Rate

Bab 2

Drama Series 12410

HARI yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Tapak acara motosikal yang dibangunkan di padang bola kampung itu meriah dengan deruman enjin dan sorakan para peserta. Bendera-bendera berwarna-warni berkibar di sekeliling, sementara gerai-gerai jualan dipenuhi oleh pengunjung yang datang dari seluruh pelosok negeri.

Bagi Ayra, segala usaha dan penat lelah selama berminggu-minggu terbayar. Acara ini adalah puncak kepada segala impiannya, yakni tempat di mana dia berasakan inilah dunianya dan dia berada di tengah-tengahnya.

“Bagus, Ayra. Aku tak sangka kita dapat sambutan meriah macam ni. Aku dah agak dah, kau memang berbakat handle crowd dalam event besar macam ni,” ujar Syafiq sambil menepuk bahu Ayra dengan muka bangga. Mereka berdua berdiri di tepi pentas sedang memerhatikan pertandingan stunt yang sedang berlangsung.

Ayra tersenyum puas. "Thanks, Fiq. Kalau bukan sebab kau, acara ni tak akan jadi. Aku sebenarnya cuma pembantu kau je."

"Pembantu apanya? Kita sama-samalah!"

Ketika mereka sedang berbual, seorang lelaki yang menaiki motosikal Ducati Panigale berwarna merah menarik perhatian ramai. Gayanya begitu meyakinkan, dengan jaket kulit hitam dan topi keledar mahal yang menutupi wajahnya sepenuhnya.

Lelaki itu memarkirkan motosikalnya berhampiran pentas, menarik perhatian para penonton dengan aksi tenang namun penuh gaya. Setelah topi keledar ditanggalkan, wajah lelaki itu terpampang jelas. Kacak, berkarisma dan agak asing bagi mereka semua. Tidak terlihat seperti rider-rider tempatan yang biasa dilihat.

Lelaki yang dikenali sebagai Zayn di kalangan rakan-rakannya itu tersenyum dan terus melangkah segak menuju ke arah kumpulan lelaki lain yang kelihatan lebih eksklusif dan berjarak sedikit daripada peserta-peserta lain. Mereka berbual dalam suasana santai sambil sesekali ketawa kecil.

Zayn merupakan pewaris kepada salah satu keluarga terkaya di negara ini, namun di sebalik penampilannya yang sederhana dan mesra, jarang ada yang tahu tentang kekayaannya. Bagi kebanyakan orang, dia hanyalah seorang rider yang suka berpeleseran, jauh daripada kehidupan korporat. Dia hidup dengan menikmati masa lapangnya, terutama sekali dalam dunia permotoran yang sangat diminatinya.

Setelah beberapa ketika berbual dengan rakan-rakannya, Zayn melirik ke arah Ayra yang masih sibuk di pentas menguruskan acara. Rakan-rakannya menyedari pandangan itu dan mula tersenyum sinis.

“Zayn, kalau kau berjaya ajak perempuan tu keluar lepak dengan kau, this will be yours!" kata salah seorang rakannya berbaur cabaran sambil mengangkat topi keledarnya yang harganya mampu membeli sebuah motosikal kapcai.

Zayn memandang Azrin dengan senyuman sinis. “Kau ingat aku tak boleh buat ke? Kurang dari 24 jam, bro. Hari ni juga aku akan buat dia setuju keluar dengan aku!"

Serentak semua rakannya ketawa. Lantas, Zayn dengan gaya penuh yakin terus melangkah menuju ke arah Ayra. Dia sudah biasa dengan taruhan yang menjadi cabaran kepada dirinya untuk memikat gadis-gadis yang kelihatan sukar didekati seperti ini. Namun, kali ini dia sedar Ayra berbeza. Perempuan itu tidak seperti perempuan lain yang mudah terpesona dengan rupa dan gaya. Itu membuatkan Zayn lebih bersemangat untuk menang dalam pertaruhan ini.

“Hey, Ayra kan?” Zayn membuka bicara, suaranya mesra dan ramah sambil memandang wanita itu dengan senyuman menawan.

Ayra berpaling, sedikit terkejut melihat lelaki yang berdiri di hadapannya. Dia langsung mengenali wajah itu. Ya, lelaki dengan Ducati yang membuat aksi mengagumkan tadi.

"Ya, saya Ayra. Awak?" Ayra membalas dengan sopan, namun kekal berwaspada. Ramai peserta lelaki yang sudah cuba mendekatinya sejak acara ini bermula, tetapi dia tidak pernah peduli dengan hal-hal begitu.

“Zayn. Aku peserta tadi. First time aku join event macam ni kat kampung dan aku serius teruja tengok macam mana kau manage semua ni. Hebat," puji Zayn dengan nada tulus.

Ayra tersenyum nipis, cuba menyembunyikan rasa kagumnya terhadap lelaki yang kelihatan begitu tenang dan penuh keyakinan itu. “Thanks, tapi ni bukan usaha aku seorang. Ramai orang yang tolong.”

Zayn mengangguk. “Tapi kau yang lead, kan? Aku respect cara kau handle semua ni. Aku belum pernah lagi jumpa perempuan yang betul-betul passionate dalam dunia permotoran macam kau.”

Kata-kata lelaki itu membuatkan Ayra berasa sedikit tersentuh, tetapi dia masih tidak terlalu terbuka. “Minat je. Tapi apa-apa pun, saya buat benda ni bukan untuk impress sesiapa.”

Zayn ketawa kecil, cuba mencari titik rapat. “Aku suka cara kau berfikir. Straightforward. Boleh tak aku ajak kau keluar lepak dengan kita orang lepas ni? Just untuk chill. Aku rasa kau patut berehat sikit selepas urus event sebesar ni.”

Ayra memandang Zayn sejenak. Lelaki itu kelihatan ikhlas, tetapi ada bisikan bergema dalam dirinya mengatakan supaya jangan mudah terpedaya. Namun, dia juga tidak mahu kelihatan terlalu sombong. Mungkin tiada salahnya untuk sekadar berkenalan, memandangkan dia memang selalu mencari kenalan baru dalam dunia permotoran.

“Okey, tapi tengoklah dulu macam mana nanti. Banyak lagi nak kena settle,” jawab Ayra, tetap berwaspada.

Zayn tersenyum lebar. “Sure. Bila-bila masa kau free, just let me know. Aku tak nak ganggu kau buat masa ni.”

Setelah Zayn beredar, Ayra memandangnya dengan sedikit rasa curiga. Ada sesuatu yang membuatkan dia rasa lelaki itu bukan seperti yang kelihatan. Namun, dalam sibuknya acara dan segala tanggungjawab yang perlu diselesaikan, Ayra meletakkan perkara itu di belakang fikiran.

Jauh di satu sudut padang, Zayn kembali kepada rakan-rakannya dengan senyuman puas. “Tak susah pun," ujarnya dengan nada bangga.

Rakan-rakannya tersenyum sinis, tidak sabar menunggu apa yang akan terjadi seterusnya.

Bagi Zayn, ini hanyalah satu lagi permainan yang dia yakin akan menang tanpa menyedari bahawa ada perkara yang lebih dalam tentang Ayra yang mungkin akan membuatkan perhitungannya tersilap langkah.

Selepas pertemuan ringkas dengan Zayn, Ayra kembali menguruskan acara tanpa terlalu memikirkan apa yang baru berlaku. Suara sorakan penonton mulai perlahan seiring tamatnya perlumbaan terakhir.

Syafiq melangkah ke arah Ayra sambil mengangkat ibu jarinya, jelas berpuas hati dengan kejayaan acara itu. "We did it, Ayra! Semua orang nampaknya puas hati. Thanks, Ayra!" katanya sambil menyeka peluh yang merenik di dahinya.

Ayra tersenyum sambil memandang sekeliling. "Ya, memang berjalan lancar. Thanks kat kau juga sebab bantu dorong aku sampai ke tahap ni."

Syafiq mengangguk. "Sama-sama. Hm, tadi aku nampak ada lelaki bercakap dengan kau. Siapa tu? Orang baru ke?"

Ayra mengerutkan dahi seketika, memikirkan tentang Zayn. "Oh, tu Zayn. Baru jumpa tadi, dia cakap ni first time dia join event kampung macam ni."

Syafiq tertawa kecil saat dia menyedari riak wajah Ayra yang sedikit ragu. "Hati-hati dengan orang macam tu. Biasanya lelaki yang ada gaya macam tu ada agenda sendiri."

Ayra tersenyum nipis. “Aku tahu. Aku pun bukan mudah nak percaya orang.”

- - - -

SETELAH acara selesai, Ayra memutuskan untuk berehat sejenak. Ketika dia sedang menyusun barang-barang di belakang pentas, Zayn tiba-tiba muncul semula, kali ini tanpa kumpulan rakannya. Senyuman masih terpahat di wajahnya, penuh keyakinan seperti biasa.

“Penat tak? Aku nampak kau sibuk dari awal tadi sampai sekarang,” kata Zayn, memulakan perbualan dengan nada mesra.

Ayra menoleh sambil mengelap peluh di dahi. "Tipulah kalau aku cakap tak penat, kan? Hm, penat, tapi puas hati sebab semuanya berjalan lancar."

Zayn mengangguk. “Memang nampak smooth. Aku rasa kau ada bakat besar untuk organize benda macam ni. By the way, kau nak lepak dengan aku kejap tak? Kita boleh borak pasal idea-idea future events. Mungkin kita boleh buat something bigger. Lagipun, aku betul-betul ikhlas nak berkawan dengan kau dan kenal dengan lebih rapat lagi.

Ayra memandang Zayn, memikirkan tawarannya. Dia kelihatan seperti benar-benar berminat, tetapi perasaan ragu-ragu masih wujud. "Aku rasa aku kena tolong Syafiq kemas dulu. Mungkin lain kali, lagipun dah lewat malam ni."

Zayn tersenyum, tetapi kali ini senyumannya kelihatan lebih berlapis. “Takpa, aku faham. Tapi kalau kau berubah fikiran, aku ada kat kafe depan sana dengan kawan-kawan aku.”

Setelah Zayn berlalu pergi, Ayra kembali melibatkan diri dengan kerja-kerja mengemas, namun hatinya tidak tenang. Sesuatu tentang lelaki itu membuatkan dia sukar mempercayainya dan perasaan itu terasa semakin kuat ketika dia ternampak Zayn sedang berbual dengan rakan-rakannya di kafe kecil yang dibuka khusus untuk hari ini sahaja. Sesekali mereka memandang ke arahnya sambil tertawa kecil.

Setelah semuanya selesai, Ayra mengambil keputusan untuk berjalan menuju ke kafe di mana Zayn dan rakan-rakannya sedang duduk. Dia ingin tahu apa sebenarnya niat lelaki itu beria mengajaknya melepak dari siang tadi. Setibanya di kafe yang diperkatakan oleh Zayn, suasana agak lengang. Hanya dua buah meja sahaja yang ada pelanggan, termasuk meja Zayn.

Ketika Ayra menghampiri, Zayn tersenyum lebar. “Oh, kau datang juga! Good timing. Duduklah.”

Ayra menarik kerusi dan duduk bersebelahan dengan Zayn, sementara rakan-rakan lelaki itu memandangnya dengan pandangan aneh seolah-olah sedang menilai.

“Kau nampak macam ada benda yang nak tanya je,” ujar Zayn. Nada suaranya sedikit berlainan daripada sebelum ini. Kedengaran lebih santai, tetapi ada sesuatu yang tersembunyi.

Ayra mengerutkan dahi. "Hmm, mungkin bagi kau hal remeh, tapi aku cuma nak tahu kenapa kau beria nak ajak aku lepak? Kenapa kau berminat nak rapat dengan aku?"

Zayn ketawa kecil, tetapi ada sedikit kegugupan yang dapat dirasakan di sebalik tawanya. "Kau direct, aku suka. Sebenarnya, aku memang tertarik dengan cara kau handle event ni. Aku jarang jumpa perempuan yang capable dalam dunia motor. Kau unik. Mungkin lepas ni kita boleh lebih kerap berjumpa. Boleh luang masa bersembang pasal minat yang sama."

Rakan-rakan Zayn yang berada di meja yang bersebelahan dengan mereka kelihatan sedang tersenyum sinis dan itu membuatkan Ayra dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Pandangan mata mereka seolah-olah menunggu sesuatu dan dia seperti dapat menangkap sesuatu. Hati dan fikirannya kuat mengatakan bahawa dia tidak mahu terjerat dalam permainan yang mungkin sedang berlaku.

“Aku rasa jawapan kau tak jujur," kata Ayra dengan nada yang lebih tegas. "Aku nak tanya lagi, apa sebenarnya niat kau?"

Zayn kelihatan sedikit terkejut, tetapi dia cuba menyembunyikan kegelisahannya. Salah seorang rakan Zayn yang kelihatan lebih lantang tiba-tiba bersuara.

"Zayn ajak kau keluar sebab bet. Kami nak tengok sama ada dia boleh buat kau terima ajakan dia untuk lepak sama-sama ke tak." Azrin langsung ketawa disambut dengan tawa sinis rakan-rakan yang lain.

Riak wajah Ayra serta-merta berubah. Perasaannya yang awalnya ragu kini disahkan. Dia bingkas berdiri bersama dengan tatapan dingin menatap tajam wajah lelaki di depannya. "Jadi ini permainan kau? Taruhan?"

Zayn cuba meredakan keadaan. “Ayra, bukan macam tu. Aku...”

“Aku tahu manusia jenis macam kau, Zayn. Korang semua sama je! Jenis jantan berlagak hebat yang ingat semua perempuan boleh dipermainkan sesuka hati,” pintas Ayra dengan nada sinis sebelum dia berpaling dan melangkah keluar dari kafe itu tanpa menoleh lagi.

Dia sudah cukup kenal dengan dunia lelaki-lelaki seperti Zayn yang penuh tipu muslihat dan permainan ego. Mungkin perempuan lain akan terjerat dengan permainan lelaki sebegitu, tetapi tidak semudah itu untuk dia membiarkan dirinya terus dijadikan bahan gurauan dengan sewenang-wenangnya. Tidak, bukan dia!

Zayn terdiam, malu dan marah pada masa yang sama. Rakan-rakannya langsung berhenti ketawa seolah-olah baru menyedari kesan sebenar perbuatan mereka. Zayn hanya mampu memandang Ayra yang semakin menjauh dengan perasaan kecewa, bukan kerana taruhannya kalah, tetapi kerana menyedari bahawa dia telah merosakkan apa yang mungkin menjadi hubungan sebenar.

Dengan kemarahan yang meluap-luap, Ayra terus memecut motosikalnya pulang ke rumah. Baginya, Zayn hanya satu episod kecil dalam hidup yang penuh dengan cabaran. Dia tahu dia lebih daripada sekadar taruhan lelaki kaya, namun dia tidak akan membiarkan sesiapa mempermainkannya begitu saja.

Lama Zayn memerhati Ayra sehingga wanita itu menghilang daripada pandangan sebelum dia melepaskan satu keluhan panjang. Hatinya diselubungi dengan rasa menyesal dan serba salah. Dia tahu dia harus melakukan sesuatu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience