Series
1138
Malam suram. Awan perlahan-lahan bergerak berlatarkan langit gelap. Angin begitu sejuk. Bunyi ngauman serigala memecah hening sunyi. Bunyi geseran kaki pada daun-daun yang berselerakan kedengaran. Kelihatan darah menitik-nitik mengikuti jejak gadis yang kesakitan.
Pada malam itu, tidak pernah terfikir dek akal bahawa wajahnya yang cantik itu akan menjadi masalah dalam hidupnya. Ia akan menjadi pembawa malang untuk keseluruhan masa hadapannya. Dia buntu.
Wajahnya kini hodoh. Buruk. Dia rasa jijik!
Rambutnya yang perang terus bertukar menjadi perang kehitaman. Pipinya mula berkedut dan mengeluarkan bulu-bulu binatang berwarna coklat cair yang sangat tebal. Matanya membulat. Nampak menyedihkan. Dia mengelap air matanya kasar. Hatinya susah hati. Refleksi pada kelopak air itu ditenungnya lama. batu kecil yang berhampiran diambil dan dibalingnya kuat. Dia geram.
Bagaimana semua ini boleh berlaku? Apa yang harus dia lakukan untuk menghilangkan wajahnya yang teruk ini?
“Ah! Bangsat! Perempuan keji tu masih berkeliaran dekat sini! Ini kawasan aku! Kenapa dia lalu sini? Semua orang takut tengok muka dia. Kenapa… kenapa dia tak mati je! Cis! Kalau aku jumpa dia lagi, memang mati bedebah tu!”
“Sabar Mat. Malam masih panjang. Kita cari dia sampai dapat!”
Orang kampung mula mencari kelibat Irene yang kehilangan. Mereka menyesal kerana tidak segera menangkap haiwan jadian berkaki dua itu. Mereka tidak takut. Apa yang mereka mahukan ketenteraman. Mereka benci mendengar bayi dan anak kecil menangis ketakutan. Mereka sanggup untuk buat apa sahaja.
Irene masih tidak berganjak. Nafasnya ditahan. Dada terasa sesak. Dia rasa nak mati.
***
Kai merenung Irene yang sedang leka masak di dapur. Entah kenapa masakannya pada tengah hari ini terasa busuk. Dia muak. Entah kenapa wajah isterinya yang cantik itu terasa seperti disihir? Tiada perubahan. Sudah 15 tahun mereka berkahwin, kini tiada lagi kata sayang, ciuman pada waktu pagi, tiada lagi pelukan saat Irene sibuk membuat kerja.
“Abang! Makanlah dulu.”
“Huh! Aku tak lapar.” Kasar Kai membalas. Jujurnya, Irene tidak merasakan pelik dengan kelakuan suaminya. Sudah dua tahun mereka tidak bersama. Kalaulah bukan kerana harta yang dimiliki Irene, pasti Kai sudah meninggalkannya. Membiarkan dia hidup keseorangan. Tapi apakan daya. Dia juga menggunakan Kai sebagai alasan.
Sebagai seorang isteri, eloklah tiada tetamu yang akan bertandang pada waktu malam. Maka, terjagalah rahsianya buat seketika. Malah, Kai juga selalu tiada di rumah. Dia patutnya bersyukur dengan perubahan ini. Walaupun ia menyedihkan dan dia terasa sunyi, mungkin ini yang lebih baik.
Wajah Kai juga sebenarnya amat tampan. Matanya berwarna coklat cair. Tubuhnya tinggi dan tegap. Perwatakannya yang dibawa di luar rumah sentiasa nampak segak.
“Abang, minumlah air dulu ya.” Irene merapati lalu menghulurkan gelas kaca itu.
Pang! Cawan kaca itu dicampaknya daripada tangan Irene.
“Tak faham bahasa? Aku tak akan minum daripada air tangan kau. Dah la irene. Tak payah masak untuk aku. Kau makan la sendiri. Ehem… aku macam biasa akan balik lambat. Kau jangan nak keluar malam dan malukan aku. Kau faham!”
Irene mengangguk perlahan. Dia tertunduk menahan tangisan daripada menitik jatuh. Gambar suaminya bercumbu dengan seorang perempuan masih terngiang-ngiang melukakan hatinya. Tapi dia tidak terdaya untuk melawan suaminya itu.
“Abang, Irene nak keluar lepas makan. Irene minta izin dulu.”
“Lantakla kau nak buat apa! Dah! Menyusahkan aku. Kutip kaca ni sampai bersih. Kalau aku terpijak kaca ni balik nanti, siapla kau!”
Irene melihat Kai memasuki kereta di perkarangan rumah. Langsir itu disingkap sedikit. Apabila kelibat suaminya hilang dia segera mengemas kaca yang berselerakan. Dia memandang tumit kakinya yang perlahan-lahan mula sembuh. Darah serta merta berhenti. Entah kenapa dia diilhamkan tenaga sembuh yang cukup sempurna. Walaupun lukanya besar sekali pun, ia akan mengecil dan mengecut dalam masa lima minit.
****
Doktor Dylan mengelap peluh. Penatnya terasa membebankan. Dia mengambil gunting lalu menggunting benang yang terjahit di lengan pesakitnya.
“Dah… awak, saya dah habis dah jahit. Tak yah nangis dah ya? Mila, tolong saya balut luka ni ya. Pastikan sapu sedikit krim antibacterial. Saya nak masuk bilik dan siapkan ubat yang lain.” Dylan memujuk pesakitnya yang daripada tadi tak berhenti menangis kesakitan. Mila, pembantu klinik segera mendapatkan barang untuk meneruskan rawatan.
“Baiklah Dr. Dylan. Pesakit dekat luar tu beratur panjang. Saya syak semuanya nak jumpa dr sahaja. Dr kan ramai peminat. Kacak pulak tu.”
“Sudah. Sudah, Mila. Nanti saya potong gaji kang.”
Dylan bergerak ke sinki lalu membasuh tangannya yang berlumuran darah.
“Ops! Baiklah! Saya tak sanggup kerja tempat lain. Mana dr dylan ada, Mila pasti ada!”
Mereka ketawa bersahaja. Biasalah Mila. Dia membawa seri pada klinik yang muram dengan masalah pesakit. Geli hati juga melihat gelagat Mila.
Di luar klinik, Irene kaget melihat orang ramai beratur untuk berjumpa dr. Dylan. Patutkah dia masuk sekarang? Apa yang dia perlu buat? Irene terasa sangat tertekan. Walaupun sudah hampir dua tahun dia tidak bersama suaminya atas dasar rela, ada jugak sekali itu dia merelakan saat suaminya balik rumah dalam keadaan mabuk. Kini, sudah tiga bulan dia tidak datang haid.
“Er, doktor perempuan ada tak?” Irene menggagahkan diri untuk bertanya di kaunter. Mila terus senyum dan memberitahu hanya ada dr lelaki sahaja. Manakan tidak. Setiap masa pesakit yang datang hanya mahukan dr dylan. Belum ada lagi yang meminta doktor perempuan.
“Maaf ya.”
“Tak apalah. Saya bersetuju untuk berjumpa dengan dr hari ni. Boleh bagi nombor giliran?”
“Oh, boleh! Dudukla dulu ya.”
Irene bergerak ke kerusi. Orang ramai sibuk membisik dengan mengatakan gadis yang memakai dress putih panjang ini nampak sangat cantik. Rambutnya panjang ke pinggang. Irasnya bak bidadari.
Irene membiarkan orang ramai berbicara. Dia mahu mententeramkan dirinya yang berkecelaruan. Hatinya berkecamuk memikirkan dia akan keseorangan menjaga anak ini. Jika benar, dia hamil.
Perut Irene digosok-gosok perlahan. Mata memerhati kelihatan tersenyum riang. “Tahniah. Awak mengandung ke? Pasti anak ni cantik macam mak dia.”
Cantik? Adakah itu sumpahan untuk dirinya? Adakah anak ini akan menjadi gadis jadian sepertinya? Atau dia akan menjadi gadis biasa berkahwin dengan orang yang menyayanginya?
“Masuk. Irene. Sila masuk bilik 2 untuk berjumpa dengan Dr. Dylan.”
Irene segera bangkit lalu menapak memasuki bilik. Adakah takdir ingin menyebelahinya hari ini? Adakah dia akan mendapat seorang cahaya mata hasil dengan persetubuhan suami yang tidak mencintainya? Atau mungkinkah dengan adanya janin yang baru tumbuh ini, perasaan cinta akan berputik semula? Tuhan, sebarkanlah kasih sayang kepada aku dan anakku ini. Aku tahu, aku dapat rasakan ada sesuatu di dalam perutku ini. Yang menginginkan cinta aku dan cinta ayahnya.
Share this novel