Rate

Bahagian 2

Mystery & Detective Series 433

Aku kemudian terduduk di lantai dengan lemah. Mataku tidak lekang dari merenung tubuh Jiro yang terlentang tidak bernyawa. Jantungku berdetak kencang dan tangan dan kakiku menggeletar hebat.

"Apa aku dah buat..."

"Ji..Jiro dan mati..."

"Hahahaaaa... dah mati."

"Tak... aku tak salah. Dia yang jahat. Dia patut mati!"

Seperti orang hilang akal, aku bertutur sendiri cuba menidakkan dosa yang telah aku lakukan. Aku menarik nafas panjang cuba menenangkan hati yang masih berdegup laju. Aku memandang sekeliling dan mataku terbuntang luas melihat kesan percikan darah di dinding dan di atas lantai. Aku perlu bersihkan kedai ni cepat.

Mayat Jiro... aku perlu buang mayat Jiro.

Aku mengumpul segala kekuatan dan walaupun kakiku masih lemah dan menggeletar, aku akhirnya dapat berdiri dengan baik. Aku menarik nafas lalu menghampiri mayat Jiro perlahan-lahan. Memang kepalanya sudah pecah nampaknya kerana dihentak dengan daging beku tadi. Aku menelan air liur dengan rasa gerun.

Aku menarik kaki Jiro ke ruang dapur dan menyandarkannnya di tepi peti ais. Termengah-mengah nafasku selepas menggunakan sepenuh khudrat yang ada. Aku fikir aku perlu mengelap kesan darah di atas lantai dan dinding kedai dahulu sebelum aku dapat menguruskan mayat Jiro. Aku terus mencapai kain dan mop di dapur dan sebekas air paip lalu mula menyental kesan-kesan darah yang aku dapat lihat di lantai dan dinding kedai.

Habislah aku kalau orang nampak kesan darah ni.

Mataku meliar mencari jika masih ada tompokan darah di mana-mana dan akhirnya dalam masa lima belas minit, ruang kedai sudah tidak kelihatan seperti crime scene lagi. Aku mengangguk tanda puas hati.

Aku memungut daging beku di lantai yang masih kelihatan kesan darah yang aku tidak tahu samada kesan darah Jiro atau darah pada daging itu. Aku mencampakkan daging itu ke dalam sinki di dapur dan mengambil keputusan akan berfikir tentang daging itu kemudian.

Sekarang aku perlu buat sesuatu tentang mayat Jiro. Mungkin aku boleh tarik mayatnya keluar dari pintu belakang dan bawa kereta ke kedai dan humban mayatnya ke dalam gaung atau tasik.

Kalau dalam tasik, mayatnya pasti timbul satu hari nanti dan mungkin polis akan tahu dia dibunuh kerana tempurung kepalanya yang retak. Mungkin aku perlu ikat badannya dengan batu supaya dia tak timbul lagi dan tenggelam ke dasar.

Atau aku boleh terus bakar mayatnya di dalam hutan supaya menjadi abu dan hilang ditiup angin?

Lagipun, siapa yang akan cari Jiro? Semua orang bencikannya. Aku dah bunuh Jiro maksudnya aku dah senangkan hidup semua orang, bukan?

Ah, tapi aku perlu tutup kedai hari ni kalau aku nak uruskan mayat Jiro. Aku tak boleh tinggalkan mayat lama begini.

Baru saja aku mahu menghampiri pintu kedai, kedengaran suara yang agak kuat di hadapan kedai. Aku terdiam membatukan diri lalu kembali ke dapur dan berdiri di hadapan mayat Jiro dengan hati yang resah. Tanganku sejuk seperti ketulan ais dan jantungku kembali berdegup kencang.

Ah, celaka! Siapa pula yang datang ke kedai waktu-waktu ini? Aku menyumpah dan menyesal kerana menyedari yang aku terlupa hendak mengunci pintu. Mujur tiada sesiapa yang masuk semasa aku menghentak kepala Jiro tadi.

"Ayah lapar ni. Kita singgah makan di sini dulu." Kedengaran satu suara seorang lelaki dengan suara yang kuat dan garau.

"Ayah tahu kan saya ni kena pergi ke sekolah?" Sahut satu suara seorang perempuan muda dengan nada yang agak tegas.

Darahku tersirap. Adakah kedua-dua orang ini mahu makan di kedai aku? Perbualan mereka kedengaran seperti perbualan anak-beranak.

Aku mengerling ke arah mayat Jiro yang terduduk di tepi peti ais. Suasana seram mencengkam jiwa kerana sekarang aku berseorangan dengan mayat manusia. Tapi, aku tak boleh buat apa-apa kecuali berharap kedua-dua orang di depan kedai pergi makan di kedai lain.

Tapi, lebih baik aku sembunyikan mayat Jiro dahulu. Kalau ada orang masuk, sekurang-kurangnya tiada sesiapa akan nampak. Dapur yang  terbuka dan kecil ini langsung tidak membantu aku mencari sudut yang tersembunyi. Maksudnya aku perlu sembunyikan Jiro dalam satu bekas yang tertutup dan pada waktu itu, hanya satu tempat saja yang terlintas di fikiran.

Aku membuka pintu peti ais dan bersyukur kerana peti aisku tidak penuh dengan barang. Mataku memandang tepat ke buah tembikai yang tinggal separuh yang disimpan dalam peti. Terngiang-ngiang suara Amilia pagi tadi yang mahu makan buah tembikai di kedai hari ini. Aku pantas mengeluarkan buah tembikai itu dan meletakkannya di atas sebuah meja di tepi peti ais dan mengeluarkan beberapa barang kecil lain dari dalam peti dan mencampakkannya ke atas laci di dapur.

Tubuh Jiro aku tarik dan dengan khudrat seorang wanita yang lemah tetapi terdesak, aku menolak tubuhnya ke dalam peti ais, mendudukkannya dengan baik dan berjaya menutup pintu peti ais sesaat sebelum pintu kedai dibuka.

Jantungku berdetak kencang dan dengan kelam-kabut aku mengucapkan selamat datang. Aku tahu tidak mungkin aku dapat menghalang kedua-dua orang pelanggan ini dari masuk ke kedai kerana mereka telah pun duduk di salah sebuah meja. Aku perlu melayan mereka sebaik mungkin supaya tidak ada sesiapa yang curiga dan berharap mereka akan segera keluar selepas makan.

Baru saja aku mahu keluar dari dapur, aku terpandang kesan percikan darah di bajuku. Macam manalah aku boleh terlupa nak periksa baju aku terlebih dahulu tadi? Harap-harap kedua-dua orang pelanggan ini tidak perasan. Dengan rasa sedikit penyesalan, aku mencapai sehelai apron yang terlipat kemas di atas laci dan segera memakainya untuk menutup apa-apa kesan yang tidak diingini. Tangan dan wajahku dibersihkan sekali lagi di sinki sebelum aku berjalan menghampiri pelanggan di meja.

Benar sangkaanku, kedua-dua pelanggan itu ialah sepasang ayah dan anak perempuan. Malah, anak perempuan itu nampak muda dan kelihatan sebaya dengan Amilia. Si ayah pula barangkali berusia awal 50-an dengan badan yang agak tegap. Kalaulah dalam keadaan biasa, aku mungkin akan cuba menggoda lelaki ini tetapi disebabkan sekarang dalam kecemasan, aku hanya mahu kedua-dua mereka segera beredar dari kedai.

Ah, aku tidak sempat masak apa pun pagi ini. Apa yang ada cuma sepuluh ketul daging yang salah satunya telah menjadi senjata pembunuhan. Mungkin aku patut buat sesuatu untuk aku musnahkan 'senjata' itu sebelum polis atau orang lain menjumpainya, bukan?

"Selamat datang. Kedai baru dibuka dan kamu berdua pelanggan pertama hari ni. Maaf ya, kelam kabut sikit." Kataku dengan ramah dan senyuman gementar di bibir. Aku cuma perlu tenang dan berlagak seperti biasa. 

"Hari ni menu di kedai cuma daging saja. Saya boleh sediakan steak atau daging grill. Daging hari ni segar sangat sebab kita dapat bekalan pagi ni." Aku menyambung dan dengan spontan  dan kebiasaan, menyeluk poket seluarku untuk mengeluarkan buku nota yang selalu aku gunakan untuk menulis pesanan. Sekeping kertas terjatuh dan mendarat di kaki si anak perempuan lalu dia tunduk dan memungutnya. Dia menjeling kertas itu sejenak sebelum menyerahkan kertas itu kepadaku.

"Terima kasih." Aku tersenyum manis dan memasukkan kertas itu ke dalam poket semula.

"Bagi saya steak sajalah." Kata si ayah. "Kau nak makan apa, Rosie?"

Si anak perempuan bernama Rosie itu kelihatan berfikir sejenak. Aku perasan matanya sedang memerhati ke arah dapur walaupun wajahnya tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Terdetik rasa cemas untuk seketika lalu aku turut berpusing ke arah dapur. Namun tidak ada apa-apa yang aneh di dapur pada pandangan mataku.

"Pintu peti ais tu ada masalah ke?" Rosie menyoal.

Pada masa itu baru aku perasan pintu peti ais mula terbuka sedikit lalu dengan pantas aku menghampirinya dan cuba menutup pintu. Aku mengetap bibir dengan geram apabila ternampak jam tangan yang dipakai oleh Jiro tersangkut di bahagian bawah pintu peti ais menyebabkannya terbuka dan tidak dapat ditutup semula. Mujurlah jam itu terlindung di bahagian dalam peti ais jadi tidak ada sesiapa dapat nampak tangan mayat sedang terjuntai dari dalam peti ais. Usaha menolak tangan Jiro pun masih gagal menyebabkan aku mulai berasa marah.

Dah mati pun masih mahu menyusahkan aku!

"Maaf ya, pintu peti ais tu dah rosak beberapa hari ni. Saya tak sempat nak hantar baiki lagi. Kamu nak pesan apa-apa ke, sayang?" Aku menyoal Rosie dengan wajah yang manis sambil cuba mengalihkan perhatiannya daripada peti ais berisi mayat itu. Memang kebiasaanku memanggil anak-anak muda sebagai 'sayang'.

Rosie menggeleng. "Nanti saya pesan kalau saya mahu. Boleh masak untuk ayah saya dulu."

Aku berundur ke dapur dengan cepat. Mataku memandang daging di dalam sinki yang aku gunakan untuk membunuh Jiro tadi. Mungkin inilah peluang aku untuk menghapuskan bukti. Tanpa berlengah, aku mula menghiris daging supaya lebih nipis seperti daging steak dan mencuci dengan bersih. Aku perlu berlagak seperti biasa kerana dapurku ini terbuka dan kedua-dua orang pelanggan di hadapan dapat melihat semua tindak-tandukku di dapur. Aku tak boleh dicurigai!

"Rosie, kenapa ayah rasa prestasi kau kat sekolah merosot?"

Aku memasang telinga mendengar perbualan dua beranak itu. Perbualan biasa yang selalu didengari antara ibu bapa dan anak-anak. Malah, aku dengan Amilia pun begitu hampir setiap malam. Mujur Amilia seorang anak yang baik, jarang sekali dia meninggikan suara semasa di rumah.

"Mana ada!"

Ah... anak-anak remaja pada usia ini yang berjiwa memberontak.

"Kau masih marahkan ayah ke? Sebab kematian ibu?"

"Saya tak nak cakap tentang ibu."

"Kau nak bercakap dengan seseorang? Dengan therapist?"

Rosie terdiam sejenak namun seketika kemudian berkata, "Saya tak pernah salahkan ayah di atas kematian ibu. Saya faham kerja ayah masa tu. Ayah ada tanggungjawab penting untuk tangkap penjenayah dan ayah tak dapat lari daripadanya."

Tangkap penjenayah!!?

Aku mendengar si ayah menghela nafasnya. Tapi sekarang nafas aku pula menjadi sesak. Apa maksud Rosie tadi yang tanggungjawab ayahnya ialah tangkap penjenayah? Jangan-jangan lelaki yang baru saja memesan steak itu tadi ialah seorang anggota polis? Adakah aku sekarang berada besama seorang anggota polis dan mayat di dalam peti ais?

Aku mulai terasa hendak pitam. Aku cuba memberi sepenuh perhatian menyediakan perapan steak sebelum menggril daging di atas dapur. Namun telingaku masih sedang cuba menangkap perbualan mereka sambil cuba mengawal riak wajah sebaik yang mungkin.

"Ayah minta maaf sebab tak beri tumpuan pada kamu dan ibu." Si ayah meminta maaf. "Ayah terlalu obses dengan kerja sampai mengabaikan kamu. Ayah janji tak akan buat lagi. Ayah cuma ada kamu saja sekarang."

Rosie mengangguk. "Saya pun cuma ada ayah." Dia bersuara perlahan.

"Selepas kamu habis peperiksaan, kita pergi berkhemah sama-sama." Janji lelaki itu kepada anaknya dengan suara yakin.

Aku tersenyum. Entah kenapa perbualan kedua-dua beranak itu mengingatkan aku pada Amilia. Aku sedar aku juga banyak berjanji padanya. Malah, aku pernah berjanji akan membawanya mengelilingi dunia setelah perniagaan ini berjaya. Tapi sekarang, aku hanyalah seorang pembunuh yang sedang menyembunyikan mayat di dalam peti ais di dapur kedainya dan sedang memasak senjata pembunuhan itu. Bagaimana agaknya kehidupan Amilia kalau aku tertangkap? Dia akan bersendirian dan pasti akan benci padaku.

"Oh, gambar tu di Tasik Berryl ke? Cantiknya. Matahari bulat tu nampak macam lukisan." Aku terdengar suara si ayah melaung dan serta-merta faham dia sedang merujuk kepada gambar aku dan Amilia yang dibingkaikan di dinding kedai.

Aku mengangkat kepala memandang ke arah mereka. "Ya. Saya dan anak saya tengah berkelah di sana musim panas dua tahun lepas. Cantik sangat tasik tu terutamanya masa matahari terbenam. Gambar tu pun kami ambil bersama masa tu. Cantikkan?" Aku membalas cuba menjadi ramah. Steak di dalam kuali sudah hampir tersedia dan aku mencapai sekeping pinggan yang tersusun kemas di atas kabinet.

"Dulu saya, anak saya dan isteri saya pun pernah berkhemah di Tasik Berryl. Tapi sekarang cuma tinggal kami berdua." Ada nada sayu pada suara si ayah.

Aku meletakkan steak ke dalam pinggan dan menghiasnya dengan cantik sebelum menghidangkannya kepada si ayah. Lelaki itu kelihatan teruja melihat hidangan di hadapannya kerana aku tahu dia agak lapar. Aku memandang ke arah Rosie sambil tersenyum. Anak gadis ini benar-benar mengingatkanku pada Amilia. Rosie mempunyai rambut berwarna gelap dan sedikit ikal. Iris matanya seakan-akan berwarna kelabu cerah dan kelihatan cantik apabila disinari cahaya matahari. Sosok tubuh dan ketinggiannya hampir mirip dengan tubuh Amilia.

"Kamu betul-betul tak mahu makan apa-apa, sayang?"  Aku bertanya. Mataku sempat mengerling ke arah si ayah yang telah mula menjamah hidangannya dengan penuh selera. Hatiku terasa lapang. Sekurang-kurangnya, senjata yang membunuh Jiro telah dimusnahkan dan tak ada sesiapa pun yang akan menjumpainya termasuklah pihak polis.

Rosie memandang wajahku sebelum dia mengangkat tangan dan menunjuk ke arah buah tembikai di atas meja di tepi peti ais. "Saya nak sepotong buah tembikai tu, boleh?"

Aku mengangguk lalu kembali ke dapur dan mula memotong tembikai itu lalu menyusunnya dengan cantik di dalam pinggan sebelum menghidangkannya kepada Rosie. Dia menggigit buah tembikai itu sambil tersenyum memandangku.

"Sedapnya. Manis dan sejuk." Katanya.

Amilia juga pasti akan mengatakan perkara yang sama.

Sepuluh minit kemudian, kedua-dua beranak itu selesai menjamu selera dan si ayah mengeluarkan dompetnya untuk membayar. Pada masa itu, apa yang aku mahu hanya bersendirian dengan mayat Jiro, mengunci pintu kedai dan mengeluarkan mayat itu melalui pintu belakang. Aku perlu cepat-cepat menguruskan mayat Jiro dan pulang awal ke rumah dengan alasan tidak sihat jika disoal oleh Amilia. Selepas itu, aku mahu membawa Amilia jauh dari sini, walaupun terpaksa mengorbankan kedai yang diimpikan sejak dahulu. Yang pasti aku mahu melupakan semuanya dan memulakan hidup baru dengan Amilia. Aku tidak mahu tertangkap.

"Terima kasih." Ucap si ayah selepas membuat bayaran.

Namun sebelum dia menyimpan kembali dompetnya ke dalam poket, Rosie memegang lengan ayahnya sambil berkata, "Sekarang ayah perlu menjalankan tanggungjawab ayah sebagai anggota polis sebab di sini dah berlaku satu pembunuhan."

................................................................................................................

Hello semua pembaca,

Sebelum baca conclusion di Bahagian 3, siapa yang boleh teka macam mana Rosie boleh tahu ada pembunuhan berlaku di kedai Anita? Boleh tulis jawapan korang di ruangan komen :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience