanpa pemanasan, sedangkan sudah lama tidak bersukan. Terasa kebas dan tegang segala sendi dan saraf membuat Hisyam akhirnya mengaku kalah. Tidak sanggup lagi dia hendak meneruskan permainan.
“I dah tak boleh, tengku.” Hisyam angkat kedua-dua tangannya.
“Kalau macam tu, you baliklah dulu,” ujar Tengku Aidan lalu menghulurkan kunci keretanya kepada Hisyam.
“Nanti tengku nak balik macam mana?” Hisyam tidak segera menyambut kunci yang dihulurkan Tengku Aidan.
“I boleh call driver datang jemput. You balik je dulu.” Tengku Aidan meletakkan kunci keretanya ke tapak tangan Hisyam.
“Are you sure?”
“Yeah.”
Hisyam berlalu, Tengku Aidan melabuhkan duduk di bangku yang terletak di luar gelanggang lalu menonggak air mineral yang baru dibuka sehingga tinggal separuh. Mata sempat memandang gadis parkir tadi yang sedang bermain di gelanggang sebelah. Dia menggeleng. Ya, bukan saja mengingat kejadian di parkir tadi, tetapi melihat kepada pakaian gadis itu juga. Walaupun pusat skuasy ini menetapkan etika pakaian tertentu sebelum pelanggan dibenarkan masuk, tetapi tidaklah sampai perlu memakai skirt pendek. Seluar panjang juga boleh kan?
Apa anak-anak zaman sekarang memang dibenarkan membentuk diri sendiri tanpa perlu tunjuk ajar daripada ibu bapa? Ya, dia bapa dan dia tidak akan sesekali membenarkan Amalin memandu tanpa lesen, dan juga berpakaian seksi yang keterlaluan. Apatah lagi keluar selewat ini untuk bermain skuasy semata. Waktu siang kan panjang, kenapa perlu datang waktu malam? Kalau kerja, datang saja pada hujung minggu. Jangan dibanding dengan dirinya yang sedang bercelaru dan patah hati. Jika tidak kerana gambar-gambar Sharmin tadi, tentu sekarang dia berada di rumah, menemani Amalin mengulangkaji pelajaran atau menyiapkan kerja sekolah.
Mengingati Amalin, Tengku Aidan segera berkemas untuk pulang setelah menghubungi pemandunya untuk datang menjemput. Saat dia melangkah keluar, dia melihat gelanggang sebelah juga sudah kosong dan gadis tadi bersama rakannya sedang menuju ke tempat letak kereta. Namun sesaat kemudian, dunianya tiba-tiba gelap sebelum dia rebah dan tidak sedarkan diri.
Ayumi dan Safwa sontak menoleh apabila mendengar bunyi sesuatu jatuh di belakang mereka. Buntang mata mereka melihat seorang lelaki terbaring di tengah-tengah laluan kereta di tempat parkir itu.
“Eh, Safwa orang pengsan!” jerit Ayumi panik. Apatah lagi melihat hanya mereka bertiga di situ tanpa ada orang lain yang boleh mereka minta pertolongan.
“Encik!” Beg raket yang tersandang di bahu segera dia letak ke tepi sebelum berlari ke arah lelaki itu.
“Encik…Encik…” Pipi lelaki itu ditepuk-tepuk lembut untuk menyedarkannya, namun gagal.
“Aduh...ni bukan lelaki tadi ke?” Ayumi menggumam panik. Telinga dia tekapkan ke dada lelaki itu. Tidak ada denyutan jantung. Menegakkan semula tubuhnya, telunjuknya pula didekatkan ke hidung lelaki itu. Tidak terasa hembusan nafas.
“Cardiac arrest ke?” Ayumi mengagak. Dia tidak ada latar belakang dalam bidang perubatan, namun pembacaan yang meluas membuat dia tahu sedikit sebanyak tentang serangan jantung mengejut itu.
Berbekalkan sedikit ilmu pertolongan cemas yang dipelajari kerana polisi hotel yang mewajibkannya, Ayumi melutut di sisi rusuk lelaki itu. Tapak tangan yang ditindan dengan jari berselang antara satu sama lain dia letak di tengah-tengah dada lelaki itu. Dengan menggunakan kekuatan berat badannya, dia menekan dada lelaki itu dengan cepat dan sekuat-kuatnya.
Safwa pula menghubungi talian pertolongan cemas sebelum bergilir dengan Ayumi memberi bantuan CPR kepada lelaki itu.
“Yumi, kau buatlah rescue breathing. Handsome gila ni dowh. Kalau dia mati, melepas peluang,” ujar Safwa sambil terus menekan dada lelaki itu dengan gerakan cepat.
“Hish…tu medical expert je boleh buat,” balas Ayumi. Mencungap dia walaupun baru seminit dia membuat tekanan dada ke atas lelaki itu sebelum diambil alih oleh Safwa pula.
“Ya ke?”
“Yalah!”
Selepas seminit, Ayumi pula mengambil giliran daripada Safwa.
“Ini silap hari bulan, dia hidup. Kita pulak yang mati mencungap,” ujar Safwa.
“Kan…Dah tahu sakit jantung, yang datang main skuasy malam-malam ni apa jadahnya?” balas Ayumi. Terputus-putus suara dia berbicara saking semput.
AMBULANS sampai 20 minit kemudian ketika Ayumi sudah hampir kehabisan tenaga. Turun naik nafasnya ketika melihat lelaki itu di bawa masuk ke dalam ambulans. Kebas seluruh tubuh sehingga mahu memandu pulang saja rasanya tak mampu.
“Nasib baiklah dia handsome. Berbaloi jugak penat lelah kita ni,” ujar Safwa dan dibalas dengan anggukan juga oleh Ayumi. Dengan langkah gontai, mereka kembali ke kereta. Letihnya seperti baru lepas berlari marathon 10km.
Namun langkah Ayumi terhenti apabila kakinya tiba-tiba terpijak sesuatu. Angkat sedikit kakinya, dia membongkok lalu mengambil pemacu pena itu.
“Kenapa Yumi?” Safwa yang sudah sampai ke kereta, kembali mendekati Ayumi.
“Pendrive.” Ayumi menunjukkan pemacu pena itu kepada Safwa.
“Lelaki tadi punya tak?”
“Agaknyalah. Aku pergi management office kejap,” ujar Ayumi, berniat menyerahkan pemacu pena itu ke pejabat pengurusan supaya lelaki tadi boleh menuntutnya di sana.
“Dah tutuplah Yumi. Pukul sebelas lebih dah ni.”
“A’ah ek. Habis tu macam mana?”
“Bagi esok jelah. Tak pun kau hantar sendiri kat dia. Hospital Takwa tadi kan?”
“Aku hantar ke sini jelah esok.” Ayumi membuat keputusan setelah berfikir sejenak.
“Suka hatilah. Jom, balik. Penat gila dah ni,” ujar Safwa sambil melangkah mendahului Ayumi menuju ke kereta.
TENGKU AIDAN membuka matanya perlahan. Beberapa kali dia mengerjap, menyesuaikan jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata. Suara Sharmin yang memanggil-manggilnya diabaikan seketika.
“Sayang…”
Dia terus membatu, kaku menatap siling tanpa menjawab panggilan Sharmin. Bukan dia bingung. Tidak. Cuma dia tidak mahu menatap wajah isterinya itu.
“Sayang…” Sharmin menggenggam tangan suaminya itu lalu mengusapnya lembut.
“Dah lama you sampai?” tanya Tengku Aidan tanpa memandang isterinya.
“Lepas hospital call, I terus datang. Dah lebih 12 jam you tidur sayang. I takut sangat.”
Mendengar suara lembut dan manja isterinya itu, Tengku Aidan menoleh. Senyum dia hadiahkan untuk isteri cantiknya itu. “Kalau macam tu, you baliklah rehat. Mesti you penat jaga dan risaukan I.”
“Kenapa cakap macam tu sayang?”
“I tak nak you penat. Baliklah rehat. Tengokkan Elin jugak. Mesti dia pun risau.”
“You macam mana? Ada nak makan apa-apa tak? I boleh suruh maid masakkan.”
Tengku Aidan geleng. “I belum ada selera nak makan.”
“Kalau macam tu I balik dulu. Nanti petang sikit, I datang lagi.”
“Okey.”
Sharmin bangun sebelum membongkok sedikit, menghadiahkan ciuman pada pipi suaminya.
“Take care,” ujarnya sambil tersenyum.
Tengku Aidan hanya mengangguk sebelum menyapu bekas ciuman Sharmin di pipinya dengan selimut setelah isterinya itu keluar. Tidak sudi dia menerima ciuman itu lagi mengingat bibir itu mungkin pernah mencium lelaki lain. Ya, tidak mustahil jika mengingat beberapa gambar Sharmin yang keluar masuk hotel bersama seorang lelaki yang belum dia kenal pasti identitinya.
Mengangkat tubuhnya dari katil, dia menyelongkar laci meja bersebelahan katil untuk mencari telefonnya. Bukan telefon itu saja, tetapi pemacu pena tempat dia menyimpan bukti perselingkuhan Sharmin. Seingatnya dia menyimpannya di dalam beg galasnya. Melilau ke sekeliling ruang dalam bilik itu, akhirnya dia melihat begnya ada di sofa. Segera dia turun dari katil lalu menyelongkar beg itu. Namun pemacu pena itu tidak ada. Apa Sharmin sudah menemuinya? Atau tercicir di pusat skuasy semalam?
Segera dia menghubungi Hisyam dan meminta pembantunya itu bertanya ke pusat skuasy andai pemacu pena itu tercicir di sana. Bukti itu dia perlukan supaya apabila berlaku perceraian kelak, Amalin akan kekal bersamanya. Dia tidak mahu Amalin tinggal bersama bapa tiri andai Sharmin berkahwin dengan lelaki itu kelak. Itupun kalau berkahwin. Kalau tidak? Amalin akan tinggal bersama ibu yang berzina? Tidak akan sekali-kali dia membiarkan Amalin dirosakkan fikiran dan akhlaknya oleh kelakuan Sharmin.
“ADA pendrive tu?” tanya Tengku Aidan tidak sabar sebaik sahaja Hisyam sampai selepas pembantunya itu dia suruh ke pusat skuasy bertanya tentang pemacu penanya.
Hisyam tidak menjawab, sebaliknya dia mengeluarkan telefon, menggeser skrin sebelum menunjukkannya kepada Tengku Aidan.
“I mintak rakaman CCTV dekat parking lot semalam and…nampak perempuan yang ambik dua petak parking semalam dengan kawan dia, selamatkan tengku. Yang tengku kata biadap tu.” Lain yang diminta Tengku Aidan, lain pula yang diberinya.
Terjongket kening Tengku Aidan mendengarnya sebelum telefon Hisyam beralih ke tangannya. Walaupun video hitam putih, nampak jelas kesungguhan dua orang itu membuat chest compression terhadapnya sehingga ambulans tiba.
“Pen drive tu pun girl tu yang ambik sebab mungkin tercicir masa tengku jatuh pengsan. And kalau tengok dalam video tu, gestur tubuh dia masa mula-mula dia jumpa pendrive tu macam dia nak serahkan ke management office tapi sebab dah pukul 11 lebih, office pun dah tutup. So, mungkin dia simpan dulu. Malam ni I akan pergi tanya lagi kalau-kalau dia dah pulangkan ke sana.”
Tengku Aidan mengangguk-angguk. Selagi bukan Sharmin yang menemui pemacu pena itu, dia tidak perlu risau.
“Walaupun dia biadap, tapi masih ada peri kemanusiaan,” ujar Hisyam dengan nada memerli.
Tiada jawapan daripada Tengku Aidan, namun tidak dinafikan tanggapan buruknya terhadap gadis semalam sedikit terhakis.
MALAMNYA, Hisyam sekali lagi menyambangi Tengku Aidan di hospital.
“Macam mana? Ada pendrive tu?” tanya Tengku Aidan.
Hisyam menggeleng.
“What? Kenapa tak ada? Girl tu tak pulangkan balik?”
“Tak ada.”
Tengku Aidan berdecit. Kenapa gadis itu tidak memulangkan pemacu penanya? Apa yang mahu dibuatnya dengan benda yang tidak penting itu? Zaman sekarang pemacu pena itu boleh didapati dengan harga yang murah.
“Siasat siapa budak tu. I’ll go and find her.”
“Dah. I dah tanya management. She’s the member of the club.”
Tiada balasan, hanya tatapan dan riak wajah Tengku Aidan saja yang menunjukkan dia ingin tahu.
“Maiya Ayumi binti Datuk Nazarul.”
Seiring dengan nama yang lolos dari bibir Hisyam, mata Tengku Aidan turut membuntang sempurna.
Assalamualaikum dan hai semua. terima kasih byk2 pada yang dah baca Time's up Ayumi sehingga bab 3. bab seterusnya akan dikunci dan perlu guna coins utk baca setiap bab. sudi-sudikan follow Ayumi ya. terima kasih semua. muah ciked.
Share this novel
heroin
wowwww hero dan herpin, beza umur berapa?????