“ Ibu, senang-senang, ibu pinangkan Indira sajalah untuk abang. Ada juga teman untuk Susan ajak bergaduh nanti.” Susan masih terus menyakat Hakimi dan Indira. Hakimi mendengus geram. Seleranya terus hilang. Siapa Indira ni sebenarnya? Kenapa wajahnya seiras dengan Anna Syifa ? Hati Hakimi mendongkol geram dan satu persoalan singgah di benaknya.
Ya! Indira mirip Anna Syifa. Dengan kening dan matanya, hidung dan segalanya yang Indira miliki memang seiras Anna Syifa. Kerana inilah hati Hakimi tidak tenteram selepas menatap wajah itu.
“Apa? Takkan nak bergurau sikit pun nak marah?” perasan dengan renungan tajam Hakimi kepadanya, Susan bersuara lagi.
“Makan sajalah. Banyak songeh pula.” Hakimi bersuara tegas. Geram betul dia dengan gelagat Susan yang sudah mencanang untuk menyatukan dia dan Indira tanpa Susan tahu hati Hakimi sudah kembali berdarah dengan hanya memandang wajah Indira.
“ Indira berapa beradik? Mak dengan ayah ada lagi?” sambil makan Puan Saloma mengajak Indira berbual. Hakimi juga dalam diam sedang memasang telinga untuk mendengar jawapan Indira.
“Tiga, Indira anak bongsu, Along dah kahwin tapi angah…” Indira tak menyambung kata-katanya. Dia berjeda lama sambil menguis nasi di dalam pinggan.
“Angah dah tak ada. Dah lima tahun angah meninggal. Sekarang ni kami tinggal dua beradik saja. Indira dengan along. Mama dengan papa Indira, ada lagi mak cik, cuma sekarang ni mereka banyak menghabiskan masa dengan mengembara melihat negara-negara Islam.”
Indira bersuara lemah. Ada sendu ketika dia menyebut tentang angahnya. Ibu dan bapanya keluar mengembara selepas angahnya meninggal. Indira dan abangnya dititipkan di rumah neneknya di kampung. Sekarang nenek dan atuk mereka pun sudah tiada. Indira tinggal pula dengan abangnya selepas abangnya berkahwin.
“Negara-negara Islam? Hobi ke tu?” Puan Saloma menyoal lagi. Macam menarik saja.
Share this novel