PROLOG

Romance Series 118578

PROLOG:

“FAAEQ ATHARIZZ BIN FARUQ AL-FAQIH.”

“Saya.”

“Aku nikahkan dikau dengan Mawar Mayleia binti Abdullah, yang berwakil walikan aku dengan emas kahwinnya seribu ringgit, tunai.”

“Aku terima nikahnya Mawar Mayleia binti Abdullah dengan emas kahwinnya seribu ringgit tunai.”

Keluhan lolos dari bibir Mayleia sebaik sahaja lafaz sah diucapkan saksi. Rasmilah sudah dia sebagai isteri kepada Faaeq Atharizz pada usia lapan belas tahun.

Di saat rakan-rakan seusianya yang lain menikmati masa luang selepas tamat SPM dengan melancong, tidur, atau bekerja, dia pula perlu menerima pernikahan dengan seorang lelaki yang jauh lebih berusia.

Faaeq Atharizz, bujang terlajak yang berusia 39 tahun. Demi kelangsungan hidup yang perjalanannya masih jauh, dia menerima perjodohan ini. Bukan pernikahan paksa untuk membayar hutang seperti yang selalu ada di drama atau novel. Tetapi pernikahan yang dilangsungkan demi mengikat hubungan angkat kepada ikatan yang lebih kukuh.

Dia dibesarkan oleh sebuah keluarga angkat berstatus konglomerat. Bapa angkatnya, Tan Sri Ghazi merupakan pemilik sebuah empayar perniagaan Ghazij Group. Ibu angkatnya Puan Sri Jaslina, sudah meninggal dunia lima tahun lalu. Beberapa bulan kebelakangan ini, ayah angkatnya pula jatuh sakit. Bimbang hayatnya tidak lama, ayah angkatnya meminta adik bongsunya yang berlainan ibu untuk menikahinya. Supaya dia terus kekal sebagai sebahagian daripada keluarga Al-Faqih. Supaya masa depannya terus terjamin walaupun selepas kematian ayah angkatnya.

Awalnya dia membantah. Namun memikirkan masa depannya yang masih jauh, dia akhirnya bersetuju. Setidaknya kehidupannya terjamin sehingga dia tamat belajar dan mampu mencari wang sendiri untuk menyara hidup. Dan dia juga tidak menyangka bapa saudara yang sombong dan kurang bicara itu juga bersetuju. Mungkin kerana tiada calon atau malas mencari calon membuat lelaki itu tidak membantah.

“May…hulur tangan…” Suara Aafiyah, ibu Faaeq mengejutkan Mayleia dari lamunan singkatnya. Sesaat dia terpinga-pinga sebelum perlahan fokusnya kembali kepada majlis yang masih belum selesai.

Faaeq sudah duduk di sebelahnya, bersedia dengan sebentuk cincin berlian membuat Mayleia segera menghulurkan tangan kanannya.

Tanpa sebarang ekspresi, tidak juga memandang wajahnya, Faaeq menyarungkan cincin itu ke jarinya.

“Cium tangan suami.” Lagi-lagi Aafiyah terpaksa mengarah apabila melihat interaksi kekok antara Mayleia dan Faaeq.

Mayleia akur. Penuh tertib dia tunduk mencium tangan suaminya itu. Saat dia mengangkat muka, dahinya dikucup lembut. Bukan inisiatif Faaeq sendiri tetapi atas arahan Aafiyah dan jurukamera.

Selesai ritual wajib perkahwinan itu, Mayleia menghembus nafas lega. Namun tidak lama. Jantungnya kembali berpacu laju saat jurukamera mula mengarahkan dia dan Faaeq bergaya di depan kamera dengan pelbagai pose. Terasa kaku dan kekok saat mereka diarahkan untuk saling menatap. Faaeq dengan wajah dinginnya, Mayleia pula dengan senyum kekoknya. Entah bagaimana hasil gambar perkahwinan mereka nanti. Harapnya perkahwinan ini tidak kekal ke anak cucu. Bimbang tidak ada gambar elok yang hendak ditunjuk.

Melihat reaksi Faaeq, Mayleia mengagak usia perkahwinan mereka tidak akan lama. Setahun pun sudah cukup baik. Ah, tak boleh. Setidaknya, sehingga dia tamat pengajian dan ada pendapatan sendiri. Selepas itu, jika mahu dicerai, dia akan menerima dengan lapang dada.

MAJLIS yang menegangkan ibarat Perjanjian Inggeris-Belanda itu akhirnya berakhir pada pukul 12 tengah malam. Mayleia kembali ke biliknya sementara Faaeq masih bersama beberapa rakan dan keluarga mereka.

Saat Mayleia sedang menanggalkan aksesori dari rambutnya, pintu bilik tiba-tiba dibuka membuat tubuhnya sontak menjadi kaku. Terus tegak dia berdiri di depan cermin sambil mata mengawasi langkah lelaki yang baru bergelar suaminya itu melalui ekor mata.

Bibir terus membisu. Tidak tahu mahu menyapa lelaki itu sebagai apa. Sebelum ini pun mereka tidak pernah berbicara. Bertemu sesekali saat perjumpaan keluarga pun mereka tidak pernah bercakap. Tidak mungkin dia memanggilnya uncle sedangkan lelaki itu sudah menjadi suaminya. Mahu dipanggil abang, rasa meremang pula bulu roma. Sudahnya sehingga lelaki itu berdiri tepat di belakangnya, Mayleia terus membisu. Mata mereka bertemu saat Mayleia menatap lelaki itu dari dalam cermin.

“Jangan harapkan apa-apa dalam perkahwinan ni. Jangan fikir untuk kekal dan jangan fikir untuk bercerai. Tak perlu hidup sebagai isteri aku tapi hidup sebagai perempuan yang dah bersuami. Faham maksud aku?”

Mayleia angguk. Reaksi spontan apabila ditanya faham walaupun otaknya masih mencerna satiap patah perkataan yang diucapkan oleh Faaeq. Lagipun, mana berani dia berkata tidak faham melihat wajah lelaki itu yang berkerut seperti otak kuda belang.

“Good. This is my card. Boleh guna seberapa banyak yang kau suka tapi…jangan belanjakan untuk lelaki lain. Aku tak cari duit untuk dihabiskan pada lelaki murah yang memuaskan nafsu isteri lelaki kaya yang kesepian. Faham?”
Kali ini Mayleia tidak mengangguk. Berdenyut kepalanya tidak semena-mena dengan ayat terakhir Faaeq. Belum sempat dia membuka mulut untuk memprotes, Faaeq terlebih dahulu menyela.

“Kau boleh buat apa kau nak buat. Boleh keluar ke mana saja kau suka tapi…jaga nama baik aku. Semua orang tahu kau isteri Faaeq Atharizz. Jangan palitkan imej buruk pada aku. Jangan cari aku dan jangan call aku. If you need help, asked maid and the driver.”

Sesudah mengatakan itu, Faaeq melangkah keluar. Tinggal Mayleia yang masih terkebil-kebil sambil otak cuba mencerna apa yang sudah berlaku barusan. Dalam hati tertanya-tanya, perkahwinan apa yang sedang dia jalani?

.
. .

DUA tahun berlalu selepas pernikahan itu. Mayleia masih isteri Faaeq Atharizz. Isteri atas kertas tepatnya. Selepas malam perkahwinan mereka, Faaeq tidak pernah lagi menunjukkan muka di depannya. Dia menjalani hidupnya seperti perempuan yang tidak pernah berkahwin. Persis anak remaja lain yang sedang menikmati keseronokan hidup. Bezanya dia perlu menjaga batas memandangkan dia seorang isteri. Apatah lagi awal-awal dia sudah diberi amaran oleh Faaeq supaya menjaga nama baiknya.

Jika tidak kerana Mak Jidah dan Sabri, hidup Mayleia tentu tidak ubah seperti sebatang kara. Ayah angkatnya meninggal dunia beberapa bulan selepas pernikahannya. Faaeq datang ke majlis pengkebumian, namun kembali menghilang selepas itu. Namun Mayleia tahu suaminya itu masih hidup kerana sering muncul di paparan berita perniagaan. Jika mati pun tentu kecoh juga di akhbar.

“Dah fikir nak sambung belajar kat mana?” tanya Mak Jidah saat menemani Mayleia makan malam. Siang tadi Mayleia baru mengambil keputusan STPMnya. 4.0. Cemerlang!

Keputusan SPMnya bagus. Straight A+. Hajat asal mahu melanjutkan pelajaran di luar negara, namun kerana ayah angkatnya sedang sakit ketika itu, dia mengurungkan niatnya. Meneruskan pengajian di peringkat STPM di sebuah kolej tingkatan enam tidak jauh dari rumah walaupun ayah angkatnya berkeras mahu dia meneruskan cita-cita. Ternyata keputusannya tidak silap. Dia dapat menjaga dan bersama ayah angkatnya sehingga lelaki itu menghembuskan nafas yang terakhir.

“May…”

Suara Mak Jidah membuat bahu Mayleia terjongket sedikit. Pembantu rumah yang setia dengan ayah angkatnya itu dipandang bingung.

“Beranganlah tu.” Mak Jidah tertawa. Faham benar dengan sifat Mayleia yang satu itu.

“Apa dia Mak Jidah?”

“Lepas ni nak sambung belajar kat mana? Dah ada perancangan?”

Mayleia angguk.

“Nak ambik course apa?”

“Muzik.”

“Lah…” Mak Jidah nampak terkejut. “...sayanglah result bagus ambik muzik. Kenapa tak ambik business, management ke?”

“May minat muzik.”

“Kalau arwah papa tahu ni…”

“Takpe. Arwah papa restu semua pilihan May.”

“Tapi kan dia harapkan May kerja di syarikat dia.”

Mayleia terdiam sejenak. Benar, itu salah satu sebab dia perlu terus berada dalam keluarga Al-Faqih. Kerana Tan Sri Ghazi mahu dia menjadi sebahagian daripada Ghazij Group. Namun minatnya bukan ke arah itu. Entahlah. Mungkin dia akan mempertimbangkannya semula.

FAAEQ memandang mesej daripada Mayleia yang dihantar beberapa minit lalu.

-I want a divorce. It’s been two years and I think we’re done. I akan sambung belajar di US. Bachelor of Music. I tak rasa lelaki macam you boleh terima isteri seorang pemuzik. So, the solution is divorce. I’ll wait for you at Mahkamah Syariah tomorrow 10 am.-

Faaeq mendengus kasar. Mayleia fikir dia siapa, sewenang-wenang mahu mengatur apa yang perlu dilakukannya? Selama ini dia yang membuat aturan. Semua orang tunduk kepada kemahuannya. Sekarang Mayleia mahu mengarahnya? Jangan mimpi!

“Itu bukan arahan, tapi permintaan. Lagipun dah dua tahun. Dia nak sambung belajar. Biar dia keluar explore dunia luar dengan bebas tanpa terikat dengan status isteri,” ujar Danish, pembantu peribadinya.

“I takkan tunaikan permintaan sesiapa.”

MAYLEIA melirik jam tangannya berkali-kali. Sudah 30 minit melewati pukul 10 pagi namun bayang Faaeq masih tidak kelihatan. Telefon tidak dijawab. Mesej apatah lagi. Langsung hanya meninggalkan satu tick.

“Mana dia ni…” keluhnya.

“Tuan Faaeq sibuk agaknya.”

Tiada jawapan daripada Mayleia. Sekali lagi dia menekan nombor Faaeq. Jika tiada jawapan, dia akan meninggalkan pesanan suara sahaja. Urusan mereka perlu diselesaikan segera sebelum dia mendaftar di universiti.

Beberapa kali deringan, tiba-tiba panggilannya bersambut. Membuat Mayleia nyaris melatah. Mujur dia sempat mengawal lidahnya.

Tiada suara dari hujung sana, Mayleia berbicara terlebih dahulu.

“Tuan Faaeq Atharizz. Dah dua tahun kita bergelar suami isteri tanpa sentuhan fizikal, apatah lagi emosi. Saya tak tahu apa masalah tuan sampai tuan buat saya macam perempuan simpanan halal yang betul-betul disimpan tanpa berniat untuk digunakan. Saya tertanya-tanya, tuan ni gay ke atau sebenarnya ada masalah kelamin? Saya tak minta disentuh atau dibelai, tapi cukup tuan tanya khabar dengan mesej atau panggilan seminit setiap hari supaya saya tahu yang tuan masih hidup. Kalau mati, senang cerita. Tak payah saya susah-susah datang mahkamah syariah hari ni. Kalau tuan masih hidup, tolong lafaz talak sekarang jugak supaya saya boleh jadikan bukti untuk ke mahkamah. Saya nak sambung belajar dan saya tak nak status sebagai isteri ni menyekat langkah saya yang nak belajar sambil mencari jodoh yang sebaya dan sepadan dengan saya dari pemikiran, ideologi dan keghairahan. Sekian! Saya tunggu satu minit lagi. Kalau tuan tak lafaz talak, saya yang ceraikan tuan dengan talak sejuta!”

SEMENTARA bilik mesyuarat Oaks di Menara Hawthorn sunyi sepi. Tiada sesiapa berani bersuara apabila melihat wajah CEO mereka berubah gelap.

Faaeq ketap rahang. Malu bercampur marah. Beberapa kali mendapat panggilan daripada Mayleia ketika mesyuarat, membuat dia menjawab panggilan itu dan mahu Mayleia mendengar sendiri kesibukannya. Namun dia tidak menyangka Mayleia akan menyerangnya begitu dengan sekali hembus. Malang bertimpa kerana pembesar suara di tempatnya terpasang.

Danish yang melihat bibir Faaeq terketap-ketap, segera menaip mesej kepada Mayleia.

-Puan Mawar, panggilan Puan Mawar tadi didengar seluruh bilik mesyuarat. I harap Puan Mawar boleh call Tuan Faaeq dan minta maaf sebelum dia balik dan cari puan.-

MAYLEIA membekap mulut apabila membaca mesej daripada Danish. Namun bukannya meminta maaf, dia sebaliknya menyuruh Sabri segera pulang.

“Bang, cepat balik bang,” gesanya sambil menepuk-nepuk belakang tempat duduk Sabri.

“Ah…ya…ya…” Sabri akur lalu segera memandu keluar dari perkarangan mahkamah syariah.

Sesampai di rumah, Mayleia segera mengarahkan pembantu rumah memasukkan semua bagasinya ke dalam kereta. Semua barang dan keperluan sudah dia persiapkan memandangkan beberapa hari lagi dia perlu mendaftar di universiti.

“Mak Jidah, May pergi dulu. Kalau Tuan Faaeq balik, bagitahu May dah pergi daftar. Lagi empat tahun May balik jumpa Mak Jidah. Mak Jidah jangan pergi mana-mana, okey?” Salam, cium tangan, cium pipi dan tanpa menunggu pesanan serta amanat Mak Jidah, dia langsung berlari ke kereta.

“Cepat bang. Hantar saya rumah Dila. Kalau Tuan Faaeq tanya, bagitahu saya dah kat airport.”

“Erk…”

“Tolong bang. Ni antara hidup dan mati.”

Sabri keberatan. Namun akhirnya dia mengangguk juga.

“Terima kasih. Nanti saya grad, dapat kerja, jadi pemain biola popular, saya hantar abang dengan isteri abang pergi umrah.”

Sabri tertawa. “Yalah.”

“PEMBANTU rumah kata, dari mahkamah syariah tadi, dia terus ke airport,” ujar Danish selepas membuat panggilan ke Villa milik Tan Sri Ghazi.

“Find her!”

Danish mengangguk ragu. Ingin dia memujuk Faaeq supaya bersabar, namun melihat rona dingin wajah itu, keinginan itu ditelan bersama liurnya yang kesat. Segera diarahkan orang mencari Mayleia di KLIA.

Namun sejam kemudian, mereka diberitahu yang Mayleia tidak ditemui di lapangan terbang. Mungkin sudah mengambil penerbangan ke US.

“I don’t care. Find her. Cari sampai dapat. Search in all universities in the US that offer a bachelor of music.”

Jatuh rahang Danish mendengar penuturan Faaeq. Semua universiti di US yang menawarkan Bacelor Muzik? Apa lelaki itu sedar seluas mana negara yang disebut itu dan berapa banyak university yang ada di sana? Silap-silap belum habis analisis, Mayleia pun sudah dapat ijazah.

“But…”

“I tak terima alasan. Find my wife!”

UNIVERSITY of CAMBRIDGE, UK.
Mayleia tarik nafas. Mata dipejam. Menikmati udara dari depan fakulti muzik universiti kedua terbaik dunia itu. Akhirnya cita-cita dan impiannya tercapai. Meneruskan pengajian dalam bidang yang diminatinya sebelum menunaikan amanah arwah papa.

“Come on, May. you can do it!”

Teaser.

Share this novel

Az Lina
2024-10-18 22:10:00 

like always. best

Nur Liza
2024-10-18 13:04:37 

follow. proloq dah menarik..

Tchr IzAn
2024-10-16 10:30:20 

Best nya..xsabar nk tunggu next2


NovelPlus Premium

The best ads free experience