Bab 1: Perasaan yang Tersembunyi

Romance Completed 751

Aira Syafika duduk di bangkunya, matanya tertumpu pada buku sejarah yang terbuka di hadapannya. Namun, seperti biasa, perhatian matanya lebih sering melayang ke arah tingkap, memerhatikan angin yang menyapa dedaunan di luar. Sekolah masih berbaki beberapa jam lagi, tetapi masa terasa berjalan perlahan. Di dalam kelas yang hampir penuh dengan kawan-kawan sebayanya, Aira lebih suka menyendiri, memberi tumpuan kepada dunia dalam kepalanya yang lebih nyaman. Dia bukanlah jenis gadis yang suka menjadi tumpuan, dan itu membuatkan dia lebih suka mendiamkan diri.

"Hei, Aira!" suara Sofia, sahabat baiknya, memecah kesunyian. Aira berpaling, membetulkan kedudukan duduknya. Sofia yang duduk di sebelahnya tersenyum lebar, wajahnya ceria seperti biasa.

"Ya?" Aira menjawab ringkas, sedikit terkejut. Sofia memang selalu bersemangat dan penuh tenaga, seolah-olah tiada yang mampu menggugat keceriaannya. Tetapi Aira tahu, ada kalanya Sofia juga terluka, cuma gadis itu pandai menyembunyikan perasaannya.

"Jom pergi makan tengah hari sekejap. Jauhkan diri sikit dari kelas ni, aku rasa macam nak stress." Sofia memuncungkan bibirnya, cuba menyembunyikan kebosanan yang jelas tergambar di wajahnya.

Aira mengangguk perlahan, dan mereka berdua meninggalkan kelas dengan langkah yang tenang. Sofia sering kali menjadi penyemangatnya, walaupun mereka berdua mempunyai sifat yang sangat berbeza. Sofia yang lebih berani dan terbuka, manakala Aira, meskipun banyak berfikir, selalu menjadi pendengar setia kepada setiap masalah sahabatnya.

"Tadi aku nampak Adam lagi," Sofia bersuara, matanya bersinar. "Kenapa ya, dia selalu saja muncul bila aku tak boleh fokus?"

Aira terkejut mendengar nama itu. Adam Faris. Nama yang selama ini selalu bermain di dalam fikirannya, tetapi tidak pernah diluahkan. Adam adalah pelajar paling popular di sekolah mereka. Dengan penampilannya yang kacak, karisma yang memukau, dan sikapnya yang peramah, tidak hairanlah ramai gadis terpesona dengannya. Namun, bagi Aira, Adam lebih kepada sebuah impian yang jauh, jauh di luar capaian tangannya.

"Adam?" Aira mengulang nama itu dengan nada agak teragak-agak. "Kenapa pula? Apa yang dia buat sekarang?"

Sofia ketawa, melambai-lambaikan tangannya. "Kau ni, Aira. Dia tu siapa je yang tak kenal! Dengar cerita, dia ada benda baru nak buat. Dia beritahu Riz semalam, katanya nak buat kerja kursus dengan lebih serius. Tapi, siapa tahu? Semua benda yang dia buat nampak macam main-main."

Aira senyum kecil, walaupun dalam hatinya, dia merasa sedikit cemburu dengan cara Sofia bercakap tentang Adam. Sofia bukan sahaja tidak pernah merasa malu untuk bercakap tentang Adam, malah dia juga tidak pernah risau jika perasaan itu mengganggu Aira. Tetapi Aira, walaupun tahu perasaannya terhadap Adam, memilih untuk berdiam diri.

"Dia tu memang suka buat orang tertanya-tanya," Aira berkata dengan suara rendah, cuba tidak menunjukkan perasaannya yang sebenar. "Tapi aku tak nak masuk campur sangatlah."

Sofia memandang Aira dengan tajam. "Kenapa? Kau suka kat dia, kan?"

Aira tergamam. Hati Aira berdegup kencang, namun dia hanya mengangkat bahu dan mengelak pandangan Sofia. "Tak, aku cuma... tengok dia dari jauh saja. Tak ada apa-apa."

Sofia tertawa lagi. "Aira, jangan tipu diri sendiri. Semua orang tahu kau tengok dia macam ada sesuatu. Jangan risau, aku faham. Tapi jangan sampai menyesal, faham?"

Aira hanya tersenyum pahit. "Aku tak tahu Fia. Dia terlalu... berbeza. Aku rasa aku takkan pernah ada peluang untuk dekat dengan dia."

Sofia menggenggam tangan Aira, memberi semangat. "Jangan risau, kalau kau tak cuba, macam mana kau nak tahu?"

Mereka lalu mengambil tempat dan membeli makanan. Mereka menjamu selera sambil berbual tentang Adam, pelajar yang popular di sekolah mereka.

Tiba-tiba, bel suara loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudah habis. Sofia menarik tangan Aira, berjalan kembali ke kelas dengan senyuman yang penuh harapan. "Come on, Aira. Kita kembali ke dunia sebenar. Jangan terlalu fikirkan Adam, kau ada banyak lagi perkara yang perlu difikirkan."

Aira mengangguk perlahan, tetapi fikirannya tidak dapat lepas dari bayangan Adam. Wajah Adam yang sering muncul dalam mimpi-mimpinya kini menjadi lebih nyata. Namun, apakah dia mampu untuk menghadapi perasaan yang semakin berkembang ini? Adakah dia cukup berani untuk menghadapinya?

Ketika mereka masuk kembali ke dalam kelas, Adam sedang duduk di tempatnya, matanya merenung jauh ke luar tingkap. Aira cuba mengalihkan pandangan, tetapi tidak dapat menahan dirinya dari curi-curi memandangnya. Adam, tanpa disedari, merasakan pergerakan mata Aira yang memandang tepat ke arahnya.

Aira terasa jantungnya berdegup lebih kencang, tetapi dia segera menundukkan kepala, cuba mengawal perasaan yang mulai menguasai dirinya. Adam hanya tersenyum, tanpa tahu betapa besar kesan senyumannya itu terhadap Aira.

"Baiklah, semua! Hari ini kita akan buat pembahagian kumpulan untuk projek kerja kursus," kata Cikgu Nadia, guru sejarah mereka, sambil berjalan ke papan putih. "Setiap kumpulan terdiri daripada empat orang, dan saya akan pastikan setiap kumpulan seimbang."

Aira mengeluh perlahan, cuba bersedia dengan apa sahaja keputusan yang bakal dibuat oleh Cikgu Nadia. Sofia yang duduk di sebelahnya mula berbisik dengan penuh semangat, "Jangan risau, aku yakin kita akan dapat kumpulan yang best!"

Namun, Aira merasakan sesuatu yang tidak enak. Dia tahu, jika mereka berada dalam kumpulan yang sama, Sofia pasti akan terlalu banyak bercakap, menyebabkan dia langsung tidak dapat memberi fokus kepada tugasan. Tetapi, apa yang lebih membingungkan adalah apabila Aira berasa tidak sabar untuk tahu siapa yang akan menjadi rakan sekumpulan dalam projek tersebut.

Cikgu Nadia mula menyebut nama-nama murid, dan apabila dia sampai ke nama Aira, dia berkata, "Aira, kamu akan berada dalam kumpulan bersama Adam, Rizal, dan Sofia."

Aira merasa darahnya berderau. "Apa?!" dia terkejut, hampir sahaja mengeluarkan suara lantang. Tetapi dia segera menutup mulut dan menundukkan kepala. Sofia menoleh kepadanya dengan senyuman lebar.

"Jangan risau, kita akan buat kerja dengan baik. Kumpulan kita hebat!" Sofia berkata dengan cerita sambil memberikan keyakinan.

Aira hanya mengangguk, tetapi dalam hati, perasaannya bercampur baur. Aira cuba menenangkan fikiran yang terganggu. Perasaannya berbolak-balik—antara rasa cemas dan teruja. Bekerja dalam satu pasukan dengan Adam Faris? Betapa tidak dijangka! Sebagai seorang gadis yang sering memendam perasaannya, kini dia terpaksa berhadapan dengan kenyataan bahawa Adam, lelaki yang selalu mengisi fikiran dan mimpi-mimpinya, adalah rakan sepasukan dalam projek kerja kursus yang penting.

Sofia yang duduk di sebelahnya terus berbisik dengan penuh semangat, "Aira, kau tahu tak? Ini peluang baik untuk kau rapat dengan Adam. Aku rasa mesti ada sesuatu yang akan terjadi antara kau berdua." Sofia tidak pernah rasa cemas tentang apa-apa. Kalau ada perkara yang menarik perhatian, dia pasti akan kejar tanpa segan silu. Mungkin kerana sikapnya yang begitu terbuka dan berani, Sofia lebih mudah bertemu dengan orang dan membina hubungan. Namun, Aira—dia bukan seperti itu. Perasaan yang terbuku dalam dirinya, yang tidak pernah diluahkan, kini bagaikan sebuah beban yang lebih besar.

"Yakah?" Aira mengeluh perlahan. "Aku cuma harap kita boleh buat projek ni tanpa terlalu banyak gangguan."

Sofia tersenyum lebar, memperlihatkan keyakinan yang berlebihan. "Jangan risau, Aira. Aku rasa ini akan jadi pengalaman yang menarik. Kau tengok saja nanti."

Aira hanya mengangguk sambil merenung ke arah Adam, yang duduk di tempatnya dengan Rizal. Adam sedang berbual dengan Riz, tetapi sesekali dia mengalihkan pandangannya ke arah Aira. Satu pandangan yang begitu singkat, tetapi cukup untuk membuatkan hati Aira berdegup lebih kencang. Mungkin itu hanyalah pandangan biasa bagi Adam, namun bagi Aira, ia membawa seribu makna.

Ini kali pertama dia dipasangkan dengan Adam dalam apa jua aktiviti di sekolah. Adam yang selalu menjadi subjek perhatiannya kini berada di sisinya. Dia cuba menenangkan diri, berjanji pada dirinya sendiri untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas itu dan mengabaikan perasaan yang baru mula tumbuh.

Setelah semua pembahagian kumpulan selesai, Cikgu Nadia memberikan arahan. "Kamu semua perlu menyiapkan kajian tentang perkembangan sejarah negara dalam bentuk pembentangan. Setiap kumpulan akan diberi masa dua minggu untuk menyediakan bahan dan melakukan pembentangan. Jadi, jangan buang masa."Aira menelan liur. Bekerjasama dengan Adam? Dia tak pasti bagaimana untuk mula.

Keesokan harinya.

Sepanjang perjalanan pulang ke kelas selepas rehat, Aira hanya diam. Sofia yang perasan ketidakhadirannya dalam perbualan cuba mengalihkan perhatian.

"Aira, aku rasa ni peluang bagus untuk kau lebih dekat dengan Adam! Kau kan suka dia?" Sofia berkata sambil menyiku perlahan lengan Aira.

Aira hanya tersenyum kecil, tetapi tidak membalas. Meskipun Sofia nampak seperti lebih suka bercakap tentang Adam, Aira sendiri tidak pasti apakah langkah yang perlu diambil. Perasaan itu masih baru dan dia tidak mahu terburu-buru.

Setibanya di kelas, Cikgu Nadia mula memberi arahan untuk setiap kumpulan mula berbincang mengenai projek mereka. Aira dan Sofia duduk bersama, sementara Adam dan Riz duduk bersebelahan mereka. Ada ketegangan yang jelas terasa di antara Aira dan Adam, walaupun mereka hanya bertukar pandang sekali-sekala. Riz, yang duduk di sebelah Adam, hanya tersenyum dengan tenang, seolah-olah memahami situasi yang agak janggal ini.

"Okay, kita nak bincang bahagian mana dulu?" Aira memulakan perbincangan, berusaha mengelakkan diri daripada terlalu fokus kepada Adam. "Fia, kau nak ambil bahagian apa?"

Sofia tersenyum lebar. "Aku akan buat kajian tentang revolusi kemerdekaan. Itu yang paling seronok! Adam, kau setuju tak?"

Adam mengangguk perlahan. "Boleh je, Sofia. Aku rasa, Riz boleh bantu kita dalam kajian tentang ekonomi negara selepas kemerdekaan. Dia pandai bab-bab ni."

Riz hanya tersenyum tipis. "Aku boleh tolong."

Aira sedikit tersentak, tetapi cuba tidak menunjukkan perasaan cemburu atau rasa tidak selesa. "Kalau begitu, aku akan ambil bahagian tentang sejarah sosial negara. Keluarga, pendidikan, semuanya tu."

Sofia nampaknya tidak sabar. "Baik! Semua dah tahu apa nak buat. Aira, kau ada apa-apa cadangan lagi?"

Aira menggelengkan kepala. "Tak ada, rasanya itu dah cukup. Kita boleh mula cari maklumat selepas sekolah."

Adam yang sejak tadi diam, akhirnya membuka mulut. "Aira, kau tak nak bagi idea tentang cara nak buat pembentangan ke? Boleh kita bincang cara nak buat slide dan apa yang perlu dimasukkan."

Aira terkejut dengan pertanyaan itu. Adam bercakap dengannya—bukan hanya soal projek, tetapi seolah-olah memberi ruang untuk dia turut serta dalam perancangan. Sungguh, dia tidak sangka Adam akan bersikap sebegitu. Tetapi Aira hanya tersenyum kecil. "Aku boleh buat tu. Kita boleh bincang lebih lanjut lepas sekolah nanti."

Di dalam hati Aira, perasaan yang berdebar-debar mula membuak-buak. Ada sesuatu yang lebih besar daripada sekadar projek kerja kursus ini, dan dia tahu, perasaan itu mungkin akan mengubah segala-galanya.

Selepas kelas tamat, mereka semua berkumpul di taman perumahan yang berdekatan dengan rumah Aira untuk mula berbincang. Suasana semakin kecoh dengan pelbagai suara mencampur baur, tetapi Aira cuba mengawal emosi yang semakin bercelaru di dalam dirinya. Adam, yang tadi kelihatan tenang, kini mendekati mereka dengan langkah yang yakin. Rizal, yang biasanya lebih pendiam, hanya mengikuti langkah Adam, memerhati keadaan.

Mereka semua mula berbincang dengan lebih serius tentang cara membahagikan kerja, mengagihkan tugas, dan bagaimana untuk membuat pembentangan nanti. Aira cuba memberi sepenuh perhatian kepada projek tersebut, tetapi dalam hatinya, perasaan terhadap Adam yang tiba-tiba muncul tidak dapat dibendung.

Ketika mereka mula menyusun pelan dan mencari bahan kajian, Aira perasan bahawa Adam sering kali memandangnya. Mungkin kerana mereka berdua duduk bersebelahan, atau mungkin juga kerana Adam benar-benar mahu Aira terlibat sepenuhnya dalam projek ini. Namun, Aira rasa perasaan itu lebih daripada sekadar kerjasama dalam projek.

"Okay, Aira, kita boleh berbincang lagi nanti. Aku rasa kita patut buat kerja berpasangan. Kau rasa macam mana?" Adam bertanya, tanpa mengetahui bahawa pertanyaannya itu telah mengubah banyak perkara dalam hati Aira.

Aira terdiam seketika. "Ba... baik," jawabnya dengan suara yang sedikit bergetar. Bagaimanakah perasaannya nanti apabila dia semakin rapat dengan Adam? Perasaan itu makin sukar untuk disembunyikan.

Share this novel

Haikal
2025-04-16 22:31:04 

harap buat novel menarik lagi

Haikal
2025-04-16 22:30:33 

best


NovelPlus Premium

The best ads free experience