'''
AIR mineral di dalam botol diteguk perlahan. Menenangkan hati yang galau dek kejadian yang berlaku di rumah tadi.
Mujur jiran sebelah, Rohaya datang menjenguk. Wanita itu menawarkan diri untuk menjaga Hafizah memandangkan dia tidak mempunyai urusan hari ini.
Bangunan di hadapan dipandang resah. Dia sudah lewat lima minit. Kaki yang umpama jeli dibawa melangkah ke arah pintu masuk.
Baru sahaja tangannya ingin menolak pintu, secebis imbasan menerjah masuk ke dalam kotak fikiran.
"Pendrive!"
Dia berpusing dan berlari anak ke arah kereta. Nasib baiklah dia meletakkan kereta tidak terlalu jauh. Setelah mendapatkan apa yang dicari, pantas dia meluru masuk ke dalam bangunan itu semula.
Lif dituju, butang naik ke tingkat atas ditekan. Apabila pintu lif terbuka, terpampang wajah Ayuni. Rakan sekerjanya sebagai tea lady di syarikat ini.
"Yuni!" tegurnya ramah.
Ayuni mendongak apabila namanya dipanggil. Mata seolah terpaku memandang Fatin.
Air mukanya terus berubah. Ayuni merenung dalam wajah Fatin. Tanpa berlengah dia terus melangkah keluar. Bahu Fatin dilanggar kasar, jelas dengan sengaja hingga hampir-hampir sahaja Fatin terdorong ke belakang.
Fatin tercengang.
"Aku ada buat salah ke?" soalnya di dalam hati.
Punat bernombor 20 ditekan dengan hujung jari sambil otaknya ligat berfikir jika dia ada terlanjut berbuat sesuatu yang menyebabkan layanan Ayuni berbeza dari biasa.
Ayuni pantang dipanggil namanya pasti akan mula berceloteh tentang isu semasa sambil memaut mesra tangan Fatin hingga kadangkala naik rimas Fatin dibuatnya. Ayuni jugalah teman melepak, bagai belangkas ke hulu ke hilir bersama.
Ting!
Lif berbunyi menandakan dia sudah berada di aras 20 bangunan ini. Laju kaki melangkah. Dia sudah terlalu lewat. Pendrive harus dipulangkan, baju pun tidak ditukar lagi.
Waktu kaki laju mengatur langkah, satu suara memanggil.
"Fatin," panggil wanita berskirt lebar yang berada di mesen fotokopi. Belum sempat Fatin mahu mendekat, gadis itu sudah pun merapat. Wajahnya keruh.
"Fa... Fatin. Kau... Kau..."
Gadis itu tergagap-gagap mahu mengatakan sesuatu. Terasa cengkaman kuat pada kedua belah lengan Fatin. Fatin hanya diam, menunggu kata-kata yang dirasakan penting untuk dirinya.
"Husna. Kau kenapa? Apa kau nak cakap ni? Aku kena cepat ni tau," gesa Fatin. Lengannya sudah terasa lembap dek peluh dingin daripada tangan Husna.
Husna masih diam. Hujung bibir digigit. Risau dan takut kedua-duanya sedang bermaharajalela di sudut hatinya.
"Kenapa..."
"Kau jangan..."
"Fatin!"
Kedua-dua kepala automatik menoleh ke tepi. Tepat ke arah lelaki bersut hitam di hadapan pintu kaca. Mencerun tajam ke arah Fatin.
"Fatin..."
"Fatin masuk bilik saya sekarang!"
Tinggi nada suara itu menerjah seluruh telinga di dalam ruangan itu. Semuanya tersentak. Terbengkalai semua kerja tadi disusuli sunyi yang memanipulasi situasi.
"Baik, bos," akur Fatin dengan wajah yang sedaya upaya dimaniskan. Gila kalau dia tidak terkejut. Jika tidak dipasakkan betul-betul kakinya, mahu dia terloncat tidak jejak tanah.
Tanpa suara, lelaki tadi masuk ke dalam biliknya semula.
Husna menarik kuat hujung baju Fatin. Mencuri perhatian si gadis. Kepala digeleng laju.
"Jangan," larang Husna.
"Ish! Apa kau cakap ni? Karang bos mengamuk tak ke haru jadinya. Dah lah. Aku masuk dulu," balas Fatin. Senyum masih terpasak dibibir. Tangan Husna yang masih kejap memegang lengannya dilorotkan. Sempat bahu gadis itu ditepuk perlahan.
Sedar semua mata memandangnya sekarang. Tidak kalah hati yang seakan membangkang apa yang fizikalnya lakukan. Entah kenapa dia juga tidak pasti. Apa ini betul-betul baik mahupun ada taufan yang menunggu dihadapannya.
"Bismillahirrahmanirrahim..."
Tangan naik menyentuh tombol pintu.
"Assala..."
Matanya terpandang seseorang sebelum salamnya disambung dengan suara yang hampir tidak lepas dari kerongkong.
"... mualaikum..."
Senyum dilemparkan. Salamnya langsung tidak disahut. Sebaliknya seakan ada tamparan kuat dari satu arah ke wajahnya.
"Aduh!"
Terasa pedih di pipinya. Namun rasa pedih itu kini beralih pada bebola kertas yang sudah terbuka bungkusannya itu. Namun hanya sedikit yang dia dapat lihat. Anak mata kini terarah pada dua figura yang sedang berdiri memandangnya.
Sinis.
"Bos... Ke... Kenapa ni?" soal Fatin, entah pasti entah tidak jawapan jenis apa yang diterimanya nanti. Kepala dipanggung memandang kedua-dua insan itu. Bos, iaitu encik Zakaria dan tidak jauh dari jejaka itu berdiri, Jelita dengan wajah terselit kepuasan.
"Huh! Kau masih lagi boleh tanya aku kenapa? Jawapan terang-terang ada depan mata, apa kau nak suruh aku jawabkan untuk kau?" soal encik Zakaria kasar. Tiada sudah belas kasihan yang dia selalu berikan pada Fatin. 100% berubah kepada lelaki yang baran dan menuduh melulu.
"Apa yang encik cakap ni? Saya tak faham."
Fatin terus-terusan mahukan jawapan. Otaknya sudah tidak mampu memikirkan apa yang sebenarnya terjadi. Semuanya terlalu mengejut!
"Tu! Kau tengok gambar tu!"
Jari telunjuk tegak ke arah gumpalan kertas di lantai. Tanpa banyak soal, Fatin mengambil lalu membukanya cermat. Takut terkoyak dek bukaan kasarnya.
Tidak.
Ini semua hanyalah salah faham!
Meskipun kabur, matanya masih dapat menganalisa gambar itu dengan baik. Itu dia yang sedang mencari sesuatu di dalam laci meja kerja encik Zakaria. Tapi bukan itu yang sebenarnya. Ini semua tidak betul sama sekali!
"Buk... Bukan. Ini salah faham!" sangkal Fatin. Sejurus itu tangan laju mencari sesuatu di dalam poket bajunya.
"Ini. Saya tak curi benda ni. Saya hanya ikut arahan je. Hari ni saya nak pulangkan pada bos! Langsung saya tak ada niat untuk mencuri benda ni. Betul bos, saya tak tipu!" terang Fatin bersungguh-sungguh. Pendrive hitam berlogo syarikat di tapak tangannya dihulurkan kepada encik Zakaria. Dia teraniaya!
"Heh!"
Terbit senyum sinis di bibir lelaki itu. "Kau mempermainkan aku ke? Siapa yang bagi arahan untuk kau ambik benda tu? Aku tak arahkan apa-apa pun. Dah curi tak nak mengaku pulak?" tuduh encik Zakaria. Pandangan matanya mencerlung wajah Fatin.
"Saya tak curi. Betul! Saya ambik sebab cik Jelita yang suruh saya bawak balik. Pastu bagi balik kat bos hari ni. Tolonglah bos, percayalah. Cik Jelita, tolonglah cakap kat bos yang cik Jelita yang suruh saya bawak balik pendrive ni..." rayu Fatin. Wajah Jelita menggamit matanya. Diharapkan wanita itu dapat membelanya.
Sungguhpun begitu, Jelita menayangkan wajah terkejut. Lagaknya dia menerima tamparan hebat dari Fatin. Seakan Fatin menariknya untuk dijadikan rakan sekomplot. Kepala digeleng laju penuh dramatik. Siap tangan membuat tanda pangkah dan digoyangkan bersungguh-sungguh.
"Tak! Tak! Bos, saya tak suruh pun dia ambik pendrive tu. Kan saya dah cerita kat bos yang saya nampak dia selongkar laci bos. Jangan percayakan dia. Dia ni penipu. Dah mencuri tak nak mengaku. Lepas tu acah-acah kena aniaya. Bos tahu kan saya kerja sini dah lama, tak mungkinlah saya nak buat macam tu!" nafi Jelita. Berjaya membuatkan Fatin hilang kata.
Adakah ini perangkap?
Fatin hanya mampu diam. Air mata yang sedari tadi bertakung saat melihat segala lakonan Jelita kini tumpah. Mengalir dengan wajah yang jelas terkelu.
"Kenapa diam?"
Soalan itu bagai angin lalu. Mulut dibiarkan terkunci rapat. Membiarkan hati yang meluahkan segala kekecewaan.
Allah...
"Fatin! Aku cakap dengan kaulah!"
Allah...
Aku tak kuat...
"Woi! Perempuan! Dah mencuri nak jadi pekak pulak ke?"
Lama dia hanya berdiam diri sedangkan kedua-dua figura itu menengkingnya kuat. Tiada tindak balas.
Akhirnya Fatin menghela nafas perlahan. Air mata yang berjuraian lebat diseka dengan lengan baju.
"Kalau bos percaya..."
Pendrive yang berada di dalam genggamannya diletakkan di atas meja kerja encik Zakaria. Seterusnya mata lelaki itu ditentang.
"... hukumlah saya."
Encik Zakaria gamam. Entah kenapa pandangan Fatin mencucuknya halus.
"Humban saya dalam jail. Rasanya itu memadai," tambah Fatin lagi. Kedengaran menerima segala tuduhan secara rela. Namun tindakan gadis itu membuatkan encik Zakaria berbelah bahagi.
Benarkah Fatin tidak bersalah dalam hal ini? Atau dia terlalu percayakan Jelita?
Ya, Jelita memang sudah lebih tiga tahun bekerja di sini. Namun, dia mengenali Fatin lebih lama. Mereka juga... Sangat akrab. Tapi...
"Zack... mintak maaf, Atin..."
Entah kenapa bibirnya mengucapkan bait perkataan itu. Di luar kesedarannya. Jelita bungkam.
"Jangan libatkan hal dulu, bos. Hukum saya. Saya pesalah. Saya mencuri. Berlakulah adil," tekan Fatin. Benci mendengar lelaki itu menggunakan nama itu untuk mereka berdua.
"Saya..."
"Pecat dia bos. Kita ada semua bukti. Video yang saya tunjuk dah cukup untuk buktikan yang dia mencuri. Pendrive tu penting untuk company ni kan?" desak Jelita. Panas hatinya melihat tegang wajah bosnya mengendur.
"Kalau macam tu, saya akan berhenti. Terima kasih, bos atas layanan baik sepanjang saya bekerja di sini," akur Fatin.
"Terima kasih, cik Jelita. Saya mintak diri dulu," pinta Fatin sejurus kaki di hala ke pintu. Biar pun keputusan ini seakan melulu. Meski terputus sudah sumber rezekinya, dia rela. Daripada menerima segala tuduhan lain lagi selepas ini. Cukuplah selama ini dia dihina.
Lebih baik dia tinggal sahaja di rumah. Menguruskan segala hal keluarga. Memandangkan Firdhaus sudah punya pendapatan tetap, memadai untuk mereka sekeluarga.
Segala barangan di dalam loker besinya diambil. Dikemaskan ke dalam beg galas yang selalu dibawa bersama.
"Fatin... Kau okey tak?" soal Husna. Sejak Fatin keluar dari bilik bos, Husna asyik bersamanya. Menanyakan dia okey mahupun tidak.
"Okey je," jawab Fatin untuk kesekian kalinya. Zip beg ditutup kemas. Nasiblah dia tidak punya banyak barang. Hanya dua pasang baju ganti beserta uniform tea lady.
"Bos pecat kau ke?" soal Husna penuh berhati-hati. Takut mengguris hati Fatin.
Tipis Fatin melorek senyum. "Tak, aku yang mintak berhenti. Aku pergi dulu, Husna. Kau elok-elok kerja. Assalamualaikum."
Bahu Husna ditepuk beberapa kali. Belum sempat Fatin melangkah melepasi Husna, gadis itu terlebih dahulu merangkul tubuh Fatin ke dalam pelukannya.
"Aku akan rindu kau nanti," kata Husna. Tergelak Fatin mendengarkan Husna yang seakan kanak-kanak kecil itu.
"Macamlah nanti tak boleh jumpa. Dah lah. Aish... Malu pulak orang tengok. Dah... Kerja sana," potong Fatin. Sempat dia mencuit perut Husna. Terloncat gadis itu, geli.
"Bai bai... Jumpa lagi tau!"
"Yelah..."
DAUN pintu ditolak dengan badan. Tangan menjimbit beg plastik. Kesemuanya memberat dek barangan yang terisi di dalamnya.
"Assalamualaikum..." laung Fatin. Wajah dimaniskan.
"Wa... alaiku... mussalam. Kak. Dah... ba... balik?"
Rafina datang menyapa. Ringan tangannya membantu. Satu plastik sederhana besar diambil. Sejuk hati Fatin dengan perlakuan anak istimewa itu.
"Ha'ah... Akak tak kerja dah. Akak cuti la....... ma!" jawab Fatin. Tangan didepakan sehingga hampir terkena Rafina. Tergelak Rafina dengan perbuatannya.
"Cu... cuti?"
"Yep! Lepas ni, bolehlah kita buat semua benda sama-sama. Fina nak buat apa? Kita buat sama-sama," pancing Fatin, sengaja membuat adiknya teruja.
"Woah... seronok... nya!" sahut Rafina. Bertepuk tangan dia dek terlalu gembira.
"Ha... Tapi ada syarat tau! Fina kena tolong akak masak. Macam mana? Boleh?"
"Boleh!"
Laju Rafina berlari ke dapur. Semangat mahu membantu kakaknya. Fatin tersenyum sendiri. Sambil berjalan menuju ke dapur, matanya mengintai 'kalau-kalau' ternampak kelibat ibunya di mana-mana.
"Fina, ibu mana?" soal Fatin. Plastik berisi barang yang dibelinya tadi diletakkan di atas meja. Rafina yang sedang menyusun buah-buah di dalam bekas terus menoleh.
"Tidur," jawab Rafina, ringkas. Tangan kembali melakukan kerjanya. Fatin tidak mahu berlengah. Dia membuat apa yang patut sebelum mereka berdua lincah menyediakan segala perkakasan untuk memasak.
"WOI!"
Sergahan kuat membuatkan telefon yang berada di tangan hampir terlepas. Automatik kepala tertoleh ke kiri dan ke kanan. Semua orang sedang memandang dirinya pelik. Melihat mata mereka turut terpandang ke arah sesuatu, membuatkan kepalanya tertoleh sama.
Sebaik pandangannya tegak ke hadapan barulah dia dapat menangkap siapa yang menyergah secara tiba-tiba. Atau lebih tepat, siapa yang disergah tadi. Fatin Awina kini tepat memandangnya sambil tersenyum lebar. Nampak sangatlah 'suprise'nya menjadi!
Jari telunjuk gadis itu bergerak-gerak ke hadapan dan ke belakang seakan memberi isyarat supaya Firdhaus Imran masuk ke dalam kereta. Tanpa berlengah, Firdhaus hanya menurut meskipun ada mata-mata yang menumpu ke arahnya.
"Kau rupanya. Aku ingat 'speaker rosak' mana yang sesat sound orang kat sini. Buat terkejut je. Kalau bagi salam boleh tahan jugak. Jatuh saham aku," leter Firdhaus sebaik dia menutup pintu kereta. Tali pinggang dipakai elok sebagai langkah keselamatan.
Fatin menjeling menyampah sambil bibir mencebik mengejek.
"Saham la sangat! Menyampah aku. Setakat doktor baru masuk apalah sangat. Kau patut berterima kasih tau kat aku. Aku comfirm esok kau famous teruk kat satu hospital ni! Ha... jangan main-main! Nanti bila orang tengok je mesti dia orang akan cakap, 'Eh, nilah doktor yang kena sound dengan awek cun semalam. Woah... bukan kaleng-kaleng dia ni.' Ha... centu!" bahan Fatin dituruti dengan ketawa mengekek di hujung bicaranya.
"Aku pulak yang menyampah dengan kau! Cun konon! Masuk bakul angkat sendiri! Banyaklah kau punya famous. Buat malu aku adalah!" balas Firdhaus. Ada sahaja perang mulut yang bakal berlaku apabila mereka bertembung. Meriah terus suasana. Hingga tenggelam suara DJ bercakap di dalam radio dek perbualan mereka.
Fatin tergelak mendengarkan balasan Firdhaus. Lupa sudah perihal malangnya hari ini. Kereta diberhentikan dek lampu isyarat yang berwarna merah di hadapan.
"Eh, bukan kau cakap hari ni kau lambat sikit ke? Ni, macam awal je. Baju pun siap tukar," soal Firdhaus. Pelik pula dia apabila Fatin mengambilnya awal hari ini. Sedangkan Fatin sudah memberitahu awal-awal bahawa gadis itu akan menjemputnya lewat hari itu. Memandangkan waktu habis kerja mereka sama dan syarikat tempat Fatin bekerja juga agak jauh dari hospital itu.
"Saje. Tak boleh ke? Salah?"
Soalan berbalas soalan. Membuatkan Firdhaus mendecit geram.
"Tak adalah salah. Cuma... Pelik. Sikit," jawab Firdhaus. Sekejap dia mengerling memandang Fatin yang sudah berubah air mukanya itu. Tegang.
Tidak mahu bertanya lagi, Firdhaus membuang pandangan ke luar tingkap. Membiarkan radio yang mengambil alih suasana. Dia pun letih. Baik lelapkan mata sementara Fatin memandu pulang ke rumah.
"Ada nak singgah mana-mana?" soal Fatin tiba-tiba.
Terus tidak jadi Firdhaus mahu menutup mata. Terpisat-pisat dia memandang Fatin yang memutarkan stereng sewaktu mereka masuk ke selekoh tajam.
"Aiskrim? Boleh?"
"Hmmm..."
Tidak lama selepas itu, kereta mereka sudah masuk elok ke tempat parkir kereta. Di hadapannya pula 7eleven yang papan tandanya menyala terang.
"Turunlah pergi beli!" arah Fatin apabila menyedari Firdhaus hanya diam meskipun mereka sudah sampai hampir seminit. Firdhaus memandang Fatin sambil mengerdipkan mata berkali-kali.
"Kau pergilah beli. Aku penatlah..." pinta Firdhaus.
"Mengada!"
Fatin menjeling Firdhaus seketika sebelum dia turutkan permintaan adiknya itu. Nasib angin dia baik hari ini. Empat plastik dan sebekas aiskrim besar dibawa ke kaunter. Sedang menunggu penjaga kaunter itu mengira kesemua barangan yang dibelinya, televisyen kecil di dalam kedai itu menarik perhatiannya.
Dia terdiam. Tanpa sedar, ada cecair yang bergenang di kelopak matanya.
'Tak adil!'
Words : 2,297
Share this novel