MHC 1 - DUIT

Romance Series 591

BERMULA jam 8 pagi, Rose sudah mula sibuk. Dia menyukat susu mengikut sukatan, sambil matanya sesekali menjeling deretan pesanan yang tidak putus-putus keluar dari mesin pelekat.

Dalam masa yang sama, tangannya laju menulis nama pelanggan di atas beg kertas, untuk pesanan melalui dalam talian. Seperti biasa, Zus Coffee tidak pernah sunyi dengan kedatangan pelanggan dan juga pesanan.

Dalam dia tengah sibuk, Rose mula merasakan telefon bimbit yang disimpan di dalam apron berulang kali bergetar, namun dia hanya membiarkan sahaja. Dia tidak boleh terleka walau sedikit pun, bila-bila masa sahaja pesanan pelanggan boleh tertukar dalam sekelip mata. Rose tidak mahu masalah lain yang akan timbul nanti.

Dalam dua jam bergelut dengan pelbagai pesanan dan pelanggan yang datang, barulah suasana kafe kembali tenang. Rose menarik nafas lega sebelum melangkah ke sudut belakang untuk berehat seketika.

Punggung dilabuhkan di atas kerusi, lalu telefon bimbit dibawa keluar dari apron. Ada sepuluh panggilan tidak berjawab daripada bapa tirinya iaitu Leman. Apalah yang dimahukan lelaki itu? Tak lain tak bukan, pasti wang. Atau, ada kejadian yang tidak diingini berlaku di rumah?

“Eh, termenung pulak kau ni?” Satu bungkusan roti coklat dihulurkan kepada Rose.

Rose mendongak, memandang Niza yang sedang tersenyum nipis sambil melabuhkan punggung di sebelahnya.

“Eh, tak ada masuk order ke?” soal Rose, sambil membuka bungkusan roti yang diberikan tadi. Sebenarnya dia benar-benar lapar. Sejak dari pagi, dia belum sempat menjamah makanan.

“Tak ada. Lagipun sekarang dah pukul 10 pagi. Waktu macam ni kurang sikit customer. Ada order nanti, aku masuklah dalam balik.”

“Kaunter tak ada orang tu. Bos masuk, tengok tak ada staf bising pulak dia nanti.”

“Relax. Risau sangat kau ni pun. Aku kejap aje. Makanlah roti tu. Mesti kau lapar, kan?”

“Aku memang tengah lapar pun. Aku tak sempat nak breakfast pagi tadi. Mana taknya, pagi-pagi aje dah menyakitkan hati. Meluat betul aku tengok muka bapa tiri aku tu.” Rose mendengus kasar.

“Kenapa pulak dah? Apa yang dia dah buat?”

Rose menyandarkan badannya ke kerusi. “Dia tak nak nasi goreng, tapi nak mee goreng. Terkocoh-kocoh la mak aku tu pergi masak lain. Aku dah malas nak layan, terus aku pergi kerja aje. Ni ada sepuluh panggilan tak berjawab daripada dia. Tak tahulah apa yang dia nak. Aku nak call balik pun malas. Call aku ni ada la tu dia nak. Tak lain tak bukan, nak duitlah tu. Aku dah berapa kali bagi dia duit. Takkan aku nak bagi lagi? Dah naik lemak pulak aku tengok dia. Lepas ni memang aku tak layanlah.”

“Hari tu pun, dia ada try nak minta duit dengan kau, kan? Ada kau bagi?”

Rose menggeleng. Dia ingat lagi, tiga hari lepas Leman ada merayu dengannya, untuk meminjam wang sebanyak satu ratus ringgit. Namun Rose sikit pun tidak melayan permintaan bapa tirinya itu.

“Macam-macamlah bapa tiri kau tu.” Niza menggeleng perlahan.

“Entahlah Niza. Makin lama makin menyakitkan hati. Tapi nak buat macam mana, dah itu pilihan mak aku. Dulu aku tak setuju dia nak kahwin lagi, tapi mak aku kata sunyi. Aku sebagai anak ni, terpaksalah setuju. Pada hal, arwah ayah aku tu baru setahun lebih meninggal dunia. Entah manalah dia jumpa si Leman tu,” luah Rose dengan rasa tidak puas hatinya. Sebenarnya dia memang tidak suka dengan Leman. Kononnya lelaki itu boleh memberi kebahagian kepada maknya. Tetapi yang dia nampak, menyusahkan lagi adalah. Dia juga berasa pelik, macam manalah maknya boleh berkenalan dengan lelaki itu.

Niza melepaskan keluhan berat. Dia faham apa yang Rose rasakan. Mungkin Rose juga tidak mahu maknya berasa sunyi.

“Aku nak cakap lebih-lebih pun tak boleh. Apa-apa pun, sabar ajelah. Hmm, okeylah aku pergi depan dulu. Kau habiskan roti tu tau?”

Rose mengangguk, sambil menghabiskan baki roti di tangan. Usai sahaja menjamah roti, dia terus sahaja bangun sambil menuju ke kaunter hadapan semula. Kain diambil, lalu setiap meja dilap.

Tiba-tiba pintu kaca kafe ditolak kasar dari luar. Tangan Rose serta-merta terhenti, dengan matanya tertancap ke arah susuk yang sedang berdiri tegak sambil merenung tajam ke arahnya.

“Eh... kenapa dia datang ke sini?” desis Rose perlahan. Sepanjang dia bekerja di sini, tidak pernah sekalipun Leman menjejakkan kaki ke tempat kerjanya.

“Kenapa kau tak jawab call aku?!” Tengking Leman. Suaranya kuat, memecah kesunyian kafe.

Kedua-dua bahu Rose dan Niza terenjut serentak. Nasib baiklah tiada pelanggan di kafe pada saat ini.

Rose mengetap bibir. “Pak cik nak apa datang sini? Ini tempat kerja Rose la. Masuk-masuk sini nak menengking orang pulak. Sekarang ni boleh keluar tak?” Tegas Rose, sambil mengawal suaranya.

“Aku nak duit! Bagi aku dua ratus sekarang!” Leman terus menadah tangan, sambil menahan marah.

“Duit? Tak habis-habis dengan duit! Rose ni, kerja sampai nak separuh mati, siang malam cari duit. Dan sekarang ni pak cik senang-senang nak minta duit? Memang satu sen Rose takkan bagi! Lagi dilayan, lagi menjadi-jadi!”

Wajah Leman terus berubah tegang. Rose benar-benar membuatkan dia hilang sabar. Leman terus menepis bekas berisi straw di atas kaunter, lalu jatuh bertaburan di atas lantai.

Rose tersentak. Dia tidak sangka bapa tirinya sanggup melakukan perkara seperti itu. Lebih-lebih lagi di tempat kerjanya.

“Kau jangan nak jadi anak derhaka, Rose! Kau ingat aku datang sini suka-suka?!” Tengking Leman, dadanya mula turun naik.

“Anak derhaka apa? Pak cik bukannya bapa kandung Rose! Bapa kandung Rose dah setahun lebih meninggal dunia. Suka-suka hati aje nak panggil Rose anak derhaka.”

“Eh, budak ni! Mulut kau betul-betul kurang ajar tahu tak!”

Niza sudah tidak senang duduk. Dia terus keluar dari kaunter lalu menuju ke arah mereka berdua.

“Pak cik, apa yang bising-bising ni? Orang dah tak ada duit, janganlah nak dipaksa-paksa.”

“Kau diam! Jangan nak menyampuk. Ni antara aku dengan anak tiri aku.”

“Rose tak ada duit!  Dan Rose takkan bagi satu sen pun dekat pak cik. Sekarang ni, Rose nak pak cik keluar!” marah Rose lagi.

“Aku tak percaya kau tak ada duit. Aku datang sini bukan saja-saja kau tahu tak? Mak kau sakit pagi tadi. Aku terpaksa heret dia, dan bayar Grab pergi jumpa doktor. Ubat dia, aku juga yang bayar.  Duit aku dah habis, kau tahu tak?!” Leman menepuk-nepuk poket seluarnya yang kosong.

Rose tersentak. Maknya sakit? “Mak, mak sakit?” Suara Rose mula bergetar.

“Kau ingat aku main-main ke?” Laju Leman membalas.

“Tapi pagi tadi, mak nampak elok. Takkan mak tiba-tiba sakit?”

“Kalau kau tak percaya, kau call la dia. Tanya dia apa yang dah berlaku pagi tadi. Kalau tak ada aku dekat rumah tadi, entah-entah dah tak sedar aku rasa. Sekarang ni bayar aku dua ratus ringgit. Itu duit last aku, sebelum aku gaji.”

Dengan tangan yang menggigil, sambil menahan geram dan juga sebak, Rose perlahan-lahan mengeluarkan dompet dari poket seluarnya. Wang sebanyak dua ratus ringgit dihulurkan kepada Leman.

Leman merentap duit dari tangan Rose, dengan senyuman yang lebar. “Sepatutnya awal-awal lagi kau bagi duit ni. Bukannya melawan aku. Ingat aku suka ke nak datang ke sini? Ni tak, melawan aku pulak.” Laju sahaja Leman melangkah keluar dari Zus Coffee tanpa menoleh lagi.

“Kenapa kau pergi bagi Rose? Kau betul-betul percaya ke, yang mak kau tu sakit?” Niza memegang kedua-dua tangan sahabat baiknya. Rose pernah memberitahunya bahawa dia ingin menyambung pelajaran. Disebabkan itu, Rose bekerja keras dengan melakukan dua pekerjaan.

Rose melepaskan keluhan. Soalan Niza dibiarkan sepi. Tapi dia ada juga perasan pagi tadi, yang wajah maknya nampak pucat. Benarkah maknya itu sakit?

 

MAJLIS perkahwinan antara Dato’ Harisz dan Tania telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang. Sebuah hotel lima bintang yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur telah menjadi pilihan Dato’ Harisz.

Cukup tiga tahun mereka berdua menyulam cinta, akhirnya Tania telah pun sah menjadi milik Dato’ Harisz. Sepanjang majlis berlangsung, senyumannya tidak pernah lekang di bibirnya. Dia benar-benar berasa bertuah kerana berjaya menyunting Tania sebagai permaisuri hidupnya. Lebih-lebih lagi Tania adalah wanita yang ingin dimilikinya sejak dari zaman universiti lagi. Tiada lagi wanita lain yang mampu menambat hatinya selain Tania.

Tepat pukul 10 malam, majlis perkahwinan mereka tamat dengan jayanya. Walaupun badan Dato’ Harisz sedikit penat, namun saat menatap wajah isterinya, segala penatnya hilang serta-merta.

Pada saat ini, Tania sedang duduk di birai katil mewah yang dihiasi dengan taburan kelopak mawar merah.

Jantungnya mula berdegup kencang. Sebagai pengantin baru, debaran dan keterujaan untuk melalui malam pertama begitu memuncak di dada.

Dato’ Harisz mula mendekati Tania dengan senyuman yang paling manis.

“Finally... you are mine,” bisik Dato’ Harisz lembut sambil cuba merapatkan jarak di antara mereka berdua.

Namun, riak wajah Tania tiba-tiba sahaja berubah. Dia kelihatan serba salah, malah dahinya sedikit berkerut sebelum menghela nafas panjang.

“Risz... I... hmm, I nak minta maaf sangat-sangat,” ucap Tania dengan suara sedikit bergetar.

“Kenapa you nak minta maaf pulak ni?” Dahi Dato’ Harisz mula berkerut.

“I... I baru perasan tadi, I period. I tak fahamlah, kenapa hari ini juga nak period.”

Nafas Dato’ Harisz seakan sesak. Rasa teruja yang membuak-buak tadi terus jatuh merudum. Kecewa? Memang tak dapat dinafikan. Dia sudah membayangkan malam pertama yang indah, tetapi realitinya pula jadi begini.

Walau bagaimanapun, sebagai seorang lelaki yang matang dan cuba untuk menjaga hati isterinya, Dato’ Harisz cepat-cepat mengawal riak wajahnya. Perasaan kecewa dipendam ke dalam lubuk hati. Dan dia terus sahaja tersenyum.

“Oh... iya ke? It’s okay. I faham,” ujar Dato’ Harisz. Dia cuba mengusap pipi isterinya, tetapi Tania seakan mengelak.

“Sorry. I jadi macam bad mood sikit, kalau period ni,” ujar Tania lagi.

“Oh... I tak tahu pulak perempuan period akan bad mood macam ni. Tapi sepanjang kita bercinta, tak nampak pulak you bad mood time period?”

Riak wajah Tania terus sahaja berubah. “Masa bercinta lain. Ni dah kahwin lain.”

Dato’  Harisz ketawa kecil. “Macam tu pulak ya? But it’s okay, banyak masa lagi. You pun dah sah jadi wife I. Lepas ni, bila-bila masa pun I boleh datangi you, kan?”

Wajah Tania yang muram, terus sahaja merona merah. Dia cuba untuk mengukirkan senyuman manis, sambil memandang wajah suaminya.

“Bertuah I dapat you, Risz. Terima kasih sebab faham I,” balas Tania lembut, seolah-olah lega kerana tidak dipaksa.

Dato’ Harisz sekadar mengangguk dan cuba untuk membalas senyuman Tania, walaupun di dalam hati, seakan mahu memberontak. Namun dia tahu, haram mendatangi isteri yang sedang mengalami datang bulan. Nampaknya terpaksalah malam pertama mereka ditangguhkan dahulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience