BAB 1

Romance Completed 1560737

IRDINA tersenyum melihat sepasang kembar perempuan berlari-lari di padang sambil bermain buih. Kemudian mereka mengejar buih-buih itu sehingga buih pelbagai saiz itu hilang dibawa angin ataupun pecah.

Alangkah bahagianya kalau dia juga memiliki anak kembar perempuan. Tentu hidupnya tidak akan sunyi seperti sekarang. Ya, dia sendirian. Tiada keluarga. Saudara kembarnya meninggal dunia akibat demam panas ketika berumur sepuluh tahun. Ibunya pula meninggal dunia beberapa bulan lalu kerana dilanggar kereta selepas pulang dari pasar.

Ibunya merupakan isteri kedua seorang lelaki ternama. Namun diceraikan apabila lelaki itu memilih untuk bersama isteri pertama. Ya, mana mungkin lelaki itu melepaskan isteri pertamanya yang juga jadi kalangan ternama. Apatah lagi wanita itu mempunyai pengaruh yang cukup kuat sehingga mampu menjatuhkan reputasi suaminya jika berita perkahwinan keduanya di Thailand tersebar. Meski ia pernikahan yang sah, tetapi wanita mana yang akan menyokong isteri kedua. Apa lagi lelaki yang dikahwini itu kaya. Tentu sekali wanita kedua itu dituduh berkahwin kerana harta. Persepsi itu tidak mungkin terelakkan.

Akhirnya ibunya diceraikan ketika dia dan kembarnya berusia enam tahun. Cukup lama ibu dan ayahnya merahsiakan pernikahan itu dari isteri pertama. Namun akhirnya ketahuan juga. Dia tidak tahu apa yang ada dalam fikiran ayahnya ketika itu. Mereka ditinggalkan tanpa sesen nafkah. Malah kereta yang pernah diberi oleh ayah juga diambil semula oleh isteri pertamanya. Mujurlah rumah yang mereka duduki ketika itu atas nama ibunya. Jika tidak, rumah itu juga mungkin dirampas dan tidak mustahil mereka akan merempat di bawah jambatan.

Malangkah hidupnya? Tidak. Dia tidak pernah rasa dirinya malang. Dia bertuah. Punya ibu yang berhati kental. Tidak mudah menyerah dan mengalah. Gigih membesarkannya dengan hanya menjual kuih di pasar. Berjaya menghantarnya ke universiti dalam bidang yang diminatinya. Meski ayah tidak pernah bertanya khabar, apa lagi memberi nafkah, tetapi dia dan ibunya boleh hidup dengan baik. Kehidupan mereka sempurna seadanya.

Di saat ayahnya hidup dengan penuh kemewahan bersama isteri pertama serta anak tunggal mereka, dia dan ibunya berjuang sendirian demi untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Bagaimana dia tahu kehidupan ayahnya?
Sudah tentu melalui Instagram Rina, anak tunggal ayahnya bersama Roskamariah. Akaun Instagram Rina diletakkan dalam tetapan public, sebab itu Irdina mengetahui semua yang berkait kehidupan peribadi kakaknya itu. Bercuti di luar negara, makan malam di hotel mewah, beg tangan mewah, kasut berjenama, semuanya ditayangkan di Instagram.

Malah Rina juga selalu menayang kemesraan dengan tunangnya. Zahrin Ashraff, seorang anak pemilik syarikat perhotelan. Kacak, kaya, bergaya, dan romantik. Itu yang Irdina dapat simpulkan daripada figura lelaki itu yang selalu dia lihat di Instagram Rina.

Pasangan yang sempurna. Cantik dan kacak. Kedua-duanya pun dari keluarga ternama.
Ternyata adil tidak pernah wujud dalam kamus hidup manusia. Bapanya memberi segala bentuk kemewahan kepada Rina, tetapi membiarkan dia dan ibunya terlantar tanpa pembelaan. Dunia!

Irdina terus melakar pasangan kembar yang menarik perhatiannya tadi di atas kanvas lukisan, sehingga tidak sedar hari sudah beranjak petang.
Pasangan kembar itu juga sudah diajak pulang oleh ibu ayah mereka. Tersenyum Irdina memandang si kembar itu yang merengek-rengek mahu bermain lagi, namun ditolak dengan lembut oleh si ayah. Lunak suara si ayah, membuat Irdina teringatkan ayahnya. Namun sejenak kemudian ingatan itu dia lupuskan dek dendam yang masih menyala. Ayah tidak berguna seperti itu untuk apa lagi diingat-ingat.

Dia mula mengemas semua peralatan lukisannya dan bersedia untuk pulang apabila kawasan itu mulai lengang.

IRDINA melangkah masuk ke penthouse milik Jessie, sahabat merangkap majikannya. Jessie anak seorang pengusaha balak dan kehidupannya sangat mewah memandangkan dia hanya dua beradik. Dia dan abangnya.
Jessie mengajaknya tinggal bersama di penthouse ini memandangkan dia tinggal sendirian. Kerap juga Irdina menyatakan hasratnya mahu mencari rumah sendiri kerana dia tidak enak hati tinggal di rumah ini secara percuma, namun Jessie tidak mengizinkan. Pernah dia menghulurkan sedikit duit kepada Jessie sebagai bayaran sewa, tetapi Jessie berkeras menolak. Siap mengugut mahu putus sahabat. Mahu tak mahu Irdina akhirnya mengalah. Lagipun dia tidak ada kawan lain selain Jessie. Kalau Jessie memutuskan persahabatan mereka, sebatang karalah hidupnya.

Irdina membawa langkahnya ke dapur, berniat mahu mengeluarkan bahan mentah untuk dimasak sebagai makan malam. Namun laungan Jessie dari ruang TV membantutkannya.

“Dina, tak payah masak. Aku order pizza!”

Irdina menutup semula pintu peti sejuk lalu melangkah ke ruang TV mencari kelibat Jessie.
Sesampai di sana, dia melihat sahabatnya itu sedang bersila di atas sofa, mengadap drama Korea dengan sekotak pizza di atas pahanya.

“Sorry babe, aku lapar gila. So aku makan dulu. Tapi jangan risau, aku order banyak. Boleh makan sampai breakfast esok,” kata Jessie sebaik sahaja Irdina melabuhkan punggung di sisinya. Kotak pizza disodorkan ke depan Irdina.

Irdina mengambil sepotong pizza chicken pepperoni lalu terus disuap ke mulutnya.

“Kau pergi dating tadi tak makan ke? Dah macam orang kebulur aku tengok?” tanya Irdina. Setahunya setiap hari Ahad, Jessie akan menghabiskan masa dengan teman lelakinya. Tidak mungkinlah keluar janji temu tidak pergi makan.

“Pergi. Tapi Kaivan ajak aku masuk restoran Jepun. Kau kan tahu perut aku ni tak boleh terima makanan Jepun. Last-lastnya aku minum air je. Dia suruh aku cuba macam-macam tapi aku memang tak boleh. Tu balik aku bantai order pizza tiga kotak. Puas hati.”

“Dah tak suka, kenapa kau ikut jugak?”

“Meraikan perbezaan orang kata. Dia pun selalu tahan sabar bila ikut aku pergi shopping, setia teman aku pusing masuk kedai sampai tujuh lapan kali dan keluar tanpa beli apa-apa. Jadi, masuk restoran Jepun dengan dia tanpa menjamah apa-apa makanan adalah satu bentuk rasa terima kasih aku pada dia.”

Irdina tersengih. Ya, dia kenal Kaivan. Seorang lelaki yang baik dan budiman. Sempurna sebagai seorang lelaki. Sesuailah dengan Jessie.

“Kau pergi mana tadi?” tanya Jessie.

“Pergi taman tasik.”

“Oh..”

“Aku nampak sepasang kembar perempuan. Comel. Macam aku dengan arwah adik aku dulu.”

Jessie tersenyum. Meskipun tidak pernah bertemu dengan Ardini, kembar Irdina, tetapi nama itu sentiasa singgah di gegendang telinganya. Seolah-olah dia mengenali Ardini seperti dia mengenali Irdina kerana Irdina selalu bercerita tentang kembarnya itu.

“Aku terfikir, bestnya kalau aku ada anak kembar. Tak kisahlah lelaki ke perempuan.”

“Sebelum kau berangan nak anak kembar, kau kena cari boyfriend dulu, lepas tu kahwin. Ini engkau tengok lelaki pun macam tengok musuh, ada hati berangan nak anak,” balas Jessie.

“Lelaki semua tak guna.”

Jessie menggeleng. Tiada apa yang dapat dilakukannya untuk mengubah persepsi buruk Irdina terhadap lelaki. Dia tidak menyalahkan Irdina. Pengalaman hidup yang menyebabkan dia berfikiran begitu.

“Dah tu, macam mana kau nak beranak kalau kau tak kahwin?”

“Ada tak istilah surrogate father?”

Pertanyaan Irdina itu membuatkan Jessie terbahak sehingga tersembur keluar pizza di dalam mulutnya.

“Kau buat lawak apa ni? Surrogate father, maksudnya kau nak curi sperma dia untuk mengandung ke macam mana?” tanya Jessie dengan tawa yang masih bersisa.

Irdina menjeling tidak puas hati. “Kelakar ke?”
“Kelakarlah.”

“Apa kata kalau aku cari calon suami, lepas tu kahwin. Bila aku dah mengandung, cerai.” Irdina berkata seolah-olah perkahwinan hanyalah satu medium untuk mendapatkan keturunan.

“Kenapa kau tak pergi bank sperm je?” Jessie melawak.

“Aku nak anak dari perkahwinan yang sah. Tapi lelaki tu mesti good smart and good looking. Supaya anak aku nanti dapat gene yang baik dari bapak dia.”

Jessie memandang Irdina lama. “No..No..No..You are not serious!” ujarnya apabila tidak melihat gurat guarauan pada wajah sahabatnya itu.

“Of course...” Irdina menggigit pizza chicken pepperoni yang masih bersisa separuh di tangannya. “...I’m serious. Aku perlukan anak, tapi aku tak perlukan suami.”

Jessie menggeleng. Walaupun dia kawan baik Irdina, tetapi dia tidak bersetuju dengan itu.
“Perkahwinan tu satu ikatan suci yang tak hanya menyatukan dua keluarga, tetapi juga dua jiwa yang saling mencintai. Perkahwinan bukan hanya untuk dapat anak Dina. Jangan cemarkan ikatan suci perkahwinan dengan sikap prejudis kau terhadap lelaki. Ya, ayah kau memang sejenis tak bertanggungjawab, tak berguna, macam kau cakap, tapi kau tak boleh pukul rata semua lelaki macam tu.”

“Persetan dengan ikatan suci. Lelaki sendiri yang mencemarkan ikatan suci tu. Dah dapat sedap, bini dah beranak-pinak, kemudian tinggal. Semua lelaki samalah Jes. Kalau kau kata Kaivan tu baik, maka kau bertuah. Lelaki macam Kaivan tu satu dalam 1 Zillion. Dah hampir pupus dari muka bumi.”

Jessie menggeleng. Dia cukup malas berdebat dengan Irdina tentang ini. Lebih baik dia diam daripada terus sakit hati mendengar hujah Irdina yang tidak mahu kalah.

“Sampai mati pun aku takkan lupa apa yang Sulaiman buat pada mama dan Dini. He left us with nothing, tapi dia bagi segala macam kemewahan pada Kamariah dan Rina. Aku takkan lupa macam mana susahnya mama berjuang untuk hidup demi aku dan Dini. Aku benci dia, Jess. Benci! Dan aku takkan maafkan dia sampai bila-bila.”

“Dina, sampai bila kau nak hidup dalam dendam? Dendam ni penyakit hati tau. Bila hati dah sakit, hidup kau takkan tenang dan senang sampai bila-bila. Cuba kau berlapang dada dan terima semuanya sebagai suratan hidup yang membuat kau jadi lebih kuat.” Jessie masih cuba menasihati walaupun dia hampir pasti nasihatnya itu akan menjadi seperti air yang mengalir.

“Kau takkan faham sebab kau tak lalui apa yang aku lalui.”

“Betul. Tapi sebagai kawan, tanggungjawab aku untuk nasihatkan kau. Aku paling tak setuju kalau kau nak kahwin semata-mata untuk dapat anak dan lepas tu cerai. Perkahwinan tak semudah itu, Dina. Jangan jadikan ayah kau sebagai indikator untuk menilai semua lelaki tu jahat.”

“Dan..” Jessie memberi jeda pada kalimatnya sebelum menyambung. “…walau sejahat mana pun dia, dia tetap ayah kau. Takde dia, takde kau. Kalau kau tak boleh buang rasa benci kau pada dia, at least hormatlah dia sebagai orang yang telah membawa kau ke dunia ni. Jangan terus-terusan hina dia dan panggil dia dengan nama Sulaiman je. It’s rude.” Panjang lebar Jessie berbicara dengan harapan sedikit demi sedikit dapat membuka hati Irdina supaya tidak terus-terusan membenci ayahnya. Dia kenal siapa ayah Irdina dan boleh dikatakan keluarganya ada hubungan yang baik dengan keluarga Tan Sri Sulaiman.

“Kau tak boleh paksa aku melihat dunia dari kaca mata kau, Jess. Bagi kau tak semua lelaki jahat, sebab kau dikelilingi lelaki-lelaki yang baik. Sedangkan dunia aku, cuma ada seorang lelaki. Lelaki munafik, jahat dan tak bertanggungjawab. Aku tak bertuah macam kau. You’re lucky to have a good father, a good brother, and a loyal boyfriend. Dan aku tumpang bahagia dengan kehidupan bahagia kau,” kata Irdina lalu bangun meninggalkan Jessie yang terkebil-kebil.

Selalunya perdebatan mereka berkaitan soal itu akan berakhir begini. Irdina tetap dengan pendiriannya dan Jessie yang tidak pernah putus asa menasihati sahabatnya itu. Entah sampai bila Irdina akan hidup dengan dendamnya itu, Jessie tidak tahu. Namun, sebagai sahabat dia tidak akan membiarkan Irdina terus hanyut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience