Rate

Bahagian 3 : Conclusion

Mystery & Detective Series 433

Mataku tidak berkelip memandang ke arah Rosie yang kelihatan serius itu. Tidak ada apa-apa tanda yang gadis muda itu sedang bergurau dengan bapanya. Seketika kemudian aku memandang ke arah si ayah yang juga kelihatan tercengang.

"Apa kau cakap ni?" Si ayah menyoal.

Rosie memandang ke arahku. "Ada pembunuhan yang baru berlaku di sini. Kemungkinan besar mayat masih ada di satu tempat dalam kedai ni."

Aku ketawa kecil. "Pandai kamu bergurau, sayang."

Aku cuba menyembunyikan resahku melalui tawa. Ya, aku tak boleh over-react sekarang. Aku akan lebih dicurigai. Tapi kata-kata budak ini tak ada asasnya, bukan? Aku dah mengelap habis kesan darah di dalam kedai. Mayat Jiro dalam peti ais pun tak mungkin dia akan nampak dari ruang depan kedai.

"Kau jangan nak malukan ayah, Rosie." Si ayah berbisik dengan nada perlahan.

Rosie menghela nafasnya, namun matanya masih tetap memandangku tanpa berkelip. "Betul ke kami berdua ni pelanggan pertama hari ni?"

Kali ini aku mulai panik. Apa maksud dia bertanya begitu?

"Ya, kan saya dah kata tadi. Kalau kamu nak cakap yang bukan-bukan, lebih baik keluar dari kedai aku sekarang!" Aku naik berang. Berang bukan kerana dituduh, tapi kerana aku risau budak ini nampak apa yang aku sembunyikan.

"Selain dari kami berdua dan mungkin orang dari Pasaraya Mentari, ada orang lain yang datang ke kedai ni dan dia masih ada di sini. Betul, kan?"

"Pasaraya Mentari?" Aku terkejut. Tekaannya kian mengena dan tak mungkin ini ialah kebetulan.

"Mak cik kata daging yang ayah saya makan tadi daging segar yang baru dihantar pagi ni, bukan? Resit yang jatuh tadi bertarikh hari ni dari Pasaraya Mentari. Kedai tu hantar sepuluh ketul daging pagi tadi."

Jadi budak ni ternampak resit daging yang jatuh tadi rupanya. Tapi bagaimana dia boleh tahu ada orang lain datang selain untuk menghantar daging?

Aku melihat wajah si ayah yang agak keliru. "Mungkin betullah daging steak tadi dihantar pagi tadi macam apa yang dia cakap. Tapi apa kaitannya dengan pembunuhan? Dan apa kaitannya dengan pelanggan pertama?" Si ayah menyoal.

Aku melihat Rosie melemparkan pandangan ke arah sesuatu di atas sebuah meja. Jantungku hampir terhenti apabila melihat separuh botol minuman keras bersama sebiji gelas separuh penuh di atas meja itu yang aku terlupa hendak kemaskan selepas Jiro minum tadi. Ah, kesan cap jari lelaki itu pasti ada di gelas atau botol itu. Tapi, bagaimana...

"Ada seseorang datang dan minum dari gelas tu sebab ada kesan mulut seseorang di tepi gelas. Tak mungkin pekerja dari Pasaraya Mentari datang minum minuman keras pada waktu siang hari semasa bekerja membuat penghantaran dan memandu kenderaan. Jadi mesti ada orang lain yang minum." Dia menyambung.

"Mak cik juga bersungguh-sungguh cakap kami berdua ialah pelanggan pertama hari ni sebabnya mak cik tidak mahu kami atau sesiapa pun tahu ada orang lain datang sebelum kami. Kalau orang yang datang tu cuma orang yang mak cik nak rahsiakan identitinya contohnya seperti kekasih rahsia, mak cik tak perlu pun berdalih dan menipu. Mak cik masih boleh cakap yang ada pelanggan lain datang sebelum kami untuk minum minuman ni. Tapi makcik terpaksa berbohong sebab orang yang datang lebih awal tu masih berada dalam kedai ni dan tak dapat keluar lagi."

Aku pantas menghampiri gelas itu dan mengambilnya. Aku perlu fikirkan sesuatu sebelum budak ini bercakap benda lain yang lebih menimbulkan syak wasangka.

"Saya yang minum tadi. Saya cuma terlupa nak kemas." Kataku sambil ketawa kecil dan dengan spontan meletakkan gelas ke bibirku dan meneguk air itu sedikit sambil cuba berjalan ke dapur. "Sekarang ni kalau kamu nak terus cakap yang bukan-bukan, keluar dari kedai saya."

Seulas senyuman di wajah Rosie membuatkan aku semakin gementar. Wajahnya memang kelihatan manis tapi ada riak yang menakutkan dari senyuman itu.

"Cantik warna gincu mak cik." Katanya. "Tapi sayangnya, saya dah tahu mak cik tetap berbohong sebab saya tak nampak kesan gincu tu di gelas sebelum mak cik minum tadi. Sekarang baru ada." Dia menuding jari pada kesan merah jambu dari tempat aku meletakkan bibir di gelas tadi.

Aku memandang gelas di tangan dan kata-katanya memang betul. Sudah tentu kesan gincu merah jambu yang aku pakai pagi tadi baru saja ada di gelas sebab bukan aku yang minum dari gelas ni pagi tadi.

"Rosie, apa kau nak cakap ni? Ada mayat dalam kedai ni? Macam mana kau tahu? Apa buktinya?" Si ayah bertanya dengan lembut.

"Ya, apa buktinya? Kau jangan cakap sembarangan. Jangan ingat kau budak-budak, aku takkan ambil tindakan apa-apa." Aku hampir menjerit.

Rosie memandang ke arah ayahnya sekilas lalu kembali memandangku.

"Tadi mak cik kata makcik pergi ke Tasik Berryl dengan anak makcik untuk berkelah kan? Mak cik ambil gambar tu pada waktu matahari terbenam." Dia mengerling ke arah gambar yang tergantung di dinding.

"Apa yang kau nak cakap ni? Apa kaitannya?" Aku membentak tidak faham. Budak perempuan ni sedang mempermainkan aku kah?

Aku menoleh memandang gambar itu dengan satu perasaan tidak puas hati dan pada masa itu, jantungku hampir terhenti untuk kali yang kedua apabila melihat sesuatu yang tidak ada pada gambar itu sebelum ini. Wajahku pucat, ditoreh pisau pasti tidak akan berdarah. Kakiku lemah sehingga aku terpaksa memegang meja untuk mengstabilkan badanku.

"Kenapa dengan gambar tu, Rosie?" si ayah menyoal. Ah, rupanya dia masih tidak mengerti.

"Ayah cakap matahari bulat di gambar tu nampak cantik, bukan? Cuba ayah ingat balik bagaimana ayah pernah lukis pemandangan matahari terbenam dalam kelas seni. Kalau gambar ni diambil pada waktu matahari terbenam dan berlatarbelakangkan bukit-bukau, tak mungkin kita akan nampak matahari berbentuk bulat. Matahari sepatutnya dah turun di sebalik bukit."

Aku melihat wajah si ayah berubah lalu dia pantas menghampiri gambar itu. Tangannya mula menyentuh kawasan 'matahari bulat' dan aku dapat melihat sedikit warna merah dari 'matahari bulat' itu berpindah ke jarinya.

"Ini darah?" Si ayah bertanya.

Percikan darah Jiro melekat di gambar itu dan aku sendiri pun tidak menyedarinya. Aku hanya fokus membersihkan kesan yang aku nampak di dinding dan lantai sahaja tadi.

"Kesan darah tu masih basah dan melekit dan sudah tentu pembunuhan tu baru saja berlaku. Saya rasa mangsa telah dibunuh semasa dia sedang melihat gambar tu. Mungkin selepas dia minum air di meja tadi."

Si ayah mula memandangku dengan serius. "Puan, darah siapa ni?"

Aku terdiam, tidak dapat melontarkan sepatah kata pun. Aku rasa pada waktu ni lebih baik aku tutup mulut saja.

Si ayah berjalan menghampiriku. "Darah siapa ni? Mana orangnya?" Dia bersuara dengan tegas.

"Saya tahu di mana." Rosie menjawab dan pada masa itu matanya memandang ke arah peti ais di dapur.

"Peti ais?" Si ayah menyoal.

"Mak cik kata pintu peti ais ni dah rosak untuk beberapa hari maksudnya suis peti ais sepatutnya dah dimatikan. Tapi mak cik masih beli sepuluh ketul daging beku, bilangan yang agak banyak untuk kedai makan sekecil ini. Mestilah mak cik perlu simpan daging dalam peti ais, bukan? Maksudnya peti ais tu sebenarnya tak rosak pun tapi ada sesuatu yang besar dalam peti ais tu yang buat pintu peti ais tak dapat ditutup rapat."

Si ayah pantas menghampiri peti ais lalu membukanya. Dari raut wajahnya, aku tahu dia terkejut besar apabila melihat mayat Jiro di situ. Aku tahu sudah tidak ada gunanya aku berdalih lagi. Aku sudah tertangkap.

"Jadi... jadi bagaimana dia dibunuh? Kepalanya berdarah teruk. Kau hentak kepala dia dengan apa?" Si ayah menyoal tergesa-gesa. Dia berpusing-pusing tercari-cari senjata yang aku gunakan untuk membunuh Jiro.

"Ayah..." Rosie memanggil. "Saya rasa saya tahu senjata apa yang digunakan."

Si ayah menoleh memandang anaknya.

"Daging beku." Dia menjawab teragak-agak. "Besar kemungkinan daging steak yang ayah makan tadi."

"Apa?"

"Di dapur ada pisau tapi tak digunakan. Kesan percikan darah juga tinggi sampai ke dinding, maksudnya dia dibunuh dengan hentakan di kepala. Kemungkinan si mati datang ke kedai semasa mak cik tuan kedai ni sedang menguruskan daging beku yang dia baru terima dari pasaraya. Jadi tak mustahil dia akan guna benda keras yang dia boleh nampak depan mata dan pada pendapat saya adalah daging beku tu. Satu-satunya cara nak hapuskan bukti supaya polis tak jumpa senjata pembunuhan ialah dengan cara memasaknya dan makan."

Aku lihat si ayah sudah kelihatan mual memikirkan dia telah makan daging yang digunakan untuk membunuh orang.

"Tapi... tapi ni cuma pendapat saya saja. Polis lebih pandai buat siasatan. Mungkin saya tersilap." Rosie kelam-kabut menambah membuatkan aku tersenyum sedikit. Budak perempuan ini memang bijak.

Beberapa orang anggota polis tiba tidak lama kemudian. Mayat Jiro dikeluarkan dari peti ais dan disimpan dalam beg mayat sebelum diusung keluar dari kedai. Tanganku digari oleh seorang anggota polis wanita yang bersiap sedia membawaku ke keretanya.

"Rosie." Aku memanggil kerana aku masih perlu bertanya. "Kamu memang tahu dari mula ada mayat dalam peti ais tu?"

Rosie menggeleng. "Saya cuma tahu mak cik berbohong tentang kami pelanggan pertama di kedai hari ni. Saya tak syak langsung ada mayat dalam kedai. Saya percaya bila mak cik kata pintu peti ais tu rosak. Masa saya nampak kesan darah di gambar pun, masih tak terlintas dalam fikiran saya. Saya cuma fikir gambar tu ada kesan cat atau kotor."

"Jadi bila?"

"Bila saya makan tembikai yang manis dan sejuk tu, baru semuanya masuk akal." Dia menjawab dengan tenang.

Akhirnya aku mengangguk tanda faham. "Tembikai tu sejuk sebab ianya baru dikeluarkan dari peti ais untuk mak cik sembunyikan mayat Jiro."

Aku menundukkan wajahku apabila dibawa untuk menaiki kereta polis di luar kedai. Aku melihat pekedai-pekedai di kawasan sekeliling telah berkumpul dan masing-masing sedang berbisik-bisik sesama sendiri. Gary juga sedang memerhatikanku dari jauh dengan wajah yang tertanya-tanya dan aku tidak mahu membalas pandangannya.

Sebelum aku masuk ke dalam kereta, aku terpandang anakku yang sedang menangis tidak jauh dari kedai kami sambil ditenangkan oleh seorang anggota polis muda. Dia meronta-ronta mahu mendekatiku walaupun tidak dibenarkan. Suaranya kedengaran sayu menjerit memanggilku.

Semoga kau hidup baik-baik dan tidak ikut jejak hidup dan kesilapan ibumu, wahai anakku, Amilia.

Projek murder mystery saya yang pertama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience