Rate

Bab 1

Drama Series 12410

BUNYI deruman enjin motosikal berteriak memecah kesunyian petang yang semakin menginjak waktu maghrib. Ayra tenang memulas minyak, membelah jalan kampung yang lengang.

Angin kencang terasa kuat menolak kepalanya yang sedang memakai topi keledar hitam bercorak bunga ros biru yang menutupi seluruh kepalanya, kecuali mata. Di sebalik jaket kulit yang sudah mulai pudar, jantungnya berdegup kencang, bukan kerana kelajuan motosikalnya, tetapi kerana fikiran yang bersarang dalam benaknya.

Semenjak dua menjak ini, ibunya semakin kerap membebel. Bila nak berubah, Ayra? Sampai bila nak jadi macam ni? Itulah soalan-soalan yang sentiasa terngiang-ngiang dalam fikirannya setiap kali dia dalam perjalanan pulang ke rumah.

Sejak kecil, dia tahu dia berbeza. Dia tidak pernah tertarik dengan gaun cantik atau alat solek seperti anak perempuan lain. Bukan kerana dia hendak melawan fitrah, tetapi kerana itu bukan dirinya dari segi minat. Bagi Ayra, dunia luar lebih mengujakan. Hutan, jalanan dan kebebasan. Itulah yang membuatkan dia berasa bahagia.

Ayra memperlahankan motosikalnya sebaik sahaja dia tiba di satu persimpangan. Di sebelah kirinya, rumah keluarganya kelihatan seperti gambar dalam kad pos lama, tenang dan damai.

Namun, dia tahu, setiap kali dia melangkah masuk ke dalam rumah itu, ketenangan yang sedang dilihatnya dari luar itu akan hilang. Dia terpaksa berhadapan dengan realiti. Realiti bahawa dia tidak pernah benar-benar sesuai dengan harapan keluarganya, terutama sekali ibunya.

Dia menarik nafas panjang sebelum dia memusingkan stereng dan memasuki jalan berkerikil menuju ke rumah. Dari jauh, dia melihat ibunya sedang duduk di beranda sambil melipat kain di atas pangkuannya.

Ayra memberhentikan motosikalnya di garaj kecil yang terletak di tepi rumah. Enjin motosikal yang tadinya garang kini senyap saat dia menekan punat merah di stereng motosikalnya. Kakinya menapak ke tanah seraya membuka topi keledar mendedahkan rambut pendeknya yang kelihatan kusut.

“Ayra, sekejap. Duduk sini dulu, mak ada nak bincang," kata Puan Zaharah ketika Ayra sedang berjalan melepasinya. Suaranya kedengaran tenang, tetapi ada nada tegas yang tidak boleh disangkal.

Ayra mengeluh dalam hati. “Bincang apa lagi, mak? Tak habis-habis lagi ke?" Dia cuba mengekalkan nada suaranya supaya tidak terdengar terlalu kasar, tetapi dia tahu suaranya selalu mencerminkan ketegangan yang dirasakannya dan tidak mampu diselindungkan lagi.

Puan Zaharah mendengus sambil menggeleng kecil. “Ayra ni perempuan, Ayra. Mak cuma nak yang terbaik untuk Ayra. Sampai bila Ayra nak hidup macam ni? Mak tengok anak orang lain elok je. Ada kerja bagus, kahwin, ada keluarga. Ayra? Ayra dah 25 tahun dah, sedar tak?”

Ayra melepaskan keluhan. Sakit hatinya dibandingkan dengan orang lain. “Mak, Ayra ada kerja, kan? Motosikal ni pun Ayra bayar sendiri. Ayra tak susahkan siapa-siapapun. Apa masalahnya? Jadi, kalau Ayra macam ni, mak tak sayanglah?”

Puan Zaharah membungkam buat seketika. Mata tuanya mengamati wajah anak bongsunya itu seolah-olah cuba mencari sesuatu yang hilang. “Mak bukan tak sayang, tapi mak risau. Ayra tak boleh hidup selamanya macam ni. Nanti siapa nak jaga Ayra nanti kalau mak dan ayah dah tak ada? Abang Syukri dan Kak Zura tu masing-masing dah berkeluarga.”

Itulah, selalu soalan yang sama! Ayra mengetap bibir sambil melarikan pandangannya ke arah jalan raya, sengaja mengelak pandangan ibunya. Dia tahu ibunya tidak bermaksud jahat untuk suka-suka menyakitkan hatinya, tetapi bebanan harapan wanita itu terasa benar-benar menyesakkan hati dan fikirannya.

“Ayra boleh jaga diri sendiri, mak,” jawab Ayra, pendek dan bersahaja.

Belum sempat Puan Zaharah berkata apa-apa lagi, Ayra sudah berpaling dan terus melangkah masuk ke dalam rumah. Dia tahu perbualan ini tidak akan berakhir di sini. Ia akan berulang lagi seperti putaran roda yang tidak pernah berhenti. Tetapi malam ini, dia hanya ingin berada dalam dunianya sendiri di dalam biliknya, jauh daripada pandangan dan harapan orang lain.

Ayra melepaskan keluhan lega sebaik sahaja dia masuk ke biliknya. Tempat yang sentiasa memberikannya sedikit ketenangan. Dinding biliknya yang dipenuhi dengan poster motosikal dan peta laluan yang pernah dilaluinya dipandang buat seketika. Baginya, bilik ini adalah satu-satunya tempat di mana dia boleh menjadi dirinya sendiri tanpa perlu dia menjelaskan atau mempertahankan pilihan hidupnya.

Belum sempat dia membuka jaket dan beg yang bersilang di tubuhnya, telefonnya berbunyi. Cepat-cepat dia mengeluarkan telefon dari poket seluarnya. Bibirnya langsung mengoyak senyuman selepas dia melihat nama yang terpapar pada skrin telefonnya. "Hello, Fiq. Ha, ada apa kau call ni?"

"Weh, jom lepak kat kedai lepas isyak nanti. Ada hal penting aku nak cakap kat kau ni," kata Syafiq di hujung talian.

Ayra tersenyum kecil. Sekurang-kurangnya dia berasa masih ada manusia di dunia ini yang menerima dirinya seadanya di mana dia tidak perlu berdebat tentang siapa dirinya, terutama lelaki yang sedang bercakap dengannya pada ketika ini. Lelaki yang setia berkawan dengannya sejak di bangku sekolah rendah lagi.

"Kenapa kau diam? On ke tak on ni?" soal Syafiq dengan nada mendesak.

"On! Okeylah, aku nak mandi ni. Kita jumpa lepas isyak nanti." Talian terus diputuskan setelah mereka mencapai kata sepakat.

- - - -

USAI menunaikan solat isyak, Ayra terus mencapai jaket kulitnya yang bergantung di belakang pintu dan dia terus melangkah keluar dari biliknya. Malam ini, dia hendak melepaskan segala perkara yang mengusutkan fikirannya. Dia akan biarkan dunia luar melupakan masalahnya buat seketika, walaupun dia tahu masalah itu akan menunggunya esok seperti hari-hari yang telah dia lalui.

Ayra menunggang motosikalnya menuju ke kedai makan kegemarannya, tempat dia dan Syafiq sering bertemu. Kedai kecil itu terletak di hujung kampung, berhadapan dengan sawah padi yang terbentang luas.

Bau gorengan segera menyambutnya sebaik saja dia memarkirkan motosikalnya di depan kedai makan tersebut.

Syafiq sedang duduk di salah satu meja di sudut, sibuk menatal telefonnya. Ayra segera mengayun langkah menuju ke tempat lelaki itu. Dia meletakkan topi keledar di atas meja dan terus duduk tanpa banyak kata.

“Muka semacam je. Mak kau lagi ke?” Syafiq bertanya selepas dia memandang wajah Ayra sekilas, lalu pandangannya kembali pada skrin telefonnya.

“Macam biasalah,” jawab Ayra dengan nada hambar. “Tak habis-habis nak suruh aku berubah. Dia risau aku tak kahwin, tak ada lelaki yang nak.”

Syafiq spontan menghamburkan tawa kecil sebelum dia mengangkat wajahnya memandang wanita yang sedang menayang muka cemberut itu. “Mak kau tu macam tu sebab dia sayang kat kau. Mak kau baik, cuma dia tak faham sebab dia tengok dunia kau dari mata dia. Dunia kau lain, beb.”

Ayra mengangguk perlahan mengiakan kata-kata Syafiq. Dia tahu apa yang dikatakan oleh lelaki itu betul, tetapi itu tidak mengurangkan rasa berat di dadanya setiap kali topik yang sama dibangkitkan. Dia penat cuba menjelaskan siapa dirinya. Penat menjadi orang yang seakan-akan tidak pernah cukup baik untuk diiktiraf.

“Kadang-kadang aku fikir, kalau aku ni orang lain, hidup aku mungkin lebih senang." Ayra mengeluh sambil memandang ke arah jalan yang samar-samar diterangi lampu kedai.

Syafiq meletakkan telefonnya. Pandangannya tiba-tiba berubah serius. “Kau tak perlu jadi orang lain, Ayra. Kau dah cukup baik. Masalahnya bukan kau, tapi orang lain yang tak boleh terima kau.”

Ayra termenung sejenak memikirkan kata-kata lelaki itu. Dia tahu kebenaran di sebalik kata-kata itu, tapi sukar untuk dia memujuk hatinya yang sudah lama diselubungi keraguan. “Entahlah, Fiq. Kadang-kadang aku rasa macam tak ada tempat untuk aku kat dunia ni.”

Syafiq diam seketika sebelum dia menghirup kopinya yang sudah suam. “Sebab tulah aku ajak kau jumpa ni. Aku nak cakap dengan kau pasal perkara yang mungkin boleh buat kau rasa teruja untuk terus hidup."

"Hmm, pasal apa?"

Syafiq tersenyum. "Kau ingat tak projek event motor yang kita plan dulu?”

Mata Ayra sedikit bersinar. “Event motor? Yang kau cakap nak buat kat padang bola tu ke? Kenapa dengan plan tu? Kau dah atur ke?”

Laju Syafiq mengangguk.

"Weh, seriuslah! Kau tak main-main, kan?"

“Aku seriuslah! Aku nak kau join sekali. Kau tahu, aku memang perlukan partner yang boleh handle crowd macam kau. Kita boleh buat event ni secara besar-besaran. Bukan setakat untuk rider kat daerah kita ni je, tapi terbuka untuk rider dari seluruh negara. Aku dah jumpa dah sponsor untuk event ni. Kalau kau setuju, kita boleh mula buat persiapan minggu depan.”

Perasaan Ayra bercampur-campur antara keterujaan dan keraguan. Dia tahu ini peluang besar, sesuatu yang dia selalu impikan, yakni acara besar yang akan dihadiri peminat motosikal dari seluruh negara. Tetapi, jauh di sudut hatinya, ada rasa takut yang masih berakar. Takut gagal dan dia takut tidak diterima.

“Fikirlah dulu,” kata Syafiq sambil tersenyum. “Aku tahu kau ada banyak benda kat kepala kau sekarang, tapi event ni boleh jadi cara untuk kau buktikan pada dunia yang kau bukan sekadar perempuan yang orang lain suka-suka nak bentuk, tapi kau boleh jadi apa yang kau nak asalkan bukan orang jahat.”

Ayra tersenyum kecil, kali ini senyumannya kelihatan lebih tulus dan ikhlas. Mungkin ini peluangnya untuk menunjukkan kepada orang lain dan juga kepada dirinya sendiri bahawa dia tidak perlu berubah untuk diakui dan diiktiraf. Dia hanya perlu percaya pada apa yang dia mampu capai.

"Okey, aku setuju. Let's make it happen!" ujar Ayra dengan semangat baru yang terasa menyala dalam dirinya.

Syafiq mengangkat cawan kopinya. "Itulah yang aku nak dengar! Lepas ni, dunia motosikal kita takkan sama lagi."

Ayra tertawa kecil. Jauh di sudut hatinya, dia merasakan beban yang selama ini ditanggung terasa sedikit ringan. Mungkin di sebalik semua harapan dan tekanan, inilah jalannya. Jalan yang membawanya lebih dekat kepada dirinya yang sebenar.

Maaf kalau ada yang terkurang atau terlebih, ya? Happy reading :)

Share this novel

Aisyah Esya
2024-10-25 13:39:38 

wahh.. cerita baru. minah motor


NovelPlus Premium

The best ads free experience