Series
2932
Hari ini aku pulang lebih awal dari biasa. Kata Kak Melah dia juga masakkan makanan istimewa untuk aku. Kecur lidah apabila mengingatkan apa yang disebut Kak Melah tadi. Rasa tak sabar menunggu tiba didepan pintu rumah.
“Encik ada nak singgah ke mana-mana dulu ke sebelum kita balik?”
“Hmm….rasanya….”
Ayat aku terhenti apabila telefon Pak Majid tiba-tiba berdering.
“Kejap ya encik. Orang rumah pak cik telefon pula.”
Lelaki itu meminta izin menjawab panggilan yang diterima. Aku membalas dengan senyum.
“Hello…ya dalam perjalanan nak baliklah ni. Kenapa? Nak buat apa? Ayam goreng? Hm..tengoklah dulu. Ya ya. Tak boleh cakap lama ni. Tengah memandu. Apa-apa abang call balik.”
Sepi seketika. Aku memilih untuk senyap dari bertanya. Menunggu sama ada Pak Majid mahu bercerita atau tidak tentang hal tadi.
Sayangnya lelaki itu juga berdiam. Sudah tentu dia malu. Dan hati aku jadi terkesan dengan perbualan pendek itu tadi.
“Kita sekarang dekat mana Pak Majid?”
“Depan lampu isyarat dekat Mydin. Kenapa encik?”
“Pak Majid berhenti tepi. Saya nak singgah beli barang sekejap.”
“Baik encik. Kat sini ya?”
“A’ah. Pak Majid tunggu dalam kereta ya.”
“Eh? Encik boleh pergi sendiri ke? Bahaya nak melintas tu.”
“Tak apa, saya boleh. Pak Majid tunggu je sini. Kereta tak boleh tinggal lama. Nanti kena saman.”
Dengan keyakinan sendiri, aku pergi bersama panduan tongkat ditangan. Rata-rata aku bertanya ke mana arah kedai yang aku ingin singgah itu.
Tidak lama, selesai beberapa minit urusan membeli aku terus berjalan menunju ke kereta.
“Encik Raffhan…”
Muncul Pak Majid memegang bahu aku sewaktu berjalan mahu melintas.
“Ada tetamu nak datang rumah encik ya? Banyak beli makanan tu.”
“Tak adalah Pak Majid. Saya beli ni untuk Pak Majid sekeluarga.”
“Hah! Ya Allah encik…kenapa susah-susah ni? Pak Majid tak minta pun.”
“Tak apa, saya ikhlas nak belanja. Sesekali kena juga tukar selera juga. Saya ada belikan ayam goreng, nasi lemak ayam berempah dengan satay sekali. Bawa balik untuk keluarga Pak Majid ya.”
“Seganlah Pak Majid dengan encik ni. Selalu aje belanja macam-macam. Pak Majid ni kerja hanya bawa kereta aje. Tak adalah susah mana pun.”
“Jangan cakap macam tu Pak Majid. Rezeki ni Allah bagi saya untuk berkongsi dengan orang yang tak ada. Saya ada lebih jadi saya belanjalah. Jangan risau, tak ada tolak gaji hujung bulan pun.”
Ketawa kami berlaga. Saja nak mengusik lelaki itu.
Share this novel