BAB 1

Drama Completed 6167

“Ini adalah tugas saya, maafkan saya. Demi Allah saya lakukan ini demi menyelamatkan awak. Saya tak berniat langsung nak mengambil kesempatan ke atas awak. Inilah tugas saya. Saya minta maaf. Saya terpaksa merawat bahagian dada cik. Keadaan cik sangat kritikal sekarang ini, Bismillah…” suara seorang lelaki sayup-sayup kedengaran di telingaku.

Aku sedang bermimpi atau ini sebenarnya realiti? Kenapa aku rasa sakit sungguh di bahagian dada? Kenapa? Rasa senak, perit, pedih! Tak tahu hendak gambarkan bagaimana. Apa yang sudah terjadi kepadaku? Aku di alam mana? Mata juga tidak mampu kubuka. Mungkin aku masih di alam mimpi.

Tidak! Setahu aku, tadi aku sedang bergaduh dengan ibu. Ya! Aku menjadi anak derhaka. Ya Allah! Mana ibuku? Apakah rasa sakit yang mencucuk ini merupakan kifarah ke atas apa yang aku telah lakukan pada ibu? Aku telah lukakan hati ibuku! Sungguh aku tak sengaja… ibu aku mana?

“I… ibu…” sakit sungguh, ya Allah! Derita yang ku tanggung ini… sungguh perit. Pedih. Terasa hendak menangis tapi aku tak mampu.

Tiba-tiba tubuhku terasa kebas akibat dicucuk sesuatu yang tajam. Jarumkah? Ngilunya… selepas itu, segala kesakitanku, tiada rasa lagi. Suara-suara itu juga semakin perlahan.

“Doktor! Keadaan pesakit semakin lemah!” suara seorang gadis kedengaran agak cemas. Siapa pesakitnya? Akukah? Tak mungkin! Benarkah aku?

“Bersedia… Cik Kira, saya tahu cik seorang yang kuat. Cik bertahan ya? Ibu cik teringin nak bersama dengan cik semula. Nurse, kita…. bla… bla… bla…” aku tidak dapat menangkap lagi bait seterusnya. Aku di alam mana ni? Kenapa doktor itu berkata sedemikian? Apa yang telah berlaku kepadaku sebenarnya? Ibu aku mana?

Ibu? Ibu aku nak bersama dengan aku semula? Apa maksud doktor itu? Apa maksud dia? ibu. Kenapa dengan Kira? Kira minta ampun sebab dah lukakan hati ibu. Kira tak sengaja ibu… ibu! Tolong bawa Kira keluar dari dunia gelap ini, bu…

“DIA dah melepasi tahap kritikalnya. Alhamdulillah. Cik Kira merupakan seorang gadis yang kuat. Dua tulang rusuknya telah patah namun syukur alhamdulillah kerana tulang rusuk tersebut tidak tertusuk pada organ dalamannya. Keadaan mungkin akan jadi lebih teruk sekiranya tulang rusuk itu tercucuk organnya.

Mak cik kuat ya? Demi Cik Kira. Doakan semoga dia sembuh. Mudah-mudahan, dia sembuh secepat mungkin…” si lelaki yang kononnya doktor bersuara. Lelaki yang sama merawatku sebelum aku terlena tadi. Ya, suara garau itu. Suara yang sama. Aku sudah melepasi tahap kritikal?

Apa yang menyebabkan aku kritikal? Tulang rusukku patah? Aku sudah terjaga. Suara tangisan ibuku juga dapat kudengar. Aku cuba memalingkan muka memandangnya tetapi… kaku. Aku sudah jaga, bukan? Kenapa mataku tidak bisa terbuka? Kenapa mata aku masih lagi keadaan tertutup atau aku sendiri yang telah buta? Kenapa aku tidak dapat melihat? Ibu, tolong!

“Bilalah agaknya anak mak cik ni boleh tersedar dari komanya, doktor?” soal ibuku pilu. Koma? Aku sedang koma? Ibu! Kira tak komalah! Kira boleh dengar! Cuma… Kira tak boleh buka mata! Kira pun tak tahu kenapa. Kira dengar butir bicara ibu. Jelas sangat ni, ibu! Ibu… janganlah menangis! Kira paling benci buat ibu menangis… Kira menyesal buat ibu menangis, bu. Tolonglah Kira buka mata ni!

Kenapa kata-kataku seperti tidak terlontar di mulut? Seperti bergema di dalam hati? Seperti tidak dapat terluah! Kenapa? Lidahku terasa lumpuh! Tanganku kaku meskipun beberapa kali aku cuba menggerakkannya. Seluruh badanku terasa kebas. Kebas-sekebas-kebasnya! Kaku tak bermaya. Di mana penglihatanku? Di mana suaraku?

“Dia masih dalam koma. Saya pun tak berapa pasti lama mana dia akan koma. Mak cik doakan kepada Allah. Minta dipercepatkan penyembuhannya. Mak cik banyakkan memberi kata semangat kepada pesakit.

Dia mungkin akan lebih bertenaga selepas mendengar kata-kata daripada mak cik. Saya tahu dia mendengar,” si doktor sibuk berbual dengan ibuku dan aku… aku hanya mampu menjadi pendengar tanpa dapat memberi komen? Tanpa dapat menyenangkan hati ibuku?

Satu kejadian ngeri tiba-tiba berulang-tayang di mindaku. Oh! Aku kemalangan! Dan di waktu itu… aku baru sahaja selesai bergaduh dengan ibu. Kenapa aku jadi anak yang derhaka?

“Berhenti suruh Kira ikut semua telunjuk ibu. Kira nak buat apa yang Kira suka juga. Ibu tolonglah faham Kira!” aku membentak. Wajah ibuku berubah. Ya! Wajah kecewa ibuku terpampang di mataku. Aku tak sangka mulut aku secabul itu. Sungguh aku menyesal!

“Ibu nak terbaik untuk Kira, Kira faham tak? Sejak bila jadi anak derhaka ni?!” suara ibu membentak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience