Rate

01

Mystery & Detective Series 4697

'''

KOSONG. Pandang kosong dihalakan ke hadapan. Kejap tangan memegang stereng kereta. Parkir kereta yang penuh dengan kenderaan kakitangan di tempat rawatan khas itu dipandang kosong. Hadirnya dia di sini adalah untuk memastikan adik kembarnya menjalani hari pertama sebagai seorang doktor tanpa sebarang masalah. Namun, belum sempat kaki lelaki itu menongkah langkah ke dalam hospital itu, timbul pula satu masalah.

     Bunyi dengusan nafas yang kedengaran sesak itu membuatkan dia meraup muka. Dialihkan pandangan ke sebelah kiri. Tempat di mana kembarnya, Firdhaus Imran sedang bertungkus-lumus meredakan nafas dengan bernafas di dalam beg kertas. Rasa simpati menjalar di dalam diri meskipun perkara itu sering terjadi. Tangan naik menggosok belakang si kembar.

     "Uhuk! Uhuk! Emph!"

     Pap! Pap!

     Firdhaus menepuk dadanya yang terasa ketat. Merah wajahnya menahan sesak. Terbatuk-batuk dia sambil cuba menarik nafas panjang. Sukar namun dia harus teruskan.

     "Hah! Hah! Hah!" Termengah dia apabila nafasnya perlahan-lahan kembali dapat dikawal. Tarik nafas... Hembus... Banyak kali diulang.

     "Dah?" soalnya sambil mengerling wajah merah itu. Berpeluh-peluh! Melihat lelaki itu mengangguk, air meneral yang sentiasa di bawa dihulurkan.

     "Terima kasih," ucap Firdhaus dengan suara menahan perit. Air diteguk perlahan-lahan. Khuatir akan tersedak jika terlalu rakus. Akhirnya dia tersandar pada kusyen. Lega...

     "Kau dah kenapa? Dah lama dah kau tak jadi macam ni," soalnya diselangi dengan bebelan di akhir kata. Ya, sudah lama perkara ini tidak terjadi. Fikir lelaki itu sudah bebas dari penyakit itu, rupanya masih kekal.

     "Aku gugup sangat tadi, Atin. Itu yang sampai jadi macam ni. Sorry weh susahkan engkau," pohon Firdhaus. Wajah kembarnya, Fatin Awina dipandang dengan rasa serba salah. Haih... Fikirnya hari pertamalah hari yang paling membawa tuah, rupanya ada malang yang menyinggah.

     "Tak ada hal la. Kau tu, jangan sampai tengah kerja kau buat hal pulak. Bahaya tau tak! Bukannya boleh kau kelek beg kertas tu ke hulur ke hilir. Kau pun ada tugas, Daus. Tak pasal-pasal pesakit yang kena rawat kau nanti," pesan Fatin panjang lebar. Si kembar hanya mengangguk beberapa kali tanda faham.

     "Aku tahulah. Tak payah risaukan aku sangat..." tukasnya bersama mempamerkan wajah bangga. Bangga melihat si kakak risau akan dirinya.

     "Lambat lagi aku nak risaukan kau. Aku risaukan aku ni ha! Tak pasal-pasal aku yang kena hadap masalah kau nanti. Dah! Keluar sana. Dah pukul berapa dah ni. Nak kerja ke tak nak?" halaunya bersama kedua belah tangan menolak lelaki berkot putih itu keluar. Dengan rela hatinya Firdhaus buat muka bosan. Diturutkan juga. Pintu dibuka sekaligus mencapai beg sandang yang berada di bawah kerusi. Terus disangkutkan pada bahu.

     "Halau nampak! Yelah, aku pergi dulu tau. Tengokkan Fina dekat rumah. Ibu pun. Merayap lagi susah pulak kau mencari," pesan Firdhaus bersungguh-sungguh. Disertakan jari telunjuk tepat dihalakan ke wajah Fatin meskipun jarak mereka tidak begitu dekat.

     "Ya, doktor Firdhaus. Aku ingat. Bukan susah pun nak cari ibu tu. Tahulah aku macam mana nak uruskan nanti. Sudahlah, aku nak kena pergi dulu ni. Risau adik meragam nanti. Bye!"

     Tangan dilambaikan ke arah Firdhaus. Lelaki itu membalas sambil tangan kirinya memegang kemas fail yang dibawa bersama. Usai berbalas senyum, kereta Myvi hitam itu keluar dari tapak hospital.

     Sedang tangan dah kaki bekerja mengawal kenderaan beroda empat itu, fikirannya separa menerawang memikirkan hal keluarganya.

     Firdhaus Imran. Tampak sahaja cekal dan tenang dari luaran, namun terselit seribu satu kedukaan yang langsung tidak dapat dia buang dari kotak memorinya. Akibatnya, penyakitnya akan hadir menyerang secara tiba-tiba.

     Hyperventilasi, penyakit yang dihidapi Firdhaus Imran. Firdhaus akan bernafas dengan lebih laju pada situasi seperti tadi. Gugup, bimbang mahupun panik, penyakit ini akan mudah menyerangnya pada situasi begini. Hal ini disebabkan terlalu banyak karbon dioksida dihembuskan keluar. Hasilnya, tahap karbon dioksida di dalam darah dan tisu otak menurun. Meskipun Firdhaus sendiri tahu amat berisiko baginya bekerja di pusat rawatan itu, namun lelaki itu tetap berdegil.

     Katanya, buat apa berdiam diri dan terus mengelak penyakit ini? Macam mana dia mahu sembuh? Jadi, dia membuat keputusan untuk menghadapi keadaan ini dengan sendiri. Atau dengan kata lain, mencabar dirinya.

     Tuk! Tuk!

     Ketukan kedengaran pada cermin tingkap kereta disusuli dengan suara budak menyapa. Automatik kepala ditoleh ke kanan. "Fina!"

     "Kakak! Kakak!" tempik remaja perempuan di luar kereta. Memanggilnya supaya memandang ke arah si pemanggil. Rafina Auni, gadis yang berusia 15 tahun namun langsung tidak sesuai dengan saiz badan yang kecil serta perangai yang sukar dijangka dek akal manusia biasa. Dan dia juga... Tempang!

     Menyedari akan panahan cemas gadis itu, cepat-cepat pintu kereta dibuka. Lihat dari aksi Fina tahu ada sesuatu yang berlaku.

     "Fina, kenapa ni?"

     Terus disoal Rafina sebaik keluar dari kereta. Gadis itu resah sendiri. Tangannya menguis-nguis sesama sendiri. Anak matanya juga galak ke arah berlainan.

     "Fina, kenapa? Bagitahu akak..." suara Fatin lagi. Kali ini kedengaran perlahan dan lembut. Baru dia sedar yang nada percakapannya terlalu laju tadi. Rafina tidak boleh menangkap perkataan yang diberitahu olehnya. Tangan naik mengusap bahu Rafina.

     "Ta... Tadi. Ma... ma... mak cik tu... Di... Dia tolak Fina..." beritahu Rafina perlahan-lahan agar kakaknya bisa memahami apa yang cuba disampaikan. Fatin sudah mengajarnya. Dia juga tahu yang dia gagap. Jika bercakap terlalu laju, apa yang cuba disampaikan tidak akan difahami sesiapa.

     "Bukan mak cik, Fina. Dia ibu kita. Ibu Fina, ibu kakak, ibu abang. Dia ibu kita," beritahu Fatin, sekali lagi bernada lembut. Sudah beberapa kali Rafina menggelarkan ibu mereka sebagai mak cik. Mungkin disebabkan ibu mereka tidak pernah melayan Rafina seperti ibu lain sejak lahir hinggalah sekarang. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

     "Fina, tadi Fina cakap ibu tolak Fina kan? Kenapa?" soal Fatin. Entah kenapa dia merasakan ada sesuatu yang berlaku. Dipandang sekeliling kawasan rumah kecil mereka. Cuba mencari kelibat si ibu.

     "Di... Dia lari. Di... Dia pe... pecahkan ma... mangga tu," jawab Rafina sekaligus membuatkan Fatin ternganga luas. Tangan Rafina naik menunjuk ke arah pagar rumah yang sudah bengkok kuncinya. Fatin menepuk dahi.

     "Ibu ni kan..." keluhnya. Badan disandarkan pada badan kereta. Rafina hanya memandang Fatin sambil tangan sentiasa bermain sesama sendiri.

     "Jom, Fina. Masuk kereta," arah Fatin seraya masuk ke dalam kereta. Rafina hanya menurut. Kaki dibawa ke pintu sebelah tempat pemandu dengan langkah yang terhincut-hincut.

     PINTU kaca itu ditolak, seiring melangkah ke dalam. Dari jauh, dia sudah menangkap figura yang dicari. Sudah dijangka disinilah ibunya berada. Hafizah yang terduduk di hadapan kaunter aduan itu kelihatan resah sendiri. Mulut tidak henti bercakap seakan mengadukan sesuatu. Wanita berseragam biru gelap, penjaga kaunter itu hanya melayan karenah si ibu.

     Fatin melempar senyum tatkala pandangan mereka bersambung dengan pegawai polis wanita itu. Lagaknya seakan sudah lama kenal. Lihat sahaja cara layanan wanita itu ke atas ibunya, seakan sudah terbiasa. Syukurlah ibunya tidak diperlukan sesuatu yang tidak sepatutnya.

     "Ibu..." serunya sebaik mendekati Hafizah. Seruan Fatin seakan angin lalu. Rafina tidak mahu masuk sama, dia sendiri mahu kekal di dalam kereta. Fatin faham mengapa adiknya bertindak sebegitu.

     "Ibu..." seru Fatin lagi. Tangan naik menyapa bahu Hafizah. Akhirnya, tertoleh juga kepala Hafizah memandangnya. Riaksi yang diterima bagaikan sudah dijangka Fatin. Berkerut-kerut wajah Hafizah memandangnya.

     "Kau siapa?" Hafizah menyoal. Wajahnya polos seakan dia sememangnya tidak mengenal Fatin. Fatin hanya mempamer senyum. Sempat dia berbalas pandang dengan wanita berseragam tadi. Wanita itu hanya tersenyum.

     "Ni Fatin, bu... Anak ibu. Ibu lupa?" jawab Fatin, menyelitkan soalan dihujung kata. Sengaja menduga Hafizah. Seperti kebiasaannya kepala Hafizah terangguk-angguk. Seakan memorinya sudah kembali bercantum. Senyum gembira tersungging di bibir.

     "Oh... Fatin! Fatin anak ibu!"

     Serta merta Hafizah menarik tubuh Fatin ke dalam pelukan. Jejak kasih di balai polis. Seperti selalu. Sesiapa yang baru bekerja di sini mungkin akan pelik dengan aksi mereka. Namun bagi mereka yang sudah lama, hanya mampu tersenyum. Terkadang buat tidak endah sahaja.

     "Fatin... Fatin... Jom kita buat report. Report pasal abah. Abah Fatin hilang, nak. Dah lama tak balik ni... Ibu risaulah..." luahnya, menzahirkan segala kecelaruan hati. Fatin ditarik duduk di kerusi di sebelahnya. Fatin hanya menurut. Sebaik mata bersambung dengan pegawai wanita itu, terus anggukan diberi.

     Kini giliran wanita itu pula. "Puan Hafizah, laporan sudah dibuat. Sekarang, kita tunggu sahaja berita dari pihak atasan. Kami akan berusaha mencari. Terima kasih sebab berurusan dengan pihak kami," beritahu wanita itu sopan. Sejurus itu, wajah lega dari Hafizah terpamer seakan harapan baru sudah pun berputik.

     "Puan, balik dahulu ya? Apa-apa berita terbaru, kami akan hubungi Puan."

     Hafizah mengangguk. Dia mula bangun dari duduknya seakan, sudah berura untuk pulang.

     "Terima kasih, Jasmine," ucap Fatin sebelum dia menapak pergi bersama Hafizah. Jasmine hanya mengangguk tanda 'sama-sama'. Pemergian dua susuk bergelar ibu dan anak itu dipandang sehingga hilang kelibat itu dari pandangannya.

     "Kesian cik Jah. Kau sabar jelah Fatin..."

     Kasihan setiap kali wanita tua itu datang ke sini dan pengakhirannya muncul Fatin yang memujuk ibunya pulang. Dia masih ingat lagi tiga tahun lepas, sewaktu dia mula bekerja di balai polis ini. Sememangnya dia terkejut sewaktu Hafizah hadir ke meja aduan. Hampir sahaja dia merekodkan aduan itu, balik-balik Fauzana si pegawai yang sudah lama bekerja di sini mengetawakan dirinya. Rupanya, Hafizah tidaklah normal seperti mereka. Manakala aduan yang sering diadukan oleh Hafizah berkenaan suaminya sebenarnya sia sia kerana suami Hafizah sudahpun meninggal dunia.

     Hampir setiap hari jugalah dia menghadap Hafizah yang tidak lengah mengadu akan kehilangan suaminya. Dan situasi ini berulang hinggalah ke hari ini.

PINTU rumah dikuak perlahan. Rafina berlari anak masuk ke rumah, lagaknya gembira dia sudah berada di dalam rumah sendiri. Sofa yang terdapat televisyen bersaiz sederhana dituju seraya tangan mencapai remot tv.

     "Ibu, jom," pelawa Fatin. Hafizah hanya menurut sahaja. Emosi sedih yang bertandang sedari tadi masih dibawa hingga kini. Usai pintu ditutup, Fatin mengorak langkah menghampiri Rafina. Bibirnya berkata sesuatu hinggakan Rafina terangguk-angguk sendiri.

     "Ibu... Atin nak pergi kerja dulu tau. Ibu duduk dengan Fina kat rumah. Jangan keluar pergi mana-mana. Nanti pukul lima karang, Atin balik," beritahunya. Belakang badan Hafizah diusap lembut. Rafina tidak lupa datang mendekat.

     Hafizah yang tadinya termenung jauh, memandang Fatin semula. Kemudian beralih pada Rafina di sebelah. Langsung dahinya berkerut seribu.

     "Tak nak! Atin... Atin kenapa nak tinggalkan ibu dengan budak ni? Dia ni siapa, Atin?" soal Hafizah. Bersungguh-sungguh. Siap ditundingkan jarinya pada Rafina yang hanya membatu di sebelah.

     Fatin memandang Rafina. Kelihatan gadis itu langsung tidak terkutik. Mungkin dia tidak faham akan kata-kata Hafizah. Terlampau laju untuk dia memahami dan memproses ayat itu.

     "Ibu... Ni, Fina la... Anak ibu jugak. Adik Atin, adik Dhaus. Dia keluarga kita..."

     Fatin bernada memujuk. Matanya menembus ke anak mata Hafizah, sungguh dia berharap ibu mereka faham akan hal ini.

     "Tak nak! Ibu tak nak duduk dengan budak ni! Dia ni..."

     Hafizah tidak meneruskan kata-katanya, sebaliknya meninggalkan jeda sambil mata galak memandang Rafina atas bawah. Rafina yang menyedari pandangan itu resah sendiri memerhatikan setiap inci tubuhnya yang dibaluti baju besar itu.

     "... cacat! Dia bukan anak aku!" sambung Hafizah. Membentak semahunya. Sejurus itu dia menolak Rafina menjauh. Fatin ditarik untuk berada di belakangnya. Bulat mata Fatin memandang Rafina yang sudah tersembam ke lantai.

     "Fina!"

     Bingkas Fatin mahu mendapatkan Rafina. Risau adiknya itu cedera. Hafizah yang menariknya sedari tadi tidak diendah.

     "Fina, Fina okey tak?"

     Badan Rafina ditilik. Dari kaki, lutut, tangan dan hinggalah matanya terpandang... wajah Rafina.

     "Fi... Fina..."

     Fatin gamam.

     "Kak... Fi... Fina sakit..." luah Rafina. Dadanya disentuh. Air mata yang mengalir tidak henti dari tubir mata membuatkan Fatin hilang kata. Meskipun wajah Rafina tidak berperasaan, Fatin faham. Rafina terkilan meskipun tidak secara literal.

      "Fina..."

      Fatin hanya mampu menyeru nama Rafina. Hatinya juga turut terasa dengan dengan kelakuan Hafizah. Meskipun dia tahu ibu mereka itu tidak begitu normal.  Dalam suasana diulit rasa, Hafizah secara tiba-tiba menolak kembali tubuh Rafina. Bingkas juga tangannya menarik Fatin menjauh.

     Jijik dipandang wajah Rafina.

     "Fatin tak boleh dekat. Tak boleh dekat dengan budak tu! Budak tu tak betul, Atin," ujar Hafizah. Entah kenapa perbuatan dan kata-kata Hafizah membuatkan darah Fatin berderau marah.

      "Ibu... cukup."

      Fatin ketap gigi. Sedaya upaya menahan marah. Lirih hatinya melihat wajah Rafina tersembam pada lantai. Semakin galak juga mata Rafina mengalirkan air mata. Gadis itu terluka!

      "Atin... Atin kena dengar cakap ibu. Atin kena halau budak ni! Jijiklah!" arah Hafizah. Tangannya menunding ke arah Rafina berkali-kali. Dan setiap tundingan itu dipandang Fatin tajam.

     "Ibu!"

     Hafizah tersentak hebat.

     Suara Fatin naik seoktaf. Dia sudah tidak boleh membiarkan semua ini terjadi. Sabarnya sudah diluar batasan. Geram! Tidaklah dia bermaksud untuk meninggikan suara kepada ibunya. Cuma, sikap ibunya ini tidak boleh dikawal jika terus berlembut. Salahkah dia?

     "Ibu! Atin nak pergi kerja la ibu. Petang karang nak ambik angah lagi. Ibu kenalah faham Atin. Kita nak makan apa nanti kalau Atin tak kerja. Atin tak boleh jaga ibu hari ni. Kan semalam Atin dah ambik cuti, nak jaga ibu. Kenapa ibu buat Fina macam tu? Dia pun anak ibu! Ibu kena ingat apa yang Atin cakap ni. Fina, sakit. Ibu tak boleh buat macam tu dekat dia. Walaupun ibu tak ingat, sekurang-kurangnya ibu berlembut dengan dia. Ibu faham tak?"

     Panjang lebar Fatin memberi penjelasan. Wajah masam ibunya dipandang dengan ekspresi wajah yang kecewa. Sabar yang menipis di dada tadi diredakan sedikit demi sedikit dengan istighfar di dalam hati. Meskipun keadan ibunya begini, dia tetap ibunya. Insan yang melahirkan dirinya.

     "Atin... Atin marah ibu. Atin marah ibu... Atin tak suka Ibu. Atin jahat!" adu ibunya. Meluahkan tanggapannya pada si anak. Terus Anis meraup rambut pendeknya. Nafas ditarik dan dihembus berkali-kali. Hati memanjat doa agar Tuhan meminjamkannya kesabaran menghadap situasi sekarang.

     "Ibu..." serunya. Kali ini lebih lembut, bernada memujuk. Tangan cuba menyentuh lengan tua ibunya.

     "Jangan sentuh akulah! Kau bukan anak aku. Kau tak sayang aku. Rahman je yang sayang aku!" bentak si ibu. Tiba-tiba wajahnya bertukar mendung. Langkah sudah dibawa ke pintu. Berlari anak Anis ingin mengejar.

     "Rahman... Mana Rahman?"

     Mata Hafizah meliar ke sekitar kawasan rumah. Mencari susuk tubuh yang dirindui. "Atin... Abah mana, sayang? Abah belum balik lagi ke?" soal Hafizah, kedengaran sayu. Tiada lagi nada yang kedengaran membentak tadi. Hanya tinggal seorang Hafizah dengan rindu yang menebal di hati.

      "Ibu..."

.
. .

Words: 2,293 Nahhh... Apa pendapat korang? InsyaAllah next update will coming soon. Itupun kalau takde apa-apa masalah. Sebenarnya ada perkataan yang perlu di-italickan (disendengkan) untuk membezakan perkataan asing dan bukan asing. Tapi sy tak tahu macam mana nak sendengkan perkataan tu. Harap korang boleh bezakanlah ya yang mana satu perkataan asing tu. Done for here! Harap korang enjoy!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience