KAIVAN memicit pelipis sebaik sahaja mendengar permintaan daripada dua wanita di hadapannya. Siapa lagi kalau bukan Jessie dan Irdina.
Seorang, menyandang status teman wanitanya. Manakala seorang lagi teman baik kepada teman wanitanya yang sudah dia anggap seperti kawan baiknya juga.
“Biy, bolehlah...” Rengekan Jessie kembali terdengar. Merayu supaya memenuhi permintaan Irdina untuk menyiapkan satu MoU yang... Entahlah. Tidak pernah dia lakukan sepanjang dia menjadi peguam.
“Beri satu sebab kenapa I kena penuhi permintaan you?” soal Kaivan, mengharap jawapan yang kukuh dan jelas sebelum dia meunaikan permintaan gila dua wanita di depannya ini.
“Sebab you sayang I?” Jessie tersengih sambil mengedip-ngedipkan matanya.
Kaivan memutar bola matanya. Bukan itu jawapan yang dia harapkan walaupun kenyataan yang keluar dari mulut Jessie itu benar.
“Yes, I sayang you, I cinta you, I nak kahwin dengan you. Tapi bukan tu jawapan yang I nak dengar. I nak jawapan yang realistik, logik dan kukuh. Kenapa? Apa yang you cuba buat ni lebih kepada bermotif dendam dan emosi. Dan satu lagi, you mempermainkan nyawa orang yang sedang terlantar sakit.”
“Orang yang terlantar sakit tu, mak dia jahat, bapak dia kejam. Memang patut dia sakit.”
Jessie hanya menjawab sebarang kerana geram dengan teman lelakinya itu.
“Jess, tak kiralah mak dia jahat atau bapak dia kejam, tapi nyawa dia kita tak boleh buat pertaruhan. And Dina, kalau you nak balas dendam, tak perlu buat perjanjian ni pun. Just, jangan derma. That’s it. Itu hak you.”
Jessie berdecit. Bangkit dari kerusi, dia meraih tangan Irdina, lalu berkata, “Dah Dina, jom kita cari lawyer lain. Kalau kau tak cukup duit, aku tolong bayarkan.”
Melihat teman wanitanya yang sudah berang, Kaivan juga turut bangun lalu menahan tangan Jessie yang sudah mahu pergi bersama Irdina.
“Okay… Okay… Duduk dulu. I… I’ll think about it.”
“Think?” Jessie memicingkan mata. Dalam hati dia sudah bersorak girang kerana dia tahu Kaivan tidak akan menolak permintaannya.
Kaivan melepaskan keluhan berat, sebelum akhirnya memuktamadkan satu keputusan.
“Okay, I’ll do it. Bagi I masa tiga, empat hari.”
“Yes! Thanks Biy. I love you.”
Kaivan memutar bola matanya, sambil melirik Irdina yang diam-diam mengulum senyum. Ya, teman baik Jessie itu memang tidak banyak bercakap. Irdina menutup dirinya daripada sesiapa. Hanya Jessie sahaja satu-satunya kawan yang dia ada. Ah ya, termasuk dia, satu-satunya lelaki yang mempunyai hubungan yang paling dekat dengan Irdina. Itu pun kerana dia teman lelaki Jessie.
IRDINA akhirnya menjalani ujian dan setelah keputusan diperolehi, sumsum tulangnya ternyata sesuai untuk Rina.
“Terima kasih Fiya,” ucap Tan Sri Sulaiman sambil cuba meraih tangan Irdina, namun Irdina pantas menyembunyikan tangannya di belakang badan. Tidak sudi disentuh oleh lelaki itu.
Tan Sri Sulaiman menarik semula tangannya dengan wajah kecewa. Anak yang dulunya sangat periang dan manja, berubah menjadi dingin dan beku kerana perbuatannya. Sungguh, walau kehidupannya nampak baik-baik sahaja, tetapi dosa mengabaikan Marina dan anak-anak mereka terus menghambat, sehingga kadang-kadang menghadirkan mimpi buruk dalam tidurnya.
Mereka berada di luar wad Rina selepas keputusan ujian itu diperolehi. Puan Sri Roskamariah.dan Zahrin Ashraff juga ada bersama.
“Tak perlu berterima kasih. Saya tak buat ni dengan percuma,” jawab Irdina tenang.
Puan Sri Roskamariah tertawa sumbang dengan wajah mencemuh. Namun, dia tidak mahu berkata apa-apa memandangkan nyawa Rina sekarang bergantung kepada persetujuan Irdina untuk menderma sumsum tulangnya.
“Apa yang Fiya nak? Bagitahu je, papa akan tunaikan,” ujar Tan Sri Sulaiman sungguh-sungguh.
“Tunggu lawyer saya datang.”
Tan Sri Sulaiman dan Puan Sri Roskamariah saling berpandangan. Zahrin pula menghalakan pandangannya ke arah Irdina yang terlihat santai. Ini kali kedua dia berjumpa dengan adik Rina itu. Kali pertama bertemu, dia cuba bersikap ramah memandangkan Irdina bersetuju untuk menjalani ujian kesesuaian sumsum tulangnya dengan Rina.
Tetapi melihat sikap Irdina yang dingin dan beku, serta lokek dengan senyuman, dia akhirnya bersikap biasa sahaja.
Angkuh. Itulah pandangan pertamanya terhadap Irdina.
“Kenapa mesti pakai lawyer? Sebut je berapa juta pampasan yang awak nak. Saya boleh tunaikan,” kata Puan Sri Roskamariah.
“Setitis sumsum tulang tu mahal harganya, Puan Sri. Mana cukup dengan pampasan duit saja,” balas Irdina tenang. Sedikit tidak tersinggung dengan penghinaan yang dilontarkan oleh wanita itu.
Puan Sri Roskamariah mengetap bibir. Tangannya terkepal dengan dada yang bergetar hebat. Kalau bukan kerana Rina, sudah lama dia layangkan penampar ke muka gadis ini.
“Fiya...” Tan Sri Sulaiman mengawal suaranya. Dia tidak menyangka Irdina akan menjadi sebiadab ini. Ya, tidak dinafi isterinya yang memancing pergaduhan, tetapi tidak sepatutnya Irdina membalas seperti itu, bukan?
“Papa tak pernah ajar Fiya jadi biadab.”
Irdina tertawa sumbang. “Saya tak ada papa yang mengajar saya.”
Tan Sri Sulaiman terkesiap. Kata-katanya akhirnya memakan diri. Ya, dia tidak pernah mendidik Irdina. Sejak berumur enam tahun, Irdina dan Ardini ditinggalkan bersama Marina dan dia langsung kehilangan khabar mereka selepas itu. Bukan kehilangan khabar tepatnya, sebaliknya dia yang tidak pernah bertanya khabar mereka.
“Fiya…”
“Tan Sri Sulaiman…” Irdina memandang bapanya itu dengan tatapan dingin, tatapan yang jelas menunjukkan kebenciannya yang tidak bersempadan terhadap lelaki itu. “...selain benih Tan Sri yang membuatkan saya lahir ke dunia ni, Tan Sri tak pernah menyumbang apa-apa pada saya, jadi Tan Sri tak ada apa-apa hak ke atas saya, sama ada untuk menegur atau mengajar saya.”
Panas telinga Zahrin mendengar penuturan Irdina yang kedengaran sungguh biadab. Tidak segan silu menggunakan bahasa yang kurang ajar dengan lelaki yang bergelar bapanya. Terdetik dalam hati, bagaimana didikan yang diterima Irdina daripada ibunya sehingga dia menjadi sebiadab itu.
“Kau ni memang biadab kan?” Puan Sri Roskamariah berkata geram.
“Bergantung dengan siapa saya bercakap.”
Puan Sri Roskamariah mendengus keras. Kata-kata dan kelakuan Irdina benar-benar membuatkan darahnya mendidih.
Zahrin menepuk-nepuk belakang tangan bakal ibu mentuanya itu untuk meredakan amarahnya.
Puan Sri Roskamariah menoleh dan tersenyum sekilas. Sejuk sedikit hatinya melihat wajah bakal menantunya itu.
Ketegangan mereka sedikit mereda sebaik sahaja Kaivan sampai dan memperkenalkan dirinya sebagai peguam Irdina.
“Okey tanpa buang masa, saya mintak Tan Sri, Puan Sri, dan Encik Zahrin baca dulu perjanjian dan tuntutan Cik Irdina. Kalau semua setuju dengan tuntuan tu, maka prosedur pemindahan sumsum tulang boleh dijalankan segera dan kalau tak setuju, bolehlah cari penderma lain.”
Tanpa basa basi, Kaivan memulakan bicara sambil menghulurkan beberapa helai kertas yang mengandungi tuntutan daripada pihak Irdina.
Tan Sri Sulaiman, Puan Sri Roskamariah dan Zahrin membaca tuntutan dan isi perjanjian itu dan tidak menunggu lama, riak wajah ketiga-tiga mereka berubah.
Irdina tersenyum. Memang itu respons yang dia harapkan dan dia yakin mereka tidak akan mampu menolaknya. Nyawa Rina menjadi taruhan. Dia tahu tindakannya kejam, tetapi dendam yang tersimpan lama menjadikan dia manusia yang tidak beremosi. Dia tidak peduli apa tanggapan mereka kerana matlamatnya cuma satu. Membalas dendam atas segala perlakuan Tan Sri Sulaiman dan Puan Sri Roskamariah.
“Irdina!” Zahrin meramas kertas perjanjian itu dengan wajah berang. Namun itu sedikit pun tidak menimbulkan ketakutan kepada Irdina. Tenang sahaja menghadapi kemarahan tunang kakaknya itu.
“Tak perlu marah. Kalau setuju, tandatangan. Kalau tak setuju, then it’s okay. No harms,” kata Irdina santai.
“Fiya…” Tan Sri Sulaiman menarik nafas, mengetap bibir, dan menghela semula nafasnya bagi meredakan sesak di dada. Namun, nampaknya itu tidak berhasil meredam segala rasa yang sedang berkecamuk.
“Kenapa Fiya?”
Irdina menyunggingkan senyum sinis.
“Satu nyawa terlalu mahal harganya Tan Sri.”
“Papa tak sangka Fiya jadi macam ni. Hati Fiya kotor. Penuh hasad dengki. Rina tak pernah menyakiti Fiya. Yang salah, papa. Kenapa Fiya mesti hukum Rina?”
Irdina hanya tersenyum dengan kata-kata Tan Sri Sulaiman walaupun hatinya terhiris pedih. Dia dituduh hati kotor? Tahukah Tan Sri, hati yang kotor ini terbentuk oleh perlakuan Tan Sri sendiri? Hati yang kotor ini sudah tergores luka yang tidak akan pernah sembuh? Luka kerana ditinggalkan. Luka kerana diabaikan. Luka kerana tidak dianggap ada. Hanya dia yang tahu. Hanya dia yang rasa. Orang lain hanya boleh menilai dan menghakimi, namun yang merasa sakitnya hanya dia.
“Terpulang apa persepsi Tan Sri pada saya. Saya tak pernah dan tak akan pernah peduli pada tanggapan orang. Itu cuma perjanjian dan tuntutan. Kalau setuju, tandatangan. Kalau tak setuju, terserah. Saya tak rugi dan tak untung apa-apa. Rina hidup atau mati, bukan urusan saya.”
Tangan Zahrin terkepal, memandang Irdina persis seekor helang yang siap mahu menyambar mangsanya. Bagaimana Irdina begitu santai bercakap tentang nyawa seseorang yang berada di sempadan antara hidup dan mati? Tidak ada hati perutkah Irdina? Tidak adakah sebersit rasa kasihan pada kakaknya itu?
“Saya bagi masa dua hari untuk fikir. Lepas dua hari, tawaran saya tamat dan sila cari penderma lain. Saya tak terima sebarang rundingan,” kata Irdina lalu bangun dan melangkah meninggalkan tiga orang itu dengan sebaris senyuman manis yang dibuat-buat.
TAN SRI SULAIMAN, Puan Sri Roskamariah dan Zahrin masih berada di luar wad Rina.
“Saya tak boleh terima syarat dia pa,” kata Zahrin.
Tan Sri Sulaiman tidak membalas. Begitu juga Puan Sri Roskamariah. Nyawa Rina penting bagi mereka, tetapi tuntutan Irdina sungguh keterlaluan.
Irdina meletakkan syarat Zahrin mesti memutuskan pertunangan dengan Rina dan menikahinya. Setelah upacara pernikahan mereka selesai, barulah Irdina akan mendermakan sumsum tulangnya kepada Rina. Syarat itu sungguh berat untuk dipenuhi memandangkan cinta Rina dan Zahrin begitu besar dan hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum tarikh pernikahan mereka. Rina juga tentu tidak akan menyetujui syarat itu.
Bukan itu sahaja, Irdina menuntut 1% saham syarikat milik keluarga Tan Sri Sulaiman dan semua saham itu akan dikembalikan sebaik sahaja dia sah bercerai dengan Zahrin.
Tuntutan itu tidak lebih hanya sebagai cagaran supaya mereka menepati janji. Ternyata Irdina tidak senaif yang terlihat pada zahirnya.
Mengapa Irdina perlukan cagaran?
Kerana dia mahu hamil dalam perkahwinannya dengan Zahrin dan Zahrin tidak boleh menceraikannya sehingga dia hamil dan talak hanya boleh dijatuhkan ketika usia kandungannya lapan bulan.
Gila. Sungguh gila. Tuntutan yang kejam dan tidak masuk akal. Mereka tidak pernah terfikir, berdepan dengan seorang Irdina Shofiya itu sungguh sulit.
“Kita cari penderma lainlah.” Zahrin mengemukakan saranan.
Tan Sri Sulaiman dan Puan Sri Roskamariah sama-sama melepaskan keluhan berat. Kalaulah itu boleh dilakukan, tidak mungkin mereka meminta pertolongan Irdina.
“Anak dengan mak sama je. Tamak. Murahan. Perampas,” cemuh Puan Sri Roskamariah.
Tan Sri Sulaiman memicit pelipis. Dia benar-benar bingung sekarang. Dia sayangkan Rina, tetapi syarat Irdina itu terlalu sulit untuk dipenuhi.
Kalau Irdina hanya menuntut saham syarikat, itu tidak menjadi masalah baginya. Tetapi, syarat untuk menikahi Zahrin itu… Entahlah.
Dia tidak tahu apa yang berada di fikiran Irdina sehingga dia tergamak meletakkan syarat sedemikian.
Ya, Irdina mahu membalas dendam. Dia sedar itu. Irdina mahu merampas kebahagiaan Rina sebagaimana Roskamariah merampas kebahagiaan dia dan ibunya.
“Zahrin…” Suara Tan Sri Sulaiman kedengaran berat.
Zahrin memandang bakal bapa mentuanya itu dengan sorot mata yang tidak rela kerana dia dapat mengagak apa yang bakal diperkatakan oleh Tan Sri Sulaiman. Kepalanya digeleng perlahan.
“Demi nyawa Rina, tolong terima syarat Irdina.” Mereka tidak punya pilihan. Rina perlu dirawat segera dan mereka tidak tahu berapa lama harus menunggu untuk mencari penderma lain yang sesuai.
“NO!!!” Rina menjerit nyaring lalu membaling semua barang yang berada dekat dengannya. Cawan, telefon, pasu bunga, sehingga Tan Sri Sulaiman, Puan Sri Roskamariah dan Zahrin terpaksa mengelak.
Itu berlaku setelah dia diberitahu syarat Irdina. Dia tidak rela. Dia tidak rela tunangnya diambil Irdina. Dia juga tidak rela semua haknya diberi kepada Irdina yang merupakan seorang anak hasil daripada kecurangan ayahnya.
Untuk memaafkan ayahnya pun dia ambil masa yang cukup lama, apa lagi mahu merelakan tunangnya berkahwin dengan Irdina. Tidak sekali-kali.
“Rina tak rela perempuan tak guna tu rampas hak Rina. No! Zahrin tak boleh kahwin dengan Irdina. Biar Rina mati! Biar Rina mati!”
“Rina, Rina sayang…” Takut-takut Puan Sri Roskamariah mendekati anaknya yang masih diselimuti marah itu. Bimbang jika Rina bertindak agresif dan membalingnya dengan meja kerusi pula.
Rina memang begitu. Jika marah atau keinginannya tidak dipenuhi, dia akan mengamuk dan membaling semua barang.
“Tak apa. Kalau Rina tak setuju, kita tolak syarat tu ya? Kita cari penderma lain,” pujuk Puan Sri Roskamariah.
Rina tidak membalas. Hanya dadanya yang kelihatan turun naik dengan laju, jelas menunjukkan yang dia masih diselaputi emosi.
“Dasar perempuan murahan. Tak guna. Anak pelacur.” Rina menggumam memaki Irdina dengan kata-kata kesat.
“Rina...” Tan Sri Sulaiman menegur.
“Kenapa? Papa nak bela perempuan tak guna tu? Dasar anak perampas!"
“Tak perlu hina mak dia,” kata Tan Sri Sulaiman.
Marina perempuan yang baik. Emosinya tersulut apabila Rina menggelarkan Marina sebagai pelacur. Dia mengahwini Marina kerana bosan dan tertekan dengan sikap Roskamariah yang kasar dan suka membentak, dan sikap itu menurun pula kepada Rina.
“Eh, abang ni. Yang nak bela perempuan tu pulak kenapa?”
“Saya bukan bela dia Ros. Saya cuma tak suka Rina bercakap benda yang tak baik. Dia kan tengah sakit.”
Rina berdecit. “Biar Rina mati, tapi Rina tak benarkan Zahrin kahwin dengan Irdina.”
Rina yang tadinya agresif, kini menangis.
Zahrin menghampiri, lalu duduk di birai katil Rina. Tangan tunangnya digenggam erat.
“I takkan kahwin dengan dia. I janji.”
Rina mengangguk dengan air mata berjuraian. Dia percayakan Zahrin. Dia yakin Zahrin akan setia dengannya. Tidak dapat dia bayangkan bagaimana kehidupannya jika Zahrin benar-benar berkahwin dengan Irdina. Gadis yang dia paling benci dan tidak pernah diakui sebagai adiknya. Takkan sekali-kali dia membenarkan Irdina merampas semua yang telah menjadi miliknya.
Share this novel