Series
1368
SUDAH hampir dua puluh minit Nadia menunggu di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sebelum kelibat Edrian akhirnya muncul. Wajahnya yang tadi terlihat letih langsung berubah ceria. Laju dia melangkah menuju ke tempat lelaki itu.
"Assalamualaikum."
Tanpa mempedulikan sekeliling Nadia terus meraih tangan Edrian, disalam dan dicium penuh hormat seperti yang selalu dia lakukan setiap kali mereka bertemu.
"Waalaikumsalam," jawab Edrian. Riak wajahnya terlihat sangat tenang, namun tiada emosi yang jelas.
"Penat?" soal Nadia.
"Sikit."
Nadia mengangguk kecil. "Mari sini beg tu, I tolong bawa."
"Tak apa. I boleh bawa sendiri." Edrian terus mencapai besi penarik bagasinya lalu mereka terus berjalan menuju ke pintu keluar.
Sepanjang perjalanan menuju ke kereta, Nadia tidak berhenti tersenyum. Dengan hanya melihat suaminya berada di depan mata sudah cukup membuatkan hatinya terasa ringan dan bahagia. Sekurang-kurangnya malam ini dia tidak keseorangan.
PERJALANAN dari lapangan terbang menuju ke kondominium Nadia mengambil masa hampir setengah jam. Sejak pemanduan dimulakan, hanya Nadia yang banyak bercakap, manakala Edrian hanya bercakap untuk menjawab setiap kali Nadia bertanya sesuatu sahaja.
"I dah bagitahu staf kafe resort tadi yang you datang hari ni. I suruh diorang standby set minum petang special untuk you," kata Nadia dengan senyuman ceria.
Edrian yang sejak tadi memandang pemandangan di luar tingkap terus mengalihkan pandangannya kepada Nadia yang sedang memandu.
"Untuk I?"
"Ya, untuk you. Yalah... you kan tak selalu datang sini," balas Nadia sambil tersenyum. "Actually, I plan nak bawa you stay bermalam kat resort malam ni. Boleh kita dinner kat pantai, lepas tu..."
"No," potong Edrian.
Sepatah perkataan yang meluncur daripada mulut lelaki itu membuatkan senyuman Nadia serta-merta hilang. Dia menoleh, memandang suaminya buat beberapa saat sebelum fokus semula pada jalan di hadapan.
"Why?"
"I nak stay kat rumah," jawab Edrian lalu kembali memandang ke luar tingkap. "Kat resort tak ada privacy."
Jeda.
"Hmm, okey. Kita stay kat rumah je," kata Nadia selepas beberapa saat. Riak wajahnya tenang. Tidak merajuk dan tidak menunjukkan rasa kecewa, namun dalam hati, tiada sesiapa tahu.
Suasana berubah sunyi. Namun, Nadia tidak membiarkan kesunyian itu berpanjangan.
"Esok you nak ikut I ke resort tak?"
"Untuk apa?"
Nadia menoleh sekilas bersama senyuman kecil. "Spend masa berdualah. I nak bawa you jalan-jalan. Kita boleh buat outdoor activities. Main jet ski ke, main parasailing ke, main..."
"Maybe," potong Edrian sebelum sempat Nadia menghabiskan ayat.
Sekali lagi Nadia menoleh sekilas. "Maybe tu maksudnya nak atau tak nak?"
"Tak tahu lagi."
Nadia mencebik kecil. "Jawapan you memang macam tu je dari dulu setiap kali I tanya, kan?"
"Apa?" Edrian memandang sisi wajah Nadia dengan kerutan di dahi.
"Tak tahu. Maybe. Tengoklah," jawab Nadia disusuli tawa kecil.
Tiada balasan daripada Edrian. Dia hanya tersenyum nipis. Senyuman yang dipaksa.
Suasana di dalam kereta kembali sunyi.
Nadia memandang Edrian yang sedang memandang ke luar buat beberapa saat sebelum menekan punat pemain lagu. Lagu Inggeris lama terus berkumandang mengisi kesunyian.
Beberapa saat pertama, Nadia hanya diam. Jari-jemarinya mengetuk-ngetuk stereng mengikut rentak lagu. Kemudian, tanpa sedar dia tersenyum kecil.
"Daripada lagu je pun boleh cerita pasal perasaan kita, kan? Macam lagu ni."
Edrian mengerutkan dahi lalu menoleh. "Kenapa dengan lagu ni?"
"Tajuk lagu ni The Man Who Can’t Be Moved nyanyian kumpulan The Script. Lagu ni pasal seseorang yang masih tak boleh move on daripada orang yang dia sayang."
Riak wajah Edrian terus berubah, namun Nadia tidak menyedarinya.
"Hmm, bagi I lah kan... seseorang tu sebenarnya bukan tak boleh move on, cuma dia tak tahu macam mana nak buka hati untuk orang lain, sebab hati dia masih tertinggal kat orang yang dia sayang," sambung Nadia.
Edrian menelan liur sebelum mengalihkan pandangannya ke hadapan. Kata-kata Nadia ibarat batu yang dilempar mengenai tepat ke batang hidungnya.
"Boleh je paksa diri," kata Edrian selepas beberapa saat. Padahal dia tahu kata-katanya itu bukan sesuatu yang dia sendiri mampu lakukan.
"Paksa diri?" Nadia menoleh sekilas sambil menjongketkan kening.
"Yes," jawab Edrian sepatah.
"Macam mana nak paksa diri? Hati bukan sesuatu yang kita boleh paksa."
Nadia memperlahankan sedikit kelajuan kereta selepas menyalakan lampu isyarat, kemudian dia terus masuk ke dalam kawasan bangunan kondominium mewah di tepi pantai yang tersergam megah di bumi Langkawi itu.
"Kalau seseorang tu masih belum move on daripada orang yang dia sayang selepas bertahun-tahun, mungkin sebab perasaan tu terlalu dalam dan tak mudah nak lupakan macam tu je," sambung Nadia.
Edrian mengetap rahang. Wajah seorang wanita tiba-tiba muncul dalam kepalanya. Senyuman, suara, cara memandang, segala-gala tentang wanita itu. Wanita yang membuatkan dia jatuh cinta buat pertama kali dan wanita sama yang membuatkan dia berhenti percaya pada cinta.
Nadia terus bercakap tanpa mengetahui apa yang ada dalam fikiran lelaki di sebelahnya itu.
"Tapi kalau orang yang kita sayang tu dah pilih orang lain..." Nadia berhenti seketika kerana sedang memarkirkan kereta. Wajah suaminya dipandang sejurus dia menarik brek tangan, tetapi mereka tidak terus keluar. Enjin dibiarkan masih berpasang. "Kita kena belajar terima..."
Edrian menoleh. Pandangan mereka bertaut.
"...walaupun sakit," sambung Nadia berserta senyuman kecil.
Edrian segera mengalihkan pandangan. Dadanya terasa sempit. Entah mengapa dia rasa wanita itu seperti sedang membangkitkan semula sesuatu yang selama ini cuba dia kuburkan.
Nadia memandang skrin pemain lagu sambil tersenyum kecil. "Walaupun cuma lagu, tapi kita boleh faham betapa dalamnya cinta dia kat perempuan tu."
Edrian menunduk sedikit memandang tangannya sendiri. "Kalau seseorang tu tak mampu lupakan orang yang dia cinta... apa dia patut buat?"
Nadia terdiam seketika sebelum menjawab. "Kalau orang tu memang perlu dilupakan, berdoalah banyak-banyak dengan Allah. Minta dilapangkan hati dan fikiran."
Jawapan itu membuatkan Edrian mengerutkan dahi. "Berdoa?"
Laju Nadia mengangguk sambil tersenyum kecil. "Kalau nakkan sesuatu, minta dengan Allah. Lagipun, Allah yang pegang hati kita. Jangan gunakan orang lain sebagai alasan untuk lupakan seseorang," jawabnya tanpa menyedari betapa dalamnya kata-kata itu menusuk hati lelaki di sebelahnya.
"Tapi, macam mana kalau orang lain tu boleh jadi medium untuk lupakan seseorang? Kita minta dengan Allah, tapi Allah hantar orang tu sebagai asbab... sebagai pengganti."
Nadia diam sejenak sebelum tersenyum. "Hmm... ya tak ya juga, kan? Tapi... what if orang tu tak mampu buat seseorang tu melupakan? Macam mana kalau orang tu hanya mampu jadi sekadar alasan untuk dia pura-pura okey tapi sebenarnya tak? Kalau orang tu mampu jadi pengganti dan dapat tempat dalam hati... okeylah."
Tiada balasan daripada Edrian. Riak wajahnya kelihatan seperti sedang berfikir.
"Tapi kalau cuma jadi singgahan dan alasan, it's not fair. Orang tu tak patut jadi tempat lari daripada luka lama. Kalau someone buat I macam tu... tak tahulah kalau I boleh maafkan."
Edrian menunduk sambil mencengkam kedua-dua lututnya. Lidahnya kelu.
Nadia menganggap topik itu sebagai perbualan biasa. Namun bagi Edrian, setiap kata-kata wanita itu ibarat busur panah yang menikam jantungnya.
Edrian menghela nafas panjang lalu kembali memandang ke luar tingkap. Keputusan yang mahu dibuatnya hari ini tiba-tiba terasa jauh lebih berat daripada yang disangkanya. Keyakinannya pagi tadi hilang entah ke mana.
"YOU nak minum apa?" soal Nadia sebaik sahaja mereka masuk ke dalam rumah.
Edrian menoleh sekilas. "Anything," jawab Edrian sambil melangkah menuju ke sofa lalu duduk.
"Okay... Five minutes," ujar Nadia sambil meletakkan beg tangannya ke atas meja, lalu mengayun langkah pantas menuju ke dapur.
Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi cawan dan sudu berlaga.
Kondominium yang didiami Nadia itu cukup luas untuk seorang wanita yang tinggal sendirian. Tidak banyak barang yang mengisi ruang. Tiada gambar keluarga yang menghiasi dinding, tiada barang perhiasan berlebihan. Hanya beberapa buah perabot dan pasu bunga sahaja.
Sejak kecil, dia tidak pernah rapat dengan ayahnya kerana ketika dia baru berusia dua tahun, ayahnya berkahwin lain dan tinggal bersama isteri keduanya.
Ibunya meninggal dunia ketika dia masih di bangku sekolah rendah. Datuk dan neneknya kemudian mengambil alih penjagaan Nadia. Merekalah yang membesarkannya dan menjadi tempat dia bergantung.
Nadia masuk ke universiti pada usia lapan belas tahun, mengambil jurusan pengurusan perniagaan. Tetapi neneknya meninggal dunia pada tahun pertama pengajiannya.
Selepas itu, datuknya menjadi satu-satunya tempat dia bergantung sehingga dia berjaya menamatkan pengajian empat tahun kemudian.
Selepas tamat belajar, dia mula membantu menguruskan resort milik lelaki tua itu.
Tiga tahun kemudian, datuknya pula meninggal dunia. Kondominium itulah yang menjadi tempat dia pulang selepas ayahnya menjual rumah arwah datuknya.
Sejak itu, dia hidup sendiri dan sudah terbiasa dengan kesunyian. Dia tidak bergantung kepada sesiapa dan kerana itulah dia tidak pernah langsung meminta daripada Edrian.
Selepas berkahwin, dia berharap kesunyian tidak lagi menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Tetapi nampaknya keadaan tidak jauh berbeza.
Beberapa minit kemudian, Nadia muncul membawa dua biji cawan. Satu dipegangnya, satu lagi diletakkan ke atas meja.
"Kopi," kata Nadia sambil tersenyum lalu melabuhkan punggungnya di sebelah Edrian.
Edrian memandang cawan itu, kemudian memandang Nadia. "Thanks."
Nadia hanya membalas dengan anggukan dan senyuman kecil.
"Ada masalah supply kat Johor ke?" Nadia membuka topik perbualan.
Pertanyaan itu membuatkan Edrian terdiam sejenak. "Tak ada. Okey je."
"Good to know. Yalah... selalunya mesyuarat tergempar ni sebab ada masalah, kan? Dua kali hujung minggu I balik KL, dua kali weekend tu juga you ada mesyuarat tergempar kat Johor. Kesian you tak ada cuti."
Riak wajah Edrian terus berubah, namun cepat-cepat dia kembali beriak tenang.
"Sebab tu I ambil cuti tiga hari," ujarnya selepas beberapa saat.
Senyuman lebar langsung terukir di bibir Nadia. Matanya membulat, teruja. "Maksudnya, you stay sini sampai lusa?"
"Tak. Tengah hari esok I balik KL."
"Oh." Senyuman Nadia perlahan memudar. "Kalau cuti tiga hari, kenapa kelam-kabut nak balik KL esok?"
"Ada jemputan perasmian kedai daripada partner bisnes kat Shah Alam. Wajib datang."
Nadia mengangguk perlahan disertai dengan keluhan halus. Bukannya baru sekali ini suaminya balik ke sini untuk tempoh yang sangat singkat. Tetapi dia tetap rasa kecewa. Namun, dia tidak mahu menunjukkan kekecewaannya di hadapan lelaki itu.
"Tak apalah kalau macam tu. Nanti I ambil cuti panjang. Boleh spend masa lama sikit dengan you. Kalau tak pun, I stay terus dengan you ajelah. Yana boleh handle sini. Kalau ada hal penting je I datang."
"Tak terjejas ke bisnes nanti?" soal Edrian dengan kerutan di dahi. Bukan kerana dia benar-benar mengambil berat, tetapi sengaja mahu melihat sejauh mana Nadia sanggup mengetepikan sesuatu yang besar demi dirinya.
"Don't worry... Aryana is capable. I percayakan dia. Tempat seorang isteri kan di sisi suami."
Edrian hanya mengangguk kecil dengan muka tanpa riak sebelum menghirup kopinya yang masih berasap.
Senyap.
"You..." Nadia menyentuh lembut bahu suaminya membuatkan lelaki itu sedikit tersentak.
"Kenapa?"
"You okey tak ni? Macam dah jauh sangat mengelamun tadi... dah sampai mana?" seloroh Nadia disertai senyuman kecil.
"Penat," jawab Edrian sambil menyandarkan belakangnya ke sofa.
"Kalau macam tu, you pergilah mandi dulu... lepas tu rest, okey? I takkan kacau," kata Nadia dengan nada prihatin tanpa mengetahui suaminya berbohong.
Edrian sebenarnya bukan penat, tetapi perbualan mereka sepanjang perjalanan tadi masih mengganggu fikirannya. Tujuannya datang ke sini adalah untuk mengakhiri perkahwinan mereka. Tetapi entah mengapa pada ketika ini, dia rasa niat itu terasa berat untuk dilaksanakan.
Edrian hanya mengangguk sebelum bangun dari sofa.
Namun, langkahnya terhenti lalu menoleh.
Nadia masih duduk di situ sambil memandangnya dengan senyuman kecil. Senyuman yang sama seperti selalu.
Pandangan Edrian melekat lama pada wajah isterinya. Dia datang ke sini dengan satu keputusan yang sudah bulat. Tetapi sekarang, untuk menyuarakan keputusan itu di hadapan wanita yang sedang tersenyum kepadanya tanpa sedikit pun rasa curiga itu tiba-tiba terasa berat. Ayat yang sudah disusun dalam kepalanya sejak pagi tadi tiba-tiba terasa payah untuk dituturkan.
Bukan sekarang, tapi aku kena cakap juga. Kalau bukan malam ni... esok. Edrian menghela nafas panjang sebelum berpaling dan meneruskan langkah menuju ke bilik air.
Share this novel
Luahkan je biar nadia jadi mcm ika bawa diri lps cuba raih kasih pd yg tak sudi..nnt lama2 hati yg keras terbuka juga