MHC 2 - BERHIJRAH

Romance Series 591

Setahun kemudian...

Rose mematikan enjin motosikal milik arwah bapanya, sebaik sahaja dia tiba di halaman rumah.

Jam di pergelangan telah pun menunjukkan pukul 10.30 minit malam. Topi keledar ditanggalkan.

Setiap hari, begitulah rutin harian Rose. Pada sebelah pagi, dia bekerja sebagai barista di Zus Coffee. Manakala pada sebelah malam pula, dia mengajar tuisyen sehingga jam 10 malam.

Namun, jika Rose bekerja di syif petang, dia tidak akan mengajar tuisyen pada malam tersebut.

Semua hasil wang yang dikumpul sejak dua tahun lalu, adalah untuk mengejar impiannya yang satu, iaitu menyambung pelajarannya.

Senyuman nipis terukir di bibir. Walaupun penat, sedikit pun dia tidak mengeluh. Tangan menyeluk beg tangan untuk mencari kunci. Sudah tidurkah maknya? Daun pintu ditolak. Belum sempat kaki mahu melangkah, kelihatan Ruqiyah sedang duduk di atas lantai sambil memegang dada.

Rose tergamam. “Mak!” Serta-merta, topi keledar di tangannya terlepas, lalu jatuh ke lantai. Laju sahaja dia berlari menuju ke arah maknya.

Wajah wanita separuh umur itu pucat lesi, sambil tangannya mencengkam kuat pada dada.

“Ya Allah mak! Kenapa ni, mak? Apa dah jadi ni?!” Rose semakin tidak keruan, sambil menarik tubuh maknya bersandar pada dadanya.

Ruqiyah tidak mampu mengeluarkan suara. Bibirnya kebiruan, dan matanya berair sambil memandang ke arah Rose. Maknya nampak sedang menahan kesakitan, dan tangannya terus-terusan menekan dada.

“Pak cik Leman! Pak cik?!” Rose menjerit memanggil bapa tirinya, berharap lelaki itu ada di rumah untuk membantu. Kelibat Leman langsung tidak kelihatan. Waktu kecemasan begini, lelaki tak guna itu pasti sedang melepak ataupun berjudi di luar!

Rose tidak mahu membuang masa. Dengan tangan yang menggigil, dia mengeluarkan telefon bimbitnya lalu mendail talian kecemasan.

“Helo? Tolong... tolong hantar ambulans sekarang! Mak saya sesak nafas!” Suara Rose bergetar kuat, dengan air matanya laju mengalir, saat memberikan butiran alamat rumahnya.

Sementara menunggu ambulans tiba, Rose hanya mampu memangku tubuh maknya. Tangannya tidak henti-henti menggosok dada wanita itu sambil membisikkan kalimah syahadah ke telinganya. Rose tidak sanggup melihat keadaan maknya yang semakin lemah.

Dalam dua puluh minit menunggu, bunyi siren ambulans akhirnya mula kedengaran memecah keheningan malam. Dua orang petugas paramedik bergegas masuk ke dalam rumah bersama pengusung. Tubuh Ruqiyah terus sahaja diangkat dan dibawa masuk ke dalam ambulans.

Tanpa berfikir panjang, Rose turut memanjat masuk ke dalam bersama.

Di dalam ambulans, seorang paramedik segera memasangkan topeng oksigen pada wajah Ruqiyah manakala seorang lagi memeriksa bacaan tekanan darah dan denyutan nadinya.

“Nadi semakin lemah,” ujar paramedik lelaki itu dengan wajah cemas.

Ruqiyah kelihatan semakin sukar bernafas. Dadanya turun naik dengan perlahan sebelum matanya tertutup rapat.

“Puan! Puan boleh dengar saya?” Paramedik itu cuba mendapatkan tindak balas, namun tiada jawapan.

Apabila denyutan nadinya semakin sukar dikesan, paramedik tersebut segera melakukan tekanan dada bagi membantu mengekalkan aliran darah ke seluruh tubuh sementara mereka membawa wanita itu ke hospital.

Rose yang duduk di dalam sudut ambulans menggigil ketakutan. Air matanya tidak henti-henti mengalir melihat keadaan maknya yang semakin kritikal.

Tiba sahaja di hospital, tubuh Ruqiyah terus dibawa masuk ke zon kecemasan. Manakala Rose terpaksa menunggu di luar. Dia mula berjalan mundar-mandir di koridor hospital, dengan kedua-dua belah tangannya digenggam kuat, sambil mulutnya tidak putus-putus berdoa.

Ya Allah... selamatkanlah mak. Aku tak ada siapa-siapa lagi. Aku Cuma ada mak dalam hidup aku... rintih Rose sendirian, dengan air matanya daripada tadi tidak berhenti mengalir.

Tidak sampai 15 minit, pintu bilik rawatan akhirnya terbuka. Seorang doktor lelaki keluar dengan wajah yang serba salah. Rose terus sahaja meluru ke arah doktor tersebut.

“Doktor, macam mana dengan keadaan mak saya? Mak saya okey ke?” soal Rose, dengan suara serak.

Doktor tersebut mengeluh perlahan, sambil memandang wajah Rose dengan pandangan simpati sebelum dia menggeleng perlahan.

“Maaf cik... kami dah cuba yang terbaik, tapi...” Doktor itu diam seketika.

“Tapi apa doktor?” Tak semena-semena air mata Rose mula mengalir laju.

“Kami tak dapat selamatkan Puan Ruqiyah. Punca kematian adalah disebabkan serangan jantung. Saya harap cik tabah.”

Kata-kata doktor itu bagai satu batu yang besar telah menghimpap di atas kepala Rose. Pandangannya mula berpusing. Lututnya serta-merta menjadi lembik sehingga dia terduduk di atas lantai.

“Tak... tak mungkin... mak!” Tangisan Rose mula pecah. Maknya telah pergi meninggalkannya begitu sahaja?

 

 
TANAH perkuburan Islam mula beransur sunyi.  Kini, yang tinggal hanyalah Rose dan Niza sahaja di situ.

Tangan Rose mula mengusap lembut batu nisan yang masih berbau harum dengan air mawar. Air matanya sudah kering, kerana banyak menangis sejak malam tadi.

Niza yang setia berdiri di sisi sejak dari pagi, mula memeluk erat bahu sahabatnya itu. Dan cuba untuk menyalurkan kekuatan dalam dirinya.

“Rose...” panggil Niza perlahan.

Niza memandang Niza dengan pandangan yang sayu.

Niza tahu, Rose masih lagi bersedih. Namun, dia tidak ada pilihan lain selain memberitahu perkara yang sebenar. Dan dia juga tidak mempunyai banyak masa.

“Aku tahu sekarang ni bukan masa yang sesuai.  Tapi... aku terpaksa beritahu kau sesuatu,” kata Niza, matanya mula berkaca-kaca.

Rose memandang wajah Niza, dengan wajah yang keliru. “Kenapa ni Niza? Ada apa-apa yang terjadi ke?”

Niza menghela nafas yang berat, air matanya mula mengalir di pipi. “Hari ini, hari terakhir aku bekerja dekat Zus Coffee.”

Rose tersentak. “Last kerja? Kenapa tiba-tiba aje Niza? Kau nak kerja dekat tempat lain ke?”

Niza menggeleng perlahan sambil mengesat air matanya. “Aku nak balik Sabah dah. Aku pernah cerita dengan kaukan dulu? Ayah aku buat rumah dekat sana? Sekarang dah siap sepenuhnya. Aku kena ikut dia orang balik sana.”

Kata-kata Niza tadi, bagaikan satu lagi tamparan hebat yang hinggap ke dada Rose. Sudahlah dia baru sahaja kehilangan maknya. Dan Niza pula, adalah satu-satunya sahabatnya sejak kecil lagi. Dan Niza jugalah tempat dia mengadu.

Tanpa mampu menahan sebak, Rose terus menghamburkan tangisannya, lalu memeluk erat tubuh Niza. Niza turut menangis teresak-esak, sambil membalas pelukan sahabatnya itu dengan kemas. Masing-masing tenggelam di dalam kesedihan.

“Aku minta maaf, Rose... aku minta maaf, sebab terpaksa tinggalkan kau, waktu kau macam ni,” rintih Niza.

Rose melonggarkan pelukan. Dia cuba untuk kuat. “Tak apa, Niza. Aku faham. Lagipun benda ni pun kau dah beritahu lama. Nak tak nak aku kena terima juga.”

Niza menyeka air matanya. “Rose... kau jaga diri kau baik-baik ya? Kalau ada apa-apa, kau contact aku ya? Walaupun jarak memisahkan kita, tapi aku harap persahabatan kita tetap kekal untuk selama-selamanya.”

Dada Rose semakin sebak, mendengar kata-kata yang diucapkan Niza tadi.

“Flight aku dalam tiga hari lagi. Aku harap kita dapat jumpa untuk kali terakhir,” ucap Niza lagi.

Rose mengangguk.

Niza kemudian memandang sekeliling kawasan tanah perkuburan yang lengang sebelum kembali memandang Rose. “Pak cik Leman mana? Dari tadi aku langsung tak nampak kelibat dia.”

Mendengar sahaja nama bapa tirinya, riak wajah Rose terus berubah menjadi dingin dan keras. Rasa sedih tadi terus bertukar menjadi benci. Bapa tirinya hanya muncul sebentar sahaja tadi. Dan selepas itu hilang entah ke mana.

“Aku malas nak ambil tahu pasal orang tua tu, Niza. Dia langsung tak ada rasa sedih, yang mak aku dah meninggal. Kau tengoklah dia, sampai kubur tadi pun, lepas mak aku dah dikebumikan. Lepas tu, ni hilang entah ke mana. Aku malu tahu tak, dekat ketua kampung tadi. Semuanya aku yang uruskan,” balas Rose. Dia benar-benar kecewa dengan sikap Leman yang langsung tidak menghormati pemergian isterinya sendiri.

Rose bangun dari tikar, sambil membersihkan kain baju kurungnya yang terkena tanah merah. Matanya dialih memandang ke arah jalan raya di luar pagar.

“Aku dah tak ada siapa-siapa lagi Niza. Aku tak ada saudara-mara. Lebih-lebih lagi arwah mak dan ayah aku tu anak yatim.”

“Kalau macam tu, kau ikut aku? Kita tinggal di Sabah nak tak?” ajak Niza.

Rose menggeleng perlahan. “Tak apa Niza. Aku tak nak susahkan kau. Aku kena berdikari. Aku ingat, aku tak nak duduk dekat sini lagi, Niza. Kenangan dekat rumah tu terlalu sakit untuk aku hadap sorang-sorang. Aku fikir nak berhijrah ke Kuala Lumpur.”

Johor Bahru sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untuknya. Kuala Lumpur mungkin menjadi bandar yang asing dan mencabar, namun di situlah satu-satunya jalan untuk dia memulakan hidup baru, mencari rezeki tanpa gangguan Leman, dan mengejar semula impian belajarnya yang tertangguh.

“Kau nak berhijrah je Kuala Lumpur?”

Rose mengangguk. “Tak ada apa dah dekat sini. Rumah tu pun rumah sewa.”

Niza melepaskan keluhan. “Aku pun risau juga sebenarnya. Takut Pak Cik Leman tu buat perkara yang di luar jangkaan.”

“Sebab tu aku nak keluar dari rumah tu. Lepas kau berlepas ke Sabah, aku akan ke Kuala Lumpur.”

Niza mengangguk, sambil memegang erat tangan Rose. Dalam hati, dia hanya berharap jarak dan perpisahan yang bakal berlaku tidak akan mengubah persahabatan mereka.

 

DATO’ HARISZ berasa serabut sejak dari pagi lagi. Wajahnya langsung tiada senyum mahupun menunjukkan riak wajah yang menyenangkan.

Beberapa orang staf yang perlu berurusan dengannya terpaksa berfikir dua kali sebelum mengetuk pintu bilik pejabatnya.

“Benda macam ni pun nak I periksa satu-satu ke?” soal Dato’ Harisz dengan suara yang agak keras sambil mencampakkan fail ke atas meja.

Staf wanita yang berdiri di hadapannya hanya mampu menundukkan wajahnya.

“Maaf, Dato’. Saya akan betulkan semula.”

“Betulkan? Bila nak betulkan? You jangan balik, selagi you tak betulkan kesalahan you ni!”

“Baik Dato’.”  Wanita itu terus sahaja melangkah keluar dari bilik pejabat majikannya.

Dato’ Harisz terus menekan butang interkom.

“Ya Dato’?”

“Dokumen untuk esok pagi dah siap?”

“Dah, Dato’. I dah letak atas meja Dato’ tadi.”

“Kenapa I tak nampak? Mana you letak?”

“Sekejap I ke sana.” Butang interkom terus sahaja dimatikan.

Tidak lama itu Badrul muncul sambil menghela nafas perlahan. Dia mengambil dokumen yang dimaksudkan tadi lalu diletakkan di hadapan Dato’ Harisz.

“Yang ini, Dato’. Dokumen dah tertindih dengan fail ni “

Dato’ Harisz memandang dokumen tersebut tanpa berkata apa-apa. Dia terus sahaja menyambung kerjanya.

Badrul tidak mahu terus mengganggu, lalu dia melangkah keluar dari bilik pejabat majikannya itu. Dia tahu, Dato’ Harisz pasti sedang mengalami masalah. Perkara seperti ini bukan lagi sesuatu yang baru baginya. Sejak majikannya berkahwin, tiada lagi senyuman yang terukir di bibir lelaki itu.

Dato’ Harisz lebih banyak menghabiskan masa di pejabat dan sering pulang lewat sehingga tengah malam. Walaupun sudah lama menjadi setiausaha kepada lelaki itu, Badrul tahu Dato’ Harisz bukan jenis yang mudah bercerita tentang masalah peribadinya kepada sesiapa.

Setelah Badrul melangkah keluar dari biliknya, Dato’ Harisz terus menyandarkan badannya pada kerusi, sambil meraup wajahnya. Sudah setahun dia berkahwin dengan Tania.

Perkahwinan yang pada awalnya disangka bahagia seperti pasangan yang lain, ternyata tidak seperti yang diharapkan.

Walaupun sudah setahun mereka bergelar pasangan suami isteri, tetapi hubungan mereka masih belum seperti pasangan yang telah berkahwin. Malam pertama mereka juga tidak pernah terjadi.

Pada awalnya, Dato’ Harisz cuba memahami keadaan Tania. Wanita itu memberitahu bahawa dia mempunyai masalah dalaman dan masih belum bersedia untuk disentuh.

Dan Dato’ Harisz cuba untuk bersabar, dan juga tidak mahu memaksa Tania. Namun, setiap kali dia cuba untuk mendekati isterinya, reaksi Tania tetap sama. Wanita itu akan menjerit seakan histeria, dan juga akan menangis. Setiap kali perkara itu berlaku, Dato’ Harisz hanya mampu berundur dan membiarkan isterinya sendiri.

Lama-kelamaan, kesabaran yang cuba dipertahankannya mula menipis.

Dia tidak tahu sama ada Tania benar-benar mempunyai masalah seperti yang didakwa ataupun ada sesuatu yang sengaja disembunyikan daripadanya. Dato’ Harisz juga sudah mengajak Tania untuk berjumpa dengan doktor, dan akhirnya akan ditolak mentah-mentah begitu sahaja.

Salah ke kalau aku nak tuntut hak aku? Aku bukan lelaki gila seks. Tapi aku perlukan belaian daripada isteri aku yang sah!

Dato’ Harisz memicit pelipisnya. Dia malu untuk menceritakan hal rumah tangganya kepada sesiapa pun mahupun ibu bapanya.

Dan sampai bila dia mampu bertahan dengan keadaan seperti itu? Dia tidak sanggup melepaskan Tania. Lebih-lebih lagi Tania adalah wanita yang dicintainya.

Ting! Ting!

Satu pesanan ringkas masuk ke dalam telefon bimbitnya. Mesej daripada Tania.

 

-You, transfer I satu ribu ringgit. I nak bayar untuk hair treatment I. Cepat sikit ya? Love you.-

 

Dato’ Harisz mengetap bibir, sambil menahan marah. Isterinya kerap meminta wang daripadanya. Namun, dia tidak pernah berkata tidak. Lebih-lebih lagi, memberi nafkah kepada isteri sememangnya menjadi tanggungjawabnya.

Namun, Tania seolah-olah tidak pernah memikirkan perasaannya. Apa yang wanita itu tahu hanyalah meminta dan mendapatkan apa yang diinginkannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience