Mastura masuk dan pintu bilik dikunci semula. Dipandang compartment lain yang kelihatannya kosong tiada penghuni. Bermakna, teman-teman sebiliknya masih belum pulang dari kelas. Hanya dia sahaja yang sudah habis kelas untuk hari Khamis itu. Mastura sudah maklum jadual teman-teman sebiliknya. Hari Khamis, hanya dia seorang sahaja yang pulang awal ke bilik.
Beg diletakkan di atas meja. Pakaian ke kelas itu ditukar kepada pakaian biasa. Yalah, takkanlah nak terus menerus berbaju kurung jika dia hanya ingin duduk dalam bilik. Jam baru menunjukkan pukul dua belas setengah tengahari. Masih ada masa untuk dia berehat dahulu sebelum masuk waktu Zohor. Bolehlah dia tidur sekejap. Sudah menjadi rutin hariannya tidur selepas makan tengahari, apatah lagi selepas makan rasa mengantuk itu timbul. Mengantuk ubatnya apa? Mestilah tidur!
Siapa kata tidur waktu tengahari tak elok dan sifat orang yang malas? Okey…mungkin ada yang kata begitu kerana sesetengah orang tidur tengahari terlalu lama. Sebaliknya, tidur sekejap di waktu tengahari itu banyak kelebihannya samada dari segi saintifiknya ataupun dari segi agama Islam. Bahkan tidur tengahari itu merupakan Sunnah Rasulullah SAW. Dalam kitab 'Ihya Ulumuddin', Imam Al Ghazali ada menyebut bahawa tidur pada tengahari akan membantu ibadah pada waktu malam seperti sahur membantu puasa pada siang hari. Subhanallah… betapa amalan dan ajaran yang dibawa Rasulullah SAW daripada Allah SWT itu relevan sampai ke zaman moden ini.
Bum. Dia menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Bahagia rasanya sudah tamat kelas dan dapat berbaring untuk meleapkan matanya. Harapnya, keletihannya akan hilang setelah bangun dari tidur nanti kerana dia ingin mengulangkaji pelajaran.
Share this novel