TENGKU AIDAN menatap wajah sugul gadis kecil di depannya. Maiya Ayumi namanya. Unik. Persis nama gadis Jepun. Dia faham apa yang bermain di fikiran Ayumi, namun dia yakin apa yang dia lakukan saat ini adalah demi kebaikan gadis itu.
"Yumi cuma perlu jawab soalan saya berdasarkan apa yang kita bincangkan semalam."
Tiada jawapan daripada Ayumi. Hanya menatap kosong wajah peguam ayahnya itu.
"Boleh?" Peguam itu bertanya meminta kepastian. Wajah terlihat, namun dalam hati dia bimbang jika Ayumi tersasar jawapan apabila disoal di kandang saksi kelak.
"How much did my father pay you to ask me to lie in court?"
Terkedu Tengku Aidan apabila disoal begitu oleh seorang kanak-kanak berusia 12 tahun. Sejenak dia kelu, tidak tahu jawapan apa yang harus diberi.
"Mahal tak?" Lagi-lagi Ayumi bertanya yang membuat Tengku Aidan menelan ludah berkali-kali. Melihat tatapan mata bundar Ayumi yang polos, dia yakin itu benar-benar pertanyaan dan bukan sindiran.
"Did my mom also pay the same price for her lawyer?" Tidak nampak tanda-tanda Tengku Aidan akan menjawab pertanyaannya, Ayumi melontarkan soalan lain pula.
"I'm not sure."
"How long will it takes?"
"What? This trial?"
Ayumi mengangguk.
"Bergantung kepada mahkamah. Hari ni keterangan saksi sebelah papa. Next trial keterangan saksi sebelah mama pulak. And lepas tu mahkamah perlukan masa untuk buat keputusan." Aidan menerangkan.
Ayumi diam. Wajah tunduk menekur lantai. Lama suasana di dalam ruang menunggu itu sepi.
"Setiap kali datang sini, mama kena bayar lawyer?" Ayumi masih cuba mendapatkan jawapan yuran guaman yang perlu dibayar ibunya untuk perbicaraan ini. Perbicaraan yang akan menentukan sama ada dia perlu tinggal bersama mama atau papa.
"Lebih kurang macam tu. Tapi tak semestinya, bergantung pada budi bicara peguam." Tengku Aidan menjelaskan serba ringkas. Dengan usia yang masih terlalu mentah, dia tidak sangka Ayumi akan bertanya soalan seperti itu.
"I hate you as much I hate my father."
Terus terkedu Tengku Aidan tanpa kata. Nyaris tertelan halkum sendiri.
"AYUMI, boleh beritahu mahkamah tentang apa yang berlaku pada 10 Mei 2006, pukul tiga petang?" Tengku Aidan menyoal sambil memandang tepat Ayumi yang nampak murung sejak tadi.
Sejenak anak kecil mengangkat muka lalu pandangan segera dihalakan kepada mamanya. Lama dia berbalas tatap dengan mamanya itu dengan mata berkaca.
"Mama lupa ambik Yumi dekat sekolah sampai Yumi tertidur dekat pondok jaga." Dia berbohong. Mamanya bukan terlupa, tetapi terlewat sedikit kerana masalah yang berlaku di tempat kerja. dan mamanya sudah memohon maaf berkali-kali.
"Yumi tak nak duduk dengan mama. Mama selalu lambat ambik Yumi dekat sekolah. Kadang-kadang mama hantar dan ambik Yumi jalan kaki. Yumi penat. Yumi tak nak duduk dengan mama. Yumi nak duduk dengan papa." Bergema tangisan Ayumi di dalam kamar mahkamah dengan mata tidak lepas daripada memandang mamanya, Rozana.
"Yumi mintak maaf. Yumi sayang mama tapi Yumi tak nak hidup susah." Terbata-bata suara Ayumi dengan tangis teresak-esak.
Tengku Aidan pula tergamam. Bukan ini keterangan yang seharusnya diberi Ayumi. Benar, Ayumi memberi keterangan yang mungkin akan memberi kemenangan langsung kepada papanya. Tetapi melihat tangisan Ayumi, dia yakin kehendak hatinya tidak selari dengan apa yang terluah di bibir.
"Yumi mintak maaf, mama...."
Sejenak mahkamah menjadi hening. Hanya sedu-sedan Ayumi bergema, berselang-seli dengan tangisan Rozana.
"Terima kasih, Aidan." Nazarul menjabat tangan Aidan.
"Sama-sama." Aidan melirik gadis kecil yang masih teresak di sisi Nazarul. Bertinggung, dia menatap lekat wajah Ayumi.
"You will be happy with your papa. And Yumi masih boleh jumpa mama," ujarnya.
"I hate you with all my heart."
Aidan berdeham sekali. Pertama kali dalam hidupnya dia dibenci dengan begitu dalam oleh seseorang. Kanak-kanak berusia 12 tahun pula. Kata orang, apa yang keluar dari mulut kanak-kanak itu benar belaka.
"It's okay. Years from now, when your life is getting better, you will thank me." Aidan tersenyum. Dia yakin hidup Ayumi akan lebih baik bersama papanya. Kehidupan yang sempurna, rumah yang lengkap dan selesa, dan duit yang tidak akan pernah kurang tentunya.
Tiada jawapan daripada Ayumi. Terus berlalu sambil dipimpin oleh papanya keluar dari kamar mahkamah. Ketika Aidan juga mahu menapak keluar, matanya menancap pada sekeping kertas di atas meja. Melihat kepada tulisannya, dia yakin itu milik Ayumi.
-That moment when you can actually feel the pain in your chest from seeing or hearing something that breaks your heart. I'm sorry mama. I love you so much.-
Kertas itu dilipat lalu disimpan di dalam saku seluarnya sebelum dia melangkah keluar. Lagi-lagi langkahnya terhenti di depan kamar mahkamah saat melihat babak yang sedang berlangsung di depannya.
“Mama!” Ayumi melepaskan tangan papanya lalu berlari mendapatkan Rozana.
Rozana membongkok lalu mendepangkan tangan, sebelum Ayumi menghambur ke dalam pelukannya.
“Yumi mintak maaf, mama. Yumi sayang mama. Yumi takut duit mama habis. Mama jangan marah Yumi.” Terbata-bata suara Ayumi diselangi tangis dan sedu-sedannya.
“Yumi sayang mama. Yumi tak nak tinggalkan mama. Tapi Yumi kesian kat mana…” Lagi-lagi Ayumi meraung di dalam pelukan mamanya.
“Tak apa sayang. Mama faham…” Rozana memujuk sambil mengusap lembut belakang anaknya. Menderu air matanya mendengar tangisan Ayumi.
“Yumi janji nanti Yumi datang jumpa mama,” ujar Ayumi lagi dengan teresak-esak.
“Okey sayang. Mama tunggu…” Rozana meleraikan pelukannya. Air mata Ayumi dia seka dengan ibu jarinya sebelum wajah anaknya itu dia tatap penuh kasih. Sedih mengenangkan selepas ini dia hanya dapat bertemu Ayumi beberapa kali saja seminggu. Namun apa dayanya untuk menolak takdir yang tidak memihak. Mahkamah sudah pun membuat keputusan dan dia harus patuh.
“Yumi jaga diri baik-baik ya. Duduk rumah papa jangan nakal-nakal. Jangan lawan mommy dan kena hormat mommy macam Yumi hormat mama.” Sebak suaranya menitip pesan.
“Belajar rajin-rajin tau. Jangan lupa sebelum tidur, cek homework, kemas buku sekolah. Ya?”
Ayumi mengangguk laju dengan air mata berjejeran di pipi. “Mama pun jaga diri baik-baik. Mama tak boleh sakit sebab tak ada siapa jaga mama.”
Semakin deras air mata Rozana mendengar pesanan Ayumi itu. Pantas tubuh Ayumi dia tarik ke dalam pelukannya. Tangis mereka menyatu.
“Yumi, come.” Nazarul yang sudah jelak menunggu, memanggil anaknya itu.
“Mama, Yumi pergi dulu. Mama jangan nangis. Nanti Yumi balik rumah mama,” ujar Ayumi setelah meleraikan pelukannya.
Rozana mengangguk lantas memaksakan sebuah senyuman. “Nanti mama masak sedap-sedap ya.”
“Ayam tomato.”
“Okey, ayam tomato.”
“Janji?”
“Janji.”
Ayumi mundur selangkah. Berat mahu meninggalkan mamanya, namun dia tahu dia harus pergi.
“Ayumi!”
Suara Nazarul membuat Ayumi segera memutar tubuh lari berlari ke arah papanya itu. Namun, sesaat kemudian dia terhenti sebelum dia kembali menoleh ke arah mama yang masih memandangnya. Lama mereka bertatapan sebelum Ayumi berpatah balik lalu berlari dan menghambur ke dalam pelukan mamanya sekali lagi.
“Ayumi mintak maaf…”
“Tak apa, sayang. Mama tak marah. Ayumi pergi ikut papa ya?” Rozana memujuk. Saat itu juga dia melihat Nazarul menghampiri mereka.
Tanpa memujuk atau berkata apa-apa, dia menarik tangan Ayumi supaya melepaskan Rozana. Tidak dihiraukan tangisan dan raungan anaknya itu.
“Nanti-nanti boleh jumpa mama lagi,” ujarnya sambil terus cuba menarik tangan Ayumi yang masih berdegil.
“Mama…I love you,” ujar Ayumi lalu menghadiahkan ciuman pada pipi mamanya.
Rozana mahu membalas ciuman itu, namun Nazarul pantas menarik tangan Ayumi supaya menjauhinya. Satu tangan Ayumi yang masih terbebas, pantas berpaut pada lengan Rozana. Cepat-cepat Rozana menangkup wajah Ayumi lalu menghadiahkan ciuman bertubi-tubi pada kedua-dua pipi anaknya itu. Laju dan gopoh dia melakukannya sebelum Ayumi dibawa pergi oleh bekas suaminya.
Tengku Aidan yang masih membatu di tempatnya, hanya memerhatikan adegan itu dengan perasaan bercampur-baur. Terbit sedikit bersalah saat melihat Rozana jatuh terduduk melihat Ayumi dibawa pergi oleh Nazarul.
TENGKU AIDAN menyandarkan tubuh pada kerusi di dalam bilik kerjanya sambil menatap catatan Ayumi siang tadi.
-That moment when you can actually feel the pain in your chest from seeing or hearing something that breaks your heart. I'm sorry mama. I love you so much.-
Berdosakah dia kerana telah menghalalkan sebuah penipuan atas alasan kebaikan? Berdosakah dia kerana telah merampas hak seorang ibu yang hanya punya anaknya sebagai sumber kekuatan? Berdosakah dia kerana telah menghancurkan perasaan seorang kanak-kanak yang hanya punya kemahuan sederhana, iaitu bersama ibunya sehingga maut memisahkan mereka?
Tetapi jika dia tidak melakukannya, masa depan Ayumi akan lebih kelam. Dari segi kewangan, Nazarul lebih layak untuk menjaga Ayumi. Nazarul mampu menyediakan segala keperluan Ayumi lebih daripada apa yang diperlukan. Sedangkan bersama Rozana, Ayumi akan hidup serba kepayahan. Ke sekolah dengan menaiki bas, pulang pula kadang-kadang berjalan kaki. Kawasan kediaman juga sesak dan tidak sesuai untuk didiami kanak-kanak.
Jadi, salahkah jika dia melakukan apa yang dia fikirkan terbaik untuk anak kliennya? Bukan dia tidak kasihan, bukan juga dia tidak punya pertimbangan, tetapi rasional perlu diletakkan pada tahap yang lebih tinggi berbanding emosi jika melibatkan perkara seperti ini.
Ketukan pada pintu biliknya, membuat lamunannya tentang Ayumi langsung sirna. Pantas dia menegakkan tubuh saat daun pintu ditolak. Terjengul wajah Sharmin, isterinya dengan senyum manis.
“Tak tidur lagi?”
“Kejap lagi, I ada kerja sikit.”
“Okey. I tidur dulu ya? Good night.”
“Good night.”
Setelah pintu ditutup semula, dia menyimpan nota Ayumi di dalam laci sebelum meneruskan pekerjaannya yang tertangguh akibat lamunan singkat tadi.
TENGKU AIDAN sedikit tergamam melihat susuk wanita yang sedang berdiri di depannya saat ini. Wajah sugul, pucat, dan nampak rapuh sekali.
"Puan Rozana...duduklah." Dengan gestur tangan, dia mempelawa wanita itu duduk.
Wanita itu akur. "Maaf kalau saya mengganggu."
"Oh...tak. Ada apa puan datang jumpa saya?" tanyanya. Sudah lebih enam bulan berlalu sejak kes hak penjagaan Maiya Ayumi selesai, namun dia masih ingat wajah wanita ini.
"Tengku...ada dengar apa-apa berita tentang Ayumi?"
Berubah roman wajah Tengku Aidan dengan pertanyaan itu.
"Maksud puan?" Seingatnya hak penjagaan Ayumi diberi kepada Nazarul dengan kebenaran bermalam bersama Rozana pada hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad.
"Saya dah beberapa minggu tak dapat jumpa Ayumi. Pergi sekolah dia, cikgu dia bagitahu dia dah pindah. Tapi tak ada sesiapa bagitahu saya dia pindah ke mana."
Terdiam Tengku Aidan tanpa kata. Apa Nazarul melarikan atau menjauhkan Ayumi daripada Rozana?
"Saya dah tak tahu nak tanya siapa. Sebab tu saya datang sini."
"Saya...minta maaf, tapi saya tak tahu, puan. Lepas perbicaraan selesai, saya dah tak berhubung dengan Encik Nazarul."
Jelas tergambar kekecewaan pada wajah Rozana mendengar jawapan Tengku Aidan. Cecair bening yang bergenang di pelupuk mata perlahan mengalir, namun cepat-cepat diseka dengan jemarinya.
"Kalau macam tu, terima kasih." Rozana bangun lalu melangkah keluar dari bilik itu.
Tengku Aidan pula masih tergamam di tempat duduknya. Kes Ayumi sudah selesai lebih enam bulan lalu, namun entah mengapa ia masih berlegar-legar seputar kehidupannya. Apatah lagi, nota yang ditinggalkan Ayumi di mahkamah, masih disimpan dan menjadi tatapannya saban malam.
Catatan itu, serta kata-kata benci dari Ayumi bagai menjadi cacing telinga dan sering menyita perhatian serta fokusnya.
Entah atas dorongan atau desakan apa, Tengku Aidan bangun lalu berlari keluar. Berniat mahu mengejar Rozana.
Sesampai di luar bangunan pejabatnya, dia melihat tubuh kurus Rozana berjalan dengan langkah gontai menuju ke arah jalan raya. Meskipun dari belakang, nampak jelas wanita itu seperti berada di awang-awangan. Langkah demi langkah diatur menyeberangi jalan raya tanpa sedar sebuah kereta meluncur laju.
Bunyi hon yang panjang membuat Tengku Aidan berlari ke arah Rozana sambil menjerit namanya, namun dia terlambat.
Dentuman kuat, serta percikan darah yang menyimbah ke bajunya membuat dia tergamam.
Apatah lagi melihat sekujur tubuh sudah terbaring di jalan raya dengan mata separuh terbuka.
"Puan..." Saat kesedarannya kembali, dia segera menerpa ke arah Rozana.
"Yu...mi. Yu...mi..."
Rintihan Rozana yang memanggil nama Ayumi lagi-lagi membuat Tengku Aidan kaku dan kelu.
Tuhan, apa yang sudah dia lakukan?
Share this novel
test_account
saya setuju