BAB 1

Romance Series 1368

DALAM keheningan pagi, Nadia duduk bersendirian di meja makan yang terletak di dapur, siap berpakaian formal dengan sebuah bagasi sederhana besar di sebelahnya.

Menu sarapannya sangat ringkas. Secawan minuman coklat panas bersama beberapa keping biskut. Dia merenung cawan yang dipusing-pusingkannya, namun bukan cawan yang menjadi fokusnya, tetapi tentang seseorang yang tidak berada di situ.

Hampir sepuluh minit berlalu. Akhirnya Nadia mencapai telefonnya di atas meja lalu membuka aplikasi WhatsApp. Nama Edrian ditekan.

Keluhan kecil dilepaskan sejurus melihat mesej terakhir yang dia hantar setengah jam lalu masih belum dibaca. Mesej ucapan selamat pagi. Ringkas seperti biasa.

Nadia menatap mesej itu buat seketika sebelum melepaskan satu keluhan panjang. "Busy sangat ke?" gumamnya sambil meletakkan semula telefonnya ke atas meja.

Semalam pun suaminya tidak pulang. Katanya ada urusan kerja di Johor. Ada mesyuarat tergempar dan terpaksa bermalam di situ. Asyik alasan yang sama.

Mereka tidak selalu berjumpa pada hari bekerja. Kebiasaannya, Nadia yang akan berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu menaiki kapal terbang memandangkan resort miliknya terletak di Langkawi.

Namun, sebagai seorang isteri yang sedang belajar menyesuaikan diri, dia cuba memahami keadaan. Dia tidak merungut pun tiada bulan madu mereka selepas berkahwin dulu.

Minggu ini sudah dua minggu berturut-turut Edrian tidak pulang ke rumah pada hujung minggu. Terpaksalah dia melalui dua hari di Kuala Lumpur seorang diri dan hari ini, dia perlu kembali ke Langkawi untuk bekerja seperti biasa.

Nadia masih merenung cawan di hadapannya. Sudah enam bulan mereka berkahwin, tetapi kadang-kadang dia rasa seperti dirinya masih seorang perempuan bujang yang tinggal bersendirian di rumah.

Nadia menunduk, merenung permukaan meja makan berkilat yang memantulkan bayangan wajahnya sendiri. Dia sedar hubungan mereka suami isteri masih belum terlalu terbuka. Setiap hari dia cuba mencari jawapan, tetapi gagal.

Aku kurang cantik ke? Kurang pandai layan suami? Kurang manja? Atau... sejak awal lagi dia memang tak pernah mahukan aku?

Selama ini, dia cuba menjadi isteri yang memahami, tidak pernah berkira dan tidak pernah mendesak. Cuma, mungkin masih belum cukup dan situasi ini membuatkan dia mula mempersoalkan mengapa Edrian mengahwininya.

"Patut ke aku tanya dia?" desis Nadia sendirian. Bibirnya digigit-gigit lembut. "Ke dia sebenarnya ada orang lain?"

Beberapa saat kemudian, dia menggeleng. Menolak jauh kemungkinan itu daripada fikirannya. Dia yakin Edrian bukan lelaki seperti itu.

Sepanjang mereka mengenali satu sama lain, tidak pernah sekali pun lelaki itu menunjukkan sikap yang boleh membuatkan dia meragui kesetiaannya.

Malah selepas berkahwin, Edrian tetap melayannya seperti biasa sama seperti sebelum mereka berkahwin. Orang ketiga bukan jawapannya. Tetapi jika bukan orang ketiga, apa sebenarnya masalah suaminya?

Sejak malam pertama perkahwinan mereka, ada sesuatu yang tidak berlangsung seperti yang sepatutnya. Nadia pernah cuba memulakan langkah beberapa kali. Edrian membalas, namun dia pasti akan berhenti sebelum sempat pergi jauh. Seperti ada sesuatu yang membuatkan lelaki itu tiba-tiba menarik diri.

Jika ditanya mengapa, ada sahaja alasan yang diberikan. Penat, mengantuk dan stress. Nadia pula sentiasa menerima alasan itu tanpa banyak soal.

Disebabkan perkara itu sudah terlalu sering berlaku, dia mula tertanya-tanya. Adakah suaminya mempunyai masalah kesihatan yang tidak diketahuinya? Yang cuba disorokkan?

Mungkin suaminya malu untuk bercerita. Mungkin juga lelaki itu sedang cuba menyelesaikannya sendiri. Dia tidak pernah berniat untuk menghakimi. Dia cuma mahu Edrian berterus terang dengannya. Itu sahaja. Lagipun, mereka sudah berkahwin. Bukankah suami isteri sepatutnya saling berkongsi suka dan duka?

Nadia memejamkan matanya buat seketika, kemudian dia melepaskan satu lagi keluhan panjang. Keluhan yang kedengaran begitu berat sekali.

"Apa yang kurang pada I, Edrian? Tell me... I akan usahakan," ujarnya seolah-olah lelaki itu ada di hadapannya pada ketika ini.

EDRIAN melangkah masuk ke bilik sambil memandang ke segenap ruang dengan wajah yang tampak letih. Keadaan bilik itu kemas dan tersusun seperti biasa. Seperti bilik itu tidak pernah dihuni.

Langkah kakinya lurus menuju ke katil. Bau minyak wangi masih tertinggal di bilik itu. Wangian yang cukup dikenalinya. Siapa lagi kalau bukan wangian isterinya.

Edrian berhenti seketika di tepi katil sebelum duduk. Pandangannya masih menjelajah ke segenap ruang bilik yang sunyi itu. Entah mengapa bilik itu terasa asing.

Selepas seketika, Edrian mengeluarkan telefonnya dari poket seluar. Agak lama dia memandang skrin tanpa melakukan apa-apa sebelum aplikasi WhatsApp ditekan. Dia sebenarnya nampak mesej isterinya pagi tadi, tetapi dia sengaja tidak membukanya.

"Mungkin aku patut berhenti sebelum keadaan jadi lebih teruk," desisnya sebelum menekan nama Nadia.

Perlahan dia menatal skrin ke atas, membaca semula mesej-mesej yang tidak pernah putus setiap hari, tidak pernah terlepas waktu. Pagi, tengah hari, petang, malam dan sebelum tidur.

Jika dilihat pada ruang sembang itu, hampir sembilan puluh peratus kandungannya adalah mesej daripada Nadia. Sepuluh peratus sahaja datang daripadanya. Itu pun kadang-kadang cuma satu balasan ringkas. Sekadar menjawab apa yang perlu.

Edrian berhenti menatal. Matanya terkunci pada beberapa mesej lama. Sudah enam bulan mereka berkahwin, tetapi Nadia tidak pernah jemu cuba mendekatinya. Cuba menunjukkan perhatiannya walaupun mereka berjauhan, cuba menjadi seorang isteri.

Kadang-kadang makanan dihantar ke pejabatnya melalui perkhidmatan penghantaran dalam talian. Ada kalanya makanan tengah hari. Ada kalanya kopi. Ada juga makanan ringan yang entah bagaimana boleh sampai ke meja kerjanya ketika dia sedang sibuk. Semuanya daripada Nadia.

Beberapa bulan pertama, Nadia cuba memasak walaupun hasilnya tidak selalu menjadi. Ada masanya masakannya hangus, ada masanya tawar dan ada masanya terlalu masin. Namun, wanita itu tetap terus mencuba.

Dia cuba menyediakan apa yang disukai Edrian, cuba mengingati perkara-perkara kecil tentang dirinya, cuba melayan lelaki itu sebaik mungkin.

Edrian nampak. Dia sedar semuanya, tetapi semua yang dilakukan isterinya seolah-olah tidak bermakna. Setiap kali wanita itu memulakan perbualan, dia melayan sekadar perlu.

Dia pernah mencuba, tetapi entah mengapa dia tidak rasa mahu memberi ruang untuk wanita itu. Sampai ke hari ini, dia masih tidak mampu membuka hatinya untuk orang lain. Sama ada ada dia sebenarnya tidak mampu atau tidak rela, dia sendiri tidak pasti.

Edrian meletakkan telefonnya ke atas meja lalu menyandarkan belakangnya pada kepala katil. Tempat perbaringan di sebelahnya dipandang dengan pandangan kosong. Sama seperti cara dia memandang Nadia selama ini.

"Aku tak boleh lamakan perkara ni," gumamnya disusuli keluhan panjang.

Dia penat. Penat dengan perasaan yang tidak pernah berubah. Penat memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang hatinya sendiri menolak.

Mungkin sudah tiba masanya dia berterus terang sebelum hubungan ini menjadi lebih jauh. Sebelum semuanya menjadi lebih sukar untuk dihentikan.

Edrian mencapai semula telefonnya. Skrin masih memaparkan ruang sembang dengan Nadia. Matanya tertancap pada mesej ucapan selamat pagi yang dihantar wanita itu pagi tadi.

Edrian mengetap rahang. Pagi tadi, Nadia masih berada di rumah ini. Menunggunya seperti minggu sebelumnya.

"Haihhh!" Edrian meraup wajah. Dia tahu dia tidak boleh terus mengelak atau melarikan diri.

Kalau dia mahu mengakhiri semua ini, dia perlu bersemuka dengan isterinya secara berdepan. Dia sudah membuat keputusan. Petang ini dia akan terbang ke Langkawi.

SUDAH beberapa jam berlalu sejak Nadia tiba di Langkawi. Dari meja kerjanya yang menghadap terus ke laut, dia termenung memandang beberapa tetamu yang sedang berjalan di sepanjang pantai persendirian resort miliknya.

Ada keluarga yang berkejaran dengan anak-anak, ada yang sedang bergambar, ada juga pasangan yang sekadar duduk bersebelahan di pondok kecil yang tersedia, menikmati pemandangan laut.

Pemandangan yang sama dilihatnya hampir setiap hari, namun entah mengapa hari ini pemandangan itu tidak menenangkan seperti selalu. Mungkin kerana sejak pagi tadi dia terganggu memikirkan tentang suaminya. Tentang rumah tangga mereka yang terasa dingin.

Jangan fikir bukan-bukan, Nad! Nadia segera membuka sebuah fail di hadapannya lalu memaksa dirinya kembali fokus pada kerja.

Sedang hanyut dalam kesibukan kerja, pintu bilik pejabat diketuk. Nadia terus memandang ke arah pintu.

"Selamat petang, bos," sapa seorang wanita yang sedang melangkah menghampiri meja membawa sebuah fail.

Spontan Nadia mencebik. Fail di tangan wanita berpakaian formal di hadapannya itu dipandang sekilas sebelum beralih pada wajahnya.

"Kau tak payah nak boss-boss sangatlah."

"Halah, kau ni. Rilekslah... Dah kau memang bos aku, kan?" Aryana tersenyum kecil sambil menarik kerusi lalu duduk.

Namun, melihat riak wajah Nadia yang kelihatan berbeza pagi ini, senyumannya serta-merta hilang. Wajah wanita di hadapannya itu direnung buat beberapa saat sebelum bersuara semula.

"Kau okey tak ni?"

Nadia segera mengukir senyuman nipis. Senyuman yang lebih kepada cuba meyakinkan bahawa dia baik-baik sahaja.

"Okey je."

"Dengan aku pun kau nak menipu ke? Bukan baru semalam aku kenal kau."

Nadia terdiam. Wajahnya ditundukkan sedikit.

"Papa kau push pasal resort ni lagi ke?" teka Aryana.

Pertanyaan itu membuatkan Nadia mengangkat wajah. "Tak," jawabnya disusuli keluhan pendek. "Bukan pasal papa aku."

Aryana menghela nafas panjang. Dia sudah terlalu lama mengenali Nadia. Sejak zaman sekolah menengah sampai sekarang, mereka sentiasa bersama, berkongsi suka duka. Dia tahu benar jika sahabatnya itu sedang gembira atau bersedih.

"Habis tu... pasal Edrian?"

Nama yang terpacul daripada mulut Aryana membuatkan Nadia sedikit tersentak. Cepat-cepat dia menyelak fail yang terbuka di atas mejanya.

"Banyak sangat fail yang aku kena semak hari ni. Serabut."

"Nad..." Tanpa amaran, Aryana terus menutup fail di hadapan Nadia. Dia tahu wanita itu cuba berdalih. "Aku kenal kau."

Nadia terdiam sejenak sebelum melepaskan keluhan kecil. "Aku tak tahu macam mana nak cakap, Yana."

"Pasal Edrian, kan?" kata Aryana. Bukan pertanyaan, tetapi lebih kepada pernyataan.

Jeda. Beberapa saat berlalu tanpa sebarang bicara sebelum Nadia mengangguk perlahan.

"Dia layan kau teruk ke?"

Nadia menggeleng.

"Nad... aku bukan saja-saja nak menyibuk tentang rumah tangga kau tau. Tapi kau sendiri tahu keadaan mental kau, kan? Aku risau kalau kau pendam masalah seorang-seorang sendirian. Aku tak nak kejadian sama berulang."

"Masalahnya..." Nadia menggigit bibir bawahnya buat beberapa saat sebelum menyambung. "Aku sendiri tak tahu apa masalahnya."

Aryana mengecilkan mata, memandang Nadia dengan keraguan. "Bukan kau tak tahu, tapi kau tak nak bagitahu. Tak apalah. Aku tak paksa. But please... kalau kau ada masalah, tolong jangan pendam. Aku risau."

Nadia membungkam sebelum menghela nafas dalam-dalam. Dia faham mengapa wanita itu terlalu risau.

"Aku rasa dia ada sembunyikan sesuatu daripada akulah, Yana... tapi aku tak pasti apa," ujarnya selepas sejenak.

"Kenapa kau fikir macam tu?"

Aku masih dara, Yana, jerit Nadia. Namun, hanya dalam hati. Dia tidak mahu membuka aib rumah tangganya.

"Mungkin aku je yang overthinking kut." Dia menunduk sambil merenung fail di atas meja sebelum memandang semula wajah Aryana lalu mengukir senyuman nipis.

"Mesti ada sebab, kan?" soal Aryana, cuba menggali kebenaran.

"Sebab kami jarang berjumpa. Masing-masing sibuk, so..."

"So, kau rasa dia ada skandal?" potong Aryana.

Nadia cepat-cepat menggeleng.

"Taklah."

"Habis tu?"

"Entahlah, Yana. Macam yang aku cakap tadi... mungkin aku je yang overthinking." Nadia tersenyum nipis sambil memandang fail di atas riba Aryana. "Kau datang sini bukan nak sembang pasal laki aku, kan?"

Aryana mencebik lalu ketawa kecil. "Ni. Aku nak kau tengok proposal untuk aktiviti resort hujung bulan ni. Aku dah bincang dengan team marketing semalam. Ada beberapa perkara yang aku rasa kita kena ubah sebelum aku bagi final approval."

Nadia mengangguk lalu memeriksa fail yang dihulurkan Aryana sebelum mereka mula berbincang tentang kerja.

Perbincangan mereka selesai selepas hampir setengah jam. Aryana baru hendak bangun dari kerusi ketika telefon Nadia berdering.

Nama yang tertera pada skrin membuatkan riak wajah Nadia terus berubah. Laju dia mencapai telefonnya lalu memandang Aryana.

"Kau pergilah sambung kerja. Aku nak dating sekejap," ujarnya dengan senyuman lebar.

Aryana mencebik lalu bangun dari kerusi. "Banyak cantik punya bos. Mentang-mentang Mr. Hubby dia call, terus halau ya! Yalah... selamat berdating," ujarnya sebelum mengatur langkah menuju ke pintu sambil tersenyum. Lega melihat sahabat kesayangannya itu tersenyum ceria.

Nadia hanya ketawa kecil sambil menggeleng sebelum menekan butang jawab.

"Hello, sayang?"

Suara ceria di hujung talian membuatkan Edrian spontan memejamkan mata sambil mengetap rahang. Panggilan yang sering digunakan oleh isterinya itu membuatkan dadanya terasa sesak.

Dia membuka semula matanya selepas beberapa saat lalu menarik nafas dalam-dalam. "Petang ni I akan terbang ke tempat you."

"What! Really?" Suara Nadia kedengaran teruja. "Pukul berapa? Nanti I pergi jemput you kat airport."

Edrian meraup rambutnya ke belakang sambil melepaskan keluhan halus sebelum menjawab dengan suara datar tanpa emosi.

"Dalam sekitar pukul 5.00 petang."

"Okay! I tunggu."

"Alright," jawab Edrian sepatah.

Tanpa menunggu balasan, dia terus menamatkan panggilan. Agak lama dia merenung skrin telefonnya setelah itu.

"Hari ni, aku akan tamatkan apa yang aku mulakan."

Terima kasih dah baca... (^_^)

Share this novel

EJEN_FORD
2026-09-02 12:06:41 

ngadi ngadi nih Edrian.. sepak jpgi

adeqsha
2026-09-01 13:30:02 

Awal2 i dh sakit hati dgn edrian huhu.. Kalau takde rasa cinta jgn seksa anak org huh… Sis tunjukkan pd edrian sape nadia..jgn terhegeh2 pd lelaki mcm edrian ?

WiNWiN
2026-09-01 13:24:26 

tahniah baby baru. love sgt. goodluck ?❤️


NovelPlus Premium

The best ads free experience