Series
2932
Hampir seminggu berlalu tanpa aku menginjakkan kaki ke rumah sokongan. Cincin yang kupegang telah membuat hatiku hancur, keyakinanku juga sirna entah ke mana.
Namun, bukan hanya itu, perletakan jawatan Pak Majid sebagai pemandu peribadiku juga sedikit sebanyak menghilangkan kebahagiaan yang pernah aku rasakan.
Hanya tinggal kenangan manis selama aku mengenali Pak Majid dan keluarganya. Aku tidak menyangka yang Hanim meminta Pak Majid berhenti bekerja, dengan alasan bahawa ayahnya tidak lagi sesuai bekerja sebagai pemandu di usia itu. Aku hanya mampu pasrah. Tidak ada kuasa untuk memaksa.
"Raff..." panggil ibu.
Segera aku menyembunyikan cincin di tanganku.
"Ada apa, ibu?"
"Petang ini, ibu ingat nak buat bersedekah. Raff nam ikut?"
"Ke mana, ibu?"
"Kita akan ke rumah orang tua-tua. Ibu dah lama siapkan dana untuk memberikan sumbangan untuk dia orang."
"Boleh juga. Raff pun dah bosan duduk kat rumah ni. Lepas selesai urusan ibu tu kita singgah rumah sokongan sekali. Bolehkan, bu?" usulku.
"Yelah."
Tiba-tiba, cincin di tanganku terjatuh ke lantai. Aku terkejut. Tidak ada lagi yang mampu aku sembunyikan dari pengetahuan ibu. Aku berlutut, meraba-raba objek itu di atas lantai. Namun, tangan ibu terlebih cepat mengambilnya.
"Raff masih fikirkan dia lagi?"
Aku mengangguk perlahan. Tanpa ada lagi rahsia yang perlu aku sembunyikan. Mungkin ibu lebih faham kenapa.
“Dulu lagi ibu dah agak, Hanim tolak Raff sebab dia tak terima kekurangan Raff. Tentu dia akan rasa terbeban bila dah berkahwin dengan Raff. Mana ada seorang wanita celik yang sanggup terima lelaki buta hanya semata-mata sebab cinta.”
“Tak apalah ibu. Raff sedar kekurangan Raff. Setiap manusia tu ada kekurangannya. Tak ada yang sempurna. Mungkin kekurangan dia ada lelaki lain yang dah terima dulu sebelum Raff.”
“Seorang perempuan yang ikhlas tak akan lihat kekurangan seorang lelaki itu dari luaran aje. Paling tidak dia akan ambil masa untuk kenal dengan lebih dekat. Bukan tiba-tiba menolak begitu.”
Aku hanya mampu terdiam mendengar kata-kata ibu.
“Sudahlah Raff. Jangan diingat lagi pada orang yang dah tak suka. Kita doakan yang baik-baik untuk dia. Ibu yakin satu saat, jodoh Raff akan ada dengan wanita yang lebih ikhlas dan baik.”
Aku duduk di tepi tingkap bilik tidur sambil merenung kosong. Fikiran aku terus melayang kepada Hanim, gadis yang telah memerangkap hatiku dalam kegelisahan emosi.
Namun, di sebalik cinta, ketakutan tersembunyi menghantui fikiran aku. Mungkin Hanim akan malu bersuamikan orang kurang upaya seperti aku. Fikiranku terus merayap ke sudut-sudut gelap, meragui kemampuan sendiri untuk memberikan kebahagiaan dan kesejahteraan yang sepatutnya buat seorang isteri.
Aku buta, dan itu adalah realiti yang tidak dapat disembunyikan. Mungkin aku tak kan dapat memberikan keistimewaan yang diharapkan oleh seorang wanita, dibandingkan lelaki yang celik.
Aku terperangkap dengan rasa bimbang. Aku cuba memperjuangkan cinta sendiri, tapi bayang-bayang kekuatan aku terus menghantui langkah. Mungkin cinta saja tidak cukup untuk mengatasi halangan yang sangat besar ini.
Mungkin Hanim akan melihat lebih banyak kekurangan dimasa akan datang.
Aku terus bergelut dengan persoalan yang menghantui fikiran. Aku cuba untuk mendakap agar cinta ini menemui jalan pasti.
#raffhan #authorciciaida #buta #pengajaran #kasihsayang #ikhsan
Share this novel