Kau Ibarat Sebatang Lilin 8. Pengorbanan Seorang Guru

Short Story Series 1112

Sesungguhnya kejayaan ini bukan hanya hasil usaha gigih aku, Ainul Syadira dan rakan-rakan seperjuangan tetapi kesungguhan guru-guru di sekolah ini yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam mendidik. Dari kesungguhan itulah aku dan rakan-rakan yang lain belajar sesuatu yang berharga.

Pengorbanan guru-guru di sekolah ini tidak ternilai harganya. Mereka aku ibaratkan sebatang lilin. Lilin yang panas membakar dirinya sendiri, lama-kelamaan lilin itu semakin mencair dan menjadi semakin pendek, begitulah seadanya pengorbanan seorang guru sepertimana kata guru Penolong Kanan PPU ‘Hati seorang guru ialah hati seorang ibu’.

Tanpa guru yang mendidik, sudah pasti aku dan rakan yang lain tidak mengenal A hingga Z, apalagi untuk mencoretkan hikayat dilembaran kertas putih ini. Tanpa seorang guru juga sudah pasti aku dan rakan-rakan seperjuangan hidup terumbang-ambing tanpa cahaya dari sebatang lilin yang membakar itu. Sesungguhnya lilin itulah yang memberi cahaya menerangi alam kegelapan seorang pelajar.

Dialah yang menegur langkah kealpaan, yang mewarnai karangan dukaku, yang meredah hutan-hutan mengharungi lautan ilmu, yang mengajar aku erti kehidupan, yang masih setia memberi harapan walau hati hampa luka berdarah, yang memarahiku kerana kasihnya dan yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam mendidik demi melihat insan cetek ilmu berjaya.

Jika aku mampu, aku ingin kembali membasuh luka dihati guru yang pernah aku calarkan, menyapu debu-debu kehampaan yang berselerak di wajahnya agar hilangnya dapat menyerikan kembali wajah itu dengan seulas senyuman kebahagiaan.

Sesungguhnya, dari sebatang lilin itu mempunyai maksud tersirat. Melalui tafsiranku sendiri, sumbu lilin yang menyala adalah cahaya yang menerangi alam kegelapan pelajar dengan ilmu pengetahuan yang guru-guru curahkan, batang lilin putih itulah keteguhan hati seorang guru dalam menghadapi karenah pelajar yang kadangkala menguris luka dihatinya. Sebatang lilin putih itu juga melambangkan ketabahan hati guru manakala cairan lilin itulah keringat dan pengorbanan seorang guru yang sanggup membakar dirinya sendiri. Lantas, ku ibaratkan mereka ‘Kau Sebatang Lilin’ wahai guruku.

Untuk yang bakal menduduki SPM esok pada hari Isnin (22 Febuari 2021). Semoga berjaya. Cerpen ini hadiah kekuatan dari saya untuk yang menghadapi SPM esok.

Ditulis 2011
- Writer Heart

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience