IRDINA melangkah mantap memasuki ruang pejabat suaminya dengan membawa beg kertas berisi makan tengah hari. Tidak dia peduli dengan pandangan-pandangan serong dan meremehkan staf-staf suaminya saat dia melewati mereka. Ah, tepatnya bekas suami. Zahrin sudah menjatuhkan talak tepat ketika usia kandungannya lapan bulan.
“Tak sabar nak jumpa daddy ya.” Perutnya diusap perlahan apabila merasai pergerakan di sana.
Sesampai di depan bilik Zahrin, dia segera memegang tombol pintu, tetapi suara setiausaha Zahrin membantutkannya.
“Encik Zahrin tak nak diganggu. Dia tengah ada tetamu,” ujar wanita muda itu.
Irdina tersenyum. “Oh, mungkin dia tak nak diganggu orang lain. Kalau saya, takpe kut.”
“Tapi Encik Zahrin pesan jangan benarkan puan masuk.”
Irdina mengerutkan dahi, tetapi sesaat kemudian dia tersenyum.
“Bila dia kata macam tu yang buat saya rasa tak sabar nak masuk.” Tombol pintu dipulas lalu dia melangkah masuk.
Dan…Seperti yang dia jangka.
Zahrin sedang berduaan dengan seorang wanita yang tak lain ialah Rina, kakaknya; bersuap-suap di atas sofa di dalam ruang pejabat suaminya itu.
Zahrin dan Rina tersentak kaget. Sudu terlepas dari tangan Rina. Akibatnya, nasi dan lauk yang belum sempat masuk ke mulut Zahrin berterabur mengotori kemeja lelaki itu.
“Saya mintak maaf Encik Zahrin, saya dah bagitahu Puan Irdina Encik tak nak diganggu, tapi…” Setiausaha Zahrin kelihatan takut dan serba-salah. Bukan takutkan Zahrin, tetapi Rina.
“Tak apa. You boleh keluar,” ujar Zahrin lalu bangun dan membersihkan sisa-sisa nasi yang tumpah pada kemeja dan seluarnya.
Wanita itu menunduk hormat dan segera keluar. Sementara Irdina hanya tersenyum sinis.
“Kau buat apa datang sini?” tanya Zahrin dingin. Sedingin tatapannya.
“La, salah ke kalau I nak datang makan tengah hari dengan suami I. Lagipun, ini akan jadi makan tengah hari kita yang pertama dan terakhir,” jawab Irdina dengan lenggok suara yang lunak, seolah-olah langsung tidak terusik dengan percakapan kasar Zahrin
Wajah merah Rina yang tersenyum kemenangan hanya dijelingnya tanpa minat.
“Takkan ada yang pertama dan yang terakhir. Tolong keluar dari pejabat aku sekarang!”
“Alah…sekali ni je. I dah bawak makanan ni. I yang masak tau, bukan Mak Jan,” ujar Irdina sambil mengangkat sedikit tangan kanannya yang memegang beg kertas berisi makan tengah hari yang telah dia isi ke dalam Tupperware.
“Dina, Zahrin tak nak makan dengan kau. Keluarlah. Jangan tunjuk kemurahan kau dengan terhegeh-hegeh kat sini.” Rina yang diam sedari tadi, akhirnya bersuara.
Irdina tertawa sumbang.
“Siapa yang murah kat sini? Yang dengan tak tahu malu berdua-duaan dan bersuap-suap dengan suami orang? Apa, kau ni bangsa takde maruah? Atau maruah kau tu kau dah jaja dekat pasar gelap?”
Plak!
Sebiji penampar hinggap di pipi kanan Irdina sehingga kepalanya terpaling ke kiri usai dia mengucapkan kata-kata itu. Pijar seketika pipinya. Mata pula berpinar-pinar. Kali kedua dalam hidupnya, dia ditampar sekuat itu
Bibir diketap erat, menahan air mata yang hampir gugur. Tamparan itu dari Zahrin. Perlahan dia mengangkat muka; memandang wajah Zahrin yang merah padam dengan mata berkaca.
“Jangan anggap semua perempuan murah macam kau. Dan ingat, aku bukan lagi suami kau!” tempelak Zahrin. Bergetar suaranya mungkin kerana terlalu marah.
Sekali lagi Rina tersenyum penuh kemenangan.
“Keluar!” Lurus tangan Zahrin menunjuk ke arah pintu. “Jangan tunjuk muka depan aku lagi!”
“Okey.” Irdina lorek senyum. Sekuat mungkin dia mempertahankan ego dan harga dirinya supaya tidak terlihat lemah di depan Zahrin dan Rina.
“Sebelum I pergi, you tak nak tahu jantina anak kita?” tanyanya dengan wajah yang seolah-olah langsung tidak terkesan dengan perlakuan dan penghinaan Zahrin.
“Itu anak kau. Bukan anak aku! Sampai mati pun aku takkan mengaku tu anak aku!”
“Sampai hati you tak nak mengaku ni anak you. Ni hasil usaha kita sama-sama tau.” Irdina berkata santai sambil menjeling Rina untuk melihat reaksinya.
Puas rasanya melihat wajah Rina berubah merah dan tangan terkepal erat.
“Kau yang paksa aku, Dina!”
“See…” Irdina memandang Rina. “…dia mengaku.” Kemudian, dia tertawa sumbang.
Zahrin yang mula hilang pertimbangan, menarik tangan Irdina keluar dari biliknya. Kemudian pintu bilik dihempas kuat sehingga mengeluarkan bunyi yang menarik perhatian setiausaha Zahrin di bilik bersebelahan kerana pintu biliknya tidak bertutup. Wanita yang mungkin tua beberapa tahun daripada Irdina itu keluar dan menghampiri.
“Puan..” tegurnya dengan berhati-hati.
Irdina menoleh dan tersenyum. Beg kertas di tangannya dihulurkan kepada wanita itu yang memandangnya penuh simpati. Irdina cukup benci dipandang seperti itu kerana menampakkan dirinya benar-benar malang.
“Nah, ambiklah. Tupperware tu pun awak simpanlah. Tak payah pulangkan,” ujar Irdina dan terus berlalu setelah wanita itu menyambut beg kertas yang dihulurkan.
Wanita itu, Anita namanya, memandang belakang badan Irdina dengan emosi yang bercampur aduk. Dia tidak tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga majikannya, tetapi sebagai wanita, dia turut terluka dengan perlakuan Zahrin terhadap Irdina.
IRDINA melangkah meninggalkan bangunan pejabat Zahrin dengan langkah gontai. Tidak segagah langkahnya ketika masuk ke bangunan itu beberapa minit lalu. Dia berusaha untuk kuat dan tidak mahu menangis, tetapi tetap dia seorang wanita yang terluka dengan perlakuan lelaki yang pernah berstatus suaminya.
Sepanjang hampir dua tahun pernikahan mereka, tidak pernah wujud rasa cinta Zahrin terhadapnya. Yang ada cuma rasa benci yang bukan semakin pudar, malah semakin tebal. Zahrin benar-benar membencinya. Bukan hanya dia, tetapi juga anak yang dikandungnya.
“Takpe sayang. Mommy ada. Kalau hidup, kita hidup sama-sama. Kalau mati, kita mati sama-sama. We only have each other,” ujarnya perlahan. Tangan mengusap perut sambil kaki terus melangkah menuju ke stesen LRT yang terletak tidak jauh dari pejabat Zahrin.
Ketika datang tadi, dia memandu kereta dan diparkir di tempat letak kereta pelawat di belakang pejabat Zahrin. Namun jiwanya yang kacau menyebabkan dia malas memandu. Dia mahu menaiki LRT, melihat gelagat orang yang bisa mengusir galau di hatinya. Juga mencari ilham untuk ditumpahkan di atas kanvas lukisannya.
Irdina menyentuh kad touch n go pada ruang yang disediakan dan melangkah menuju ke platform. Punggung dilabuhkan di bangku dan dia membuang pandang ke seluruh ruang, seolah-olah dia tidak dapat melihat pemandangan seperti ini lagi selepas ini.
Bibirnya mengukir senyum melihat seorang wanita hamil yang duduk tidak jauh darinya sedang membuat panggilan video. Dengan suaminya barangkali kerana dia mendengar wanita itu menyebut abang. Terdengar mesra dan nampak bahagia sekali apabila mereka berbicara tentang anak yang bakal lahir. Mungkin mereka menjalani perkahwinan jarak jauh kerana perbualan mereka hanya berkisar tentang kandungan wanita itu. Sesaat Irdina tunduk melihat perutnya sebelum tangan naik mengelusnya lembut. Zahrin tidak pernah bertanya tentang kandungannya. Tetapi memang wajar begitu kerana Zahrin juga tidak pernah menginginkan anak yang dikandungnya.
“Tak apa. Mommy ada.” Kata pujukan yang biasa dia lontarkan untuk memujuk bayinya. Ah, tepatnya memujuk diri sendiri.
Irdina bangun apabila LRT laluan Ampang tiba. Wanita tadi juga turut menamatkan panggilannya. Mereka melangkah masuk setelah memberi laluan kepada penumpang untuk keluar dahulu.
Irdina melabuhkan duduk setelah seorang lelaki menyisih memberikan tempat duduk kepadanya.
“Terima kasih,” ujarnya. Mungkin kerana terlalu letih kerana berjalan tadi, dia akhirnya terlelap.
BUNYI jeritan, tangisan dan rengekan anak kecil memenuhi ruang di dalam LRT membuat Irdina terjaga. Menegakkan tubuh, sejenak dia terpinga-pinga apabila melihat ruang gerabak itu sudah dipenuhi asap dan api marak menyala entah dari mana puncanya.
Suasana riuh dan kelam kabut. Semua penumpang panik dan menangis. Tidak terkecuali Irdina. Hidung ditekup dengan tapak tangan kanannya sementara tangan kiri mengusap perut.
“It’s okay sayang. We’ll be fine,” lirihnya. Sempat dia mengerling jam di tangan. Belum pun sampai berapa minit dia tertidur.
Asap yang semakin tebal dan LRT yang masih bergerak menyebabkan api semakin marak. Irdina mengusap dadanya yang sesak. Kepalanya mula memikirkan Zahrin.
Dengan nafas yang mencungap, Irdina meraba mencari telefon di dalam beg tangan. Nombor Zahrin didail. Beberapa kali deringan, talian terputus. Dia yakin Zahrin menolak panggilannya. Dia tidak berputus asa. Ditekan lagi nombor Zahrin. Namun, Zahrin tetap menolak panggilannya. Berkali-kali, namun hasilnya tetap sama.
Air mata Irdina jatuh. Dia hanya mahu memohon maaf. Mengapa Zahrin tidak mahu menjawab panggilannya?
Akhirnya Irdina hanya meninggalkan pesanan suara. Dia tidak tahu Zahrin akan mendengar pesanan itu atau tidak, tetapi sekurang-kurangnya dia berusaha.
“Ash, I tahu you sengaja reject call I. I tahu you benci dengar I tapi I harap satu hari you akan dengar pesanan suara ni.” Irdina terhenti bagi mengatur nafasnya yang mencungap.
“I berdosa dengan you. I nak minta maaf atas apa yang I dah buat pada you dan Rina. I nak minta maaf sebab ganggu hubungan you dengan Rina. I’m sorry for all I’ve done.”
Batuk Irdina semakin menjadi-jadi dek asap yang sudah memenuhi keseluruhan ruang gerabak. Rasanya dia sudah tidak mampu bertahan lagi. Matanya hampir terkatup, tetapi masih banyak yang dia perlu perkatakan.
“I dah tak ada banyak masa. I harap satu masa nanti, terbuka hati you untuk maafkan I. Halalkan makan minum I selama I jadi isteri you.”
Suara Irdina tenggelam dengan jeritan dan tangisan penumpang-penumpang di dalam gerabak itu, namun dia berharap Zahrin mendengar setiap bait kata-katanya.
“Banyak yang I nak cakap, but I can’t. I…I have to go. Good bye, Ash.”
Suara Irdina tersekat-sekat. Nafasnya mencungap, namun dia sempat memadam nombor Zahrin dan semua rekod panggilannya sebelum telefon itu dicampakkan ke bawah tempat duduk sejauh mungkin.
Biarlah. Zahrin takkan peduli kalau dia mati sekali pun. Malah, mungkin lelaki itu akan bersorak gembira dengan Rina jika mengetahui kematiannya.
Irdina bersandar lemah pada tempat duduk. Seluruh tubuh dan wajahnya sudah dibasahi peluh kerana suasana di dalam gerabak semakin panas dan bahang.
Terketar-ketar bibirnya menyebut nama Allah dan mengucap dua kalimah syahadah sebelum perlahan matanya terkatup.
Hai semua. inilah dia yang dijanjikan semalam. bukan novel baru tali novel lama yang dah lama disorok. hehe. jemputlah repeat baca. kali ni saya terpaksa kunci ya. happy reading.
Share this novel
hai