“Terima kasih, doktor,” ibuku sudah semakin tenang. Terima kasih, doktor sebab dah tenangkan perasaan ibu saya…
“Sama-sama. Err, mak cik…” panggil si doktor.
“Ya saya,” ibuku menyahut.
“Saya minta maaf sebab saya yang mengambil alih tugas merawat dia. Saya minta maaf sebab terpaksa merawat bahagian dadanya. Bukan niat saya nak…” tergagap-gagap si doktor cuba menerangkan hal itu kepada ibuku.
“Tak apa, doktor. Itu dah memang tugas, doktor. Mak cik faham,” ibuku memahami tetapi aku? Dia dah melihat dadaku? DADA?! Kalau kaki, aku boleh terima lagi. Ini, aset terpentingku. Bagaimana rupa dadaku? Banyakkah kesan belahan dan jahitannya?
Ibu… teruk aib yang Kira terima ni, ibu! Kenapa mesti doktor ini yang merawatku? Kenapa tidak doktor perempuan? Kenapa mesti dia? Malunya aku! Aibku… astaghfirullahalazim. Aku nak menangis pun aku tak mampu tetapi… aku memang perlu menangis. Aibku!
“Baiklah mak cik. Terima kasih sangat-sangat sudi faham tugas saya. Tak semua ahli keluarga faham tempat seorang doktor. Terima kasih banyak-banyak. Saya akan datang semula untuk melihat perkembangan Cik Mimie Kirana. Sama-sama kita doakan kesembuhan dia, ya mak cik? Kuatkan diri. Beri dia semangat,”
si doktor masih sudi menenangkan ibuku. Aku berasa sedikit lega. Sekurang-kurangnya ada yang sudi ‘menggantikan’ tempatku. Buat ibuku rasa selesa sedikit.
Aku berharap sangat si doktor sudi menyimpan rahsia besarku. Janganlah dia membawa cerita itu ke mana-mana. Biarlah setakat di hospital sahaja…
“Terima kasih, doktor,” ibuku berterima kasih.
“Kira, rasa tak ibu pegang tangan Kira ni?” soal ibuku. Ibuku sedang pegang tanganku? Kenapa jasadku bagaikan tidak merasa apa-apa? Kaku! Ibu, Kira tak rasa pun! Betul ke ibu pegang, bu? Soalku di dalam hati.
“Dua puluh empat tahun yang lalu tangan Kira… kecik sangat. Ibu letak jari kelingking dan Kira genggam kuat-kuat. Selepas itu, ibu dan arwah ayah bagi Kira genggam dua jari kami. Jari telunjuk dan jari hantu semasa hendak mengajar Kira berjalan.
Waktu tu Kira baru sebelas bulan lebih. Tapi Kira dah pandai berdiri tegak dan melangkah setapak dua. Dan sekarang, tangan ibu dah sama besar dengan tangan Kira. Ibu sedih. Anak ibu dah membesar. Bila Kira kahwin nanti, ibu akan kesepian pula.
Bukan niat ibu nak halang minat Kira. Cuma… ibu nak sangat dapat jumpa Kira, sekurang-kurangnya di waktu malam. Bila Kira sibuk dengan rekaan Kira, sampaikan Kira tak hiraukan jam berapa Kira tidur, jam berapa Kira bangun.
Kita pun dah jarang berjumpa meskipun duduk sebumbung dan… ya, ibu rindukan anak ibu… ibu hanya mampu selimutkan Kira sewaktu Kira tidur. Bukan niat ibu nak suruh Kira berhenti buat kerja Kira tapi… ibu nak Kira kerja macam orang lain. Ada waktu untuk keluarga di sebelah petangnya,” ibuku berbual denganku. Dadaku sebak.
Ya, memang patut aku dipersalahkan. Ibuku hanya ingin masa bersamaku. Sepanjang aku mula mereka pakaian ini, memang jarang aku bertemu ibu lagi meskipun kami serumah. Kasihan ibu… pada waktu malam, aku sibuk menjahit sehingga lewat enam pagi.
Selepas itu, aku tidur dan bangun pada pukul satu. Ibu pula bekerja di waktu itu. Kemudian, bila ibu balik pada petangnya, aku pula sibuk dengan melukis rekaan terbaru di bilik tidurku dan… kembali berkurung di dalam bilik menjahitku untuk menyiapkan kerja-kerjaku. Memang patut ibu merungut. Aku tak bersyukur langsung! Aku anak yang teruk!
“Kira, ibu nak Kira bangun. Nanti, setiap kali Kira berjaga siapkan rekaan Kira, ibu nak jadi orang pertama yang melihatnya. Ibu nak temankan Kira menyiapkan kerja Kira supaya Kira tak kebosanan.
Tangan ni, kreatif. Ibu berbangga dapat anak macam Kira. Bangga sangat. Janji dengan ibu, jangan tinggalkan ibu? Separuh nyawa ibu terbang bila tengok keadaan Kira macam ni. Sebak sangat, Kira,” ibuku berkata lagi. Aku menangis di dalam hati. Kira teringin nak tengok muka ibu lagi… Kira takkan tinggalkan ibu…
Share this novel