Rate

BAB 7

Romance Series 6268

BAB 7

SAMPAI saja dari Ipoh, Haryani terus mengurung dirinya di dalam bilik. Azie cuba memujuk, tapi Haryani langsung tidak mengendahkannya, dipekakkan telinganya dari mendengar segala nasihat dan rayuan. Akhirnya dia mengalah, dibiarkan saja Haryani melayan perasaan yang sedang lara. Bukan mudah bagi seseorang untuk menerima kekecewaan ini, apatah lagi ia melibatkan soal hati dan perasaan. Tiga tahun lamanya Haryani dan Hariz menyulam cinta mereka, tapi akhirnya punah begitu saja. Haryani hilang arah memikirkan hal ini. Sanggup Hariz mengkhianatinya, mengkhianati janji-janjinya. Tiada langsungkah ikhsan di hatinya?

‘Takpa, baru sehari. Esok-esok okay la tu.’ Pujuk Azie cuba menyedapkan hatinya.

Dia tidak tahu di mana salahnya dan di mana kurangnya. Selama ini dia sudah berusaha menjadi yang terbaik untuk Hariz dan orang tuanya, menjaga hati dan perasaan mereka sehingga kadang-kadang perasaanya sendiri terabai. Tapi sebelah mata pun tak dipandang, akhirnya tetap dia bukan menantu pilihan mereka. Dia pasti hal ini ada kaitanya dengan orang tua Hariz, mereka sudah lama tahu hubungannya bersama Hariz, tapi kenapa tetap teruskan pernikahan itu? Dia sayangkan hubungan mereka, tapi apa boleh buat? Nasi dah jadi bubur. Silapnya cuma satu, dia cintakan orang yang salah!

Haryani tidak bermaya untuk bangun, tubuh dan kepalanya terasa berat, tapi digagahkan juga dirinya bangun untuk membersihkan diri dan menunaikan solat maghrib yang hampir berlalu. Selepas membersihkan diri dan berwuduk dia terus menunaikan solat maghrib, lama dia berteleku ditikar sejadah. Apa yang dirasakannya sekarang hanya Allah S.W. T. punca kekuatannya ketika ini. Haryani merasa berdosa, dikala dia alpa, dia terlupa kepada Maha Pencipta, dikala berduka, barulah dia teringatkan-Nya.

“Ya Allah, ampunilah dosaku.” Ujarnya perlahan bersama juraian air mata yang mulai turun.

Haryani mengangkat tangan berdoa kepada Allah S.W.T., lama dia begitu, bibirnya perlahan-lahan bergerak membaca doa. Ketika ini matanya bagaikan empangan yang pecah, lama dia tersedu-sedan mengadu kepada yang Maha Mendengar, supaya hatinya lebih tenang. Selesai saja mengaminkan doa dan menyimpan telekungnya, dia duduk di birai katil sambil termenung jauh. Kejadian siang tadi masih terbayang-bayang di matanya, setiap kemesraan mereka menghancurkan hatinya. Dia memejamkan mata sambil cuba melupakannya.

‘Takpa, aku kuat. Aku boleh lupakan dia! Aku mesti kuat. Allah ada dengan aku.’ Hatinya memujuk. Sebolehnya dia tidak mahu terus marahkan mereka atau berdendam dengan mereka. Kalau boleh dia mahu maafkan mereka seadanya.

Tapi semakin dia menidakkannya, semakin jauh dia fikirkan. Syak wasangka terhadap hubungan Ila dan Hariz mula timbul dibenaknya.

‘Mungkin Ila dan Hariz dah lama bercinta kut, aku je yang tak tahu. Hariz pula mungkin tak sampai hati nak minta putus dengan aku, jadi sebab tu dia rahsiakan.’ Fikirnya dalam hati.

Mungkin dialah penghalang sebenar hubungan ini, hingga memaksa Hariz dan Ila berkahwin senyap-senyap. Haryani mengeluh. Andai betul apa yang difikirkannya, perasaanya akan lebih dalam terluka. Dia bukan boneka tanpa perasaan yang mudah diperkotak-katikkan. Dia lebih rela mereka berterus-terang dengannya dari awal.

Kepalanya kembali berdenyut-denyut, pening memikirkan masalah ini. Dia memicitnya perlahan. Tiba-tiba pintu bilik kembali diketuk. Pasti Azie.

“Yani, jom makan. Aku dah belikan makanan favourite kau.” Panggil Azie di muka pintu. Haryani segera bangun membuka pintu. Kesian pula bila sejak siang tadi lagi pintu bilik berkunci.

“Sorry Zie, aku tak lapar la. Kau makan sorang je la.”

“Kau okay ke tak ni Yani?” Soalnya prihatin sambil melabuhkan punggung di sebelah sahabat baiknya itu.

“Aku okay, pening sikit je.” Jawabnya sambil tersenyum kecil. Wajahnya kelihatan pucat tidak berdarah, matanya pula merah dan bengkak.

“Okay, kalau macam tu kau makan dulu. Lepas tu baru tidur.” Saran Azie lalu berdiri dan ingin ke dapur semula tapi terbantut bila Haryani menolak ajakkannya.

“Aku tak laparlah Zie, kau makan sorang jelah.”

“Yani, jomlah... Kau tu dah la tak makan apa-apa dari siang lagi, nanti perut masuk angin sakit pulak.” Azie masih memujuk.

Haryani menggeleng, matanya kembali berkaca-kaca. Dia memandang Azie lama, bibirnya pula bergerak-gerak seolah-olah ada sesuatu yang ingin dibicarakan. Azie seakan memahaminya, segera dicapai tangan sahabatnya dan duduk di sampingnya.

“Kau nak cakap apa, takpa aku dengar.” Ucapnya prihatin. Saat ini pastilah Haryani perlukan bahu untuk bercerita dan meluahkan segala isi hatinya.

“Zie, kau rasa semua ni salah aku ke?” Tanya dia tiba-tiba.

“Eh, salah kau pasal apa pulak? Yang salah tu diorang, bukan kau.”

“Tapi, entah la. Aku rasa diorang dah lama ada hubungan. Mungkin Hariz tak cintakan aku lagi, so sebab tu dia kahwin dengan Ila. Jadi diorang rahsiakan hal ni dari aku, bila dah settle semua baru diorang plan nak bagi tahu.” Ucap Haryani panjang lebar. Akhirnya terluah juga apa yang terbuku di hatinya. Air matanya kembali mengalir.

“Kau ni banyak sangat fikir. Aku rasa tak. Kalau Hariz tak suka kau, kenapa dia melamar kau?”

“Tapi kan...”

“Takdak tapi-tapi. Dalam hal ni kau adalah mangsa keadaan, kau tak perlu rasa bersalah pun. Diorang yang sebenarnya patut explain dekat kau!” Ucap Azie tegas.

“Habis tu, kau rasa apa yang patut aku buat? Aku bingung!”

“Okay macam ni, apa kata kau tunggu diorang balik KL dulu. Lepas tu korang jumpa dan berbincang. Aku tak rasa diorang dapat tipu kau sampai bila-bila.”

Haryani tidak menjawab. Hati dan fikirannya masih bercelaru. Kalau ikutkan hatinya, hari ini juga dia mahukan penjelasan dari mereka. Tapi dalam masa yang sama dia takut untuk menghadapi kenyataan. Kenyataan yang sebenarnya Hariz bukan miliknya lagi.

“Dah la, tak payah nangis lagi. Mata tu dah bengkak pun.” Pujuk Azie.

“Zie, patut ke aku putus dengan dia?”

Pertanyaan ini betul-betul membuat Azie terdiam. Kalau ikutkan fikiran yang waras, memang patut Haryani putuskan hubungan mereka. Tapi kalau masing-masing masih terikut-ikut dengan perasaan cinta yang masih ada, pasti hal itu paling mustahil.

“Zie, aku dah sayang dia sangat-sangat. Kau bayangkan lah dah tiga tahun kitorang bersama, bukan mudah untuk aku lupakan dia.” Luah Haryani bersama perasaan kesal.

“Yani, aku tahu kau cintakan Hariz. Tapi sekarag ni dia dah jadi suami orang, suami kawan baik kau lagi! Aku bukanlah nak memaksa kau untuk putuskan hubungan korang ni. Tapi kau dan dia masing-masing dah matang untuk fikirkan yang mana betul, yang mana salah. Aku cuma harap kau dapat buat keputusan terbaik untuk masa depan kau.” Ucap Azie berhati-hati. Sebolehnya dia tidak mahu melukai hati sahabatnya, tapi dia juga tidak mahu dia hancur di dalam hubungan toksik ini.

Selepas itu Haryani terus terdiam. Dia faham dengan maksud Azie. Dia merenung cincin yang tersemat di jari manisnya, lama. Pada akhirnya dia juga harus membuat keputusan, keputusan yang cukup berat baginya. Dan di mana ia akan mengubah segala-galanya, kerana cinta bukan milik mereka.

Seketika kemudian Azie mengajaknya lagi untuk makan malam, tapi ditolaknya dengan baik.

“Okaylah kalau macam tu. Lepas isyak, make sure kau terus tidur. Tak payah nak fikir sangat pasal ni.”

Haryani hanya mengangguk, mengiakan saja saranan teman baiknya itu. Tapi bila bersendirian, fikiranya melayang-layang memikirkan orang di sana. Memikirkan kenangan-kenangan lalu yang mengusik perasaan. Teringat pada lamaran Hariz tempoh hari, dia teringatkan angan-angan mereka yang tak mungkin dipenuhi.

“Yani, bila kita dah kahwin awak nak berapa orang anak?” Tanya Hariz jujur. Ketika itu Hariz terlalu seronok apabila Haryani menerima lamarannya. Matanya yang redup galak merenung wajah lembut Haryani.

Keningnya terangkat bila diusulkan dengan pertanyaan sebegitu, kahwin pun belum berangan nak ada anak dah?!

“Kahwin dulu, barulah boleh cakap pasal anak.” Jawabnya tenang.

“Sebab nak kahwinlah saya tanya, kalau boleh sekarang juga saya nak kahwin dengan awak. Awak pulak sanggup ke jadi ibu untuk anak-anak kita nanti?”

“Eh, dah tentu la! Tambah-tambah ayah diorang hensem macam awak.” Haryani turut teruja,tidak sabar rasanya menanti hari itu.

“I love you.” Tutur Hariz dengan nada romantis.

“I love you too.”

Lamunannya hilang bila Azie menegurnya.

‘Ya Allah, jika jodohku bukan dengannya. Kau hilangkanlah perasaan ini.’ Doanya dalam hati.

DI LUAR, kilat saling sambung menyambung dan guruh berdentum kuat, menandakan malam itu akan hujan. Di rumah banglo dua tingkat itu kelihatan sunyi dan hanya disinari lampu malap. Hariz sedang minum minuman kegemarannya sambil memandang kosong skrin televisyen, di tangannya pula tergenggam erat telefon bimbitnya. Dia teringatkan seseorang, dia rindukan orang itu dan dia juga ingin bertemu dengannya. Sudah beberapa kali dia cuba menghubungi si dia, tapi satu panggilan pun tidak berjawab. Dia risau dan dia juga marah. Tapi disabarkan hatinya memandangkan si dia tiada di depan mata. Tambahan pula dia di tempat orang, takkan dia nak buat kecoh pula. Hariz cuba bersangka baik, mungkin Haryani sudah tidur, lagi pun sekarang sudah agak lewat.

“Hah Iz, tak tidur lagi? Dah pukul berapa ni, kesian Ila dalam bilik tu tunggu Iz.” Sergah Datin Sofea tiba-tiba yang ketika itu melewati dapur untuk mengambil segelas air.

Hariz tersentak. Dia memandang Datin Sofea yang berada di anak tangga seketika. Kemudian dia mengeluh kecil.

“Iz nak habiskan minuman ni dulu, nanti Iz naik la.”

“Ya la, tapi cepat sikit. Kesian Ila, dah lewat malam ni.” Pesan mamanya lagi.

‘Siapa suruh dia tunggu aku? Aku tak suruhpun, menyampah betul la!’ Bentak Hariz dalam hati.

“Ya la ma... Iz naik atas dulu.” Ujar Hariz lalu meletak gelasnya di atas meja. Hariz menyalami tangan mamanya sebelum beredar meninggalkan ruang itu. Dia pasti, lagi lama dia di situ pasti mamanya akan mula bersyarah. Sakit telinga mendengarnya.

“Iz, layan Ila elok-elok walaupun Iz tak sukakan dia.” Pesan Datin Sofea tiba-tiba. Dia tahu Hariz tidak sukakan menantu pilihannya, nak tak nak mereka sudah sah bergelar suami isteri pun.

Hariz tersenyum sinis.

“Mama tahukan Iz tak pernah sukakan dia. Kenapa mama paksa Iz kahwin juga?” Tanya Hariz dengan perasaan yang ditahan-tahan dari terus meletus.

“Mama cuma nak yang terbaik untuk anak mama. Iz cubalah faham, mama dan papa dah tua, kami nak lihat kebahagian anak kami.Itu je!”

“Maa... Iz cuma akan bahagia kalau kahwin dengan Yani! Bukan Ila! Iz tak fahamlah, apa yang buruknya Yani? Dia tu baik ma...”

“Cukup!” Datin Sofea hampir saja menjerit. Dia menarik nafas menenangkan perasaan tidak gembiranya.

“Iz jangan nak cakap pasal perempuan tu lagi, mama tak suka. Sekarang ni, Iz suka ke tak suka Iz dah kahwinpun. Mama taknak Iz sia-siakan Ila, jaga dia, bahagiakan dia! Bukan perempuan tu!”

Hariz merengus geram. Kalau bercakap dengan Datin Sofea memang dia takkan menang.

“Dah, mama naik dulu. Iz jangan lupa apa yang mama cakap ni.” Selepas itu Datin Sofea terus beredar meninggalkan Hariz. Dia tidak mahu memperpanjangkan pertelingkahan anak-beranak ini. Lagipun apa yang dia mahukan sudahpun tertunai.

Lemah kakinya memanjat setiap anak tangga. Dalam masa yang sama, ligat dia berfikir ucapan apa yang sesuai dikatakan kepada isterinya nanti. Sudah la ini malam pertama mereka! Dia bingung sendiri sambil menggaru kepalanya yan tidak gatal. Ketika dia melangkah masuk ke dalam bilik, telinganya menangkap suara merdu Ila sedang mengalunkan ayat suci al-quran. Hariz terpegun seketika sebelum disedarkan dengan teguran gadis itu.

“Saya nak cakap sikit dengan awak.” Ujar Hariz terus mengambil tempat di kerusi yang diperbuat daripada rotan. Ila berdiri beberapa kaki jauh di hadapannya.

“Awak ingatkan, apa yang kita bincang minggu lepas?” Tutur Hariz memulakan perbualan mereka malam itu. Dia mengingatkan gadis itu tentang perjumpaan mereka seminggu sebelum pernikahan mereka hari ini.

Ila tersentak. Kemudian dia mengangguk lemah kepalanya.Wajahnya dirundung rasa kecewa, sedih dan sakit hati pada Hariz. Perlahan-lahan dia turut melabuhkan punggung di atas kerusi bertentangan dengan suaminya. Dia menundukkan kepala. Dia masih ingat bila kali pertama keluar berduan bersama Hariz. Waktu itu Hariz mengajaknya untuk bertemu sekali gus makan tengah hari bersama. Ketika pertemuan itu, lelaki itu ada menyuarakan keengganannya tentang pernikahan mereka, dan begitu juga dengannya. Tapi apakan daya, orang tua mereka berkeras mahu teruskan perjodohan ini. Nak tak nak mereka terpaksa juga bersetuju.

“Saya sayangkan Yani, awak tahukan dah berapa lama kami bersama? Saya harap awak tak bagi tahu dia pasal ni. Saya taknak kehilangan dia.” Hariz cuba berlembut, tidak seperti awal-awal tadi yang baran tak tentu pasal.

Ila menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan-lahan. Sebak di dada mulai terasa. Dia ingin menangis tapi ditahannya. Dia tidak pernah lupa dengan pesan Hariz. Hati Haryani harus dijaga, dan perkahwinan ini juga harus dirahsiakan.

“Saya tahu apa yang perlu saya lakukan. Pasal Yani awak tak perlu risaulah. Saya akan rahsiakan. Tapi… Cuma satu je yang saya nak tahu, macam mana dengan perkahwinan kita nanti?” Ucapnya satu-satu dengan perasaan sebak. Dia ingin tahu masa depannya bersama Hariz. Dia tidak mahu digantung tidak bertali oleh Hariz, andai jodoh mereka pendek dia harap Hariz melepaskannya dengan cara baik.

Sejujurnya dia sedih dan kecewa. Kecewa pada Hariz dan keluarga yang tidak memberinya peluang untuk membuat pilihan dalam memilih teman hidup. Pada Hariz dia kecewa kerana lelaki itu masih cintakan wanita lain sedangkan dia sudah menjadi isterinya. Selain itu dia lebih berhak dari Haryani walaupun gadis itu rakan baiknya sendiri. Seharusnya Hariz harus memandangnya bukan perempuan lain! Apa kurangnya dia? Dia bertanya sendiri.

Hariz bingung mendengar soalan itu. Bagaimana hubungannya dengan Ila nanti? Gadis itu terlalu baik untuk diabaikan. Lagi pula, Ila sudah pun menjadi isterinya dan sudah kewajipannya untuk melaksanakan tangungjawabnya sebagai suami. Dia boleh berikan apa saja yang diinginkan Ila, tapi tanggungjawab yang satu itu dan perasaan cintanya tidak mungkin diserahkan kepada isterinya. Kerana dia sudah berjanji untuk tidak mengkhianatinya cintanya bersama Haryani.

“Hal tu biarlah nanti saya fikirkan. Tapi apa yang penting sekarang ni, kita just kena buat-buat gembira depan parents kita. Kalau boleh saya taknak lah diorang fikir yang bukan-bukan pasal kita.” Ujar Hariz akhirnya.

“Tapi awak akan ceraikan saya bila Yani tahu pasal kita?” Terpacul juga soalan itu dari bibirnya. Memang hal itu yang sedang berlegar-legar dalam fikirannya ketika ini.

Hariz mengeluh. Lama dia mendiamkan diri sebelum menjawabnya.

“Awak tak payah cakap pasal tu lagi, buat masa ni saya belum fikirkan pasal tu.” Ujarnya perlahan.

“Tapi saya perlukan kepastian. Saya taknak digantung tak bertali!”

“Ila, kita baru je kahwin. Biarlah orang tua kita gembira dulu, hal cerai jangan disebut dulu. Biarlah masa yang menentukan hubungan kita ni.” Jawapannya hanya untuk menenangkan hati masing-masing walaupun hakikatnya mereka sendiri tahu.

Ila sudah tidak mendengarnya. Matanya bergenang dengan air mata yang bila-bila masa saja boleh mengalir. Dia masih menunduk, tidak mahu menunjukkan wajah sedihnya pada Hariz. Dia harus kuat bila berhadapan lelaki ini. Dia bukan lemah, dia tidak mahu dipersendakan oleh lelaki itu. Sedihnya hati bila menjadi isteri tetapi terpaksa merahsiakannya, walau sesakit manapun dia harus cekal dan tabah.

Hariz tidak terkata apa lagi, lidahnya kelu untuk bersuara lagi. Dia tiada niat untuk mensia-siakan Ila sebagai isterinya, bahkan tidak terlintas langsung difikirannya untuk menceraikannya. Ila adalah isteri pilihan keluarganya, manakala Haryani adalah pilihan hatinya. Jika suatu hari nanti rahsianya terbongkar, dia tetap dengan pendiriannya untuk memperisterikan Haryani!

HARYANI termenung memandang langit yang gelap tanpa bulan dan bintang. Angin malam menyapa tubuhnya. Dia memeluk tubuh menahan sejuk yang mula mencengkam diri. Dia masih berdiri di situ, walaupun dirinya minta berundur.

Azie sudah lama dibuai mimpi indah. Cuma dia sahaja yang masih berjaga. Tangannya memegang erat telefon bimbitnya. Dilihatnya banyak panggilan dan pesanan yang diterima daripada Hariz. Dia sakit hati setiap kali membaca ucapan rindu dan kasih lelaki itu kepadanya. Rindu dan kasih yang dusta semata-mata untuk mengaburinya. Buat apa mencarinya lagi jika lelaki itu sudah ada yang lain. Terasa dirinya bodoh kerana mempercayai lelaki seperti Hariz. Sedangkan Hariz sedang bergembira bersama Ila. Dia memegang dadanya. Rasa sakit tiba-tiba menyerang. Malam ini adalah malam pertama Hariz dan Ila. Tak dapat dia bayangkan bagaimana perasaannya ketika ini. Sakit! Hancur!

‘Kenapa susah sangat saya nak luapakan awak, Iz? Sedangkan awak dah hancurkan hati dan harapan saya.’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience