“Terima kasih ustaz, saya mohon diri.” Azfar menyantuni ustaz yang baru dikenalinya sebentar tadi. Wajahnya menguntum senyum puas. Biar pun hatinya masih bersarang resah dan serba salah, sekurang-kurangnya kisah dan kata semangat yang disampaikan Hanif kepadanya tadi telah memugar kembali benih ketenangan. Dia insaf.
“Terima kasih ustaz, saya mohon diri.” Azfar menyantuni ustaz yang baru dikenalinya sebentar tadi. Wajahnya menguntum senyum puas. Biar pun hatinya masih bersarang resah dan serba salah, sekurang-kurangnya kisah dan kata semangat yang disampaikan Hanif kepadanya tadi telah memugar kembali benih ketenangan. Dia insaf.
Hanif menemui Azfar yang sebentar tadi duduk di tangga surau. Wajah resah remaja itu dapat dikesan oleh Hanif. Kebetulan Hanif datang awal ke surau itu untuk meletakkan kembali beberapa sejadah yang telah dicucinya. Begitulah rutin Hanif memberi khidmat ikhlas tanpa sesiapa pun tahu. Ada tiga surau yang sentiasa dicaknanya.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5?}
Azfar baru sahaja meluahkan perasaan. Dia geram. Bapanya tidak mahu mengikut kehendaknya. Pertandingan futsal akan berlangsung tidak lama lagi. Dia mahu kasut yang baharu. Dia mahu buktikan bahawa dia budak berbakat. Sudah sampai masanya dia buktikan kepada rakan sekelas, dia adalah sebutir bintang yang harus disanjung.
“Tetapi ayah tetap tidak mahu kotakan janjinya. Dulu, ayah telah berjanji hendak tunaikan permintaan saya untuk belikan kasut sukan baharu yang berjenama. Saya telah berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PT3. Entah macam mana, motosikal ayah rosak pulak, ayah gagal kotakan janji. Duit untuk belikan kasut baharu saya telah dibayar kepada Pak Awang Pomen. Saja-saja Pak Awang dapat duit tu.” Azfar merengus tanda protes.
Hanif menggosok bahu Azfar . Kemudian jarinya ditekap rapat bagi mengembalikan semangat anak muda itu. Mata Hanif memandang tepat ke wajah Azfar yang masih mencuka.
“Azfar , mari kita berfikir sejenak. Bayangkan wajah ibu dan ayah Azfar . Wajah-wajah itulah yang Azfar tatap setiap hari sejak mata Azfar dapat melihat dunia. Indahnya dunia… tetapi kalau kita tidak wujud di dunia, mana mungkin kita dapat melihatnya, dik.”
“Azfar , berapa ramai di luar sana yang tidak sempat melihat wajah ibu dan ayah mereka. Hendak tahu kenapa? Berapa ramai yang dilahirkan tidak sempat melihat ayahnya kerana ayahnya telahpun meninggal dunia terlebih dahulu. Bahkan, ada yang dilahirkan tetapi dalam masa yang sama si ibu meninggal dunia, sengsaranya melahirkan seorang anak.”
Azfar terpaku. Dia diam. Matanya berair.
“Ingatlah Azfar . Mana mungkin seorang ayah tidak mahu menggembirakan anak-anak. Lihatlah, ayah Azfar sanggup berjanji semata-mata mahu melihat anaknya gembira. Biarpun ayah orang susah, kehendak Azfar ayah cuba tunaikan. Namun apakan daya, cabaran dan dugaan hidup menimpa dengan tiba-tiba. Azfar lihat, ayah Azfar sangat bertanggungjawab. Dia ketua keluarga. Lihat, ada sebab lebih utama ayah baiki motosikal itu. Dengan motosikal itu, ayah pergi kerja setiap hari. Kerja setiap hari untuk mencari nafkah menanggung ibu, Azfar dan anak-anak yang lain. Beruntungnya Azfar ada ibu dan ayah yang sangat bertanggungjawab.” Ustaz Hanif sebak. Air matanya menitis. Azfar terpegun. Azfar turut sebak. Mereka diam. Masing-masing membiarkan air mata mereka mengalir basah tanpa henti.
“Kita sebagai anak, harus bertindak sebagai seorang anak Azfar . Kita harus menghadiahi mereka kasih suci. Apa tidaknya, kelahiran kita dinanti-nanti. Kita dipeluk siang malam. Sejuk matanya menatap wajah kita tanpa dosa. Indahnya saat itu bagi mereka.”
Azfar menutup matanya rapat-rapat. Dadanya seakan-akan berombak sedang nafasnya tersekat-sekat.
“Bukan kasut saja yang kita perlu. Banyak lagi. Kita mahukan perhatian, pendidikan, keselamatan dan bahkan kasih sayang. Semua itu kita dapat daripada ibu dan bapa kita tanpa perlu kita bayar pun. Syukurnya… mereka berikan dengan ikhlas kepada kita,” sambung Hanif lagi.
Kali ini Azfar benar-benar terdiam dan terpaku. Keinsafan menyelinap dan membekas dalam sanubarinya. Kata-kata Ustaz Hanif bagai halalintar menyentak hatinya yang sebelum ini memberontak tidak keruan.
“Marilah bermula saat ini kita menjadi penyejuk hati ayah ibu. Jadikan mereka bangga memiliki kita. Tunjukkan bahawa kita tulang belakang yang menyokong ketika senang dan susah. Mari kita berazam ya Azfar , insya-Allah.” Hanif menggenggam jari-jari Azfar . Azfar memandang mata Hanif tanpa berkedip. Ada sinar di matanya.
Kedua-dua anak muda ini adalah generasi yang bakal berada di barisan hadapan dalam masyarakat. Dalam hati mereka, berputik ketabahan dan semangat untuk berhadapan dengan cabaran hidup mendatang. Nasihat Hanif amat bermakna buat Azfar . Begitulah hikmahnya Azfar bertemu dangan Hanif. Andai sebaliknya, Azfar akan lagi jauh dan rosak. Apatah dalam usia remaja sebegitu, akal dan hati budinya tidak kuat menadah gelombang. Ramai lagi di luar sana yang rakus mengambil kesempatan menunjuk jalan kedurjanaan.
Share this novel