Rate

Bab 5

Drama Series 12410

AYRA masih membungkam dengan mata yang masih merenung wajah lelaki yang masih tenang menantikan jawapannya itu. Entah mengapa hatinya berdebar-debar, perasaannya berkecamuk. Mungkin kerana terkejut.

Persoalan Zayn tadi bagaikan satu kejutan elektrik yang menghentam minda dan jiwanya. Selama ini dia hanya menganggap Zayn sebagai seseorang yang mengisi hari-harinya dengan gurauan dan kerja-kerja remeh di bengkel, tetapi permintaan lelaki itu tadi jauh lebih serius daripada yang dia sangka.

“Kau serius ke?” Ayra akhirnya bersuara setelah agak lama dia membisu.

Zayn tersenyum, lalu dia mengangguk perlahan. “Ya, aku serius. Aku tahu, mungkin pelik bagi kau sebab kita baru je kenal, kan? Tapi... aku sendiri pun rasa pelik dengan perasaan aku sebenarnya. Ada sesuatu tentang kau yang buat aku rasa tak nak biarkan kau hilang macam tu je. Rasa macam aku nak ada dengan kau setiap saat."

Ayra tergamam mendengar pengakuan itu. Walaupun mereka sering bergurau dan usik-mengusik, tetapi jauh di lubuk hati kecilnya, dia sebenarnya berasa terharu setiap kali dia melihat usaha dan kesungguhan Zayn. Tetapi untuk menerima lamaran cinta? Oh, tidak! Itu sesuatu yang jauh di luar zon selesanya. Malah dia sendiri tidak pasti apakah dia sudah bersedia untuk membuka pintu hatinya untuk sesuatu yang bernama cinta atau tidak.

“Zayn…” Ayra menundukkan wajahnya buat seketika mencari kata-kata yang sesuai. “Aku tak tahu macam mana nak respond. Aku tak pernah bercinta dan aku tak pernah terfikir langsung nak bercinta.”

“Kalau macam tu, inilah masa untuk kau cuba."

"Ingat ni eksperimen ke?" Ayra menjongketkan keningnya dengan mata terjegil. "Aku rasa aku tak bolehlah."

"Aku sanggup tunggu sampai kau betul-betul yakin dan bersedia, Ayra,” balas Zayn lembut sambil tersenyum, tetapi kedengaran seperti mendesak dengan cara halus.

Ayra membungkam sekali lagi. Di sebalik gurauan dan wajah tenang Zayn, dia dapat melihat sinar keikhlasan dalam mata lelaki itu. Namun, dia tidak mahu terburu-buru. Cinta bukanlah sesuatu yang mudah dan remeh baginya.

“Sorry, Zayn. Jujur aku cakap, belum masanya lagi untuk aku buka hati aku untuk hal macam ni,” balas Ayra terus terang dengan riak muka yang tenang, tetapi kelihatan serius.

Zayn langsung tersenyum kecil menyembunyikan sedikit kekecewaannya. “Aku faham, Ayra... aku faham. Aku tak paksa kau terima cinta aku sekarang, tapi aku nak kau tahu yang aku betul-betul ikhlas dan aku takkan berhenti berusaha untuk buat kau yakin dengan aku.”

Ayra mengangguk dengan sedikit rasa bersalah. “Terima kasih sebab faham.”

Walaupun tiada jawapan pasti, Zayn yakin bahawa hubungan yang terjalin di antara mereka akan menjadi satu hubungan yang lebih daripada sekadar persahabatan suatu hari nanti. Hanya perlu menanti dengan penuh kesabaran untuk menawan hati wanita yang agak 'keras' dan tidak mudah untuk ditakluki itu sahaja.

Sementara dalam hati Ayra pula, dia tahu dia akan mengambil masa yang lama untuk memahami perasaannya sendiri. Perkara ini terlalu baru dalam hidupnya.

- - - -

SESAMPAI sahaja di rumah, Ayra tidak terus masuk ke dalam rumah, sebaliknya dia duduk di atas pangkin di bawah sebuah pohon kayu tua, merenung jauh ke depan sambil memeluk topi keledarnya erat-erat.

Angin petang yang bertiup lembut menerpa wajahnya terasa sungguh nyaman dan menenangkan, namun hati dan fikirannya rasa tidak tenang memikirkan perbualannya dengan Zayn di bengkel tadi.

Sungguh, dia benar-benar tidak pernah terlintas untuk pergi lebih jauh dalam hubungan di antara dia dan Zayn. Dia menganggap lelaki itu tidak lebih daripada sekadar seorang teman yang kadang-kadang menjengkelkan, tetapi dalam masa yang sama menghiburkan.

Dia tidak pernah terfikir untuk bercinta, apatah lagi dianggap sebagai wanita istimewa oleh lelaki kacak, segak, berani dan santai seperti Zayn. Jiwanya hanya dipenuhi dengan dunia bengkel, kerja-kerja kotor dan mesin-mesin berkarat. Itu yang membuatkan dia berasa dirinya bukanlah seorang perempuan yang layak untuk dipandang dan dihargai dengan perasaan istimewa seperti itu.

"Dia suka aku? Dia ni waras ke tak?" gumam Ayra sendirian dengan riak wajah yang dihiasi kerut bingung disusuli dengan keluhan.

Namun, setiap kali dia teringat wajah bersahaja Zayn ketika melontarkan soalan itu di bengkel tadi, hatinya tidak dapat menafikan bahawa ada satu perasaan asing yang tiba-tiba muncul, tetapi kecil dan samar. Tidak mungkin itu cinta. Dia fikir, itu mungkin sekadar perasaan aneh kerana baru pertama kali ada orang yang berterus terang begitu dengannya.

Dia melepaskan keluhan berat saat wajah Syafiq tiba-tiba menjelma di ruang fikirannya. Dia berasa serba salah kepada lelaki itu, entah mengapa. Dia sedar sejak akhir-akhir ini, mereka kurang meluangkan masa bersama seperti selalu, sedangkan mereka bekerja di tempat yang sama.

“Kenapa aku rasa macam ni?” soal Ayra kepada dirinya sendiri. Dadanya terasa seperti semakin sarat dihimpit dengan satu perasaan pelik, tetapi dia tidak pasti perasaan apa. Sebahagian daripada dirinya terasa seperti hendak melarikan diri daripada apa yang sedang dia rasakan sekarang. Mungkin kerana dia bukanlah seorang yang mudah menerima perubahan, apatah lagi perubahan yang melibatkan perasaan.

Tanpa sedar, bibirnya mengoyak senyuman. "Kau memang gila, Zayn... atau aku yang terlalu pelik untuk faham semua ni?" Sedang asyik termenung, telefon bimbit di dalam jaket kulitnya bergetar. Cepat-cepat dia mengeluarkan telefonnya dan membuka mesej yang baru diterima itu.

Aku takkan paksa kau terima aku. Aku cuma nak kau tahu, aku ikhlas dengan apa yang aku rasa dan apa yang aku cakap kat kau di bengkel tadi. Kau fikir dulu, okey? Esok aku datang awal pagi ke bengkel, jangan pula kau yang lewat. Jenuh aku merindu nanti. -Zayn

Ayra menatap mesej itu buat satu tempoh yang lama dengan mata terpicing. Kali ini, dia tidak dapat menyembunyikan senyuman kecil yang tanpa sedar terukir pada wajahnya. Sepertinya ada sesuatu pada Zayn yang membuatkan dia rasa sangat berbeza.

- - - -

KEESOKAN paginya, Ayra tiba di bengkel lebih awal daripada biasa. Dia hendak fokus pada kerja, berharap agar bunyi bising di bengkel itu mampu membuatkan otaknya berhenti memikirkan tentang hal yang mengganggu fikirannya sejak kelmarin. Namun, tidak kira berapa kali dia cuba mengalihkan perhatiannya, kata-kata Zayn kelmarin tetap terngiang-ngiang di telinganya.

Sebaik sahaja dia melangkah masuk, sosok tubuh kekar lelaki yang sedang duduk di atas motosikal pelanggan membuatkan langkah kakinya serta-merta terhenti. Melihat wajah tenang Zayn, Ayra tidak dapat menahan debar di dadanya. Dia langsung teringat akan pesanan yang diterimanya daripada lelaki itu semalam. Lelaki itu benar-benar datang awal menunaikan kata-katanya.

"Awalnya kau datang hari ni," sapa Zayn dengan senyuman bersahaja.

Ayra mengangguk perlahan. "Kau lagi awal. Hm, aku memang selalu datang awal pun, sebab aku tak suka tangguh kerja banyak-banyak," jawabnya sambil meletakkan beg silang dan topi keledarnya ke dalam rak sebelum jaketnya pula dilucutkan daripada tubuhnya.

Zayn ketawa kecil. "Alasan, kan?" Dia kemudian berjalan ke arahnya dan meneliti wajah wanita yang kelihatan tenang itu. "Padahal kau tak sabar nak jumpa aku, kan?"

Spontan Ayra mencebik. "Eleh, perasan!"

Reaksi Ayra membuatkan Zayn langsung menghamburkan tawa. "Comel je dia buat muka."

"Eee, kau ni kan! Aku tumbuk karang, baru padan muka kau kalau gigi kau rongak!" sembur Ayra sambil mengangkat penumbuknya dengan muka garang, padahal hatinya berbunga-bunga dengan pujian tadi.

"Lah, aku puji kan? Bukannya aku kutuk. Hmm... kau dah breakfast ke?"

Laju Ayra mengangguk sebelum dia melangkah mendekati motosikal yang hendak dibaikinya.

"Laaa, aku baru je plan nak ajak kau breakfast sama-sama. Boleh kita sembang-sembang bincang pasal masa depan kita," balas Zayn dengan nada bergurau sambil menahan senyum.

“Zayn..." Ayra menunduk buat beberapa saat sambil menarik nafas dalam-dalam, lalu dihembus berat sebelum dia memandang wajah Zayn. Faham benar apa yang dimaksudkan oleh lelaki itu tadi. "Boleh tak jangan dulu kau sentuh apa-apa pasal ni. Aku tak nak fikir pasal benda ni semua buat masa sekarang. Bagi aku, hidup ni tentang apa yang aku boleh buat dan apa yang aku nak capai untuk perbaiki hidup aku. Untuk masa depan kita yang kau maksudkan tu... aku tak tahu pun kalau aku ada ruang untuk semua tu.”

Zayn tersenyum kecil, kali ini dengan pandangan mata yang lebih serius. “Itulah yang buat aku suka kat kau, Ayra. Kau hidup dengan prinsip, dengan tujuan. Jadi, aku nak kau tahu yang kau boleh je terus jadi diri kau dan aku akan tetap ada di sisi kau. Aku tak akan ubah kau. Aku cuma nak jadi seseorang yang kau boleh percaya dan yang akan sentiasa ada dengan kau.”

Kata-kata Zayn membuatkan Ayra terdiam seketika. Jiwanya bergolak antara keinginannya untuk kekal fokus pada hidupnya yang serba ringkas dan situasi baru yang aneh ini.

“Kalau aku tak boleh beri lebih macam yang kau harapkan, kau tetap akan terima?” soal Ayra seolah-olah sedang mencabar dirinya sendiri untuk memahami apa yang lelaki itu mahukan.

Zayn mengangguk tanpa ragu. “Aku tak minta lebih, Ayra. Aku cuma nak kau jadi diri kau. Itu sudah cukup bagi aku.”

Ayra menatap wajah Zayn buat satu tempoh yang agak lama dengan perasaan yang bercampur-baur. Perasaan yang dia rasakan sejak kelmarin perlahan-lahan menular dengan lebih jauh ke dalam hatinya. Namun, dia tahu, walau apapun yang dia rasa pada ketika ini, dia masih perlukan masa untuk menerima hakikat ini sepenuhnya.

"Okeylah kalau macam tu," ujar Ayra selepas seketika membungkam.

Bukan main lebar lagi senyuman yang tersungging pada wajah Zayn. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia melompat dan bersorak gembira, namun dia kekal berlagak tenang.

"Bukan okey nak jadi girlfriend kau!" lanjut Ayra selepas melihat senyuman lebar Zayn.

Serta-merta hilang senyuman Zayn berganti dengan muka berkerut bingung. "Jadi?"

"Aku okey pasal yang kau cakap kau takkan ubah aku dan aku boleh terus jadi diri aku. Kau boleh terus jadi teman yang sentiasa ada untuk aku bila-bila masa yang kau nak. Itu je yang aku mampu bagi kau buat masa sekarang."

Zayn tersenyum lega sambil mengangguk kecil, walaupun ada sedikit kekecewaan dan ketidakpuasan di hatinya. "Itu pun sudah cukup bagi aku, Ayra."

"Eh, dahlah! Karang tak siap pula kerja asyik bersembang," ujar Ayra seraya menyarungkan sarung tangan ke tangannya.

Ayra pun mulai bekerja seperti biasa, tetapi kali ini dalam suasana yang berbeza. Di tengah-tengah kebisingan bunyi ketukan, bunyi mesin dan bau minyak hitam yang mengalir, terbit satu perasaan yang baru, yakni satu perasaan yang kini disulami dengan harapan dan keikhlasan.

- - - -

AYRA duduk sendirian di tepi tali air, di tempat kebiasaannya melepak. Bunyi air yang mengalir, angin yang bertiup nyaman serta pemandangan sawah padi luas terbentang yang biasanya menenangkannya, gagal meredakan kekusutan di hatinya pada kali ini. Dia termenung jauh, tanpa menyedari kehadiran Syafiq yang sedang memerhatinya di belakang.

“Ayra."

Ayra tersentak, lalu dia menoleh memandang Syafiq yang sudah duduk di sebelahnya.

"Datang sini tak ajak pun," ujar Syafiq dengan nada seperti berjauh hati.

"Aku tak plan pun nak datang sini sebenarnya. Aku pergi ambil barang kat pejabat pos tadi, terus aku singgah, ingat nak duduk sekejap je," balas Ayra dengan muka lesu tidak bermaya.

Syafiq melepaskan keluhan sambil meraup rambutnya ke belakang. “Kau dah berubahlah, Ayra."

Serta-merta terpicing mata Ayra selepas mendengar kata-kata Syafiq. "Berubah?"

Syafiq mengangguk. "Aku dah lama perasan kau berubah sejak Zayn muncul dalam hidup kau," jawab Syafiq terus terang tanpa berselindung. "Kalau dulu, kau selalu lepak dan bergurau dengan aku kat bengkel, tapi sekarang…” Dia menghela nafas panjang, memandang Ayra dengan pandangan serius. “Hampir setiap masa kau dengan Zayn. Kalau bukan dengan Zayn, kau lebih suka bersendiri. Aku rasa macam aku ni dah tak penting lagi dalam hidup kau.”

Ayra terdiam, tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Rasa bersalah menyelubungi hatinya kerana dia akui apa yang perkatakan oleh Syafiq sebentar tadi itu benar. “Sorry, kalau aku buat kau rasa macam tu. Bukan aku tak nak lepak dengan kau. Cuma… ada banyak benda yang aku fikirkan sekarang.”

Syafiq memandangnya dengan pandangan penuh pengertian. “Kau boleh cerita apa je kat aku, kan? Aku ada, Ayra. Aku dengar. Bukannya kau tak biasa. Dari dulu aku sentiasa dengar dan fahami kau.”

Ayra tersenyum nipis. Ya, dia tahu, Syafiq adalah antara orang yang paling memahami dirinya. Tetapi, dalam masa yang sama, dia sendiri sebenarnya tidak memahami dirinya sendiri. Agak lama mereka saling bertentang mata sebelum Ayra menarik hembus satu nafas panjang. "Sebenarnya... minggu lepas Zayn lamar aku jadi girlfriend dia."

Riak wajah Syafiq serta-merta berubah, namun dia berusaha menyembunyikan perasaan yang mula bergolak dalam dirinya. “Oh, ya ke!” Bibirnya dipaksa untuk mengoyak senyuman. “Jadi… kau terima?”

Ayra menunduk sambil menggeleng disusuli dengan keluhan perlahan. “Tak... kau pun tahu aku, kan? Aku tak pernah fikir langsung pasal hal-hal macam tu. Maksud aku, tentang cinta, tentang hubungan istimewa… ermm... semua tulah. Tapi, Zayn tu dia bersungguh-sungguh sangat nak aku terima cinta dia. Entah macam mana pandangan dia kat aku sampai dia boleh ada perasaan istimewa macam tu. Nak kata aku ni cantik dan seksi tu memang taklah. Itukan ciri-ciri umum perempuan pilihan kebanyakan lelaki. Mata dia rosak kut!" tuturnya panjang lebar.

Siapa cakap kau tak cantik? Kau cantiklah! getus hati Syafiq sambil tersenyum, namun keluhan berat terpacul daripada mulutnya setelah itu. "Just follow the flow ajelah. Kau kan jenis yang tak suka dipaksa. Kalau dia betul-betul nakkan kau, dia kena usaha lebihlah. Kalau dia tak mampu, biar aku je yang terus jaga kau sampai tua," ujarnya dengan nada berseloroh, padahal dia sememangnya memaksudkan kata-katanya itu.

Tawa kecil langsung terpacul daripada mulut Ayra mendengarkan kata-kata Syafiq. "Biar masa yang menentukan. Hati manusiakan Allah yang pegang."

Laju Syafiq mengangguk mengiakan kata-kata Ayra. Mereka terus duduk di situ dalam kebisuan menikmati angin petang yang terasa nyaman seolah-olah meniupkan kelegaan di hatinya yang dia tahu hanya buat sejenak.

Bagi Syafiq, mungkin ini kali terakhir mereka boleh meluangkan masa bersama seperti ini. Dia sebenarnya dapat merasakan bahawa Ayra pasti akan menerima cinta Zayn. Cuma cepat atau lambat sahaja. Namun baginya, walau apapun yang Ayra pilih, dia akan setia menyokongnya, meskipun jauh di dalam hatinya, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sukarnya untuk melepaskan seseorang yang telah lama berada di tempat istimewa dalam hidupnya.

- - - -

SUDAH hampir sebulan berlalu sejak Zayn meluahkan perasaannya kepada Ayra. Pada ketika ini, mereka sedang duduk di sudut restoran yang tenang, dengan meja kayu yang nampak ringkas dan elegan serta pemandangan taman kecil di luar jendela. Mereka berbual mesra, sesekali ketawa kecil mendengar jenaka dan usikan satu sama lain. Ayra mulai berasa sedikit selesa, walaupun hatinya masih penuh dengan keraguan.

"Kau memang selalu makan kat sini ke?" soal Ayra dengan perasaan tidak sabar hendak tahu. Manakan tidak, restoran itu boleh dikatakan mewah bagi orang seperti dia.

Zayn tersengih. "Taklah juga selalu. Aku ajak kau lunch kat sini, sebab menu lunch dia sedap-sedap."

"Zayn! Is that you?"

Serentak Zayn dan Ayra menoleh untuk melihat si pemilik suara yang sedang berdiri di tepi meja mereka. Ayra memandang wanita cantik berambut lurus keperangan yang mengenakan pakaian formal itu dengan kerutan di dahi. Blazer hitam dan gaun pensil yang dipakai oleh wanita itu menambahkan lagi aura eksklusif yang jelas menunjukkan bahawa wanita itu bukan orang sembarangan. Ditambah lagi dengan solekan halus dan perhiasannya yang kelihatan sederhana, tetapi berkelas.

Sementara Zayn pula kelihatan sangat terkejut. Dia benar-benar tidak menyangka akan bertemu wanita itu di situ. Suasana terasa berubah secara mendadak. Wanita itu merenung Ayra dengan pandangan sinis, langsung tidak menyembunyikan rasa tidak senangnya. Ada sedikit senyuman di bibirnya, tetapi senyuman itu penuh makna yang sukar diungkapkan seolah-olah sedang menilai atau boleh ditafsirkan sebagai senyuman yang memperlekehkan Ayra.

"Zayn..." Wanita itu memandang Zayn sebelum pandangannya beralih kepada Ayra. “Siapa dia ni?”

Ayra mengerutkan dahi. Dia berasa sangat janggal dan tidak selesa melihat cara pandangan wanita itu. Dia tidak pasti siapa wanita ini, tetapi jelas ada sesuatu antara wanita itu dengan Zayn yang membuatkan Zayn kelihatan terkejut dan tidak selesa.

Zayn menelan payah air liurnya seakan-akan tercekik. Dia memandang Ayra buat sejenak sebelum kembali kepada wanita itu. “Ini… kawan I, nama dia Ayra. Ayra, ni Sofia."

Sofia tersenyum kecil, tetapi senyumannya entah mengapa terlihat sangat sarkastik. “Kawan, ya?” Dia memandang Ayra dari atas sampai ke bawah dengan pandangan tajam, jelas menunjukkan reaksi kurang senangnya. “Hm… sejak bila pula you keluar dengan orang macam ni?”

Ayra menelan rasa tidak selesa yang makin menebal. Walaupun dia tidak mengenali Sofia, dia dapat merasakan wanita itu memandang rendah terhadap dirinya kerana penampilannya. Dia rasa bagaikan orang luar yang tidak diingini dalam situasi ini.

“Kenapa dengan dia? She is a thousand times better than all the women I've ever known," balas Zayn dengan nada sinis, tetapi tegas.

"Oh, really?" Sofia tertawa kecil sambil berpeluk tubuh memandang Ayra dengan pandangan yang terlihat seperti sedang mengejek, lalu pandangannya beralih semula kepada Zayn. "Takdalah, I ni bukan apa... cuma pelik. You know your status and your position, right? Jadi, memang peliklah I tengok you bergaul dengan orang sembarangan."

"I don't give a damn what you want to say, Sofia. Can you please leave? Kita orang nak makan ni," ujar Zayn dengan muka dingin dan tegang.

"Hmm, okay... I'll leave. Sorry ganggu masa you makan dengan kawan 'pelik' you ni," balas Sofia disusuli dengan tawa kecil.

Ayra hanya mampu mendiamkan diri, walaupun hatinya benar-benar terguris dengan kata-kata wanita itu. Namun, melihat cara percakapan Zayn dengan wanita itu membuatkan pelbagai persoalan muncul dalam benak fikirannya. Cara percakapan, riak wajah dan bahasa tubuh Zayn sangat jauh berbeza dengan yang dia lihat selama ini.

Zayn mendengus setelah Sofia beredar pergi, lantas dia memandang Ayra dan tersenyum. "Jom, sambung makan."

Ayra memerhati Zayn yang sudah kembali menikmati makanannya buat seketika sebelum dia melepaskan satu keluhan panjang. "Siapa perempuan tadi dan siapa kau yang sebenarnya?"

Pertanyaan daripada Ayra membuatkan kunyahan Zayn serta-merta terhenti, lalu dia memandang Ayra dengan riak wajah terkejut atau lebih tepat lagi, tidak bersedia dengan pertanyaan tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience