Bab 2 : Kes Baharu

Mystery & Detective Series 28

PEJABAT UNIT SIASATAN JENAYAH, BUKIT AMAN

Deruman papan kekunci komputer, dering telefon bersahut-sahutan, pekikan tertuduh, suara pegawai menekan saksi. Hiruk-pikuk itu tiba-tiba bisu, seolah masa berhenti saat susuk tubuh Juffri melangkah masuk.

Rambut kusut. Blazer lusuh. Rokok terselit di bibir, tak pernah menyala. Di tangan kiri, fail lusuh yang sudah entah berapa kali dibelek. Mata Juffri kosong, tapi dalam.

Dia melangkah terus ke arah satu pintu bertanda:

ACP RAMALINGAM
Ketua Unit G7 – Siasatan Jenayah Berat

Tiga ketukan.
"Masuk," sergah suara dari dalam.

Juffri menjengah, memberi hormat ringkas. “Tuan… saya nak bincang sesuatu.”

“haa.. Silakan”

Dengan tenang, dia meletakkan fail siasatan di atas meja Tuannya.

“Saya mohon ambil alih kes ni, Tuan.”

Ramalingam menyelak fail. Dua nyawa diragut kejam. Pandangan matanya naik, tajam dan penuh pertimbangan.

“Kes ni bawah Detektif Diana...”

“Saya tahu, Tuan. Sebab tu saya datang sendiri. Saya nak kes ni.”

Ramalingam menyandar ke kerusi. Jari-jarinya mengetuk permukaan meja.

“Apa yang kau rasa kau nak kes ini?”

“Instinct,” kata Juffri, tenang. “Macam ada panggilan... yang tak boleh saya abaikan.”

Ramalingam diam. Wajahnya kelihatan berat, seperti mahu percaya tapi masih sangsi.

“Tuan... saya akan buat sehabis baik. sekali lagi SEHABIS BAIK, TUAN!” Suara Juffri tiba-tiba meninggi—garau, dalam, dan menggema dalam ruang kecil itu.

Ramalingam terdiam seketika, sebelum menarik nafas panjang.

“Baik. Tapi satu syarat.”

Juffri angguk perlahan.

“Kau fokus kes ni saja. Jangan sentuh kes lain. Dan kalau dalam dua bulan kau gagal…”

Ramalingam berdiri. Matanya bertemu terus dengan mata Juffri — hanya beberapa inci jaraknya.

“…kau turun jadi janitor.”

Juffri senyum nipis, penuh sindiran.

“Setuju, Tuan.”

Juffri beredar. Senyuman masih di bibir, tapi matanya penuh bara.

Sebaik pintu tertutup, ACP Ramalingam memanggil dua nama:

“Detektif Diana. Sjn. Muza. Masuk.”

Mereka berdua melangkah masuk.

"Umpan kita mengena," kata Ramalingam perlahan. Diana dan Muza hanya mengangguk.

“Muza, awasi Juffri. Setiap langkah dia.”

“Baik, Tuan.”

“Diana… bersiap untuk sebarang kemungkinan.”

---

KUALA LUMPUR

Kesesakan. Bunyi hon berselang-seli. Udara tepu dengan bau asap, peluh, dan kehidupan. Di tengah metropolis yang tak pernah tidur, wujud sisi gelap yang menjadi rencah sebenar kota ini.

Di satu penjuru, dua lelaki berdiri.

"Juffri, apa plan kau?" soal Sjn. Muza, sedang mencucuk buah potong dengan garpu plastik.

“Detektif....” jawab Juffri, membetulkan kenyataan Sjn Muza.

“Yee lah, Detektif Juffri… sekarang apa plan?”

Juffri masih merenung sebuah bangunan lama yang seolah-olah dilupakan zaman.

“Situ.” Jarinya menunjuk ke arah bangunan itu.

Muza kerut dahi. “Kau biar betul… tempat tu dah mati. Takde siapa meniaga.”

Juffri tak jawab. Terus melangkah. Muza mengikut, masih ragu.

“Jangan cakap apa-apa,” pesan Juffri.

Bangunan tua itu seperti kapsul zaman. Koridornya gelap, lampu neon kuning-merah berkelip. Kedai slot. Kedai urut. Jual alat seks. Makanan eksotik. Wanita berpakaian mencolok menggoda lelaki-lelaki yang lalu.

“Uish... siang-siang pun ada ayam…” gumam Muza, terkesima.

Akhirnya mereka sampai di sebuah kedai jam antik. Seperti terperangkap dari era 80’an.

Juffri masuk, dan kali ini, rokoknya dibakar.

Di dalam, seorang apek tua menjaga kedai dengan kipas antik berpusing perlahan.

Tiba-tiba keluar lelaki Cina bertatu penuh dari bilik belakang kedai.

“Juffri… lama talak nampak!”

Juffri menyedut rokoknya dalam. Hembus ke arah lelaki itu. “Mana boss?”

Lelaki itu belum sempat jawab, Juffri sudah melangkah ke bilik belakang.

Muza terpinga mengikut. Persekitaran dibilik belakang penuh wanita seksi dan bisikan aneh dari mereka.

Di dalam bilik…

Seorang wanita menunggu. Cantik, tapi wajahnya diselaputi luka lama. Mata kiri tertutup. Lurah dadanya terbuka, penuh keyakinan dan sejarah gelap.

“Juffri… lama tak jumpa…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience