Basikal yang ditunggangi Azfar dipandang semakin kecil di mata Ustaz Hanif. Basikal itu terus menyusuri jalan ke arah selatan namun mata Hanif masih mengekori sehingga kelibatnya lenyap. Kedua-dua anak mata itu tidak berkedip pun. Pertemuan dengan Azfar sebentar tadi sedikit sebanyak telah mengembalikan memori terhadap dirinya sendiri sewaktu-waktu dahulu. Memorinya menjaga ayah yang uzur. Hari-hari terakhirnya bersama dengan ayah kesayangan.
Dia ialah anak muda yang saban hari bergegas pergi dan bergegas pulang. Apabila pulang, di tangannya membimbit sebungkus plastik berisi dua nasi bungkus yang dibeli dari warung hujung kampung.
“Ayah, ayah masih tidur?” sapa Hanif.
“Patutlah salam tak berjawab,” bisik hatinya.
Dia menyentuh perlahan bahu ayahnya. Tubuh tua itu semakin tidak bermaya. Baju yang disarungkan Hanif ditubuh ayah sebelum subuh tadi, dilihat basah di bahagian bawah. Hanif tahu sangat, basah baju itu sudah menjadi perkara biasa. Ayah perlu diuruskan ke bilik air.
Sudah dua hari Mak Su Yah tidak dapat datang menjengok ayah. Biasanya Mak Su Yah akan datang setiap pagi dan balik pada tengah hari selepas membantu menjaga ayah Hanif sementara dia hadir kuliah di Institut Pendidikan Guru. Adik bongsu ayah Hanif itu menghantar anaknya mendaftar universiti di Kuala Lumpur.
“Ayah, Hanif balik ni,” lembut Hanif berbisik ke telinga ayahnya. Ayahnya hanya menggerakkan jari tangannya. Dia nampak lesu. Matanya seperti begitu sayang untuk dibukakan. Ayah bagai tidak mahu berpisah dengan mimpi tidur lenanya.
Hanif masih duduk di sisi ayah. Kedua-dua tangannya menggenggam jari tangan ayah. Genggaman yang mengandung makna, agar ayah terus bersemangat dan tidak berserah semata-mata. Diangkat tangan ayah. Tangan itu kurus, berkedut dan dingin. Dia menciumnya. Matanya dipejamkan. Ada mutiara jernih tertitis jatuh di lengannya. Dalam hati Hanif membungkam kata yang sejak dulu ingin diteriakkan di telingga ayah, “ Ayah…bangkitlah ayah. Lihatlah dunia ini. Kau adalah sang juara…ayah!”
Selepas menguruskan ayah, Hanif mengemas ruang di dalam rumah. Rumah itu ada tiga bilik. Bilik hadapan sentiasa bersih dan kemas. Bilik hadapan hanya digunakan jika abang atau kakaknya pulang ke kampung. Itu pesan ibu. Keselesaan isteri abang dan privasi kakak perlu dijaga apabila pulang.
Bilik ayah juga tidak lagi digunakan. Sejak ibu meninggal, ayah tidak berminat tidur di bilik itu lagi. Apatah lagi kini semakin uzur. Katil kecil di tepi tingkap sebelah dapur menjadi tempat pembaringan ayah. Ayah selesa begitu.
Sejak ayah sakit-sakit, Hanif turut tidur di luar bilik. Setiap malam, tilam lipat akan dikeluarkan dan dibentang bersebelahan katil ayah. Setiap malam, Haniflah yang akan memimpin ayah ke bilik air. Juga memicit betis ayah jika lenguh, memberi minum air kosong jika dahaga, mengurut dada jika sebak dan segalanya.
Begitu mencabar dunia yang ditempuh anak yang baru meniti usia remaja ketika itu. Tanggungjawab menjaga orang tua dipikulnya tanpa diminta dan disangka-sangka. Namun pada siapa pula harus dipertanggungjawabkan jika bukan dia. Bukan salah abang. Bukan salah kakak pun. Ayah sendiri berkeras tidak mahu meninggalkan rumah kesayangannya itu. Amat payah bagi abang dan kakak untuk menjaga ayah sekiranya ayah sendiri tidak mahu.
Ibu yang selama ini menjaga ayah ketika sakit telah dipanggil Tuhan terlebih dahulu. Ajal maut ditangan-Nya. Ibu pergi ketika ayah sangat memerlukan. Ayah pernah berkata bahawa biarlah dia yang mati dahulu agar beban sukar yang ditanggung ibu terlerai. Namun kuasa Tuhan menentukan.
“Nep…,” suara serak ayah memanggil perlahan. Ayah batuk. Batuknya juga semakin keras sekarang. Sukar pula untuk berhenti jika bermula.
“Nep….”
“Nep…”
Hanif berlari ke atas rumah. Dia melihat tangan ayahnya mahu mencapai gelas di tepi bucu katil.
“Nep pergi bawah kejap ayah. Nep buang sampah,” Hanif berkata lunak.
Muka gelas ditemukan di bibir ayah. Ayah meneguk air yang diberikan. Tekaknya kering mungkin. Rambut ayah diusapnya. Rambut beruban itu berselerak kembali kerana ayah banyak baring daripada duduk. Walaupun begitu, wajah ayah tetap kemas. Hanif selalu mencukur misai dan merapikan janggut ayah. Dahulu, biarpun uzur ayah tidak suka orang lain mendandannya. Kini, dia berserah.
Share this novel