Bab 1

Romance Series 2716

Yujin bermasam muka apabila mengetahui dirinya akan dijodohkan dengan seorang gadis yang langsung bukan pilihannya. Dia tampan dan berjaya, dan selama ini mendapatkan gadis idamannya bukanlah sesuatu yang sukar. Namun, ibu bapanya yang masih berpegang pada adat lama memaksa dia berkahwin dengan Raesya, seorang gadis yatim piatu.

"Abah, tak ada perempuan lain ke? Kenapa mesti dia?" bantah Yujin dengan nada geram.

"Kurang ajar! Apa salahnya dengan Raesya? Dia pun lulusan universiti macam kamu. Tak pun dia lagi bijak dari kamu. Dia hafal Al-Quran dan seorang wanita solehah!" tegas Ghadzali menjawab.

"Tapi saya tak suka perempuan yang berniqab. Saya malu dengan kawan-kawan kalau diorang mengata nanti. Selama ni teman wanita saya semuanya cantik dan seksi, tapi dia? Penampilan dia langsung tak kena dengan cita rasa saya!" Yujin menjerit sambil memegang kepalanya yang mula berdenyut.

"Yujin, kamu bangga sangat ke dengan gadis-gadis yang suka berpakaian menjolok mata dan berjalan menggoda tanpa adab itu? Kamu pasti perempuan yang kamu bawa pulang itu layak jadi isteri dan ibu yang boleh mendidik anak-anak kamu nanti?" balas Ghadzali dengan nada kecewa.

"Abah, sekarang bukan lagi zaman dijodohkan. Saya ni tampan dan berjaya, saya mampu cari pasangan sendiri," pujuk Yujin, enggan mengalah.

"Bukan kejayaan dunia je yang Abah harapkan. Abah nak menantu yang boleh ubah kamu jadi lelaki yang lebih baik dan soleh. Yang boleh lahirkan cucu yang soleh dan solehah," jelas Ghadzali, suaranya mula bergetar menahan emosi.

"Tapi tak semestinya Raesya, kan?" Yujin masih membantah.

"Umi, kalaulah dulu kamu tak halang aku hantar Yujin ke sekolah pondok dulu, dia takkan jadi macam ni. Tengoklah, belajar kat luar negara dah buatkan dia hanyut dalam pergaulan bebas. Aku betul-betul menyesal, Umi. Aku rasa aku gagal sebagai bapa. Anak tunggal kita cuma tahu mengejar keseronokan dunia," keluh Ghadzali dengan penuh kesedihan.

Fatimah hanya tunduk membisu, tidak sanggup menatap wajah suaminya yang sedang marah.

"Abah, jangan salahkan Umi. Memang saya yang tak mahu masuk ke sekolah pondok dulu," kata Yujin, cuba membela Uminya yang menjadi sasaran kemarahan.

"Abah tak mahu dengar alasan! Kalau kamu masih hormatkan Abah, kahwin dengan Raesya. Tapi kalau kamu enggan, terserah... lepas ni jangan panggil Abah lagi!" bentak Ghadzali sebelum terus melangkah masuk ke bilik.

"Ah... kenapa hidup aku jadi macam ni?! Malang betul nasib aku," gumam Yujin sambil menjatuhkan diri ke atas kerusi dengan kasar.

"Anakku, cuba fahami hati Abah kamu tu. Tak rugi pun kalau kamu kahwin dengan Raesya. Lagipun, semua ini berkait dengan hutang budi kita pada keluarga Raesya," pujuk Fatimah dengan lembut.

"Hutang budi? Hutang apa pula tu, Umi?" tanya Yujin, kehairanan.

"Semasa muda, Abah kamu pernah melanjutkan pelajaran ke Kaherah dengan biasiswa. Waktu itu dia sangat miskin, nak makan pun susah. Kat sana dia berkenalan dengan ayah Raesya. Diorang sama-sama belajar buat kaligrafi dan menjualnya untuk sara hidup. Berkat usaha tu, diorang berjaya capai kejayaan macam sekarang. Tapi ibu bapa Raesya meninggal dunia dalam kemalangan, dan Abah kamu pernah berjanji untuk menjaga Raesya sebagai amanah terakhir dari kedua ibu-bapa Raesya," terang Fatimah dengan tenang.

"Kalau begitu, kenapa tak ambil je dia jadi anak angkat? Kenapa mesti jodohkan dengan saya? Saya tak nak!" bantah Yujin dengan suara meninggi.

"Sebab bagi Abah kamu, Raesya adalah menantu yang paling sesuai. Jadi lebih baik kamu akur. Semua ni demi kebaikan kamu juga. Kalau Abah kamu terus marah dan jatuh sakit, kamu juga yang akan menyesal nanti," pujuk Fatimah, cuba menenangkan.

Pada malamnya, Yujin bersama kedua ibu bapanya mengunjungi rumah Raesya untuk melamar. Walaupun Raesya berpakaian serba hitam dan berniqab, Yujin masih dapat melihat matanya yang sembab dan merah, tanda dia baru sahaja menangis.

"Mungkin dia masih bersedih atas pemergian kedua orang tuanya," detik hati Yujin.

Walaupun ada sedikit rasa simpati dalam hatinya, namun Yujin tetap berperang dengan perasaan sendiri. Hatinya terasa seperti disiat-siat. Baginya, berkahwin dengan seseorang yang tidak dicintai adalah satu bentuk penderitaan.

Sepanjang majlis, Yujin hanya mendiamkan diri. Begitu juga dengan Raesya yang tampak redha dan pasrah menerima segalanya.

Keesokan harinya, Yujin menemui Raesya yang bekerja sebagai pensyarah di salah sebuah universiti terkemuka. Mereka duduk di kantin universiti sambil memesan minuman.

“Raesya, aku nak terus-terang. Aku tak cintakan kau. Aku tahu kau pun tak nak teruskan perkahwinan ni, jadi masih belum terlambat untuk kita batalkan. Kita boleh cakap dengan Abah. Bila awak yang cakap dengan Abah, dia mesti faham,” kata Yujin dengan nada serius.

Namun, Raesya tidak terkejut langsung. Dia tenang, malah masih sempat meneguk minumannya perlahan-lahan.

“Cinta? Saya tak pernah peduli pasal cinta. Sata setuju untuk berkahwin dengan awak semata-mata ingin menunaikan amanah terakhir arwah ibu bapa saya sebelum diorang pergi. Jadi, lepas saya menjadi isteri awak, saya akan cuba menjalankan tanggungjawab saya sebaik mungkin. Dan awak… saya tak perlukan apa-apa. Tapi sebagai lelaki beriman, awak tentu faham apa tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya, kan?”

Yujin terdiam, tidak menyangka akan menerima jawapan yang sebegitu menyentap. Seolah-olah kehadirannya langsung tidak memberi sebarang makna.

“Baiklah kalau macam tu. Selepas kita berkahwin, aku tetap akan memberikan nafkah zahir. Tapi jangan harap aku mampu memberi nafkah batin. Aku tak mungkin menyentuh wanita yang tidak aku cintai,” balas Yujin, kemudian bangkit dan terus berlalu pergi.

Raesya tidak mampu menahan air matanya. Belum pun sempat dia sembuh daripada luka kehilangan kedua ibu bapanya, kini dia terpaksa menempuh pernikahan tanpa cinta.

Raesya sememangnya tidak mencintai Yujin, sama seperti Yujin yang bukanlah calon suami yang diimpikannya. Raesya tidak pernah mendambakan sesuatu yang berlebihan, dia hanya menginginkan seorang imam yang boleh membimbingnya ke syurga dan menyayanginya dengan sepenuh hati. Namun, perkahwinan ini adalah wasiat terakhir arwah Abahnya sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.

"Assalamualaikum," sapa seorang lelaki dengan sopan.

"Waalaikumsalam," jawab Raesya dengan tenang.

"Raesya, kenapa duduk sorang-sorang kat sini?" tanya lelaki itu, Firman.

"Eh, Abang Firman. Saya… cuma nak duduk minum sekejap je," balas Raesya.

"Sebenarnya saya nak berikan kad jemputan ni. Esok jam 10 pagi, Zahra sambut hari jadi. Dia excited nak jemput awak, jadi saya harap awak dapat hadir," kata Firman sambil menghulurkan kad undangan.

"Baik, terima kasih banyak," jawab Raesya sambil tersenyum di balik niqabnya.

"Saya minta diri dulu ya. Assalamualaikum," ujar Firman.

"Waalaikumsalam," balas Raesya perlahan.

Raesya sempat memandang belakang tubuh Firman yang berlalu pergi. Di luar waktu kerja, mereka berdua memang kerap berbicara secara tidak formal kerana hubungan mereka yang rapat.

Firman merupakan seorang lelaki yang soleh, lemah lembut dan penyayang. Dia adalah seorang duda dengan seorang anak perempuan bernama Zahra yang kini berusia enam tahun. Raesya mengenali mereka secara tidak sengaja ketika suatu hari dia melihat Firman bertengkar dengan isterinya. Pada ketika itu, Zahra yang masih kecil hampir dilanggar kereta. Raesya yang kebetulan sedang dalam perjalanan pulang dari kuliah segera menyelamatkan Zahra, walaupun dirinya cedera. Sejak insiden itu, Zahra menjadi sangat rapat dengannya.

Raesya juga mendapat peluang menjadi pensyarah di universiti ini atas sokongan dan cadangan dari Firman. Sejak itu, hubungan mereka semakin erat terjalin seperti keluarga. Tambahan pula, beza umur mereka hanya tujuh tahun.

"Aku nak belikan hadiah apa ya? Hm… Zahra suka patung Doraemon. Baiklah, aku belikan tu je," bisik hati kecil Raesya sambil tersenyum.

Selesai mengajar, Raesya terus menuju ke sebuah pusat beli-belah terdekat. Dia memang biasa melakukan segala urusan sendiri. Baginya, kesunyian lebih menenangkan. Bukan kerana tidak mahu berteman, tapi dia memang kurang mahir dalam bergaul jika orang lain tidak memulakan bicara terlebih dahulu.

Setelah menjelajah beberapa kedai, akhirnya dia menemui patung Doraemon yang sangat comel. Saat dia ingin mengambilnya, tiba-tiba satu lagi tangan muncul dari sisi, sama-sama hendak meraihnya.

"Maaf, saya dulu yang nampak patung ni," kata suara itu.

Raesya menoleh, dan dia terkejut. Ternyata orang itu ialah Vida, ibu kepada Zahra.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience