Bab 2

Romance Series 2716

Raesya berasa tidak selesa apabila ditatap oleh Vida dengan pandangan tajam yang penuh dengan prasangka. Namun, dia tidak mudah gentar. Raesya cuba menahan diri, bersabar, dan tetap mengekalkan senyumannya.

“Puan Vida, nak beli hadiah untuk Zahra ya?” tanya Raesya dengan sopan.

“Itu bukan urusan kau, perampas suami orang!” balas Vida dengan nada tajam.

“Astaghfirullah... apa maksud Puan Vida tuduh saya macam tu?” tanya Raesya, terkejut dan mengharapkan penjelasan.

“Kau tak sedar ke, perceraian aku dengan Firman tu berpunca dari kau? Zahra pun lebih sayangkan kau! Kau bagi jampi apa kat diorang hah? Pakai tudung labuh dan berniqab pun, perangai menjijikkan!” tempelak Vida dengan nada sinis dan penuh benci.

Dada Raesya terasa panas. Jiwanya bergelora menahan amarah dan luka yang dalam. Tapi dia tahu, seseorang seperti Vida, walaupun tahu dirinya salah, akan tetap menegakkan benang yang basah.

“Puan, saya dan Abang Firman tiada hubungan lebih daripada sekadar rakansekerja. Dia hanya menganggap saya seperti adik kandungnya, tidak lebih daripada itu,” ujar Raesya dengan tenang namun tegas.

“Mana ada perampas nak mengaku! Depan orang pura-pura alim, tapi sebenarnya suka menggatal dengan laki orang!” sindir Vida lagi, tak puas hati.

“Puan tahu tak apa maksud perampas suami orang? Ia merujuk kepada wanita yang mencuri suami orang lain. Sedangkan saya kenal Abang Firman selepas Puan dengan dia dah bercerai. Saya tak ada sebarang hubungan istimewa pun dengan dia, dan kami sekadar rakan sekerja. Lagipun, dia sendiri anggap saya macam adik!” tegas Raesya lagi. “Saya pergi dulu. Assalamualaikum.”

Raesya terus melangkah pergi, enggan terus menjadi mangsa fitnah dan diaibkan di khalayak ramai.

“Hei! Jangan berani datang ke parti hari jadi anak aku nanti! Perempuan gatal!” jerit Vida lantang dari belakang.

Raesya hanya mendiamkan diri, malas melayan provokasi. Namun jauh di sudut hati, dia tahu, jika dia tidak hadir, Zahra pasti akan kecewa dan bersedih.

Tak mahu terus memikirkan kejadian tadi, Raesya beralih ke sebuah kedai emas.

“Lebih baik aku beli cincin dengan hiasan Doraemon. Semoga Zahra suka,” gumam Raesya perlahan.

Dalam perjalanannya menuju ke kedai perhiasan, dia melewati sebuah butik besar. Alangkah terkejutnya Raesya apabila matanya menangkap sosok Yujin sedang berdiri bersama seorang wanita cantik berpakaian seksi, yang ketika itu sedang bergayut mesra di bahu lelaki itu.

“Astaghfirullah... tak lama lagi dia akan menjadi suami aku, tapi dia masih macam ni? Ya Allah, jika benar Yujin adalah jodohku, lembutkanlah hatinya dan berilah dia petunjukMu,” bisik hati kecil Raesya, cuba menenangkan jiwa yang bergelora.

Sebenarnya dia masih punya peluang untuk membatalkan perkahwinan itu, tetapi rasa bersalah kerana mengabaikan wasiat arwah Abahnya akan terus menghantui. Namun, melihat kemesraan antara Yujin dan kekasihnya membuat tubuh Raesya menggigil, seakan-akan tidak percaya.

“Apa yang patut aku buat?” tanyanya dalam hati.

Raesya mempercepat langkah, cuba mengelak agar Yujin tidak menyedarinya. Namun, tak disangka, Yujin ternampak kehadiran Raesya dan mula mengejar, bersama kekasihnya.

“Yujin, kalung ini cantik sangat,” ujar wanita itu, Damya.

“You pilih saja mana yang you suka,” jawab Yujin sambil menjeling ke arah Raesya.

Raesya berpura-pura tidak melihat atau mengenali Yujin. Dia berasa sangat tidak selesa dengan kemesraan mereka yang sengaja dipamerkan di hadapan orang ramai.

Selepas menemui apa yang dicari, Raesya segera membuat pembayaran dan berlalu pergi.

“Raesya, kenapa tergesa-gesa ni? Tak nak berkenalan dengan teman wanita aku?” tegur Yujin sambil tersenyum sinis.

Raesya berhenti melangkah. Dia tidak mahu kelihatan seperti wanita lemah yang mudah ditindas.

“Ada apa, Yujin?” sapa Raesya tenang dan bersahaja.

“Ini Damya, teman wanita aku. Cantik dan menarik, kan?” ujar Yujin sambil mengangkat kening.

“Oh hai, nama saya Raesya. Calon isteri Yujin,” balas Raesya berani, walaupun dalam hatinya berdebar hebat.

“Oh, jadi awaklah perempuan pilihan ayahnya? Kesian betul Yujin,” sindir Damya sambil tersenyum mengejek, memandang Raesya yang berpakaian serba tertutup.

“Saya tak nak ganggu saat bahagia awak berdua. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum,” ucap Raesya dengan tenang lalu melangkah pergi dengan penuh anggun dan harga diri yang terjaga.

Sikap tenang Raesya membuat Yujin semakin geram. Hasrat asalnya adalah untuk membuat Raesya merasa rendah diri dan tidak layak untuk berkahwin dengannya, seterusnya membatalkan perkahwinan itu sendiri.

“Damya, I nak kejar dia sekejap ya. I mesti pastikan dia tak mahu teruskan perkahwinan ni,” kata Yujin dengan nada mendesak.

Damya hanya mengangguk sambil kembali ke kaunter yang tadi mereka kunjungi bersama.

Yujin segera mengejar Raesya dan menarik tangannya dengan kasar supaya berhenti.

“Lepaskan! Jangan sentuh saya!” bentak Raesya dengan pandangan tajam.

“Kenapa? Kan aku calon suami kau? Kan kau yang nak sangat kahwin dengan aku?” ujar Yujin dengan nada mencabar.

“Saya kata lepaskan! Saya kesian dengan umi abah awak sebab ada anak perangai buruk macam awak ni, langsung tak tahu adab!” sindir Raesya lantang.

“Belum jadi isteri dah berani melawan?” gertak Yujin.

“Kalau nak bercakap, boleh je bincang baik-baik. Kenapa nak tarik-tarik saya macam ni?” balas Raesya tegas.

“Baiklah, aku lepaskan. Tapi kau dah nampak kekasih aku tadi, kan? Dia cantik dan menggoda. Masih nak kahwin dengan aku?” ujar Yujin, sengaja memperlekeh.

“Dengar sini, Yujin. Saya setuju berkahwin dengan awak kerana menghormati wasiat arwah Abah saya dan demi menjaga maruah ibu bapa awak. Kalau awak yang tak mahu, silakan beritahu diorang sendiri. Tak perlu berperangai macam budak kecik. Semua ni langsung tidak akan mengganggu hidup saya,” balas Raesya dengan tegas dan yakin.

“Sial betul! Kau akan menyesal kalau kau teruskan kahwin dengan aku!” ugut Yujin sambil mengacukan jari telunjuknya ke wajah Raesya.

Namun tiba-tiba, muncul seorang lelaki yang menahan tangan Yujin lalu menurunkan jari itu perlahan-lahan.

“Raesya, kenapa ni?” tanya Firman dengan wajah serius.

“Tak… Tak ada apa-apa, Abang Firman. Kenapa Abang Firman datang sini?” Raesya segera menukar nada suaranya menjadi lebih tenang dan lembut.

“Oh, saya baru je tempah kek hari jadi Zahra. Sekali jalan beli hadiah juga. Awak pula?” jawab Firman sambil tersenyum.

“Saya pun sama. Saya beli hadiah untuk Zahra juga. Kalau macam tu, saya minta diri dulu ya?” ujar Raesya, bersiap untuk pergi.

“Raesya, tunggu! Ada sesuatu yang penting saya nak tanya,” panggil Firman, menahan langkahnya.

“Boleh kita berbual kat tempat lain? Mungkin kedai minum, saya haus sangat ni,” cadang Raesya sambil tersenyum.

“Baiklah, mari,” balas Firman.

Mereka berdua berjalan meninggalkan Yujin yang kini berdiri seorang diri. Keadaan itu membuatkan Yujin semakin geram dan menyimpan dendam.

Setelah duduk dengan santai, mereka memesan minuman dan beberapa snek ringan.

“Tadi Abang Firman nak tanya apa ya?”

“Sebenarnya, saya terdengar perbualan awak dengan pemuda tadi. Maaf kalau saya terus terang... tapi betul ke awak akan berkahwin dengan dia?” tanya Firman, ragu-ragu namun prihatin.

“Ya,” jawab Raesya jujur. Baginya, Firman bukan orang asing, dia sudah seperti abang sendiri.

Raesya kemudian mula bercerita tentang jodoh yang diatur oleh arwah ayahnya. Kata-katanya perlahan menjadi tangis. Air matanya menitis tanpa dapat ditahan.

“Raesya, bersabarlah ya? Cuba mohon petunjuk daripada Allah, semoga diberi jalan keluar yang terbaik. Saya dah lama anggap awak macam adik sendiri. Kalau ada apa-apa, jangan segan cerita kat saya. Kalau saya boleh bantu, saya akan bantu,” kata Firman, suaranya turut bergetar bersama simpati.

“Terima kasih banyak, Abang Firman,” jawab Raesya perlahan, merasa sedikit lega setelah meluahkan beban hatinya.

“Minumlah, nanti tenang sikit. Kuih ni sedap tau. Kalau Zahra bersedih, saya selalu belikan kuih ni untuk gembirakan dia,” ujar Firman sambil tersenyum, cuba menceriakan suasana.

Raesya ketawa kecil. Sebenarnya, andai diberi pilihan, Firman adalah lelaki yang menepati ciri suami idamannya, sopan, lemah lembut, dan rajin beribadah. Tapi dia sedar, perasaan itu hanya sekadar kekaguman. Firman pula hanya melihatnya sebagai seorang adik. Lagipun, dia tidak mampu lari dari perkahwinan yang telah diatur dengan Yujin.

Saat Raesya memalingkan wajah, tanpa sengaja matanya bertembung dengan pandangan tajam milik Yujin dari kejauhan.

“Eh? Sejak bila dia berdiri kat situ? Tapi… apa masalahnya kalau aku bersama lelaki lain? Lagipun dia sendiri yang langsung tak berminat dengan aku?” bisik hati Raesya, cuba meyakinkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience