BAB 2

Romance Completed 452204

AYUMI berpusing sekali di depan cermin, memerhatikan penampilannya dari atas ke bawah. Tidak cukup dengan cermin di dalam bilik, cermin di ruang tamu pula menjadi sasaran.

Kata Safwa, setiap cermin memberikan imej yang berbeza. Ada cermin yang buat kita nampak cantik, ada cermin yang terlalu jujur dalam menjalankan tugas.

Ayumi membetulkan dress separas lutut yang membalut tubuhnya sebelum berpusing sekali lagi. Sekadar memberi kepuasan kepada diri sendiri, melihat betapa cantiknya dia di dalam dress itu. Kemudian rambutnya yang separas bahu dan dibiar lepas itu disisir dengan jemarinya.

“Pusing depan cermin sampai 14 kali pun kalau dah hodoh tu hodoh jugak.” Safwa yang sedang berbaring di sofa dengan bekas kerepek di atas perut, tiba-tiba bersuara. Sempat pula dia memerhati sedangkan matanya fokus ke TV.

“Samalah macam kau. Kahwin dengan Zairil pun, kalau anak ikut genetik kau, pesek jugak hidung.” Ayumi membalas tak kalah sengit.

“Betullah orang kata, kalau dah muka hodoh, mulut pun macam musibat.” Safwa tak mahu kalah.

“Biar mulut macam musibat, janji hidung mancung elok terletak.”

“Kalau dah nama hidung, tak kira mancung ke pesek, semua elok terletak. Takde yang tergantung,” balas Safwa, membuat dia dan Ayumi sama-sama berdekah.

“Eh, dahlah kau. Rosak mekap aku.” Ayumi menepuk-nepuk pipinya yang tegang saking kuatnya ketawa.

“Aku pergi dulu.” Ayumi menyarungkan sandal tinggi jenis open toe warna senada dengan baju lalu melangkah keluar. Terhenti langkahnya saat melihat sebuah kereta hitam sudah terparkir gagah di luar pagar. Seorang lelaki yang dia percaya pemandu papanya berdiri di sana dengan pintu tempat duduk belakang sudah siap dibuka.

“Cik Ayumi…”

Ayumi tidak bersuara. Wajah berkerut penuh tanda tanya dan tangannya didepangkan sedikit sebagai isyarat bertanya ada apa.

“Datuk mintak saya jemput Cik Ayumi.” Terbata-bata suara pemandu itu melihat kerut masam di wajah Ayumi.

“Oh…” Ayumi membuka pintu pagar lalu menapak beberapa langkah mendekati kereta yang dihantar papanya.

Lelaki itu pula dengan gestur tangan, mempersilakan Ayumi masuk. Namun sebaliknya yang berlaku apabila Ayumi tiba-tiba menutup pintu yang sudah terbuka lebar itu. Lelaki itu terlonjak kaget.

“I will drive my own car,” ujarnya.

“Tapi datuk kata, jangan izinkan cik drive. Saya kena jemput cik bawa ke villa.”

Ayumi memutar bola matanya. Jengkel apabila ada yang berani membantah keinginannya. Malas bercakap banyak, dia kembali ke porch lalu masuk ke keretanya. Beberapa saat dia tidak melakukan apa-apa. Hanya memerhatikan pemandu papanya itu melalui cermin pandang belakang jika ada tanda-tanda hendak berganjak. Namun tidak ada.

Panas dengan kedegilan lelaki itu, Ayumi menghidupkan enjin. Pedal minyak ditekan maksimum sehingga bunyi kereta itu mengaum memecah kesunyian taman. Berkali-kali, namun pemandu papanya itu tetap tidak berganjak.

“Degilnya kau!” Dengan perasaan geram yang membuat darahnya menyeruak naik ke kepala, dia menarik gear lalu memijak pedal minyak membuat kereta itu mengundur laju. Jelas dia mendengar jeritan lelaki itu walaupun cermin kereta tertutup rapat.

Skreet! Dia membrek ketika bumper belakang keretanya hanya berjarak beberapa sentimeter sahaja dengan tubuh pemandu itu yang bersandar rapat ke kereta papanya.

Menggigil tubuh lelaki itu dengan kegilaan Ayumi. Jadi sebab inilah semua pemandu menolak untuk menjemput Ayumi. Dia yang baru bekerja beberapa hari diumpan dengan wajah cantik Ayumi yang gambarnya terpajang di ruang utama rumah Datuk Nazarul.

Tidak peduli dengan pemandu itu yang masih nampak seperti sedang mengumpul nyawa yang bekecai, Ayumi menurunkan cermin kereta lalu mengibaskan tangannya, memberi isyarat supaya lelaki itu segera beredar.

Cepat-cepat lelaki itu bergerak ke bahagian pemandu lalu mengalihkan kereta sebelum dia melihat kereta Ayumi mengundur laju meninggalkan rumah.

SUBARU BRZ putih itu meluncur laju di atas jalan raya, memotong dan mencelah seolah-olah tidak peduli dengan undang-undang malah keselamatan dirinya dan orang lain. Ditekan pedal minyak sehabis rapat dengan tangan menggenggam erat stereng, sementara mata menatap datar jalan di depannya.

20 minit kemudian, dia sampai di kediaman mewah papanya. Terang-benderang lampu menyinari laman, menunjukkan pesta sedang berlangsung. Pesta hari lahir adik perempuannya. Anak papanya dengan isteri kedua.

Memarkir kereta di depan pagar utama, Ayumi capai kotak hadiah di tempat duduk belakang sebelum keluar.

“Cik Ayumi…”

Suara pengawal keselamatan yang memanggil namanya membuat Ayumi menoleh. Tidak bersuara, hanya angkat sedikit dagunya bertanya ada apa.

“Cik tak boleh parking kat sini.”

“Siapa kata?”

“Erk…” Pengawal itu menggaru-garu belakang kepala. Selalu dia ngeri berdepan dengan anak sulung majikannya ini. “…sebab nanti Cik halang laluan.”

“Oh ya ke?”

Pengawal itu mengangguk.

“Habis tu kau nak aku buat apa?”

“Erk…Erm…Boleh tak cik alihkan kereta?”

“Tak boleh.” Tanpa mempedulikan pengawal yang masih nampak serba-salah dan terkial-kial itu, Ayumi berlalu menuju ke halaman tepi, tempat parti berlangsung.

“Kak Yumi!” Amanda, adiknya menjerit teruja sambil melambai-lambai.

“Lambai…lambai…Gedik macam kucing nak mengawan,” gerutu Ayumi sebal, namun bibirnya tetap mengukir senyum.

“Kak Yumi…” Amanda sudah berlari ke arahnya, menyauk lengan lalu menariknya ke meja utama tempat semua tetamu sudah berkumpul untuk menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir.

Ceria wajah Amanda ketika semua tetamu menyanyikan lagu itu untuknya. Ayumi pula senyum seadanya, sekadar tidak mahu kelihatan jelik sehingga melayakkan dia menjadi maskot persatuan perlindungan haiwan hodoh.

Tepukan mengiringi Amanda saat meniup lilin hari lahirnya. 15 tahun usianya. Sama dengan tempoh dia lalui tanpa mama.

“This is from me.” Ayumi menghulurkan hadiah yang dibelinya kepada Amanda.

Kembang senyum Amanda menerima hadiah itu.
“Terima kasih, kak.” Berjengket sedikit mahu mencium pipi kakaknya itu tanda terima kasih, namun Ayumi mengundurkan wajahnya.

“Don’t kiss me. I don’t like it.” Tanpa berselindung, Ayumi memberitahu membuat Amanda mengerucutkan bibirnya.

Suhara yang melihat itu hanya tersenyum canggung. Sudah 15 tahun, namun Ayumi tetap seperti itu. Dingin dan membentang seluas-luas jarak dengan dia dan Amanda. Ah, dengan papanya juga.

“Amanda…cepat potong kek,” ujar Nazarul apabila melihat situasi kekok itu.

Ayumi pula menyisih sedikit, menjauhi kerumunan tetamu itu. Rimas dengan jeritan teruja rakan-rakan Amanda. Mengambil jus yang ditatang oleh pelayan saat berpapasan, dia melabuhkan duduk di kerusi yang mengadap ke kolam renang. Mahu makan, perutnya masih kenyang selepas dipaksa Safwa menghabiskan mihun goreng yang dimasaknya pagi tadi.

“Kak Yumi!”

Terjongket bahu Ayumi disergah suara itu. Sontak dia menoleh ke samping kiri sebelum dia mendengus sebal apabila melihat Amanda dengan seringai nakalnya. Budak ni lagi! Engkau dengan mak engkau sama je kan? Suka nak mengganggu ketenteraman hidup aku. Pergi kau sana! Namun itu hanya bergaung dalam hatinya saja.

“Kenalkan ni kawan Yumi kat kelas piano. Tengku Amalin. Dia ambik IGCSE tau tahun ni.” Amanda memperkenalkan kawan baiknya kepada Ayumi.

“Hai, Kak Yumi.” Tengku Amalin menyapa ramah.

“Hai.” Ayumi membalas seadanya.

Tanpa menunggu Ayumi mempelawa, Amanda menarik kerusi lalu melabuhkan duduk bersama kakaknya itu. Malah, Tengku Amalin juga diajak duduk bersama.

“Elin anak tunggal. Dia selalu bagitahu Manda, bestnya ada kakak. So Elin, kau boleh anggap Kak Yumi sebagai kakak kau jugak. Aku tak kisah share kakak.”

Hek! Nyaris bersimpul lidah Ayumi mendengar penuturan Amanda. Ah yalah, samalah macam mak kau. Tak kisah kongsi. Lepas tu dia bolot sorang. Dasar sus scrofa domesticus. Pandai-pandai suruh aku jadi kakak orang. Jadi kakak kau pun aku tak sudi tau. Lagi-lagi Ayumi hanya memprotes dalam hati.

“Kak Yumi kerja apa?” tanya Tengku Amalin.

Ayumi baru membuka mulut dengan nafas ditarik seharakat untuk menjawab pertanyaan Amalin, namun Amanda lebih dulu bersuara.

“Floral Designer. And she’s a very talented pianist. Pernah buat konsert orchestra dekat Japan.” Amanda bercerita dengan nada bangga.

Ayumi akhirnya hanya menguntum senyum, sambil mengangguk mengiakan jawapan Amanda.

“Floral designer?” Amalin nampak tertarik.

“Yup.”

“Sounds fun.”

“When we’re doing what we love, we will having fun,” balas Ayumi.

Amalin mengangguk setuju. “Right.”

Perbualan selepas itu hanya antara Amalin dan Amanda. Ayumi pula tidak begitu menanggapi kecuali jika ditanya. Malah, ketika Amanda berlalu melayan teman-temannya yang lain meninggalkan dia dan Amalin, hanya Amalin yang berusaha memancing perbualan. Sedangkan dia tetap dengan wajah kelatnya. Dia tidak suka bermesra atau membina hubungan dengan sesiapa. Cukup Safwa seorang yang dia rasa sehati, sejiwa, dan sekepala dengannya.

Menjelang pukul 10 malam, Ayumi beransur pulang tanpa memberitahu papanya. Cukuplah tadi dia sudah menunjukkan muka, jadi papanya tahu dia sudah datang.

“Yumi…”

Ah, baru saja melangkah beberapa tapak, telinganya disapa oleh suara sang papa. Apa, orang tua itu selalu memerhatikan gerak gerinya?

Dia menoleh, namun tiada riak bermakna yang dia paparkan. Hanya menunggu apa yang mahu ditanya atau diperkatakan.

“Dah nak balik?” tanya Nazarul.

“Erm…”

“Tidur sini je. Esok kan Ahad.”

“Dah janji dengan Safwa nak balik,” jawab Ayumi.

“Kenapa tak ajak Safwa sekali tadi?”

“Dia malas.” Ayumi tidak berbohong. Ada dia mengajak Safwa, namun sahabatnya itu enggan. Katanya tidak pandai hendak bercampur dengan orang kaya.

“Dah lama Yumi tak bermalam kat sini.”

“Tak selesa.”

Nazarul diam. Lama dia menatap wajah datar Ayumi, sebelum keluhan dia lepaskan. Ingin dia memujuk lagi supaya Ayumi bermalam di rumahnya saja, namun dia tidak mahu terlalu memaksa.

“Yalah. Papa suruh driver siapkan kereta.”

“Tak apa. I drive sendiri.” Ayumi menayang kunci keretanya, membuat Nazarul melotot.

“Yumi…”

“I balik dulu.” Tidak peduli dengan wajah terkejut papanya, Ayumi memutar tubuh lalu menuju ke kereta.

“Yumi!” Nazarul mengejar langkah anaknya.

Ayumi berdecit, namun mendengar derap langkah papanya di belakang, dia menoleh juga.

“Kenapa drive? Tadi bukan papa hantar driver?”

Ayumi malas menjawab. Tidak ada apa yang perlu dijawab juga.

“Kan bahaya drive tak ada lesen?” Sedikit meninggi suara Nazarul.

“Ada lesen ke tak ada lesen ke, sama je. Kalau accident, nak mati, mati jugak.”

“Kenapa Yumi cakap macam ni?”

“Habis tu nak cakap macam mana? Memang I takde lesen. So?”

“So, you can’t drive!” Nazarul bertegas.

“Siapa kata? Orang yang ada lesen pun ramai mati atas jalan raya. It is not about the license, but people. Driving license is just like marriage certificate. It is nothing more than just a piece of card or paper containing your photo, ic number, date or whatever. But it doesn’t mean anything.”

Terdiam Nazarul tanpa kata. Turun naik halkumnya menelan ludah bagi melegakan tenggorokannya yang kering tiba-tiba. Wajah Ayumi ditatap lama dengan ekspresi yang sulit terbaca. Saat Ayumi berbalik dan menyambung langkah, dia masih terpasung di situ. Derum enjin kereta Ayumi yang mengaum keras juga tidak berhasil membuat dia berganjak.

PULANG dari pejabat, Tengku Aidan langsung menuju ke walk-in closet. Mahu segera membersihkan dan berehat setelah seharian ini AiLin Aviation terlibat dengan Tourism Preview yang memperkenalkan servis sewa helikopter dan pesawat peribadi untuk pelancong dalam dan luar negara. Ya, selepas kes Ayumi yang dia rasakan gagal dan terpesong jauh daripada matlamatnya untuk membela anak-anak kecil mangsa perceraian, dia meninggalkan kerjaya turun-temurun keluarganya itu dan membuka perniagaan sewa helikopter dan pesawat peribadi. Jangan ditanya seberapa hebat tentangan daripada keluarganya, namun dia nekad. Dia tidak mahu kerana percaturannya yang salah, lebih ramai anak akan terpisah daripada ibu atau bapa mereka. Cukuplah Ayumi seorang. Atau mungkin sebelum itu juga ada, namun tidak sampai ke pengetahuannya. Malah, ketika Sharmin melahirkan Amalin, dia membayangkan jika dia berada di tempat Rozana. Bagaimana perasaannya? Bagaimana dia mahu menghadapi perpisahan dengan anaknya? Bagaimana dia mahu berjauhan dengan anaknya? Dia tidak sanggup. Membayangkannya saja rasanya sakit, apatah lagi melaluinya. Ya, saat itu baru dia mengerti.

“Sayang…” Pelukan hangat dari belakangnya membuat dia terkejut, lantas membuyarkan lamunannya tentang Ayumi dan Rozana.

Tersenyum, tangannya terhulur menggenggam tangan Sharmin yang sedang melingkar di perutnya.

“Baru balik?” tanyanya.

“Erm…” Sharmin menjawab dengan gumaman. Dagu disangga pada bahu suaminya. Mata dipejam sejenak, membuang lelah yang bersarang di tubuh.

“Kalau penat, pergilah rehat…” ujar Tengku Aidan.

“Okey…” Angkat kepalanya dari bahu Tengku Aidan, dia berjengket lalu menghadiahkan ciuman pada pipi suaminya itu.

“You ada beli perfume baru ke?” tanya Tengku Aidan apabila hidungnya menangkap bau pewangi yang tidak biasa dari tubuh isterinya.

“Tak…I pakai perfume favourite you la sayang.”

“Ya ke? Kenapa macam lain bau dia?” Dahi Tengku Aidan berkerut dalam. Didekatkan hidungnya ke leher Sharmin, tempat isterinya selalu menyembur pewangi. Benar ada bau pewangi kegemarannya, namun seperti bercampur dengan pewangi lain.

“Kan dah malam ni. Dari siang tadi bercampur dengan peluh, mestilah bau dia dah jadi lain,” balas Sharmin. Tertawa dia melihat tingkah curiga suaminya.

“Don’t think too much la sayang. Tak elok. Nanti cepat tua,” ujarnya lagi sambil mengusap lembut dada Tengku Aidan.

“Apa kata kalau kita mandi dulu.” Kedua-dua tangan Tengku Aidan digenggam Sharmin. Mata membalas tatapan suaminya sambil bibir mengukir senyum.

“You pergilah mandi dulu.” Tengku Aidan menolak sambil dengan lembut melepaskan genggaman Sharmin pada tangannya.

“Betul ni?”

Tengku Aidan mengangguk sambil tersenyum. Namun perlahan senyum itu memudar apabila Sharmin memutar tubuh dan meninggalkannya di situ.

Capai telefon, dia bergegas keluar dari bilik. Hilang sudah keinginan untuk tidur dan berehat. Saat menuruni tangga, dia berpapasan dengan Amalin yang baru pulang dari majlis sambutan hari lahir temannya.

“Daddy…”

“Baru balik?” Tengku Aidan membalas sapaan sambil jemarinya laju menaip mesej kepada seseorang. Wajah Amalin hanya dikerling sekilas.

“Yup.”

“Okay, go to sleep. Dah lewat ni,” ujar Tengku Aidan sebelum kembali menyambung langkah menuruni tangga.

Berkerut dahi Amalin dengan tingkah bapanya itu. Tidak pernah daddy berbicara dengannya tanpa memandang tepat ke dalam mata. Tetapi hari ini daddy nampak acuh tidak acuh saja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience