Bualan-bulan berlalu begitu pantas. SPM semakin menghampiri, dan semua pelajar di sekolah kini diselubungi dengan tekanan. Aira dan Adam tidak terkecuali. Mereka berdua semakin sibuk dengan jadual ulangkaji yang ketat. Setiap masa mereka kini dipenuhi dengan buku, nota, dan latihan, yang kadangkala membuatkan mereka hampir lupa untuk bernafas sejenak.
Aira duduk di meja belajarnya, memfokuskan diri pada subjek Matematik, tetapi matanya berkelip-kelip ke jam di dinding. Sudah hampir lewat petang, dan dia tahu Adam biasanya akan menghubunginya selepas waktu sekolah untuk berbual. Namun, hari ini, telefon bimbitnya hanya sunyi. Tiada mesej, tiada panggilan. Dia memahami, Adam pasti sedang sibuk seperti dirinya. Tapi, entah kenapa, perasaan sepi itu datang begitu mendalam.
"Aduh, Aira! Fokus! Jangan fikirkan hal lain!" Aira menegur dirinya sendiri sambil memegang buku latihan. Tapi bayangan Adam yang sering membuatnya tersenyum tanpa sedar masih terngiang-ngiang di mindanya.
Dia meletakkan pen, lalu menarik nafas panjang dan menggapai telefon bimbitnya. Mungkin sudah tiba masanya untuk menghubungi Adam, sekurang-kurangnya untuk memastikan semuanya baik-baik sahaja.
"Aira, jangan buat perangai ni! SPM ni bukan main-main!" bisiknya pada dirinya sendiri. Namun, walaupun dia cuba menenangkan diri, hatinya tetap berdegup kencang dengan rasa rindu yang semakin membelenggu.
Beberapa jam kemudian, Aira mendapati dirinya masih termenung, memikirkan soal hubungan mereka. Keadaan ini berbeza berbanding sebelumnya. Dulu, selepas sekolah, mereka akan bertemu dan berbual panjang. Tetapi kini, segalanya berubah. Setiap kali mereka bertemu, mereka lebih banyak berbincang mengenai pelajaran daripada perkara-perkara lain. Aira tahu ini adalah masa yang penting untuk mereka, tetapi hatinya tetap terasa kosong tanpa kehadiran Adam di sisi.
Pada hari yang lain, di sekolah, Aira duduk di kantin bersama Sofia, merenung sekeliling. Matanya mencari-cari kelibat Adam, tetapi tidak kelihatan. Hatinya sedikit kecewa.
“Aira, kau nampak murung je hari ni. Ada apa-apa masalah ke?” Sofia bertanya dengan penuh keprihatinan. Sofia memerhatikan Aira dengan pandangan yang tajam, seolah-olah tahu bahawa sesuatu tidak kena.
Aira mengeluh. “Aku rasa rindu sangat dekat Adam. Tapi, kami berdua terlalu sibuk. Tak ada masa untuk berjumpa langsung.”
Sofia menepuk bahu Aira dengan lembut. “Aku faham. Tapi SPM dah dekat, Aira. Aku rasa kau kena lebih fokus dulu. Kalau hubungan tu memang kuat, dia akan tetap ada untuk kau walaupun tak selalu dapat berjumpa.”
Aira mengangguk, walaupun dalam hati, dia merasakan ada kekosongan yang semakin menjadi-jadi. “Aku tahu, Fia. Tapi, kadang-kadang aku rindu rasa kebersamaan tu. Dulu kita selalu ada masa untuk satu sama lain. Sekarang... semuanya berubah.”
Sofia tersenyum dengan penuh pengertian. “Semuanya akan kembali pada sedia kala selepas SPM. Percayalah, Aira. Adam pun pasti rasa benda yang sama. Kadang-kadang, kita kena faham situasi masing-masing.”
Aira cuba tersenyum, namun hatinya tetap terasa berat. Dia tahu Sofia benar, namun perasaan itu tetap mengganggu. Apatah lagi, setiap kali memandang telefon, tiada satu pun mesej atau panggilan daripada Adam yang masuk. Walaupun mereka berdua tidak mahu menyusahkan satu sama lain, kadangkala perasaan rindu itu begitu kuat.
Malam itu, Aira kembali ke rumah dan duduk di meja belajarnya. Buku-buku terbuka di hadapannya, tetapi fikirannya kembali melayang ke arah Adam. Berapa banyak hari telah berlalu tanpa mereka sempat bertemu dan bercakap dengan tenang?
Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Satu mesej baru dari Adam muncul di skrin.
“Aira, sorry sangat. Aku tahu kita dah lama tak bercakap. Aku harap kau tak marah. Aku cuma nak kau tahu, aku sentiasa fikirkan kau. Fokus dulu pada SPM, okay? Kita akan ada banyak masa untuk kita selepas ni.”
Aira tersenyum membaca mesej itu. Perasaan rindu yang selama ini menguasai dirinya sedikit berkurang. Dia membalas mesej Adam dengan penuh harapan.
“Aku faham, Adam. Aku pun rindu kau. Tapi kita kena sabar, kan? Lepas SPM, kita janji akan luangkan masa bersama, kan?”
Tak lama kemudian, Adam membalas dengan mesej yang ringkas tapi penuh makna.
“Janji. Kita akan buat semuanya baik-baik selepas ni. SPM tu penting, Aira. Lepas habis SPM, kita akan lebih banyak masa bersama.”
Aira meletakkan telefon di sebelahnya dan menghela nafas panjang. Perasaan rindu yang tadinya menyesakkan dada kini berkurang, walaupun hanya sedikit. Dia tahu ini bukan masa yang sesuai untuk berfikir tentang hubungan mereka. SPM adalah perkara yang lebih penting sekarang. Namun, dalam hati, dia berjanji pada dirinya sendiri dan Adam, selepas SPM, dia akan memberikan sepenuh perhatiannya pada hubungan mereka.
Dia kembali memfokuskan diri pada pelajaran. Meskipun perasaan rindu selalu hadir dalam dirinya, Aira tahu, inilah ujian yang perlu mereka lalui. Dan dia yakin, hubungan mereka akan lebih kuat selepas segala kesibukan ini berakhir.
Beberapa minggu lagi, SPM akan bermula, dan Aira bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam peperiksaan ini. Walaupun sibuk, dia tahu selepas SPM, mereka akan kembali melangkah bersama, lebih kuat dan lebih bersedia untuk menghadapi segala yang datang.
Share this novel