Rate

BAB 1

Romance Series 6268

BAB 1
DIA menekan kuat perutnya menahan sakit yang semakin mencucuk. Ini kali pertama dia mengalami senggugut, sebelum ini kalau dia datang bulan tidak pula.Wajahnya jelas pucat tidak berdarah.

Menggigil kedua belah kakinya, niatnya untuk ke dapur terus dibatalkan. Haryani tidak tahu apa yang harus dilakukan, kawan-kawannya tiada di rumah. Azie teman sebiliknya pula masih di Melaka.

“Aduh... Sakitnya!”

Dia mengerang kesakitan. Tubuhnya bergulingan di atas katil. Rasa sakit semakin mencengkam di bahagian bawah perut. Ditekan-tekan bahagian itu sambil cuba menahan kesakitan. Matanya yang tertutup rapat dibuka seketika melihat keadaan rumah sewanya yang sunyi.

Haryani mengeluh, Azie di Melaka manakala Sara dan Ila pulang ke kampung mereka di Perak, atas urusan apa tidak diketahui pula. Mereka pulang ke kampung secara mendadak tiga hari yang lalu. Tidak sempat dia hendak bertanya, kini dia sendirian di rumah sewa mereka.

‘Huhuhu… Azie, bila kau nak balik ni? Aku dah tak tahan ni, sakit sangat.’

Dia merintih dalam hati. Dia berharap sangat kawan baiknya akan pulang malam ini. Tapi, ketika ini Azie berada di Melaka kerana mengikuti bosnya bermesyuarat di sana. Dia mencuba bangun dari pembaringan. Baru sekarang dia rasa bagaimana seksanya senggugut.

Tuk! Tuk! Tuk! Tiba-tiba pintu rumah diketuk. Haryani tersentak, siapa yang datang ke rumah sewanya malam-malam buta ni? Matanya memandang jam dinding yang tergantung. Sudah pukul 11.50 malam. Agak lewat bagi seorang tetamu untuk datang ketika ini. Perasaan seram dan takut tiba-tiba menyerang dirinya, tak pernah-pernah orang datang selewat ini.

‘Janganlah hantu yang datang. Aku ni dah la penakut.’ Doanya dalam hati.

“Assalammualaikum... Yani! Aku ni Azie, bukalah pintu.”

Azie menggaru kepalanya yang jtidak gatal. Takkanlah kawannya sudah tidur. Kalau ya, susah dia malam ni, takkan nak tidur dekat luar pula. Banyak nyamuk dan sejuk pulak tu. Silapnya juga kerana terlupa membawa kunci rumah.

Haryani menghembus nafas lega sebaik saja mendengar suara teman baiknya itu. Terus lesap semua fikiran buruknya tadi. Alhamdulillah, lega kerana Allah makbulkan doanya. Dalam kesakitan digagahkan juga dirinya untuk bangun lalu membuka pintu untuk Azie.

“Waalaikumussalam.” Jawabnya sebaik saja pintu rumah dibuka. Dia menghadiahkan senyuman lega kepada Azie.

“Azie! Kenapa balik tak bagi tahu aku?” Sambungnya lagi. Setahunya dia akan pulang dari Melaka esok.

“Aku saja tak nak bagi tahu kau. Nak buat surprise! Nak tengok juga muka terkejut kau.”

Seloroh Azie atau nama sebenarnya Siti Hazimah. Badannya letih dan pegal kerana tidak sempat berehat. Selepas saja tamat mesyuarat petang tadi dia terus pulang ke Kuala Lumpur. Dia bersandar di atas sofa di ruang tamu.

“Eh Yani, kau tak sihat ke? Kenapa muka kau pucat je?” Soal Azie yang baru perasankan wajah tidak bermaya Haryani.

Tapak tangannya menyentuh dahi Haryani untuk memeriksa suhu tubuh temannya. Haryani cuma tersenyum, mungkin lucu melihat kerisauan kawannya itu. Dia sudah terbiasa dengan sikap Azie yang terlampau mengambil berat jika ada sesuatu yang berlaku.

Azie dan Haryani sudah hampir enam tahun berkawan baik dari universiti lagi. Mereka juga mengenali Sara dan Ila sewaktu di universiti, tetapi Haryani lebih rapat dengan Azie. Jadi setiap perangai dan sikap penghuni rumah sewa ini dia sudah tahu.

“Aku tak demam pun, aku senggugut je. Kau tahu macam mana nak hilangkan rasa sakit ni?”
Haryani melangkah ke arah sofa yang sentiasa menghiasi ruang tamu rumah sewa teres setingkat ini. Kepalanya tersandar dan matanya terpejam sambil tangannya menekan-nekan sekitar bawah perutnya. Rasa sakit masih belum jua hilang.

“Kenapa tak call aku, kalau tak boleh aku bagi tahu macam mana. Nasib baiklah aku balik malam ni, kalau tak, tak boleh tidur malam la kau ni.” Azie membebel. Umurnya masih muda, tapi bila dah bersuara mengalahkan makcik-makcik.
Azie masuk ke dalam bilik, kemudian dia ke dapur dan datang semula ke ruang tamu bersama sebotol air setelah menanggalkan tudungnya dan menukar pakaian yang lebih selesa.

“Yang ni pertua mak aku, kalau senggugut kita tuam je dengan air suam atas perut. InsyaAllah, nanti hilang la sakit tu.”

Haryani mengambil tersebut dan dituamkan di kawasan bawah perutnya.

“Oh, baru aku tahu. Thanks, kalau takdak kau tak tahulah aku macam mana nak buat. Aku pun tak pernah senggugut sebelum ni.” Ujar Haryani sambil matanya masih terpejam.

“Eh, mana Ila dengan Sara? Kereta dekat luar pun takdak.” Baru dia sedar ketiadaan dua orang lagi sahabat baik mereka.

“Oh, diorang balik kampung sekejap. Katanya ada hal.”

“Diorang tak ajak kau ke? Kalau tak selalunya diorang ajak kau balik sekali.” Soal Azie sedikit hairan. Selalunya Ila dan Sara akan mengajak Haryani sekali sekiranya mereka hendak pulang ke kampung. Tambahan pula Haryani sendirian di rumah.

Haryani merupakan anak yatim piatu sejak kecil lagi. Dia dibesarkan di rumah anak yatim di Perak. Sehingga ke saat ini dia tidak pernah mengetahui di mana saudara maranya yang lain. Dari kecil lagi dia sudah terbiasa sendirian. Tetapi bersama Azie, Ila dan Sara dia merasa lengkap apatah lagi keluarga mereka juga sudah menganggapnya seperti saudara.

“Tak, lagipun mengejut sangat. Kalau ya, mana sempat aku nak apply cuti.”

Haryani teringatkan Ila dan Sara. Petang tadi mereka pulang ke kampung agak tergesa-gesa sampaikan dia sendiri tidak sempat tanyakan sebabnya.

“Ohh.” Hanya itu yang terluah dari bibir Azie. Lagipun siapa dia hendak menjaga tepi kain orang lain kan? Lagipun boleh saja dia tanyakan bila mereka kembali ke Kuala Lumpur nanti.

Malam semakin tua, masing-masing sudah letih dan mengamtuk. Tambahan pulak siang tadi masing-masing sibuk menjalankan tugasan harian mereka di tempat kerja. Azie pulak letih kerana memandu pulang dari Melaka. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk tidur. Senggugut Haryani pun sudah hilang, tidurnya juga sangat nyenyak yang ditemani mimpi indah.

TINGKAP dibiarkan terbuka luas membiarkan angin malam menyerbu masuk. Dalam kesamaran cahaya lampu, dapat dilihat susuk tubuh seseorang sedang berdiri di situ sambil berpeluk tubuh menahan sejuk yang sudah terasa hingga ke tulang hitam. Matanya yang masih merah tidak lepas memandang langit malam yang gelap tanpa cahaya bulan mahupun bintang-bintang yang sentiasa berkelipan di langit. Pipinya yang masih bersisa air mata dibiarkan kering sendiri. Tiba-tiba terasa bahunya disentuh seseorang.

“Sudah-sudah la tu. Kau tak penat ke? Asyik menangis je dari tadi. Benda dah jadi, kau pun dah jadi tunang dia.”

Dia sedikit tersentak dengan teguran itu. Tanpa memandang wajah itupun dia sudah tahu siapa. Entah mengapa dia tersentuh dengan teguran itu, air matanya kembali mengalir. Bahunya terhinjut-hinjut menahan sendu, dia mengigit bibir.

Sara berdiri di sebelah sahabatnya merangkap jiran sekampungnya. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya disertai satu keluhan berat. Sepanjang hari mereka berada di kampung ini cuma satu saja yang dilakukan temannya itu. Menangis, menangis dan menangis. Puas dia pujuk, tapi semuanya tidak diendahkan. Mati akal dibuatnya.

“Ila...”

“Kau tak faham Sara. Kau tak faham...” Belum sempat Sara menghabiskan bicaranya, Ila pantas memintas.

Sendu kembali berlagu. Sara mengerti mengapa Ila jadi seperti ini. Pertunangan yang berlangsung tidak lama sebelum ini betul-betul menghumban temannya ke lembah kesengsaraan, apatah lagi tinggal beberapa hari saja lagi menjelang pernikahan mereka. Pastilah dia sedih, perjodohan ini langsung tidak diduga, apatah lagi calon suaminya langsung tidak dicintainya. Dia sangat menolak perjodohan ini.

“Aku takut, aku takut Sara. Tolong aku?” Luahnya sambil menggelengkan kepala berkali-kali dan berpeluk tubuh. Dia memandang Sara dengan pandangan meminta tolong.

Sara menghampiri Ila, lalu dipimpin tubuh itu menuju ke katil. Tingkap yang tadi terbuka luas, kembali ditutup rapat. Dia memeluk tubuh dingin itu, menyalur kekuatan yang terasa sudah hilang dari jasad kawannya.

“Sabar, sabar Ila. Kau harus kuat. Lagipun ni bukan salah kau seorang, korang berdua sama-sama terpaksa.” Dia mengusap belakang temannya itu. Cuba menenangkan hati yang sedang bergelora.

Susana sepi seketika. Masing-masing saling membisu.

“Tapi aku takut… Aku rasa bersalah sangat. Nanti apa dia cakap kalau dia tahu semua ni?” Ila meluahkan rasa bimbangnya yang bersarang dibenaknya beberapa bulan yang lalu. Kebimbangan dan ketakutan yang menggila sudah acap kali dia luahkan kepada Sara, tetapi jawapan yang sama saja diterima.

“Aku yakin, dia dapat terima hakikat ni. Slowly but sure.” Jawab Sara ringkas, tapi penuh dengan makna yang tersendiri. Dia yakin jika hal ini dijelaskan dengan baik pasti akan membawa jalan penyelesaian.

“Tapi...”

“Takdak tapi-tapi. Sekarang ni kau tidur dulu, dah lewat sangat ni. Kalau kau nak cakap tunggu esok je la ya? Aku dah mengantuk ni.”
Sara pura-pura menguap. Kemudian dia membaringkan tubuhnya di atas katil dan memejamkan matanya. Sebenarnya dia letih melayan kerenah Ila. Ila mengeluh. Kemudian dia turut membaringkan tubuhnya di sebelah Sara.

‘Yani, apa reaksi kau nanti bila kau tahu hal ni? Boleh ke kau maafkan Ila? Sanggupkah kau melupakan cinta kau? Aku harap kau dapat memaafkan dia.’ Bisik Sara dalam hatinya. Tanpa disedari air matanya mengalir. Hatinya turut sedih dan tersepit apabila mengenangkan nasib dua rakan baiknya. Jika dia berada disituasi mereka, pasti dia turut rebah.

‘Arggh…! Kenapa semua orang tak faham? Kenapa aku yang harus tanggung semua ni? Apa salah aku, kenapa ibu kejam dengan aku? Kenapa harus dia yang menjadi pilihan? Oh tidak, apa yang harus aku lakukan sekarang? Lari? Itu mungkin satu perkara yang dapat mengaibkan keluargaku. Ya Allah, apa yang harus aku lakukan sekarang ni?’ Ila bermonolog dalam hati. Pelbagai persoalan berlegar-legar dalam fikirannya. Dia buntu.

Malam semakin tua. Semua insan sudah mulai lena dibuai mimpi. Hujan renyai-renyai mulai turun bersama-sama air mata yang penuh cerita. Ila menangis kerana nasib diri, Sara menangis kerana sahabat. Kedua-duanya ada cerita luka. Kedua-duanya juga dia sayang.
Kepulangan mereka ke kampung adalah untuk menguruskan hal perkahwinan Ila hujung minggu ini. Tidak sangka beberapa bulan yang lalu Ila telah ditunangkan dengan lelaki yang tidak dikenali pada awalnya. Tetapi mereka telah bersepakat untuk berjumpa untuk membincangkan hal ini memandangkan masing-masing tidak bersetuju dengan pertunangan ini. Setelah bertemu tidak sangka lelaki yang menjadi tunangannya adalah lelaki yang sangat dia kenali. Keputusan untuk memutuskan pertunangan jelas-jelas ditolak ibu bapa kedua belah pihak. Kini mereka buntu, segala persiapan perkahwinan telah disiapkan. Mahu tak mahu dia terpaksa juga meneruskannya walaupun akan ada pihak yang terluka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience