Bab 3

Romance Series 2716

Seperti biasa, Raesya mengenakan jubah dan tidak lupa memakai niqabnya. Dia berdiri di hadapan cermin, memerhati pantulan dirinya sendiri. Sungguh, satu anugerah daripada Allah kerana telah mengurniakan kecantikan yang melebihi kebanyakan wanita lain.

Raesya mewarisi darah keturunan Mesir daripada ibunya. Kecantikan yang dimilikinya jelas berasal dari situ, sepasang mata yang menawan, hidung yang mancung, bibir mungil dan dagu yang terbentuk indah. Cuma ketinggiannya agak sederhana, sekitar 165 cm, namun bagi wanita Malaysia, itu sudah cukup ideal.

Sejak kecil, Raesya telah diasuh dengan disiplin dan didikan agama yang tegas oleh kedua ibu bapanya. Oleh itu, dia tidak pernah merasa angkuh atau berbangga diri kerana paras rupanya. Baginya, sebutir berlian, walau disembunyikan, tetap akan memancarkan kilauannya kepada sesiapa yang tahu menilai.

Raesya menunggang motosikalnya dan akhirnya tiba di sebuah kawasan perumahan luas milik Firman. Dia sengaja datang awal supaya sempat berjumpa dengan Zahra sebelum rumah dipenuhi tetamu. Kalau tidak, pasti Zahra sibuk melayani rakan-rakannya.

“Kakak!” jerit Zahra separuh menjerit, berlari ke arah Raesya.

“Eh, kan kakak dah ajar. Kalau jumpa, ucap ‘Assalamualaikum’ dulu,” tegur Raesya sambil ketawa kecil.

“Oh ya, terlupa. Assalamualaikum, Kak Raesya yang cantik,” balas Zahra dengan senyuman lebar.

“Waalaikumsalam. Zahra pun cantik juga. Semua perempuan itu cantik, termasuk Zahra,” balas Raesya lembut.

“Tapi Kakak Raesya memang cantik. Kakak cantik sangat!” puji Zahra dengan penuh semangat.

Raesya ketawa kecil lalu mengusap kepala Zahra penuh sayang. Memang benar, selain ibu bapanya, Zahra adalah satu-satunya yang pernah melihat wajahnya. Semasa insiden dahulu, niqabnya terbuka semasa menyelamatkan Zahra. Namun, dia segera menutup wajahnya kembali agar tidak terlihat orang lain, meskipun ketika itu dia sedang cedera.

“Raesya, silakan masuk. Maaf rumah masih sedikit bersepah. Kami sedang kemas-kemas lagi,” sapa Firman dari pintu.

“Baik, Abang Firman,” balas Raesya sambil melangkah masuk.

Setelah duduk, Raesya menghulurkan bungkusan hadiah yang dibawanya.

“Selamat hari jadi, adikku sayang. Semoga diberkati selalu, makin cantik dan bijak ya?” ucap Raesya dengan penuh kasih sayang.

“Terima kasih, Kak. Boleh saya buka sekarang?” tanya Zahra dengan mata berbinar.

“Boleh,” jawab Raesya sambil tersenyum. Dia tahu, kanak-kanak memang tak pandai bersabar bila menerima hadiah.

Zahra membuka bungkusan dengan penuh keterujaan. Apabila dia melihat isi di dalamnya, matanya membesar terpukau. Dia segera menyarungkan cincin Doraemon itu ke jarinya dengan gembira yang tak terhingga.

“Wah, cantiknya! Ada gambar Doraemon!” jerit Zahra gembira.

“Ada nama kamu juga tau, dekat bahagian dalam,” ujar Raesya sambil tersenyum.

Zahra segera menanggalkan cincinnya dan memeriksa bahagian dalam. Betul seperti yang dikata, tertera namanya, Zahra, dengan ukiran kemas.

Dengan penuh kegembiraan, Zahra terus memeluk Raesya erat.

“Terima kasih banyak ya, Kak. Kak Raesya memang baik sangat,” ucap Zahra penuh terharu.

“Sama-sama, sayang. Pakai cincin ni tau? Cantik sangat kat jari comel kamu ni,” pujuk Raesya dengan lembut.

Zahra mengangguk riang lalu menyarungkan kembali cincin itu ke jarinya.

Namun tiba-tiba, suasana tenang itu bertukar kecoh.

“Perempuan perampas! Aku dah larang kau datang ke sini!” jerit Vida lantang sebaik saja melangkah masuk.

“Mama, Zahra yang jemput Kak Raesya datang!” balas Zahra, matanya mula merah menahan tangis.

“Kamu budak kecil, mana kamu tahu apa-apa! Raesya tu bukan perempuan baik, dia pura-pura je ambil berat pasal kamu sebab nak dekatkan diri dengan papa kamu!” tempik Vida, marah tak terbendung.

“Na’uzubillah, Puan Vida. Jangan sesuka hati menuduh orang. Saya sayangkan Zahra dengan ikhlas, macam adik saya sendiri!” balas Raesya, tidak tahan difitnah sebegitu.

“Sudahlah, tak payah berlagak suci! Kalau bukan sebab kau, keluarga aku takkan hancur macam ni!” bentak Vida lagi.

Zahra yang ketakutan terus memeluk Raesya, enggan mendekati ibunya. Dalam masa itu, Firman muncul dari dalam rumah dengan wajah yang jelas marah.

“Vida, kalau kau datang ke sini cuma nak buat kecoh, baik kau keluar sekarang! Hidup aku dengan Zahra jauh lebih baik tanpa kau,” tegas Firman.

“Abang... dulu awak tak macam ni. Tapi sejak kenal dengan Raesya, awak berubah. Awak langsung tak nak kembali pada saya,” rayu Vida, nadanya tiba-tiba menjadi lembut.

“Dengar sini baik-baik! Kita berpisah sebelum saya kenal pun siapa Raesya. Dan awak sendiri yang minta cerai! Sekarang bila hidup saya dan Zahra semakin baik, awak nak kembali? Jangan salahkan orang lain atas kesilapan sendiri. Kalau pun saya tak kenal Raesya, saya tetap takkan kembali pada awak!” balas Firman, tegas tanpa ragu.

Zahra mula menangis. Dan seperti biasa, apabila ibu bapa bertengkar, yang paling menderita adalah si anak, yang tidak pernah meminta untuk berada di tengah luka dan kemarahan orang dewasa.

“Cukuplah, jangan bergaduh lagi. Kasihan Zahra. Hari ni hari istimewa dia. Lagpun, sekejap lagi kawan-kawan dia akan sampai,” pujuk Raesya, hatinya tersentuh melihat wajah Zahra yang muram.

“Aku akan berhenti buat kecoh kalau kau keluar dari sini!” herdik Vida dengan lantang, memandang tajam ke arah Raesya.

“Baiklah... Saya akan keluar, saya minta diri dulu. Assalamualaikum,” ujar Raesya, memilih untuk mengalah.

Namun belum sempat dia melangkah pergi, Zahra menjerit histeria sambil menangis, “Kak Raesya, jangan! Saya tak nak Mama. Saya nak Kak Raesya!”

“Tengok tu, Vida! Budak kecil pun tahu siapa yang benar-benar ikhlas dan baik,” sindir Firman sambil memandang sinis ke arah bekas isterinya.

Raesya ingin pergi, tetapi tangisan Zahra yang berterusan memanggil namanya membuatkan dia tidak sampai hati.

“Tak lama lagi aku akan berkahwin. Mungkin selepas ini, aku dah tak bebas bertemu Zahra lagi…” detik hati Raesya, perit dalam diam.

Mengabaikan pandangan tajam dan sinis dari Vida, Raesya tetap memilih untuk tinggal di rumah Firman demi Zahra.

“Perempuan tak tahu malu…” gumam Vida perlahan tapi cukup jelas untuk didengar.

Raesya menarik nafas dalam-dalam, cuba bersabar. Dalam hati dia mula memahami mengapa Firman tidak tahan hidup bersama Vida, keangkuhan wanita itu jelas terlihat.

“Vida, saya minta kamu hormati anak kamu. Kalau tak mampu kawal sikap, lebih baik kamu keluar. Jangan buat Zahra malu. Kawan-kawan dia nak sampai sekejap lagi,” tegas Firman dengan suara yang cukup lantang.

“Ehm, iyelah,” jawab Vida dengan nada terpaksa.

Zahra yang masih menangis kini wajahnya sudah kusut dan comot. Raesya segera mengambil inisiatif untuk membantunya bersiap semula.

“Zahra, biar Mama yang kemaskan, ya?” pujuk Vida, cuba mendekati.

Namun Zahra hanya menggeleng dan memeluk Raesya erat, ketakutan masih tergambar jelas di wajahnya. Memang benar, Vida kelihatan menakutkan ketika marah tadi.

Raesya tidak peduli dengan pandangan sinis Vida. Sebaliknya, dia membalas renungan itu dengan tenang dan yakin.

“Puan Vida, saya nasihatkan... buanglah prasangka buruk terhadap saya. Saya langsung tak ada niat untuk mendekati Abang Firman. Saya sudah ada tunang, dan tak lama lagi akan berkahwin,” ujar Raesya dengan nada lembut namun tegas.

Vida hanya terdiam, terpaku dan tidak mampu berkata apa-apa. Namun, dalam diam dia masih enggan mengakui kesalahannya.

Beberapa minit kemudian, kawan-kawan Zahra mula tiba satu persatu. Majlis hari jadi pun berlangsung meriah. Dan ketika tiba saat memotong kek, siapa sangka, Zahra menyuap potongan pertama kepada Firman, kemudian kepada Raesya, dan yang terakhir kepada Vida.

Reaksi itu membuatkan wajah Vida bertukar tegang, hatinya dipenuhi rasa iri dan tidak senang.

Namun sebelum Vida sempat bertindak lebih jauh, Firman sudah terlebih dahulu melemparkan pandangan tajam, seolah memberi amaran agar bekas isterinya tidak sekali lagi memalukan anak mereka di hadapan tetamu.

Selepas majlis tamat, Raesya pun bersiap untuk pulang.

“Kak Raesya tak nak teman Zahra buka hadiah?” tanya Zahra dengan mata penuh harapan.

“Maaf ya, Zahra. Kakak kena pulang segera. Tapi nanti malam Kakak telefon, kamu boleh cerita dapat hadiah apa, ya?” pujuk Raesya dengan lembut.

“Zahra, kan Mama ada di sini. Takkan tak rindu Mama?” sela Vida, cuba mendekati anaknya.

“Ma... Zahra tak nak dengan Mama,” jawab Zahra jujur, polos tanpa berselindung.

“Sayang, Kak Raesya banyak kerja. Biar Papa yang teman kamu, ya?” Firman menenangkan anaknya.

“Okay. Kalau macam tu... Kakak hati-hati ya?” ucap Zahra, memandang Raesya dengan penuh kasih.

“Baik, Assalamualaikum,” ucap Raesya sambil bergerak pulang.

Hanya suara Firman dan Zahra yang menyahut salamnya. Vida diam membisu, tapi Raesya tidak peduli, dia tahu wanita itu membencinya.

Tidak lama selepas itu, Vida mengejarnya ke luar.

“Raesya! Dah berapa kali aku bagi amaran, tapi kau masih tak dengar juga. Jauhkan diri kau dari Firman dan Zahra! Jangan main-main dengan aku!” ugut Vida dengan suara tinggi.

“Puan Vida, saya akan berkahwin tak lama lagi dengan lelaki lain. Jadi tolong jangan salah faham. Saya dan Abang Firman hanyalah rakan sekerja dan kawan biasa,” balas Raesya, letih asyik difitnah.

“Huh! Itu semua alasan. Siapa pula yang nak kahwin dengan perempuan macam kau ni? Pakai niqab sebab kau buruk, kan? Takut orang tengok dan ejek kau!” sindir Vida sinis, memandang Raesya dengan hina.

“Terserah Puan nak percaya atau tidak. Yang penting, saya dah jelaskan. Saya tiada niat untuk mendekati Abang Firman. Assalamualaikum,” balas Raesya tenang sambil mencapai topi keledarnya dan berlalu pergi.

“Perempuan munafik! Ular bertopeng manusia!” herdik Vida dengan kuat dari belakang.

Sebenarnya, Raesya agak berat hati untuk pulang ke rumah. Bukannya dia tidak mahu berehat, tapi rumah yang sunyi itu membuatkan hatinya kembali diselimuti rasa sepi. Setiap kali sunyi menjelma, rindunya kepada arwah ibu dan ayah kian mencengkam. Dengan motosikal kesayangannya, dia memaksa diri pulang perlahan-lahan.

"Aku rasa macam hidup sebatang kara... dan sekarang aku bakal berkahwin pula dengan lelaki yang tidak aku cintai," bisik hati kecil Raesya, pilu.

Tiba-tiba bayangan Firman melintas di benaknya. Tergambar suasana andai dia menikah dengan lelaki itu, tentu keluarganya akan bahagia. Walaupun Zahra bukan anak kandungnya, namun kasih sayangnya begitu tulus terhadap anak kecil itu.

Tin... tin...!

Lamunannya terhenti. Raesya tersentak dan baru menyedari bahawa lampu isyarat telah bertukar hijau. Dia terlalu hanyut dalam fikiran hingga terlupa untuk bergerak.

"Astaghfirullah... lindungilah aku daripada tipu daya dan lintasan hati yang boleh menggoyahkan imanku, Ya Rabb," gumam Raesya, lantas beristighfar.

Namun tiba-tiba…

Dumm!

Sebuah hentakan kuat dari belakang merempuh motosikalnya. Tubuhnya terpelanting dan jatuh ke atas jalan.

"Aduh... Astaghfirullah..."

Raesya mengerang kesakitan. Kakinya terasa pedih dan bahagian kanan kepalanya berdenyut hebat. Orang ramai segera berkerumun, ada yang cuba membantunya, manakala penunggang yang melanggarnya terus melarikan diri.

“Cik, awak okay tak?” tanya seseorang yang menghampirinya.

“Kaki... sakit,” jawab Raesya lemah. Dia tidak mampu berdiri.

Kepalanya semakin berpusing, bunyi sekeliling terasa makin bising dan bergema. Ada yang berteriak mengejar si pelanggar, ada yang cuba menahan kereta untuk membawanya ke hospital.

Dalam kesamaran pandangannya, dia sempat melihat seorang lelaki keluar dari keretanya…

Yujin.

Namun belum sempat dia pasti, pandangannya menjadi gelap. Raesya tidak sedarkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience