1: HARI YANG TERUK

Romance Series 17585

"AAAAAAAAAAAAAAH!" Haa, ambik kau!

Orang kata salah satu cara nak lepaskan tekanan perasaan, adalah dengan menjerit pada stereng kereta sepuas-puasnya. Jeritlah kuat-kuat sampai anak tekak tercabut pun tak apa. Tak payah risau orang lain akan terganggu pendengaran dia, sebab jerit pun dalam kereta sendiri. Haa, baru puas hati!

Tapi... "Uhuk uhuk uhuk... Uh..." Batuk pula menyusul. Adui!

Beberapa saat Dahlia sukar mengawal pernafasan akibat batuk tak mahu berhenti. Tulah, siapa suruh jerit kuat-kuat lagi?

Mujur cup holder dalam keretanya tak pernah missed dengan botol air. Lekas botol dicapai lalu diteguk airnya gelojoh sekali. Aah, lega! Baru setelah itu Dahlia dapat mengatur nafasnya dengan baik.

Apa yang membuat dia tertekan sangat sampai nak kena jerit kuat-kuat macam tu sekali?

Mari perkenalkan diri. Nama dia Dahlia. Nama penuh, Arum Dahlia Binti Abd. Munir. Umur 26 tahun, masih single. Sedang mengusahakan perniagaan dalam talian di platform paling popular zaman ini. Bolehlah juga business online ni untuk seorang wanita seusia Dahlia.

Dia memutuskan untuk mencuba business tersebut dua tahun lepas sebaik tamat pengajiannya dalam peringkat ijazah. Fikir-fikir daripada bekerja, baik cuba niaga sendiri. Bertuah bila keputusannya itu direstui oleh orang tua.

Boleh dikatakan Dahlia ini antara yang terawal menyertai program jualan online tersebut. Alhasil, perniagaan dalam talian Dahlia boleh mencecah income sehingga 140-150k sebulan. Fuh! Boleh tahan hebat.

Lalu, apa yang membuat dia stress sangat?

Biasalah, dah berbisnes ni macam-macam cabarannya. Staf buat hal, customer komplain, barang banyak yang rosak. Semua itu Dahlia kena hadap sendiri oleh kepala hotak dia yang sebesar tempurung kepala itu je.

Lagi satu, hari ini sepatutnya dia terbang ke China untuk mengambil stok barangan baru. Tetapi disebabkan dia kena uruskan semuanya sendiri, dengan berat hati wang RM5000 yang dilaburkan untuk membeli tiket dua hala ke China terpaksa dibiarkan hangus begitu saja. Menangis Dahlia.

"Penatlah macam ni, ma. Lia tak laratlah." Mengadu pada mama adalah salah satu terapi juga. Walaupun mama jauh di selatan tanah air sana, setiap masa talian sentiasa terhubung denganya.

"Sabar, Lia sabar. Mengucap, bawa istigfar. Semua tu dugaan orang berniaga," pujuk mamanya.

Banyak kali juga Dahlia menyuarakan mahu bungkus saja business ini. Lama-lama tak larat nak handle seorang diri. Kalau dulu pilih kerja government macam mama dulu kan bagus. Tak adalah pening-pening macam ni.

Mamanya pula kata, biasalah dugaan orang berniaga. Lagipun business itulah yang membuatkan dia berjaya. Kalau bekerja, tetap makan gaji sampai sekarang. Sampai bila nak berjaya?

"Alah. Ma okey je kerja jadi pegawai dulu. Tengok sekarang, dah elok duduk rumah terima duit pension bulan-bulan," bantahnya.

"Tak bolehlah fikir macam tu. Ma tengok bisnes Lia tu okey sangatlah. Jarang ada orang perempuan seusia Lia ni boleh berjaya ke tahap tu dengan usaha sendiri. Ma bangga dengan Lia, tau."

"Tapi penatlah, ma. Lia tak larat lama-lama," adunya.

"Tak boleh macam tu, Lia. Sebab itu ma cakap, cepat-cepat cari partner. Kalau ada partner, senang boleh uruskan sama-sama."

"Yang ma suruh tu cari partner hidup, bukan partner berniaga."

"Lah, betullah. Lia pun bukannya budak lagi. Dah sedang elok dah ada pasangan."

"Ish, ma ni. Tak naklah fikir pasal tu dulu. Tak nak tambah keserabutan yang ada ni dengan memikirkan pasal lelaki pula. Boleh gila Lia nanti."

"Haa, tulah. Bila orang cakap membantah. Macam-macam alasan Lia, kan."

"Oklah, ma. Thank you. Lia nak kena gerak dah nak tengok store," pamit Dahlia. Nak lari sebenarnya.

"Emm, iyalah! Asal ma cakap pasal cari suami je laju nak lari. Elok-elok jelah memandu tu."

"Okey ma!"

***

KOTA Damansara Kuala Lumpur. Kereta Dahlia telahpun tiba di barisan shoplot. Tiga lot kedai atas bawah dia sewa sebagai store. Boleh tahan kencang juga business Dahlia ni. Staf pun ada dalam tujuh-lapan orang.

Dari jauh kedainya sudah kelihatan. Mata yang jitu mengesan sebuah saja petak parkir yang kosong berhampiran. Dahlia segera menyalakan signal.

Yang bijaknya si Dahlia ni, berniaga di situ dah dua tahun lamanya, tapi tak ada pun dia nak sewa rizab parkir untuk diri dia supaya senang keluar masuk. Masih juga kena berebut dengan orang lain setiap kali nak parkir kereta. Tak tahulah sama ada dia tak sempat ataupun tak reti. Entahlah.

Vroom vroom! Pin pin.....

Kereta Dahlia baru saja masuk separuh ke dalam petak parkir, terus kena serang bunyi hon panjang dari belakang. Sempat menggelabah dan termelatah. "Oo.. mak kau meletup! Ish, apa hal?" jeritnya. Tapi confirm tak ada siapa dengar sebab dia tak buka tingkap pun lagi.

Dahlia pun menoleh ke belakang.

"Woi!"

Samar-samar tempikan terdengar. Dahlia turunkan tingkap.

"Tak nampak ke orang dah bagi signal dari tadi? Main masuk je." Seorang individu merupakan penunggang motosikal berkuasa besar telah tampil menegur Dahlia agak kasar.

Dahlia languikan muka. "Bila masa? Tak nampak pun?"

"Buta ke sampai tak nampak? Lain kali memandu tu guna mata. Kau ingat ni parkir mak bapak kau punya?" sound individu yang mukanya bertutup helmet hitam itu.

Dahlia mula terprovok lalu keluar dari kereta. "Oi, brader! Agak-agaklah sampai bawa-bawa mak bapak. Pasal parkir je pun. Lagipun awak motor je, selit jelah kat mana-mana."

"Ewah, selit je kau cakap? Kau alih kereta kau sekarang."

"Kalau saya tak nak?"

"Alih aku kata." Lelaki itu berkeras mahu Dahlia alihkan kereta.

Dia ingat Dahlia takutlah dengan tengkingan dia tu? Selamba Dahlia tenung muka bertutup helmet itu, sikit pun tak heran.

"Awak ingat awak siapa nak arah-arah saya? Untuk pengetahuan awak, parkir ni kepunyaan orang awam. Siapa cepat dia dapat. Saya kalau nak, dah lama saya sewa rizab parkir depan kedai saya ni, tau. Tapi saya tak nak sebab tak nak ganggu hak orang lain. Jadi kalau sebab parking awak nak memekak-mekak depan kedai saya ni, saya rasa tak patut, kot? Lebih baik awak pusing sikit depan sana, cari, pasti ada. Rajin dengan tak rajin je nak cari." Ambik kau!

Lelaki itu masih tak puas hati tapi tak dapat membela diri. Baru dia sedar yang dia salah partner nak gaduh. Gaduh dengan perempuan memang susahlah nak menang.

"Okey, tak apa. Kali ini kau menang," katanya. Terus naik semula ke atas motor.

"Hello! Kali ni? No, tak ada kali ini atau lain kali. Semoga kita tak bertemu lagi. Assalamualaikum!" Dahlia terus masuk semula ke dalam kereta untuk membetulkan parkir.

Ish, ada-ada saja. Saja nak buang masa orang. Pasal parkir pun nak gaduh. Dah tak dapat tu mengalah jelah, kan! Sudahlah hari ini dah cukup serabut, tambah pula kena berebut parkir. Heih, menyusahkan betul!

***

UWAAAH... Penatnya! Penat juga walaupun duduk saja di ofis dan hanya menerima laporan. Maklumlah, hal order, pembungkusan dan pengiriman semuanya staf yang uruskan. Masing-masing sudah ada bahgian sendiri. Dahlia tinggal beri arahan serba sedikit saja. Selebihnya, mereka yang selesaikan.

Tapi, walaupun staf dah uruskan semuanya, Dahlia tetap kena semak satu persatu senarai barang keluar hari ini. Dia kena pastikan tak ada barang tersalah hantar dan sebagainya.

Bukan jarang juga staf membuat kesalahan menghantar wrong item kepada pelanggan. Barang rosak dan juga barang tak cukup. Maka, berduyun-duyunlah pelanggan call minta ganti.

Semua itu harus ditadah oleh dua keping daun telinga milik Dahlia itu jugak. Macam mana dia tak nak stress?

"Ma, ma pindah sini boleh tak ma? Boringlah Lia duduk sorang-sorang." Ada masa free sikit je terus dial nombor mama. Aih, anak emak betul!

"Tak boleh, Lia. Arum Cempaka belum habis sekolah, kan. Lagipun ma tak biasalah duduk kat KL tu."

"Ala, ma ni. Tak kesihan Lia ke? Penatlah macam ni."

"Sebab itulah cepat-cepat cari suami. Kalau ada lelaki jaga Lia kan bagus. Tak adalah sunyi."

"Ish, ma ni tak habis-habis suami, suami, suami. Tak naklah ma. Orang lelaki cuma akan menambah beban je dalam hidup Lia nanti."

Arum Seroja tiba-tiba senyap untuk beberapa saat. Hati Dahlia mula berasa kurang sedap. "Ma! Ma okey ke?" soalnya. Risau bila mamanya diam saja.

Terdengar desahan nafas Seroja seakan menyimpan makna pedih yang tak terluah. Semakin membuat Dahlia jadi serba salah.

"Tak elok cakap macam tu, Lia. Ma okey je jaga ayah walaupun ayah dah tak boleh jalan. Ma tak rasa terbeban pun."

Tersentap hati Dahlia. Baru sedar yang kata-katanya agak keterlaluan. Pasti mamanya akan terasa. "Ma, sorry. Lia bukan maksud macam tu. Ma jangan kecil hati ya."

Dia sedar dia tak sebaik dan tak setabah mamanya. Tapi di depan wanita itu, dia perlu menjaga adab terhadap lelaki yang digelarnya ayah. Walaupun... Aagh! Serabut. Malas nak fikir.

"Em, iyalah, apa-apa saja! Ni, ma nak kena pergi jemput Cempaka kat sekolah. Lia elok-elok ya."

"Baik, ma. Assalamualaikum."

Dahlia mendesah dalam-dalam usai perbualan tadi. Dia pasti mamanya masih tersinggung bila dirinya kerap mengatakan bahawa kehadiran orang lelaki hanya membebankan.

Bagi Seroja yang sudah hampir 30 tahun mendirikan rumahtangga, seburuk apapun lelaki itu, dia tetap syurganya yang perlu dia hormati.

Tapi mungkin bagi Dahlia lain, sehingga membuat dia berfikir sejuta kali untuk mengisi hidupnya dengan kehadiran seorang lelaki.

Banyak rumors didengar tentang lelaki tak guna berperangai monster di luar sana. Kahwin dengan perempuan cuma nak jadikan perempuan itu tempat pelampiasan nafsu sahaja. Lepas tu selingkuh sana-sini. Kahwin lagi tinggalkan anak bini. Belum lagi yang kes mendera isteri. Ish! Seriau dengar.

Dan sebenarnya, Seroja juga salah satu mangsa lelaki berperangai monster tersebut.

Bukan Dahlia tak tahu bagaimana ayahnya dulu memperlakukan mereka sewaktu lelaki itu masih berupaya. Tinggalkan mereka berbulan-bulan untuk berfoya-foya dengan isteri baru. Tak pernah ambil tahu tentang kesejahteraan anak dan isteri. Malah tak jarang Dahlia disaji dengan drama pergaduhan antara mama dan ayahnya apabila lelaki itu sedang pulang ke rumah.

Mujur mama Dahlia mempunyai pekerjaan tetap dan terjamin, sehingga mereka masih boleh bertahan hidup walaupun tanpa kehadiran lelaki itu. Bahkan, hidup mereka jauh lebih aman jika lelaki itu tidak pulang ke rumah.

Setelah sekian lama, Munir jatuh sakit. Dia mengidap kencing manis dan stroke yang membuat urat syaraf lumpuh sepenuhnya. Bila sudah begitu, anak-anak dan isteri jugalah yang menjadi tempat bergantung harap.

Sehingga keluar kata-kata dari mulut Dahlia, "Kalau Lia jadi ma, Lia tak rasa boleh terima dia balik. Masa sihat dia kat mana? Bila sakit tahu pula cari kita."

Bagaimanapun Seroja tidak setuju dengan kata-kata Dahlia. "Dahlia. Buruk macam mana pun dia, dialah satu-satunya wali Lia. Lia tak akan lahir ke dunia ini tanpa dia. Demi mama tolong hormat ayah, walaupun ma tahu Lia sangat kecewa dengan ayah. Tapi, dia cuma ada kita je sekarang."

Dahlia mendesah lagi. Macam mana mamanya boleh dikurniakan hati setabah itu? Sedangkan dia handle business macam gini pun dah banyak kali nak give-up. Inikan pula nak handle lelaki.

Teringat pula dengan malaun di tempat parking tadi. Yang tu pun salah satu contoh lelaki yang bakal jadi monster dalam rumahtangga juga. Jenis baran, tak sabar-sabar. Dengan perempuan pun nak bergaduh. Buatkan Dahlia tolak habis point untuk lelaki. Baginya, lelaki cuma akan menyusahkan hidupnya saja. Tak nak! Tak nak!

"Hello. Cik Dahlia. Akak order sweater warna pink, tau. Kenapa yang sampai biru?"

Aah, sudah! Tak habis lagi ke kes salah hantar ni? Perlahan-lahan nafas disedut dan dilepaskan. Ganggang telifon dilekap pada telinga. "Ouh, iya ke? Maaf puan. Nanti saya suruh staf saya check semula ya."

"Jangan suruh staf, awak check sendiri. Staf awak tu tak pandai buat kerjalah. Entah-entah kerja dia mengular je."

Huh! Berdesing telinga hari ini dek bebelan pelanggan. Kenapalah budak-budak ni tak check dulu sebelum hantar? Letihlah macam ni.

Tak boleh, tak boleh. Dahlia kena keluar sekejap cari ketenangan. Lama-lama duduk dalam ofis ni boleh bernanah telinga dek panggilan customer yang mintak refund dan ganti rugi. Serabut!

Minum kopi petang-petang pun best jugak. Dahlia kena lari sekejap dari keserabutan ini. Boleh pecah kepalanya kalau dibiarkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience