“Ayah tak sedap badanlah Nep. Nafas ayah macam tak lawas…” ujar ayah seperti berbisik. Suaranya bergetar.
“Ayah, kita ke hospital ya,” pelawa Hanif lembut sambil meredupkan pandangan.
Ayah diam. Dia memusingkan badannya sedaya mungkin. Tindakannya itu difahami Hanif. Beberapa detik kemudian, bunyi dengkuran kedengaran. Ayah tidur. Mungkin juga buat-buat tidur. Betapa tidak sukanya ayah apabila diajak berubat di hospital.
“Abang mohonlah cuti, ayah semakin uzur ni.” Hanif menelefon abang.
“Minggu depan baru abang dapat balik. Abang bertugas di luar stesen minggu ni”
“Teruk sangatkah ayah tu, Nep?”
“Tak apalah abang. Nep bukan apa… sakit dada ayah tu makin kuat. Ubat tak mahu makan langsung sekarang. Puas dipujuk.”
“Kuliah kau macam mana? Jangan ponteng-ponteng pula.”
“Insya-Allah, tentang pelajaran, Nep tahulah bahagi masa.”
“Abang sebenarnya sangat kagum dengan adik abang seorang ni. Abang berterima kasih dengan Nep kerana jaga ayah. Abang sebenarnya dalam proses perpindahan tempat kerja baharu. Kebetulan ada jawatan kosong berhampiran daerah Seberang Takir. Bos abang nampaknya setuju apabila abang ceritakan masalah kita.”
“Alhamdulillah. Baiklah bang. Nanti kalau keadaan ayah teruk sangat, Nep telefon lagi.”
Petang itu, Hanif turut buat panggilan dengan kakaknya yang berada di Perak. Apakan daya, kakak dapat kerja jauh dari kampung. Orang baru bekerja, tidak boleh kerap mohon cuti. Lagipun, baru minggu lepas kakak balik kampung. Kakak sedih setiap kali berbual dengan adiknya namun dia juga pasrah.
Penghujung malam itu, seperti biasa, Hanif bangun awal untuk menelaah pelajaran dan kemudiannya membaca al-Quran dengan suara perlahan di sebelah pembaringan ayah. Dia membuka daun tingkap untuk mendapatkan udara segar. Di luar, embun dingin membasahi hujung daun yang terjuntai dekat dengan tingkap rumah. Hanif mengusap dan meramasnya. Keheningan suasana dan kedinginan embun dinihari itu semakin menambah syahdu jiwanya yang berhadapan saat paling kritikal.
Pertarungan ayah dengan keuzurannya telah sampai pada saat terakhir dalam hidup. Ayah muntah darah. Paru-paru ayah sudah rosak teruk. Tabiat merokoknya sejak zaman muda telah menjejaskan kesihatannya. Ayah sesak nafas. Wajahnya pucat. Hanif kehilangan aksara untuk diujarkan apabila ayah tetap tidak mahu ke hospital. Dia seolah-olah berserah diri. Hanif buntu. Jiran-jiran yang ada di situ juga tidak dapat berbuat apa-apa.
Hanif sempat menghubungi abang dan kakak. Mereka berdua bergegas pulang ke kampung selepas itu. Ambulans datang tidak lama selepas itu. Namun ayah gagal diselamatkan. Wajah ayah ditatapi. Ayah sempat menguntum senyuman terakhir kepadanya. Hanif sebak. Hatinya cemas dan buntu. Akhirnya, genggaman tangan dingin ayah terlucut perlahan-lahan.
Pemergian ayah begitu terasa buat Hanif kerana dialah yang menjaga ayah siang malam. Namun dia tetap bersyukur, sekurang-kurangnya dia telah memberikan khidmat terbaik sebagai seorang anak yang berbakti. Kasih tulus ikhlasnya menjadi hadiah abadi buat ayah. Dalam usia remaja, Hanif tumpukan hatinya sungguh-sungguh untuk menjaga ayah kesayangan. Dalam masa yang sama dia juga menjadi pelajar cemerlang di IPG. Dia sangat berpuas hati. Itulah berkat hidup namanya.
Kini abang sudah jadi pengurus di salah satu firma di Terengganu. Anak-anak abang turut menjadi anak murid Ustaz Hanif di salah sebuah sekolah menengah aliran agama. Kakak pula baru berkahwin. Maklumlah sibuk sambung belajar hingga ke peringkat sarjana hingga terlupa hendak berumah tangga.
“Assalamualaikum ustaz. Termenungkan siapa tu?”
Lamunan Hanif terhenti ketika Cikgu Bakh, bilal surau itu, menyapanya. Ustaz Hanif tersenyum. Rupa-rupanya Hanif masih di tangga surau sejak tadi. Kenangan bersama ayah kekal abadi. Pertemuan dengan Azfar turut dijadikan iktibar dan wasilah dalam hidup. Ketika doa selepas azan dibacakan, Hanif sempat menitipkan doa buat Azfar agar anak muda itu memiliki hati sebening embun dinihari dan mengasihi ibu dan ayahnya serta bersedia berkorban segala-galanya. Semoga dia juga menjadi manusia berbakti terhadap sesiapa sahaja di dunia ini.
Share this novel