IRDINA sedang menyiapkan rekaan gaun perkahwinan yang ditempah oleh pasangan dari Brunei di biliknya apabila Luna, salah seorang pekerja butik masuk dan memberitahu ada tetamu mahu bertemu.
Irdina bekerja di butik milik Jessie sebagai pereka fesyen. Kepakarannya ialah gaun perkahwinan tetapi dia tetap menerima tempahan untuk pakaian jenis lain mengikut permintaan pelanggan.
“Siapa?” tanya Irdina.
Luna mengangkat bahu. “I don't think they need a wedding dress. They're too old for that.”
Irdina tergelak. Apa salahnya kalau pasangan tua mahu menempah gaun perkahwinan? Mungkin mereka mahu membuat persandingan semula sempena ulang tahun perkahwinan. Bukankah itu sudah menjadi trend sekarang ini?
“Okay, ask them to come in,” kata Irdina lalu kembali fokus kepada rekaannya yang masih pada peringkat lakaran kasar.
Luna memberi isyarat dengan merapatkan ibu jari dan telunjuknya yang bermaksud okey.
Tidak berselang lama, pasangan suami isteri itu sampai di depan pintu bilik Irdina. Irdina yang masih fokus pada lakarannya tidak menyedari kehadiran mereka.
“Fiya…”
Pergerakan tangan Irdina terhenti, namun dia tidak mengangkat muka. Suara itu. Terdengar lirih dan mengharap. Dia tidak mengecam suara itu, tetapi hanya ‘dia’ dan arwah ibunya yang memanggilnya dengan panggilan Fiya. Sudah lama dia tidak mendengar singkatan nama itu sejak ibunya meninggal dunia.
“Fiya...” Suara itu terdengar lagi.
Perlahan Irdina mengangkat muka. Tan Sri Sulaiman bersama isterinya Puan Sri Roskamariah berdiri di depan pintu biliknya dengan ekspresi wajah yang berbeza. Tan Sri Sulaiman dengan wajah sedih, mengharap dan tatapan yang sarat dengan kerinduan, andai Irdina tidak salah menilainya. Manakala Puan Sri Roskamariah tetap dengan wajah angkuh dan memperlecehkan. Tidak jauh beza dengan dua puluh tahun lalu.
“Boleh papa jumpa Fiya sekejap?”
Irdina tertawa sinis. Papa? Masih pantaskah lelaki itu menyebut dirinya papa setelah mengabaikan tanggungjawabnya selama dua puluh tahun?
“Tolong Fiya. Izinkan papa ambik masa Fiya sekejap?” Tan Sri Sulaiman bersuara separuh merayu apabila melihat reaksi dingin anaknya itu. Irdina Shofiya. Anak hasil perkahwinannya dengan isteri kedua, Marina.
“Saya tak suka diganggu waktu bekerja, Tan Sri.”
Tan Sri Sulaiman terkedu. Irdina memanggilnya Tan Sri. Bukan papa. Terasa kering tenggorokannya tidak semena-mena.
“Jadi tunggulah sampai habis waktu kerja saya,” sambung Irdina. Jam di pergelangan tangan kiri dikerling sebelum manik mata kembali menatap wajah tua di depannya. “Ada lebih kurang lima jam lagi. Tan Sri nak tunggu sini atau nak datang semula nanti?”
“Fiya…”
“Sudahlah bang. Tak guna bercakap dengan orang sombong macam ni.” Puan Sri Roskamariah bersuara apabila melihat suaminya masih cuba memujuk Irdina.
“Ros!” Keras suara Tan Sri Sulaiman menegur kelancangan isterinya.
Mahu tak mahu, Puan Sri Roskamariah akhirnya diam dan menurut. Masam wajahnya menggambarkan perasaan benci yang tidak pernah surut, mengenang Irdina ialah anak suaminya dengan isteri kedua.
“Ini bukan soal kerja. Tapi papa mintak masa Fiya sekejap je. Boleh ya?”
Mendengar nada lembut Tan Sri Sulaiman, membuatkan Irdina memejam rapat matanya. Teringat kenangan indah bersama lelaki itu dua puluh tahun lampau. Papanya memang sangat lembut apabila berbicara. Sentiasa sabar dan tidak pernah marah. Malah jika menegur pun nadanya tidak meninggi. Tapi sayang, kerana terlalu tunduk pada isteri pertama, lelaki itu tega meninggalkan isteri kedua dan anak kembarnya tanpa sesen nafkah.
“Okay, for the sake of six years we’ve spent together,” jawab Irdina yang serta-merta menerbitkan senyum di wajah Tan Sri Sulaiman.
“RINA mengidap leukimia.” Tan Sri Sulaiman memulakan bicara setelah suasana hening menyelubungi mereka beberapa saat.
Irdina pula memilih untuk mendengar. Dengan kedua-dua tangan bersilang ke dada, dua insan di depannya dipandang silih berganti.
“Dia perlukan penderma sumsum tulang untuk menyembuhkan penyakit dia.”
Nah, sekarang otak Irdina sudah mula boleh menangkap maksud di sebalik kedatangan Sulaiman dan Roskamariah. Dia tersenyum sinis, tetapi masih memilih diam. Menunggu kata-kata selanjutnya dari lelaki yang amat dibencinya itu.
“Papa dengan auntie Ros dah test tapi sumsum tulang kami tak sesuai dengan Rina. Jadi….” Tan Sri Sulaiman tidak sanggup untuk meneruskan kata-katanya. Nafas ditarik dan dihembus perlahan. Wajah Irdina dipandang dengan rasa bersalah dan serba-salah. Dia sedar dia tidak pantas meminta pertolongan Irdina setelah apa yang dia lakukan terhadap anak itu. Tetapi dia tidak punya pilihan. Rina juga anaknya.
“Jadi?” Irdina jongket kening. Sengaja bertanya walaupun dia sudah tahu apa yang bakal keluar dari mulut lelaki itu.
“Papa nak mintak Fiya…”
“Derma sumsum tulang untuk Rina.” Roskamariah pantas menyela. Letih dia melihat suaminya itu bercakap lambat-lambat seolah-olah terlalu berat permintaan mereka. Hanya derma sumsum tulang. Bukan meminta derma berjuta-juta.
Tan Sri Sulaiman melotot. Roskamariah ternyata sungguh tidak beradab. Entah mengapa dia masih kekal dengan wanita ini berpuluh tahun lamanya.
Irdina pula hanya tertawa santai. “Kenapa saya kena derma sum-sum tulang saya pada anak Puan Sri?”
“She’s your sister.” Bulat mata Roskamariah memandang Irdina. Sakit hati melihat senyum dan wajah sinis Irdina yang seolah-olah mempersendakan takdir Rina.
“Oh...” Irdina buat-buat terkejut. “Really?”
“Fiya.” Kali ini Tan Sri Sulaiman pula bersuara,
“Papa tahu papa tak layak mintak pertolongan Fiya. Papa sedar papa banyak dosa dengan Fiya. Tapi papa mohon sangat-sangat. Tolonglah Rina sekali ni. Papa akan tunaikan semua permintaan Fiya. Papa janji. Apa saja.”
Sudut kiri bibir Irdina terangkat mendengar penuturan lelaki itu.
“Berat permintaan Tan Sri tu.” Irdina memberi jeda. Menelisik wajah sedih lelaki yang bergelar ayahnya itu. Ada sedikit rasa nyeri dan pedih menyusup ke hati. Adakah jika dia yang berada di tempat Rina, ayahnya akan sesedih itu? Adakah ayahnya sanggup merayu orang yang diketahui sangat membencinya untuk menyelamatkan nyawanya? Atau dia hanya akan dibiarkan mati seperti mana kembarnya?
“Pertama, saya tak ada kakak. Saya cuma ada adik kembar dan dia dah mati. Jadi, kalau adik saya pun saya tak mampu selamatkan daripada maut, kenapa saya nak selamatkan orang yang tak ada kena mengena dengan saya? Dia hidup atau mati bukan urusan saya,” balas Irdina.
“Hei…” Roskamariah sudah menuding jari ke arah Irdina, namun Tan Sri Sulaiman pantas menurunkan semula tangan isterinya itu.
“Fiya, kalau Fiya marah, marahlah papa, bencilah papa sebanyak mana yang Fiya mahu. Tapi jangan berdendam dengan Rina. Dia tak salah. Dia kakak Fiya. Anak papa. Fiya pun anak papa. Tolonglah papa sekali ni. Tolong selamatkan Rina. Dia masih muda, dan tak lama lagi majlis perkahwinan dia. Tolonglah kesiankan dia, Fiya.”
Lagi-lagi Irdina hanya tertawa sumbang? Anak? Hari ini baru mahu mengaku anak?
Tiba-tiba dia jadi muak. Benci dengan lelaki yang tidak ada malunya menagih pertolongan daripada anak yang diabaikan untuk menyelamatkan anaknya yang lain, yang ditatang, disayang, dibelai? Manusia jenis apa seperti itu?
Benih kebencian yang ditanam selama dua puluh tahun semakin kukuh mengakar dalam hatinya. Sungguh dia benci lelaki ini dan seluruh keturunannya.
“Okey, sebab Tan Sri kata saya anak Tan Sri, saya akan pertimbangkan. Beri saya masa tiga hari untuk fikir.” Akhirnya Irdina memutuskan.
Sebenarnya dia tidak berniat mahu mengubah keputusannya, tetapi hanya saja dia mahu melihat lelaki itu mengemis meminta simpati. Dia suka melihat lelaki terhormat itu merendahkan harga dirinya seperti ini.
Tan Sri Sulaiman tersenyum. Kata-kata Irdina sedikit memberi harapan kepadanya walaupun masih kabur.
“Terima kasih Fiya.”
“Jangan berterima kasih dulu Tan Sri.” Irdina mencapai cawan teh di atas meja, menyilangkan kakinya lalu menghirup teh yang sudah suam itu. “Saya kata saya akan pertimbangkan. Belum tentu saya setuju terima. Lagipun Tan Sri kata akan tunaikan semua permintaan saya kan? Ya, saya kena fikir juga apa yang boleh saya minta daripada Tan Sri.”
Roskamariah mencemuh. Jelas terlihat pada mimik wajahnya dan Irdina menyedari itu. Langsung tidak tersinggung, malah dia puas. Puas dapat menyakitkan hati wanita angkuh itu.
“Papa janji papa akan tunaikan semua permintaan Fiya kalau Fiya setuju dermakan sumsum tulang pada Rina.”
“Okey.” Irdina mengangguk santai.
PULANG dari butik, Irdina berbaring di sofa sambil membelek laman Instagram Rina yang sudah lama tidak dijenguknya. Terdapat beberapa gambar dikongsikan sejak beberapa minggu lalu yang memaparkan Rina terbaring di katil hospital dengan wajah yang agak pucat.
Huh, sakit pun masih nak tayang kat orang. Kalau nak mati, mati je lah diam-diam. Dia menggerutu dalam hati.
Mata Irdina tiba-tiba tertarik pada satu gambar yang dikongsikan Rina. Hanya gambar dua tangan saling bertaut dan daripada kapsyen yang ditulis, Irdina yakin itu ialah gambar tangan Rina dan tunangnya.
“Thank you for always being by my side.” Terjuih-juih bibirnya membaca kapsyen itu dengan nada mengejek lalu terus menatal skrin melihat gambar-gambar yang lain.
Kebanyakannya gambar Rina bersama tunangnya di hospital. Menonjolkan betapa baik dan budimannya lelaki itu kerana sanggup menemani si kekasih di saat paling terpuruk. Jelas menggambarkan betapa sejatinya cinta mereka.
“Hoi!”
Satu sergahan, disertai dengan balingan bantal dari arah belakangnya mengejutkan Irdina. Sontak dia bangun lalu membaling semula bantal itu ke arah Jessie membuat sahabatnya itu mengekeh.
“Terkejut aku tau!” Tajam jelingan dihadiahkan kepada Jessie.
“Tulah. Syok sangat stalk tunang orang eh?” Jessie mengusik lalu melabuhkan punggung di sebelah Irdina.
“Well...” Irdina mengangkat bahu.
“Aku dengar Tan Sri cari kau kat butik tadi.”
“Yup.”
“Ada apa?” tanya Jessie dengan dahi berkerut. Pelik juga, setelah diabaikan selama dua puluh tahun, tiba-tiba sahaja Tan Sri Sulaiman mencari Irdina.
“Dia dah nak mati ke?” sambung Jessie yang membuat tawa Irdina meledak.
“Bukan dia yang nak mati. Anak dia.”
“Siapa? Rina?”
Irdina mengangguk.
“Sakit apa?”
“Leukimia.”
“God! Dia datang jumpa kau buat apa? Nak mintak nyawa?”
“Hmm...” Irdina mengiyakan dengan hanya bergumam.
“Wait… wait...” Jessie mengangkat tapak tangannya, menahan Irdina daripada terus bercerita. “Jangan bagitahu yang…”
“Yes. Kalau kau fikir dia cari aku untuk derma sumsum tulang pada anak dia, tahniah pada otak kau. Memang bijak.”
“Seriously?” Jessie melongo tidak percaya. Bagaimana lelaki itu masih ada muka untuk berdepan dengan Irdina selepas mengabaikannya selama dua puluh tahun dan muncul hanya untuk meminta sumsum tulang?
“Bloody hell! Memang lelaki tua tak guna. Kau biar je anak dia mati, Dina. Jangan tolong.”
“Aku akan tolong dia Jess.” Irdina berkata santai.
“Stupid lah you!” Bantal kecil dicapai lalu dilibas sekuatnya ke kepala Irdina.
“Sakitlah, Jessie.”
“Kalau kau tolong dia, kita putus kawan!” ugut Jessie sambil telunjuknya diluruskan tepat ke muka Irdina.
“Eleh sebelum ni kau beriya-iya nasihatkan aku suruh berlapang dadalah, lupakan masa lalulah, jangan berdendamlah. Eh, sekarang dia pulak melebih-lebih.”
“Memang sebelum ni aku ada cakap macam tu. Tapi, sebelum aku tahu betapa bangsatnya orang tua tu. Kalau dia datang jumpa kau, minta maaf, menyesal dengan kesalahan dia, okey aku boleh terima. Tapi datang semata-mata nak mintak sumsum tulang? Oh, God!”
Kembang-kempis hidung Jessie meluapkan kemarahannya. Irdina pula hanya tersenyum. Dia sudah merancang sesuatu yang dia yakin Sulaiman dan Roskamariah tidak akan mampu menolaknya.
“Sabar Jess. Aku dah plan sesuatu yang baik untuk Sulaiman, Kamariah dengan Rina. Let them know what it's like to be helpless.”
“Okay, what’s your plan? Tell me. I’ll support you,” kata Jessie dengan penuh semangat. Membetulkan duduk, dia bersedia mendengar apa yang telah dirancang Irdina.
“Janji kau akan sokong aku dan takkan ubah fikiran walau apa pun yang berlaku?"
“No. I will not promise but I swear!” Jessie mengangkat tangan kanannya seperti orang bersumpah.
“Good. You’re my true friend,” kata Irdina lalu mencium pipi kiri dan kanan Jessie.
“Shit!” Jessie mendengus marah lalu menyapu sisa air liur Irdina di pipinya.
Irdina terkekeh.
“Okay here’s my plan. But I need Kaivan to help me.”
“Kaivan? Apa kena-mengena dengan dia dalam hal ni?” tanya Jessie dengan dahi berkerut.
“Because he’s a lawyer.”
Share this novel