Bahagian 1

Mystery & Detective Series 459

"Saya gerak dulu, mak!"

Aku menoleh lalu tersenyum melihat anak gadisku yang berusia 16 tahun terkocoh-kocoh menuruni tangga sambil menggalas beg sekolahnya dan memeluk dua buah buku di dada. Rambut panjangnya yang diikat pony-tail beralun-alun mengikut pergerakan badannya itu. Wajahnya nampak manis sekali dengan sedikit solekan tipis yang sesuai ke sekolah.

Memang aku sengaja mengajar anakku bersolek sedikit supaya wajahnya tampak manis dan berseri. Ibu tuaku yang telah meninggal dunia lima tahun lalu pun pernah berkata perempuan yang tidak kaya seperti kami, sekurang-kurangnya perlu nampak yakin, ceria dan berdikari dengan solekan. Aku yakin dengan penampilanku sekarang membolehkan keluarga kami berdiri dan hidup seperti sekarang.

Anakku memeluk tubuhku sejenak dan aku mengambil peluang mengucup pipinya. Entah sampai bila agaknya aku dapat memeluk anakku ini, aku pun tak tahu.

"Hati-hati, sayang. Lepas sekolah, singgah kedai dulu tau. Mak nak kamu cuba menu baru hari ni." Aku melaung dari muka pintu.

Dia mengangguk. "Saya nak makan tembikai yang mak simpan dalam peti ais kedai semalam juga, tau!"

Aku mengiyakan dan melambai sambil memerhatikan sosok tubuhnya yang semakin hilang dari pandangan. Selepas itu aku masuk semula ke dalam rumah dan melihat wajahku di cermin. Walaupun dalam usia pertengahan 40-an, aku masih sama seperti wanita muda yang suka dengan solekan, perhiasan dan pakaian-pakaian yang bergaya. Garis-garis kedutan halus sudah kelihatan di tepi mata dan hidungku, lalu aku cepat-cepat menepuk wajahku dengan krim muka dan mengenakan gincu merah muda yang terang di bibir.

Aku mengambil beg tanganku dari atas meja dan terus melangkah keluar dari rumah. Selepas mengunci pintu rumah dengan baik, aku berjalan menuju ke kedai makan kepunyaanku yang terletak selang tiga blok dari rumah.

Jam menunjukkan hampir pukul 7.30 pagi. Sebelum pukul 8 nanti, pekerja dari pasaraya Mentari yang terletak di hujung jalan akan datang untuk menghantar daging beku ke kedai. Hari ini hari pertama aku akan menghidangkan hidangan baru yang tidak ada dalam menu di kedai setelah beberapa kali cubaan memasak sejak seminggu lalu.

Aku mengukir senyuman kepada orang yang lalu-lalang. Biar semua orang tahu betapa baik dan ramah-tamahnya aku di kawasan ini. Mungkin pelanggan kedai akan lebih mengenali aku sebagai tuan kedai makan paling hujung yang rupawan dan baik hati, kan?

Kedai makan kecilku terletak di sebuah jalan kecil yang kurang sibuk tetapi masih dikunjungi pelanggan terutamanya pekerja-pekerja pejabat berhampiran. Dinding bangunan kedai dicat dengan warna biru muda, warna kegemaran anakku dan pintu kayu yang besar berwarna coklat gelap. Jendela kedai ditutup dengan cermin dan dipasang langsir dari dalam supaya nampak lebih seperti sebuah rumah kecil. Di luar kedai, sengaja aku hiaskan dengan pokok-pokok hijau dan bunga-bunga kecil walaupun aku sebenarnya bukanlah penggemar tumbuh-tumbuhan sangat.

"Puan Anita!" Tegur seseorang dari belakang.

Aku tersenyum kepada seorang lelaki berbadan gempal yang baru hendak melangkah keluar dari sebuah lori sejuk beku kecil berwarna putih di hadapan kedaiku. Dia kelihatan tersipu-sipu apabila aku mengenyitkan mata ke arahnya sebelum tergopoh-gapah mengeluarkan sebuah kotak polisterin bertutup dari ruang beku di belakang lori itu dan berjalan ke arahku.

"Kau ni.. berapa kali aku pesan jangan panggil aku puan. Panggil Anita saja."

Lelaki gempal itu tersipu-sipu lagi sambil tersengih. Wajahnya merah walaupun cuaca pagi ini tidaklah panas.

"Saya tolong Anita bawa masuk daging ni ke dalam ya. Berat ni."

Aku mengangguk berpuas hati. Banyak kelebihan kalau pandai bercakap manis dengan lelaki sebenarnya. Aku membuka kunci pintu kedai dan mengajaknya masuk sehingga dia akhirnya meletakkan kotak polisterin itu di atas sinki di dapur.

"Terima kasih banyak-banyak ya, Gary." Ucapku sambil membentuk-bentuk bibirku cuba untuk kelihatan lebih seksi dan manis.

Dia tersengih-sengih lagi sambil berjalan ke pintu. Aku harap dia cepat-cepat keluar kerana aku perlu segera bersiap-sedia untuk penyediaan bahan masakan. Kedai makan ini akan mula dibuka pukul 10.00 pagi.

Dia menyerahkan sekeping resit pembelian lalu aku menyimpan ke dalam poket seluar selepas memeriksa jumlah harga yang aku bayar.

Selepas Gary meninggalkan kedai, aku menutup pintu rapat tanpa menguncinya. Mataku memandang sekeliling kedai kecilku dengan hati yang puas. Bukan mudah untuk aku memiliki kedai ini walaupun saiznya kecil dan hanya mampu memuatkan empat buah meja untuk dua orang. Kedai ini hanya boleh menempatkan lapan orang pelanggan dalam satu-satu masa sahaja. Kalau mereka berbadan gempal, sempit sikitlah jadinya.

Hiasan dalaman kedai agak ringkas dengan warna biru muda seperti warna langit ketika cuaca cerah. Dapur di belakang juga bersaiz kecil dan terbuka. Pelanggan dapat melihat orang di dapur, sebab itulah aku suka memasak makanan lebih awal sebelum kedai dibuka dan cuma panaskan makanan saja bila ada pesanan.

Aku memandang tepat ke sekeping gambar yang tergantung di dinding berhampiran dapur. Gambar itu diambil dua tahun lepas semasa aku dan anakku berkelah di tepi tasik pada waktu senja berlatarbelakangkan bukit dan tasik yang berwarna keemasan disimbah cahaya matahari yang semakin tenggelam di sebalik bukit.

Entah bila boleh berkelah lagi agaknya?

Aku mula menghidupkan pendingin hawa, mengelap meja dan menyapu lantai sebelum mula masuk ke dapur. Aku membuka penutup kotak polisterin di atas sinki dan tersenyum melihat sepuluh ketul daging beku tersusun kemas di dalam kotak.

Baru saja aku mahu mengeluarkan daging, pintu kedai dibuka.

"Maaf ya, kedai belum buka lagi." Kataku pantas sambil menoleh tetapi senyuman ramah terus hilang dari wajah apabila sosok tubuh seorang lelaki yang aku kenali sedang berdiri di hadapan pintu.

"Kenapa kau datang? A..apa kau nak?"

Lelaki itu berjalan lima langkah dan terus sampai ke dapur sambil tersenyum. Senyuman itu yang paling aku resahkan dari dulu sebab lelaki ini bukannya datang sebagai pelanggan. Dia pasti ada agenda lain.

"Anita sayang, macam ni ke kau sambut pelanggan? Patutlah kedai kecil kau ni tak ramai orang nak datang makan." Lelaki itu berkata sambil ketawa.

Di wajahnya kelihatan parut yang samar, matanya berwarna coklat gelap dengan pandangan yang sinis dan dia mempunyai rambut hitam yang sedikit beruban dan disikat rapi di tepi. Hari ini lelaki itu memakai baju kemeja kelabu gelap dan kasut kulit berwarna hitam.

"Apa kau nak? Aku dah bayar duit yang kau minta minggu lepas. Kenapa kau datang lagi?" Aku menyoal dengan cemas.

Lelaki itu ketawa kecil. "Aku datang nak bersembang dengan kau."

Tangannya mula menyentuh hujung rambutku namun aku sempat berundur. Aku tahu niat sebenar lelaki ini datang ke sini. Aku tahu dia sudah beberapa kali memeras ugut pekedai-pekedai di kawasan ini untuk mendapatkan apa yang dia mahu. Malah, aku juga pernah menjadi mangsanya kerana aku tidak mahu dia terus mengganggu perniagaan di kedai.

"Aku sibuk. Aku kena masak sekarang."

Lelaki itu tersenyum lagi. "Kau tak mahu hidangkan air untuk aku?"

Aku tahu lelaki ini sengaja mencari alasan untuk berada lebih lama di sini tapi aku bukannya bodoh untuk bergaduh atau menghalau lelaki yang dikenali sebagai samseng paling kejam di kawasan ini. Semua pekedai di kawasan ini memang sudah kenal dengan lelaki bernama Jiro ini.

Dengan hati yang berat, aku berlalu ke dapur dan mengambil sebotol minuman keras dan sebiji gelas. Aku menuang minuman itu ke dalam gelas dan meletakkanya di atas sebuah meja pelanggan. Jiro duduk di kerusi dan mula meneguk minuman keras itu sehingga tinggal setengah gelas dan meletakkannya kembali di atas meja.

"Kalau kau dah selesai, sila keluar sekarang. Aku perlu masak." Kataku dengan nada mendatar cuba menyembunyikan rasa resah dalam hati. Aku berundur ke dapur dan berdiri tegak di tepi sinki.

Aku melihat matanya menjeling ke arah gambar yang tergantung di dinding dan hatiku mulai berasa tidak sedap. Sejenak kemudian dia mengukir senyuman dan menjilat bibirnya. Lelaki itu mula bangkit dari kerusi dan berjalan menghampiri gambar itu.

"Cantik juga anak kau ni, Anita. Siapa namanya? Amilia?"

Aku diam tidak menjawab. Apa yang lelaki tak guna ni sedang fikirkan?

"Cantik macam ibunya. Agak-agak macam mana agaknya kalau muka secantik ni ada di depan aku sekarang."

Darahku mula menyirap sehingga ke muka. Kurang ajar lelaki ni bercakap begitu tentang anakku. Berfikiran kotor pula!

"Ah, aku pernah rasa badan ibunya, mungkin lepas ni aku boleh rasa anaknya pula."

Sebaik tutur kata itu dihamburkan, pandangan mataku berpinar. Wajahku menjadi panas menahan kemarahan yang amat sangat. Celaka betul lelaki ni! Aku sudah tidak dapat berfikir dengan rational.

Tanpa disedari tanganku mencapai seketul daging beku dari dalam kotak polisterin. Sejuk daging itu sudah tidak dapat aku rasai di tangan walaupun aku menggenggamnya dengan kuat.

Aku melihat Jiro mula mengusap gambar muka anakku dan perlahan-lahan jarinya turun sehingga ke dada anakku. Kali ini kemarahan sudah tidak dapat dibendung lagi, lalu aku menghampiri lelaki itu lalu mengangkat ketulan daging itu setinggi yang mungkin sebelum aku menghentak tepat ke kepalanya.

Jiro rebah ke lantai namun masih sedar. Aku melihat dia mengaduh kesakitan dan mula menyumpah dan sebelum sempat dia bangun, aku duduk di atas badannya lalu menghentakkan daging beku itu beberapa kali tepat ke kepalanya sekuat mungkin sambil mulutku terkumat-kamit.

"Celaka kau! Berani kau cakap macam tu tentang anak aku!"

"Kau boleh buat apa saja pada aku tapi jangan kau berani buat pada anak aku!"

Darah merah dari kepalanya mula mengalir membasahi lantai dan dia juga terkulai tidak sedarkan diri. Aku tidak sedar berapa lama aku menghentak kepalanya tapi yang aku pasti, selepas melihat tempurung kepalanya yang hampir pecah dan darah pekat mula membasahi lantai, aku terus berhenti.

"Ji...Jiro?" Aku memanggil terketar-ketar dan terus berdiri.

Aku tahu dia sudah putus nafas apabila badannya tidak bergerak lagi.

Nafasku menjadi berat dan termengah-mengah. Daging beku di tangan, aku lemparkan ke lantai lalu aku mulai panik.

Aku dah bunuh orang!

Aku dah bunuh Jiro!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience