Series
1368
AKU terima nikahnya Nadia Imani binti Razlan dengan mas kahwin seribu ringgit tunai.
Lafaz itu bergema di kepala Edrian berulang kali seperti kaset rosak. Serasa baru beberapa saat lalu lafaz itu diucapkan, padahal majlis akad nikah dan persandingan yang berlangsung di sebuah hotel mewah pagi tadi sudah lama selesai sebelum masuk waktu Maghrib.
Kini, Edrian sudah bergelar suami. Namun, dia tidak merasakan apa-apa langsung daripada perkahwinan itu. Tiada keterujaan dan tiada debaran yang sering diceritakan orang tentang malam pertama pengantin. Yang ada hanyalah keletihan yang mencengkam seluruh tubuh dan sesuatu yang terasa berat dalam hati.
Edrian menghalakan pandangannya ke arah pintu bilik air. Bunyi air pancuran sayup-sayup kedengaran dari dalam. Siapa lagi kalau bukan isterinya yang sedang mandi. Hanya mereka berdua sahaja di rumah banglo dua tingkat itu.
Edrian meraup rambutnya ke belakang sambil melepaskan satu keluhan panjang yang kedengaran begitu berat sekali sebelum menyandarkan belakangnya pada sofa.
Dia cuba menafikan perasaan yang hadir mencengkam dadanya sejak petang tadi. Namun, semakin dia cuba menafikan, semakin kuat rasa itu menghimpit.
Bukankah ini yang sepatutnya dia lakukan? Meneruskan hidup. Mencari seseorang sebagai pengganti. Membuktikan kepada semua orang bahawa dia sudah bangkit dan melupakan wanita yang dua kali tidak memilih dirinya.
Ironinya, apa yang dia rasakan sekarang bukanlah bahagia, bukan juga lega. Sebaliknya, rasa bersalah yang datang bersama kesakitan yang menekan luka lama yang belum benar-benar sembuh.
Dia dan Nadia baru beberapa bulan berkenalan. Tidak pernah bercinta secara rasmi dan tidak pernah mengisytiharkan apa-apa hubungan istimewa.
Namun, ketika ibu bapa Nadia membangkitkan soal perkahwinan sewaktu mereka datang ke resort milik wanita itu, dia terus bersetuju tanpa berfikir panjang.
Nadia pula menerima lamaran itu tanpa bantahan. Baginya, tidak salah jika cinta hadir selepas akad. Dia percaya, perasaan boleh dipupuk selagi ada keikhlasan. Lagipun, sejak awal dia sudah selesa dengan Edrian.
Tidak lama kemudian, pintu bilik air terbuka. Nadia melangkah keluar sambil membetulkan jubah satin berwarna peach yang dipakainya.
Langkahnya terhenti sebaik menyedari Edrian sedang memandangnya. Saat pandangan mereka bertaut, spontan Nadia mengukir senyuman kecil sambil menarik sedikit bahagian hadapan jubahnya, cuba menutup bahagian yang agak terdedah. Segan.
Selama ini, dia tidak pernah memperlihatkan dirinya di hadapan mana-mana lelaki memakai pakaian sebegitu. Gaun malam yang dipakainya tersembunyi kemas di sebalik jubah satin paras lutut yang bersarung kemas di tubuhnya.
Meski lelaki yang berada tidak jauh daripadanya ialah suaminya sendiri, namun status itu masih terlalu baru untuk membuatkan rasa segan itu hilang begitu sahaja.
Dengan wajah yang terasa berbahang, Nadia menundukkan pandangan sebelum memberanikan diri melangkah menghampiri Edrian.
Pada usia dua puluh lapan tahun, Nadia nampak lebih matang berbanding usianya dan memiliki rupa paras yang cantik semula jadi. Cantik yang tidak perlu berusaha keras untuk diserlahkan. Tubuhnya tinggi dan langsing. Kulitnya cerah, manakala rambutnya yang sedikit ikal terurai cantik hingga ke paras dada.
Namun, semua itu seakan-akan tidak wujud di mata Edrian. Pandangannya tetap kosong tanpa sedikit pun riak.
"You pergilah mandi," kata Nadia dengan suara lembut sebaik tiba di hadapan Edrian.
"Okay," balas Edrian sepatah. Kemudian, tanpa banyak bicara, dia terus bangun lalu mengatur langkah menuju ke bilik air.
Nadia terus memerhati sehingga lelaki itu hilang di sebalik pintu dengan senyuman yang masih menghiasi bibirnya.
Sejujurnya, dia sendiri masih sukar mempercayai apa yang berlaku. Beberapa bulan lalu mereka sekadar berkawan. Hubungan mereka tidak terlalu rapat, tapi boleh dikatakan mereka sering keluar makan bersama, berkongsi cerita.
Edrian tidak pernah menunjukkan layanan atau apa-apa reaksi yang berlebihan. Sebab itulah mengapa dia terkejut ketika Edrian tiba-tiba bersetuju hendak mengahwininya.
Dia berharap Edrian akan menjadi insan yang akan terus tinggal di sisinya selepas pemergian arwah datuknya dua tahun lalu. Seseorang yang akan menjaga dan membimbingnya.
Hampir dua puluh minit kemudian, pintu bilik air terbuka. Spontan Nadia mengangkat wajah sambil merapikan jubah satin yang talinya masih terikat kemas di pinggangnya. Jantungnya berdegup laju melihat Edrian melangkah keluar, berdebar memikirkan tentang malam ini.
Riak wajah Edrian masih sama seperti tadi. Tiada senyuman. Tiada emosi. Sukar dibaca. Langkah kakinya segera diayun menuju ke bilik pakaian.
Beberapa minit kemudian dia keluar semula dengan pakaian tidur lalu terus naik ke katil. Dia memandang Nadia sekilas.
"Sorry, I'm really tired," ujarnya dengan suara datar.
"Oh." Nadia mengukir senyuman, tetapi terlihat hambar. Wajah suaminya dipandang, menanti bicara serta tindakan lelaki itu.
"Good night," ucap Edrian lalu memasang lampu tidur menggantikan lampu utama.
Tanpa menunggu balasan, dia terus menarik kain selimut dan membaringkan tubuh membelakangi Nadia.
Nadia terbungkam. Tidak berkedip matanya memandang belakang tubuh suaminya dalam kemalapan cahaya. Beberapa saat kemudian, dia melepaskan satu keluhan halus sebelum bersuara.
"Good night."
Bibirnya diketap buat beberapa saat. Ada sedikit rasa hampa yang menyelinap ke dalam hati kerana malam ini sepatutnya menjadi malam pertama mereka, namun dia segera menepis perasaan itu.
Memandangkan dia sudah biasa menguruskan aktiviti dan program-program besar di pusat peranginannya dari siang sampai ke malam, kepenatan hari ini bukanlah sesuatu yang luar biasa baginya.
Tetapi mungkin suaminya benar-benar penat. Lagipun sejak pagi tadi mereka tidak berhenti bergerak. Dari upacara akad nikah, persandingan dan melayan tetamu yang tidak putus-putus datang mengucapkan tahniah serta memberikan hadiah.
Nadia terus membaringkan tubuhnya pada posisi menelentang memandang siling buat sejenak sebelum menoleh ke samping, memandang belakang suaminya.
Senyap. Sunyi. Entah lelaki itu sudah tidur atau belum.
Penat sangatlah tu. Nadia menghela nafas pendek. Dia fikir, mungkin itu sahaja sebabnya. Mungkin esok semuanya akan baik-baik sahaja.
Dengan harapan itu, Nadia memejamkan mata. Dia langsung tidak mengetahui bahawa malam pertama yang disangkanya sekadar tertangguh itu sebenarnya permulaan kepada sebuah perkahwinan yang akan menguji hati mereka di atas garis takdir yang tidak pernah mereka pilih.
Share this novel
wahhhhhh sisku ada baru lh..bru nmk notify sya..?????...Ehhh Edrian & Nadia??
Yes, edrian yg frust dgn ika & nadia yg tak sempat sangkut dgn ammar ?
im back.. btw cam kenal nama kedua watak tu.. maybe min belum move on dari watak sebelum ni